Wednesday, July 15, 2015

Sejak Itu Aku Koyakkan Sijil PAS Aku - Ustaz Saiful Islam


Bismillah. Saya bukan ahli politik. Pembabitan saya di dalam PAS banyak berkisar di daerah perkaderan. Saya memilih untuk berada di ruang perkaderan kerana saya suka dengan anak muda.

Ustaz Haarizal Abdul Jamil (Saiful Islam)

Bagi saya, untuk melihat perubahan, ia boleh dibuat di semua peringkat, tetapi mengusahakannya di peringkat anak muda adalah yang terbaik.

Namun usaha ini kena sabar sebab hasilnya perlu menunggu mungkin sekitar 5 ke 10 tahun. Saya memilih untuk berada di perkaderan supaya kedudukan saya di dalam PAS tidak terlalu bawah sehingga pendapat saya tidak berharga, dan tidak naik ke atas sehingga saya perlu berpolitik.

Saya tiada bakat politik, dan sentiasa mengelak daripada sampai ke daerah PAS sebagai parti politik. Namun itu tidak bermakna saya naif dengan politik.

Dalam urusan perkaderan, subjek paling berharga ialah (i) pemikiran (ii) karakter (iii) wacana bersifat futuristik

Ketika memegang jawatan kecil di dalam sebuah unit di bawah DPPP bermula daripada sekitar tahun 2005, agenda saya dan rakan-rakan ketika itu adalah menyuntik perubahan kepada pemikiran dan pendekatan dakwah PAS, khususnya di peringkat kampus.

Dari segi pemikiran, agenda ketika itu ialah menautkan kembali Sunnatullah dan Syariatullah. Ia akan menyentuh tentang sinergi antara sains dan agama, 'profesional' dan agamawan, kepentingan asbab dan ketinggian tawakkal dan doa, yang menjadikan siapa sahaja di dalam PAS sama penting kerana saling lengkap melengkapkan.

Wacana "Apa Erti Saya Menganut Islam" versi 'segar' digerakkan di seluruh negara, malah di luar negara juga.

Hasratnya, adalah supaya aktivis PAS mempunyai minda yang dinamik, boleh melakukan integrasi disiplin ilmu tanpa sebarang sumbatan kognitif disebabkan oleh 'sekularisme versi ambil sains tolak agama', mahu pun 'sekularisme versi ambil agama tolak sains'.

Pada masa itu juga, saya tekankan bahawa gerakan Islam mempunyai dua agenda.

Agenda pertamanya adalah untuk bertindak balas terhadap kehilangan kuasa politik pasca kejatuhan Dawlah Uthmaniyyah 1924. Manakala agenda keduanya pula adalah untuk bertindak belas terhadap Barat.

Mahasiswa dan mahasiswi yang mengikuti wacana saya di blog saifulislam.com ketika itu tentu tidak lupa, bagaimana banyaknya saya tekankan, pentingnya bagi amilin gerakan Islam belajar tentang sejarah Eropah Moden, agar mereka menguasai latar belakang kepada ideologi dan sistem semasa, yang akar umbinya adalah di dalam sejarah era tersebut.

Tetapi pada masa itu, saya dan tim di dalam unit berkenaan perlu banyak bersabar sebab mahasiswa mahasiswi pro PAS ramai yang lemah dari segi pembacaan, malas dan banyak beralasan, tidak kurang yang lemah akademik dan karenah-karenah itu banyak yang mengesahkan dakwaan Fathi Aris Omar dalam wacana Di Bawah Mendung Usrah, bahawa usrah adalah agenda pembodohan.

Memang ia berlaku, sebab yang datang usrah malas baca buku, malas berfikir, namun berkeinginan tinggi untuk bercakap benda-benda besar. Semua itu tidak kami nafikan, tetapi kami mengambilnya sebagai tugas untuk membetulkan keadaan.

Agenda memperbaiki PAS dan membawa gelombang pemikiran baru di kalangan anak muda berjalan lancar. Kemuncaknya ialah apabila Ustaz Nasruddin Tantawi dan Ustaz Nik Abduh menjemput saya dan beberapa rakan untuk hadir ke sebuah mesyuarat dengan agenda menyemak Tarbiah, tetapi pada masa yang sama, mengusulkan pembentukan Ulama Pelapis PAS!

Jika tidak silap saya, mesyuarat itu adalah sekitar Disember 2007. Wah, ini sudah luar biasa. Saya hanya berharap agar anak muda yang berubah. Tetapi jika ulama pun mahu berubah, ia seperti pucuk dicita ulam mendatang.

Tetapi perubahannya terjadi bermula pada sekitar tahun 2008. Kepulangan ustaz-ustaz muda dari luar negara, membawa idea yang berbeza.

Saya mengambil beban kesalahan kerana pada sekitar tahun itu saya amat sibuk dengan kerja, dan dengan rela hati mengundurkan dari daripada unit yang didiami selama ini. Laluan diberikan kepada ustaz-ustaz muda ini tanpa sebarang prasangka.

Akan tetapi sedikit demi sedikit, saya semakin tidak berkenan dengan wacana yang dibawa. Kupasan saya tentang konsep Kepimpinan Ulama dibalas dengan sanggahan yang membimbangkan. Tidak mengapa jika pandangan saya tidak ditanggap dengan tepat lalu saya dituduh cuba menyamakan ulama Islam dengan paderi gereja zaman gelap Eropah.

Tetapi yang lebih saya khuatirkan ialah apabila logik yang dibawa untuk mempertahankan Kepimpinan Ulama ketika itu ialah, "jika ulama memimpin, ulama merujuk kepada Allah dan Rasul, dan kepimpinannya Allah bantu. Tetapi jika profesional memimpin, mereka hanya menggunakan logik akal. Justeru kamu mahu kepimpinan yang bagaimana?"

Soalan ini sangat berbahaya.

Saya bertengkar dengan rakan-rakan profesional kerana mereka 'buy' idea ini. Saya dukacita sebab graduan-graduan UK yang pro PAS, mereka ini di kaca mata negara adalah aset. Tetapi apabila mereka berada di dalam PAS, mereka berada di kedudukan yang mensesiakan kepintaran dan profesionalisme masing.

Pada masa itu, di dalam pertengkaran saya dengan golongan profesional ini, saya yang sedang marah menyebut, "jika dahulu, ana rasa masalah dalam PAS ini adalah ustaz-ustaz yang jumud. Tetapi sekarang ini ana tambah di hujungnya bahawa masalah dalam PAS ialah ustaz-ustaz jumud yang dilindungi oleh para profesional yang bengap!"

Kenyataan saya ini dibalas oleh S/U MSU bahawa bai'ah saya terbatal sebab saya menyanggah keputusan syura. Saya berkeras bahawa bai'ah saya bukan dengan 'ustaz', tetapi dengan Allah dan Rasul.

Saya mewacanakan idea Kepimpinan Ulama bukan kerana saya ada apa-apa kepentingan tentang siapa yang nak memimpin PAS. Saya tiada masalah dengan siapa nak jadi pemimpin. Sejak awal pembabitan saya dengan PAS, saya sentiasa jauh daripada hal ehwal kepimpinan di atas, apatah lagi untuk berpihak kepada mana-mana kem, di zaman yang ada kem-kem tertentu.

Tetapi saya menyanggah idea Kepimpinan Ulama ini sebab ia merosakkan kognitif anak muda melalui wacana yang pelik. Semenjak 2008 ke 2010, saya sudah sangat khuatir kerana di peringkat perkaderan, yang dominan adalah pembulian pemikiran, dengan jargon-jargon wala, bai'ah, tsiqah tidak tsiqah.

Apabila saya hadir ke kampus-kampus untuk berceramah tentang cinta, selepas habis program, ada ahli Jemaah Islam Kampus meminta bertemu dengan saya di tengah malam untuk meluahkan rasa bimbang dan sedih mereka tentang pembulian fikrah, label melabel, dan penyenaraian hitam ustaz yang berfikrah seperti saya.

Saya hanya mengangguk, memberi semangat, namun menyalahkan mahasiswa itu sendiri. Sebabnya, di zaman saya, kalau ada ustaz ceramah merepek, kami akan tanya, bantah, tegur, dan sesekali melawan.

Tetapi kalian hanya mengeluh di belakang. Maka saya hulurkan rasa faham, tetapi saya tidak simpati. Jika kalian nampak masalah ini, kalian wajib menyuarakannya. Sok sek di belakang, ia tidak ke mana.

Bagi sahabat-sahabat yang akrab, mereka tahu yang saya sudah pun hilang kepercayaan tentang keupayaan PAS untuk berubah, seawal 2008. Biar pun ketika itu politik PAS berada di tahap yang amat memberangsangkan, namun di peringkat perkaderan ia penuh kebimbangan.

Desakan demi desakan yang diajukan kepada pimpinan Pusat bahawa mahasiswa mahasiswi pro PAS ada banyak masalah tidak diendahkan mereka. Apa yang penting bagi pimpinan ketika itu ialah meminta laporan setakat mana mahasiswa pro PAS atau tidak. Apabila masalah di kalangan mahasiswa dan mahasiswi ini dibiarkan, saya menjangkakan masa depan PAS akan ada banyak masalah.

Menuju usia 40, saya tidak mahu hidup saya dibelenggu konflik dan masalah. Biar pun sudah tiada apa-apa jawatan di dalam PAS, saya tidaklah pula mengisi hari dengan aktiviti jahiliah atau tak tahu nak buat apa.

Malah kehidupan selepas tiada jawatan di dalam PAS adalah lebih sibuk. Sesekali ada kawan menjenguk ke rumah, bertanya khabar. Semuanya saya raikan.

Namun di hujung pertemuan, mereka akur bahawa saya sudah hilang keyakinan terhadap keupayaan PAS untuk berubah. Politik itu seperti buih. Ia boleh ditiup menjadi besar dan cantik. Tetapi perkaderan itu 'real'. Jika perkaderan sudah dimakan anai-anai, rumah yang teguh menunggu rebah.

Kemuncaknya, apabila Muktamar PAS 2014 berlangsung di Johor, saya sudah membulatkan hati. Sepanjang muktamar, dunia menyaksikan sebuah parti Islam bersorak sorai, boo, label melabel, dari atas hingga ke bawah, dan doa dipakai untuk menyindir sesama ahli. PAS sudah tidak lagi komited dengan identiti Islam.

Pada tahun itu, saya koyak sijil keahlian PAS seumur hidup saya dan saya hanya simpan cebisan bertulis Bismillah, ayat 7 Surah Muhammad dan tandatangan al-Marhum Ustaz Fadzil Noor kerana itu sahaja yang bagi saya masih berharga untuk disimpan, dan dikenang dalam kesedihan.

Gerakan Harapan Baru

Saya menyokong penubuhan Gerakan Harapan Baru, bukan kerana saya mahu menjadi aktivisnya. Saya hanya berharap agar dengan adanya parti baru itu, pimpinan-pimpinan yang tersingkir itu tidak membuang masa bertikam lidah, duduk dalam dilema, dan mensesiakan ilmu, pengalaman dan bakat kepimpinan mereka.

Mereka tersingkir bukan atas kapasiti individu. Sebaliknya mereka tersingkir hasil strategi terancang, bukan sekadar di peringkat mesyuarat bahagian memilih perwakilan, tetapi lama sebelumnya melalui aktiviti melabel, memburuk-burukkan, menyenarai hitam, di luar bayangan saya ia boleh berlaku kepada sebuah gerakan Islam.

Mengundurkan diri daripada PAS terjadi dalam keadaan yang sangat perit dan melukakan hati sendiri. Biar pun netizens secara semberono melabel jebon, ular daun, penjilat DAP, dan terkini Dr. Zuhdi menuduh golongan 'progresif' ini mahu membawa Islam Amerika yang direstui oleh Sister in Islam, Lawyer for Liberty, Comango, pendukung LGBT dan DAP, semua itu jika ditimbang dengan neraca dunia, ia bagai tanah yang menambus jasad di dalam kubur. Sempit dada dibuat.

Tetapi dengan mengembalikan semuanya kepada Allah dan Rasul SAW, iman kepada Akhirat dan pautan kepada rahmat-Nya, saya yakin, Gerakan Harapan Baru itu biar pun akan bermula dengan seribu satu keperitan, Allah tidak akan mensesiakan keikhlasan hati untuk membantu agama-Nya.

Sudah lama suara Islam berhenti daripada bercakap tentang masalah masyarakat Malaysia, susah payah mereka, dan sibuk dengan politik rumahtangga.

Yang kekal dalam PAS teruskan beramal, kerana kelompok bermasalah sudah tersingkir. Yang memilih untuk bersama GHB, berhati-hati mengatur langkah. Fokus kepada kerja, jauhi perangkap sengketa.

وقل اعملوا فسيرى الله عملكم ورسوله والمؤمنون وستردون إلى عالم الغيب والشهادة فينبئكم بما كنتم تعملون

Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan". [al-Tawbah 9: 105]

Dalam hening malam-malam akhir Ramadan ini, semoga Allah ampunkan kekurangan saya, membantu saya untuk melihat yang benar itu sebagai benar, dan direzekikan untuk menurutinya.

Tiada yang kupinta, melainkan kaki kekal melangkah di sirat mustaqim, menagih husn al-khatimah, diredhai Allah dan didamaikan di Syurga bersama Anbiya', Siddiqin, Syuhada' dan Solihin.

-Ustaz Haarizal Abdul Jamil (Saiful Islam)

BACA INI JUGA: Video IS Penggal Tawanan Dilakonkan Amerika Terbongkar!

Sumber: Greenboc

1 comment

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon