Aug 16, 2015

Belle Star, Penjenayah Wanita Paling Liar Dalam Sejarah Barat

Dikenali sebagai salah seorang wanita paling liar di Barat, ataupun seorang penjenayah yang sanggup melakukan apa saja untuk meraih keuntungan, itulah dia Belle Star ataupun dilahirkan sebagai Myra Belle Shirley di Misouri pada 8 Februari 1848.

Myra Belle Shirley
Bersama kuda kesayangannya, Venus, di Fort Smith tahun 1886.

Semasa zaman kanak-kanaknya, Myra belum lagi mencecah usia belasan tahunnya bila dia telah pun mula bercampur-gaul dengan golongan-golongan yang nakal dikawasan kejiranannya.

Dia kemudiannya menjalin persahabatan dengan beberapa orang lelaki di situ seperti lelaki yang bernama Frank dan juga Jesse James.

Selepas beberapa tahun kemudian, dia mula mempunyai hubungan dengan salah seorang ahli geng mereka iaitu Cole Younger dan telah mendapat anak hasil perhubungan tersebut. Dia pada masa yang sama telah menjadi ahli yang terkenal dalam komuniti jenayah.

Beralih daripada hubungannya dengan Cole, dia kemudiannya mengahwini seorang pencuri kuda bernama Jim Reed dan mempunyai seorang anak lelaki dengannya. Tidak lama kemudian, hidup dalam aktiviti jenayah akhirnya telah mengambil nyawa Jim apabila dia terbunuh dalam satu insiden tembak-menembak.

Belle kemudian berpindah ke Indian Territory dan kemudiannya berkahwin buat kali kedua, kali ini dengan seorang lelaki berbangsa Indian Cherokee yang bernama Sam Starr.

Pasangan penjenayah ini telah membentuk satu kumpulan geng dikalangan mereka sendiri dan daripada tempat persembunyian mereka di Sungai Kanada, mereka terus terjerumus ke dalam kehidupan yang bergelumang dengan dunia jenayah, mencuri kuda dan mengedarkan wiski di kalangan orang Indian.

Semua strategi yang bijak itu dan setiap gerak dan rancangan mereka yang diatur dengan teliti adalah hasil idea Belle yang pada masa itu telah dikenali sebagai Belle Starr.

Sam dan Belle mendapati kehidupan sebagai penjenayah sangat menyenangkan. Dia akan menggunakan wang yang ada padanya untuk merasuah dan membebaskan ahli-ahli gengnya yang ditahan atau ditangkap.

Jika kaedah itu gagal, dia akan menggunakan pula kelebihannya yang lain iaitu kecantikan untuk menggoda pihak berkuasa dan biasanya usahanya itu akan menghasilkan kejayaan bagi membebaskan ahli kumpulannya.

Rosa Lee (Pearl)
Anak perempuan Belle, Rosa Lee (Pearl).

Salah satu cubaan yang paling hampir untuk melumpuhkan geng Belle ialah yang berlaku di Fort Smith. Seorang majistret tempatan yang terkenal iaitu Hakim Isaac Parker yang turut dikenali dengan nama Hakim Gantung. Isaac sangat berkeinginan untuk meletakkan Belle kedalam penjara.

Beberapa kali juga timbalannya telah membawa Belle ke muka pengadilan atas pelbagai dakwaan seperti mencuri tapi dia biasanya akan dilepaskan juga akhirnya kerana kekurangan bukti untuk disabitkan dengan kesalahan.

Namun, pada musim luruh pada tahun 1882, Isaac sangat bertuah kerana dapat menangkap Belle ketika dia sedang cuba untuk mencuri kuda salah seorang jirannya. Dia akhirnya mendapat satu kes yang rasanya adalah kuat.

Setelah perbicaraan diadakan, dia menjatuhkan hukuman penjara selama 6 bulan sebanyak dua kali. Selepas 9 bulan menjalani hukuman, Belle bagaimanapun telah dibebaskan kerana berkelakuan baik.

Walaupun pernah dipenjarakan namun Belle masih lagi meneruskan kerja lamanya. Dia terus bergelumang semula dalam dunia mencuri dan sebagainya.

Pada 1886 dia sekali lagi menjadi janda apabila Sam dibunuh dalam sebuah parti. Belle yang kemudiannya bercinta dengan Blue Duck kemudian berhadapan dengan kemungkinan Blue Duck akan dihukum gantung atas kesalahan membunuh seorang petani tempatan.

Myra Belle Shirley
Belle dan Blue Duck, May 24, 1886.

Belle telah mengupah seorang peguam yang terbaik di daerah itu untuk membela nasib Blue dan kes tersebut dirayu sehingga ke Rumah Putih. Dan akhirnya Presiden Grover Cleveland menukarkan hukuman tersebut kepada penjara seumur hidup.

Pada tahun 1889, Belle akhirnya berkahwin kali ketiga dengan lelaki bernama Jim July. Namun perkahwinan ini adalah satu perkahwinan yang akan membawa malapetaka kepada Belle dan perkahwinan mereka juga seringkali dilanda masalah.

Dalam satu pergaduhan yang besar, Jim dilaporkan telah mengupah seseorang untuk membunuh isterinya dengan upah sebanyak 200 dolar. Bila tawaran itu ditolak oleh lelaki tersebut, Jim telah menjerit bahawa dia akan membunuh Belle dengan tangannya sendiri dan berkata dia akan menggunakan duit peninggalan Belle untuk minum wiski.

Beberapa hari kemudian, Belle telah mati ditembak melalui satu serangan hendap di sebuah kawasan jalan kampung. Pada ketika itu dia berusia 41 tahun.

Maka tamatlah riwayat hidup Myra Belle.

BACA INI JUGA: Perompak Lagenda, Ronnie Biggs, Meninggal Di Usia 84 Tahun!

-Sentiasapanas.com

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon