Tuesday, June 14, 2016

Kisah Serigala Yang Dituduh Membunuh Nabi Yusuf!


Malam seperti menyulam langit menjadi hitam, tapi gelap malam tak mampu menghalang serigala itu keluar dari pintu gua. Serigala itu seakan menghidu bau semerbak aroma khusus, bauan binatang buruan!

Serigala Nabi Yusuf.jpg
Gambar hiasan.

Kian jauh serigala itu berjalan, aroma itu semakin hampir dengannya. Ia menghendap, menghembuskan nafas sejenak lalu bergerak cepat dengan waspada.

Beberapa langkah kemudian, ia melihat sebuah khemah putih. Tidak jauh dari khemah, ada sepuluh orang lelaki sedang duduk mengelilingi unggun api.

Tidak henti-henti serigala itu menatap wajah sepuluh lelaki itu, wajah-wajah yang sedang menyusun sebuah rancangan jahat.

Namun, aroma sekawanan biri-biri yang sebenarnya mengundang kehadiran serigala itu, yang hadir bersama sepuluh lelaki tersebut.

Serigala itu menyorokkan kepalanya ke tanah, tapi tetap menajamkan telinga agar boleh menangkap gerak-geri sepuluh lelaki itu.

Kemudian, salah seorang daripada mereka berkata, "Kita perlu segera bebas dari Yusuf."

Hening malam terasa panjang, mendebarkan. Dan sepuluh lelaki itu terus berbincang.

"Sesungguhnya Yusuf dan saudara kandungnya (Bunyamin) lebih dicintai oleh ayah daripada kita sendiri, padahal kita (ini) adalah satu golongan (yang kuat). Sesungguhnya ayah kita dalam kekeliruan yang nyata. Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia ke suatu daerah (yang tak dikenali) supaya perhatian ayahmu tertumpah kepadamu saja, dan sesudah itu hendaklah kamu menjadi orang-orang yang baik." Surah Yusuf [12] ayat 8-9.

Lalu seorang diantara mereka berkata; "Janganlah kamu bunuh Yusuf, tetapi masukkanlah dia ke dalam telaga (perigi) supaya dia dipungut oleh beberapa orang musafir, jika kamu hendak berbuat." Surah Yusuf [12] ayat 10.

Serigala itu mahu melangkah pergi tetapi bicara sepuluh lelaki itu kembali mengusik serigala supaya tetap berdiam diri ditempatnya.

"Apa yang akan kita katakan kepada bapa kita, Ya'qub, kalau dia bertanya tentang Yusuf?" ucap salah seorang diantara mereka.

"Kita katakan kepadanya Yusuf telah tersesat," jawab yang lain.

"Itu tipu helah yang terlalu biasa. Bagaimana Yusuf boleh tersesat sedangkan kita ada bersamanya?"

Lelaki yang lain menyampuk, "Kalau begitu, katakan saja Yusuf dimakan serigala."

"Ini cadangan yang sangat baik. Kita katakan bahawa Yusuf diserang serigala ketika kita sedang terleka."

Namun, salah seorang dari mereka berkata, "Ayah kita tidak akan membiarkan kalian membawa Yusuf. Ayah sangat menyayanginya dan tidak akan berpisah dengannya."

""Kita akan berusaha menyakinkan ayah. Kita katakan kepadanya bahawa anak yang masih kecil dan belum mendapat sinaran matahari yang mencukupi, wajahnya akan menguning.

"Biarkan dia keluar sebentar bersama kami untuk berjalan-jalan dan bermain."

"Bagaimana kalau ayah kita tidak percaya dengan alasan sergala ini? tanya salah seorang yang paling tua.

"Kita tangkap seekor serigala, lumurkan dengan darah kambing yang akan kita gunakan juga untuk melumuri pakaian Yusuf kemudian kita bawa serigala itu kepada ayah kita."

"Setelah itu kita katakan kepada ayah kita, inilah serigala yang menyerang Yusuf. Darahnya masih melekat di badan dan giginya."

Semua pun terdiam sebagai tanda setuju dengan rancangan itu.

Hari berselang, malam kembali datang diselimuti suasana dingin. Serigala itu keluar dari gua untuk memburu.

Kali ini serigala tersebut keluar bersama sekawanan serigala untuk mengintai biri-biri milik sepuluh orang itu.

Ketika menghampiri kawanan biri-biri berhampiran khemah saudara-saudara Yusuf, kawanan biri-biri menyedari kehadiran sekumpulan serigala.

Dalam sekelip mata, suasana menjadi kucar-kacir. Serigala bergerak dengan yakin menghampiri kawasan biri-biri tanpa menyedari sebarang bahaya.

Tiba-tiba, serigala terpijak sesuatu. Kakinya termasuk ke dalam jerat yang telah dipasang, lalu terperangkaplah serigala tersebut.

Ia pun melolong panjang, disusuli lolongan serigala lain, namun semuanya sudah terlambat.

Saudara-saudara Yusuf terbangun dari tidur dan dengan segera melepaskan anak panah kepada serigala-serigala yang lain, meninggalkan seekor serigala yang sudah termasuk ke dalam perangkap tadi.

Dengan wajah gembira selepas mengikat serigala itu dengan kuat, salah seorang diantara mereka pun berkata, "Akan kita katakan kepada ayah kita, inilah serigala yang telah membunuh Yusuf."

Ketika saudara-saudara Yusuf tiba disebuah rumah dan selepas pintu dibuka, mereka segera bergegas masuk.

Dihadapan mereka seorang lelaki tua yang penuh wibawa dengan janggut yang sudah memutih, mereka meletakkan serigala tersebut diatas lantai.

Salah seorang daripada mereka pun berkata, "Inilah serigala yang telah menerkam dan membunuh biri-biri."

Saudara yang lain pula berkata, "Ia juga telah membunuh Yusuf sebelumnya dan cuba kembali lagi hari ini dan kami berjaya menangkapnya."

Tetapi Nabi Ya'qub tidak percaya dengan cerita mereka. Nabi Ya'qub kemudiannya berkata, "Tinggalkan serigala itu bersamaku dan pergilah kalian."

Sebelum pergi, salah seorang diantara mereka memberi peringatan, "Hati-hatilah ayah, ia serigala yang sangat ganas."

Selepas mereka pergi, suasana hening menyelimuti rumah Nabi Ya'qub. Ada sesuatu yang difikirkan. Ada sesuatu yang sedang menggumpal didalam fikirannya.

Nabi Ya'qub mengambil pakaian Yusuf, yang berlumuran darah biri-biri oleh saudara-saudaranya. Kemudian Nabi Ya'qub melemparkan baju Yusuf, anak yang sangat disayanginya kearah serigala.

Dengan berlinangan air mata, Nabi Ya'qub a.s. kemudian berkata, "Aku tahu wahai serigala. Aku tahu itu.

"Bagaimana mungkin serigala menerkam Yusuf sedangkan bajunya tidak koyak sama sekali.

"Semua itu adalah kesalahanku. Ketika saudara Yusuf hendak membawa Yusuf keluar, aku berkata kepada mereka, "Aku takut kalau Yusuf diserang serigala sementara kamu terleka.

"Aku dahulukan kekhuatiranku kepadamu berbanding penjagaan Allah terhadapnya sehingga ini yang akhirnya terjadi.

"Allah telah menegurku, Yusuf telah hilang dan mereka membawamu sebagai gantinya."

Serigala itu mendongakkan kepala. Dari sorot matanya, Nabi Ya'qub seakan tahu apa yang difikirkan oleh serigala itu.

Nabi Ya'qub mengusap kepala serigala itu, melepaskan ikatannya kemudian membuka pintu rumah.

Serigala itu kemudian pergi dari rumah Nabi Ya'qub.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA: Sains Dan Al-Qur'an Membuktikan Burung Gagak Haiwan Paling Bijak!

-SENTIASAPANAS.COM

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon