May 12, 2016

Rodrigo Duterte, Presiden Baru Filipina Celupar Macam Donald Trump!

Ingat nama ini – Rodrigo Duterte. Inilah nama yang akan anda dengar dengan lebih kerap lagi pada minggu dan bulan mendatang, malah beliau boleh dikatakan sebagai seseorang yang penuh ‘warna warni’.

Rodrigo Rody Roa Duterte [2]

Berusia 71 tahun, Duterte juga dikatakan seorang yang celupar kerana tidak takut menggunakan kata-kata kesat semasa berucap di hadapan umum, dan juga suka lepas cakap secara terbuka tanpa langsung perasaan bersalah.

Ini menyebabkan beliau disamakan dengan Donald Trump atau digelar sebagai ‘Trump sebelah Timur’. Ia mungkin tidak akan langsung terjadi di negara-negara Asia yang lain dalam sebarang kempen pilihan raya mereka sendiri.

Namun dalam kempennya, Duterte bercerita tentang pil seks Viagra, malah berjanji kepada pengundi bahawa ramai wanita simpanannya tidak melibatkan banyak kos, kerana hanya tinggal di hotel murah untuk kegiatan seks dirinya.

Duterte juga sebelum itu mendapat jolokan ‘Duterte Harry’, sempena nama ‘Dirty Harry‘ iaitu watak filem Hollywood terkenal lakonan aktor Clint Eastwood, seorang lelaki yang dikatakan tidak suka mengikut peraturan.

Walau apapun, Duterte – yang menjanjikan dua perkara, iaitu menghapuskan jenayah dan membasmi kemiskinan – kini dengan rasminya diumumkan oleh pihak suruhanjaya pilihan raya sebagai Presiden Filipina yang baharu.

Ini setelah dua calon utama pencabar terdekat beliau, Manuel Roxas dan Grace Poe, mengaku kalah.

Agensi berita AFP melaporkan, ada lima faktor utama yang menyumbang kepada populariti dan seterusnya kemenangan Duterte:

1. TEGAS

Ramai rakyat Filipina menantikan pemimpin tegas bagi menghuraikan banyak masalah negara yang sudah berakar umbi.

Duterte dengan gaya ala koboi, semasa berkempen berikrar akan bunuh puluhan ribu penjenayah, dan mahu cabar cengkaman golongan elit kaya raya ke atas ekonomi Filipina. Taktik ini memaparkannya sebagai ‘penyelamat’.

2. POPULIS

Memaparkan dirinya sebagai rakyat yang sama-sama marah dengan pelbagai masalah dan ketidakadilan dihadapi rakyat. Beliau juga ahli politik yang penuh karisma dan pandai berpidato.

Beliau mungkin satu-satunya calon Presiden yang ‘cakap besar’ tentang sikapnya yang ‘kaki perempuan’, serta suka memaki hamun semasa berucap.

Anehnya, ini menambahkan ‘kredibiliti’ Duterte sebagai tokoh lawan golongan berkuasa (anti-establishment).

Yang pasti, beliau berjaya memukau hati pengundi kerana Duterte mempunyai kemahiran luar biasa untuk bercerita dan bergurau. Serta jangan lupa, beliau memang pandai buat kelakar menerusi pelbagai cerita lucunya.

3. UNDANG-UNDANG

Duterte dengan tepat dapat ‘membaca’ perasaan dan rasa hati pengundi, lantas menjadikan isu ‘undang-undang dan ketenteraman awam’ sebagai teras utama kempen.

Beliau berjanji mahu menamatkan jenayah dalam tempoh 6 bulan sahaja setelah menjadi Presiden! Malah Duterte berikrar akan membunuh ribuan penjenayah terkenal.

Ini satu perkara yang ternyata disokong oleh ramai pengundi. Umumnya rakyat Filipina berasa langkah-langkah ekstrem perlu diambil untuk menumpaskan kejadian jenayah dan rasuah yang kini berleluasa sehingga gagal ditangani oleh presiden sedia ada, Benigno Aquino Junior sendiri.

4. ANTI-AQUINO

Walaupun presiden sebelumnya, Aquino, berjaya mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang tinggi selama 6 tahun, ramai pengundi berasa mereka tidak mendapat sebarang limpahan daripada ekonomi yang baik itu.

Para pengkritik pula menyifatkan gaya pemerintahan Aquino sebagai lemah dan tidak cekap. Disinilah Duterte atau nama penuhnya Rodrigo Rody Roa Duterte yang lahir pada 28 Mac 1945 serta mantan Datuk Bandar Davao City, mengambil kesempatan dan berjanji menjadi sebaliknya. Iaitu seorang presiden yang tegas dan kuat.

5. CALON LAIN ENGGAN BERSATU

Di Filipina, pemenang calon pilihan raya Presiden dipilih berdasarkan siapa mendapat undi terbanyak. Tinjauan menunjukkan ‘Duterte Harry’ mendapat sekitar 39 peratus undi.

Pesaing terdekat beliau sendiri iaitu Mar Roxas dan Grace Poe, kalau digabungkan sokongan kepada mereka, dijangka sudah mampu raih 45 peratus undi.

Lantaran itu, Aquino cuba mendesak Roxas dan Poe supaya bergabung serta berkempen sebagai Presiden dan Naib Presiden. Poe namun enggan menerimanya.

Jika mereka berdua berbuat demikian, dijangka mengatasi undi popular Duterte, dan hanya perlu memilih jawatan Presiden atau Naib Presiden sesama mereka.

KESIMPULANNYA

Rodrigo Rody Roa Duterte

Sebaik sahaja berita kemenangan Duterte tersebar, ia nampaknya disambut positif oleh pasaran saham dan kewangan Filipina. Saham-saham Filipina yang jatuh 5.2% antara 21 Mac hingga 6 Mei, menjulang 2.6%.

Ini lonjakan tertinggi dalam sehari dalam tempoh 15 minggu, bagi bursa Filipina. Nilai mata wang peso Filipina juga meningkat naik lebih tinggi berbanding dolar Amerika. Ia kenaikan tertinggi dalam sehari, sejak 17 Mac tahun ini.

Seorang pakar strategi pasaran kanan bagi Asia, dari National Australia Bank, Julian Wee memberitahu Dow Jones, reaksi positif pasaran antaranya disebabkan oleh nada berbaik-baik yang disuarakan Duterte.

Duterte antara lain memberi ‘isyarat’ bahawa beliau sebagai presiden ke-16 mungkin melantik golongan teknokrat dan anggota Kabinet yang pernah berkhidmat dalam pentadbiran bekas presiden Corazon Aquino dan Fidel Ramos.

Huluran tangan sebegini dipercayai melembutkan lagi imej beliau yang juga mesra disebut Digong sebagai ‘orang luar’ untuk diterima dalam arus perdana negara Asia tenggara tersebut sendiri. –Agensi/Mynewshub.cc/HAA

BACA INI JUGA: Adolf Hitler: Rahsia Besar Yang Disembunyikan

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon