Dec 5, 2015

Penyebar Fitnah Terulung Akhir Zaman Di Laman Sosial?

Fitnah ialah tuduhan, khabar, kisah dan lain-lain yang diada-adakan atau dibuat-buat untuk memburukkan atau membinasakan seseorang.

SoSIAL

Namun dalam era moden, manusia bukan sahaja menyebarkan fitnah menggunakan lisan, tetapi juga melalui kecanggihan teknologi seperti melalui telefon bimbit, e-mel, laman sosial dan bermacam-macam lagi.

Melalui internet sahaja, maruah seseorang itu boleh tercemar dan terjejas dengan begitu mudah sekali.

Contohnya melalui laman sosial dan dalam aplikasi telefon bimbit, di mana akhir-akhir ini seolah-olah sudah menjadi kebiasaan masyarakat untuk menyampaikan khabar-khabar yang belum tentu sahih kebenarannya.

Dan yang lebih buruk lagi khabar itu disebar-sebarkan dari tangan ke tangan yang hingga akhirnya menjadi buah mulut percakapan orang ramai.

Ini sedikit sebanyak akan menjejaskan maruah dan emosi orang yang difitnah sehingga boleh menyebabkan orang yang difitnah termasuklah keluarga mereka mendapat malu, merasa rendah diri, hilang keyakinan, kemurungan dan seterusnya tidak mustahil boleh menyebabkan orang yang difitnah itu bertindak di luar batasan seperti bunuh diri dan sebagainya.

Mungkin orang yang menyebarkan khabar seperti itu menganggap perbuatan mereka hanyalah untuk suka-suka sahaja dan sebagai salah satu bentuk hiburan di laman sosial.

Ketahuilah bahawa perbuatan sedemikian adalah termasuk juga sebagai fitnah yang akan diperhitungkan di hari kiamat.

Al-Iman Al-Ghazali menegaskan bahawa jika seseorang itu diceritakan kepadanya tentang sesuatu dengan maksud menyebar fitnah hasutan, maka hendaklah dia mengambil enam tindakan seperti berikut:

Pertama: Tidak membenarkan atau mempercayai apa yang disampaikan kepadanya, kerana orang yang menyebarkan fitnah itu adalah orang fasik, dan orang fasik itu berita yang dibawanya tidak dapat dipercayai.

Kedua: Melarang perbuatannya itu serta memberikannya nasihat dan menerangkan kepadanya bahawa perbuatannya itu adalah tidak baik.

Ketiga: Membencinya kerana Allah Subhanahu Wata’ala, sebab Allah Subhanahu Wata’ala amat membenci orang yang menyebarkan fitnah, dan membenci kerana Allah Subhanahu Wata’ala ketika itu adalah suatu kewajipan.

Keempat: Jangan sekali-kali berprasangka buruk tentang apa yang disampaikan itu, keranaAllah Subhanahu Wata’ala berfirman dalam Surah Al Hujuraat ayat 12:

Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah daripada kebanyakan daripada prasangka. Sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa…”

Kelima: Janganlah cerita yang disampaikan itu membuatkan kita terdorong untuk menyelidiki dan mencari-cari sama ada ianya benar atau sebaliknya, kerana Allah Subhanahu Wata’ala berfirman dalam Surah Al Hujuraat ayat 12:

Tafsirnya: “Dan janganlah kamu mengintip (mencari-cari kesalahan) orang.”

Keenam: Jangan merasa senang atau suka dengan perbuatan orang yang menyebarkan fitnah itu, dan seterusnya tidak menceritakan atau mencanang-canangkan lagi apa yang diceritakan kepadanya itu.

Diriwayatkan bahawa seorang lelaki datang kepada Umar bin Abdul Aziz Radiallahuanhuma, dia menceritakan sesuatu tentang seorang lelaki lain, lalu Umar bin Abdul Aziz berkata: “Jika kamu mahu diperiksa, kami akan memeriksa ceritamu itu. Jika ternyata kamu berdusta, kamu termasuklah salah seorang dari mereka yang disebutkan dalam ayat ini iaitu Surah Al Hujuraat ayat 6:

Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa suatu berita maka selidikilah kebenarannya.”

Jika kamu benar dalam menyampaikan cerita itu, kamu termasuk salah seorang dari mereka yang disebutkan dalam ayat ini iaitu Surah Al Qalam ayat 11:

Tafsirnya: “Yang suka mencaci lagi suka menyebarkan fitnah.”

Jika kamu meminta maaf, kami sedia memaafkan kamu. Lelaki itu pun berkata: “Wahai Amirul Mukminin! Aku tidak mengulangi pebuatanku ini selama-lamanya”.

Pada dasarnya memang sukar untuk kita mengelakkan diri daripada mendengar berita-berita atau cerita-cerita yang disampaikan oleh seseorang.

Namun apapun keadaannya kita perlulah berusaha mengelakkan diri dari pada terjerumus kepada hal-hal seperti itu antaranya ialah dengan memberi nasihat kepada orang tersebut agar cerita atau perbualan seumpamanya itu diberhentikan sahaja, dan kita juga hendaklah tidak menyebar-nyebarkan lagi khabar tersebut.

Peliharalah diri kita dari perbuatan fitnah kerana bahaya fitnah bukan sahaja menyebabkan kita mendapat dosa besar dan tidak masuk syurga, bahkan fitnah juga boleh membawa bencana kepada manusia seperti menjadi punca kepada timbulnya salah faham, pertengkaran dan perselisihan sehingga menyebabkan hubungan adik-beradik menjadi renggang, suami isteri bercerai, keluarga bermasalah, rakan bermusuhan, masyrakat kucar-kacir dan tidak mustahil juga boleh menyebabkan huru-hara di dalam sesebuah negara yang akhirnya membawa kepada pemberontakan dan peperangan.

Melihat kesan tersebut nyatalah betapa fitnah itu lebih kejam dari pembunuhan seperti mana firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam surah Al Baqarah ayat 191:

Tafsirnya: “…dan fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan.”

Memandangkan fitnah banyak membawa kepada keburukan dan bencana khususnya kepada masyarakat, marilah kita menanamkan sikap berhati-hati agar kita tidak terjebak dalam bencana fitnah.

Gunakanlah pertimbangan akal dengan baik dan wajar, kerana perbuatan fitnah itu boleh menyebabkan huru-hara, permusuhan dan perbalahan, bukan sahaja kepada keluarga, bahkan juga kepada masyarakat dan negara.

Sama-samalah kita berdoa semoga kita terpelihara daripada melakukan fitnah dan dengan demikian dapatlah kita mengamati kehidupan yang aman tenteram dan sentiasa mendapat petunjuk, hidayah serta rahmat daripada Allah Subhanahu Wata’ala. Amin Ya Rabbal’alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al Anfaal ayat 25:

Tafsirnya: “Dan peliharalah diri kamu daripada (berlakunya) fitnah (yang membawabala bencana) yang bukan sahaja akan menimpaorang-orang zalim di antara kamu secara khusus(tetapi akan menimpa kamu kesemuanya). Dan ketahuilah bahawa Allah sangat berat seksanya.”

BACA INI JUGA: 6 Aplikasi Hebat Setanding Whatsapp

Sumber: Pelitabrunei

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

2 comments

Mengatakan yang Alkitab itu telah diseleweng,bukan fitnah ke??!..dengan mengambil dari sumber yang tak sahih pula tu/=
Mengata dulang paku serpih mengata orang dia yang lebih!

Fitnah dah menjadi satu kebiasaan..

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon