Thursday, September 10, 2015

Muhyiddin Jamin Tidak Akan Jejaskan UMNO

Loading...

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan bahawa beliau tidak akan menjejaskan parti itu sekaligus menguatkan Umno bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Muhyiddin Yassin

Perkara tersebut diakui sendiri oleh ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sambil berkata mesyuarat parti itu hari ini sebulat suara untuk mengukuhkan parti dan merapatkan hubungan antara pimpinan Umno.

"Timbalan Presiden kata dia menyokong parti dan kepimpinan untuk kita hadapi pilihan raya.

"Dia tidak akan melakukan apa-apa yang menjejaskan parti, itu jaminan dia," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, di lobi Menara Datuk Onn, di sini, hari ini.

Beliau mengulas khabar angin mengatakan mesyuarat MT Umno hari ini akan memecat beberapa pemimpin tertinggi parti itu termasuk Muhyiddin dan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Selain Muhyiddin dan Mohd Shafie, turut tersenarai dalam khabar angin pemecatan itu ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir; bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan bekas Exco Perak, Datuk Hamidah Osman.

Dalam pada itu, Tajuddin juga berkata mesyuarat parti itu hari ini memberi peluang kepada semua ahli MT Umno untuk memberikan pandangan untuk mengukuhkan parti.

"Mana boleh (penyingkiran), kita sekarang sudah bersatu teguh, bercerai roboh. Kita memang sudah berbaik (dengan Muhyiddin) dari dulu lagi, dulu kini dan selamanya.

"Presiden kata kita nak merapatkan hubungan sesama kita, sebab kita ada perkara penting bagi hadapi pilihan raya akan datang, semuanya (mesyuarat) ok, tiada masalah (suasana) kami terbuka," ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi ahli MT Umno, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata tiada perbalahan yang berlaku khususnya dari "kem" Muhyiddin sendiri sepanjang mesyuarat parti itu, hari ini.

"Mesyuarat sangat bagus, perpaduan dan solidariti. Tiada perbalahan, tiada kem, hanya ada Umno saja, dan Umno sekarang kuat," katanya.

Seorang lagi ahli MT Umno dari Sabah, Datuk Bung Moktar Radin berkata, tiada sesuatu yang luar biasa sepanjang mesyuarat parti itu, hari ini.

"Buat pertama kali mesyuarat dihadiri oleh Timbalan Presiden yang tidak menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri.

"Kita boleh duduk sama, satu nada, satu suara membincangkan strategi parti untuk kemenangan Umno pada PRU14, walaupun kita punyai berbeza berpendirian," jelasnya.

Ditanya tentang kedudukan Muhyiddin dalam parti, beliau menegaskan bekas Timbalan Perdana Menteri itu akan kekal sebagai Timbalan Presiden Umno serta berperanan membantu memperkukuhkan parti.

"Amanat presiden saya lihat kita semua senang hati, mesyuarat terlampau baik, tiada yang tarik muka, mood sangat bagus," katanya lagi.

BACA INI JUGA: Sultan Tahu Putrajaya Bodohkan Rakyat!

Sinarharian.com.my

2 comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon