May 30, 2015

Panduan Mengelak Sembelit Pada Kanak-kanak

Masalah sembelit dalam kalangan bayi dan kanak-kanak sering dipandang ringan oleh sesetengah ibu bapa.

sembelit kanak-kanak

Mereka beranggapan keadaan itu biasa berlaku ketika proses tumbesaran anak-anak, terutama pada bayi berusia enam bulan ke atas kerana makanan pejal mula diperkenalkan.

Namun, masalah sembelit yang pada asasnya tidak memberi kesan besar pada tumbesaran kanak-kanak, ada kalanya boleh membawa kepada keadaan yang lebih kronik.

Lazimnya, kanak-kanak yang masih menyusu badan jarang mengalami masalah sembelit. Mereka akan membuang air besar beberapa kali dalam sehari dengan konsistensi najisnya lembut atau cair, walaupun ada kalanya bayi tersebut dilihat meneran dan mengeluarkan dengusan.

Bagi kanak-kanak yang diberikan susu formula pula, mereka akan membuang air besar sekali sehari atau sekali dalam tiga hingga empat hari.Kedua-dua keadaan itu adalah normal dan bukanlah tanda-tanda sembelit jika najis mereka tidak keras atau berketul-ketul.

Sembelit berlaku apabila najis di bahagian bawah usus ditekan otot dan akan melambatkan pengeluaran najis. Semakin lama najis itu tidak dikeluarkan, najis itu menjadi keras dan kering sehingga akhirnya kanak-kanak akan berasa sakit untuk membuang air besar.

Lazimnya, bayi boleh sembelit pada usia enam bulan iaitu pada tempoh pengenalan makanan pejal kepada mereka. Jika salah pemilihan makanan, mereka mudah mengalami sembelit.

Pun begitu, menurut Pakar Perunding Pediatrik Hospital KPJ Kajang, Dr. Nor Mahani Harun, kanak-kanak yang sembelit perlu dipastikan keadaan itu berlaku bukan disebabkan sembelit ketika lahir yang berpunca daripada kekurangan ganglion (sel) pada usus yang berpunca daripada beberapa penyakit, antaranya hirschsprung.

“Biasanya selepas kelahiran, bayi tersebut akan dipastikan dapat membuang air kecil dan besar dalam tempoh 24 jam, jika tidak mereka tidak dibenarkan pulang kerana bayi mungkin menghidap penyakit lain yang berbahaya kepada mereka,” katanya.

Masalah sembelit mudah berlaku kepada kanak-kanak disebabkan kekurangan serat dan kandungan air di dalam badan.

Keadaan itu boleh terjadi ketika proses pengenalan makanan pejal kepada mereka yang mana air kurang diberikan sebagai tambahan kepada susu.

Jelas Dr. Nor Mahani, ibu bapa perlu tahu bahawa proses awal pengenalan makanan pejal kepada bayi amat penting kerana pada waktu itu bayi perlu didedahkan dengan pelbagai kategori makanan mengikut piramid makanan.

“Ini kerana, pemberian jumlah makanan mengikut saranan piramid makanan membantu kanak-kanak mendapatkan khasiat yang cukup.

“Apabila air tidak cukup, makanan yang diambil adalah pejal dan menyebabkan apabila sampai ke usus, air menjadi kurang. Badan bertindak menyimpan air, jadi akan menarik air pada bahagian bahan buangan, sebab itu najis akan menjadi semakin keras.

“Masalahnya, apabila najis keras bayi akan berasa sakit untuk membuang najis.Apabila itu berlaku, bayi akan tahan untuk tidak membuang najis sehingga beberapa hari kerana mereka tahu jika berbuat demikian akan berasa sakit dan ini mengundang masalah lain,” ujar beliau.

Antara komplikasi sembelit adalah menyebabkan bayi atau kanak-kanak kurang selera makan, sakit kepala serta boleh menyebabkan jangkitan pada pundi kencing.

Ini boleh berlaku kerana apabila kanak-kanak mula berasa sakit untuk membuang air besar, mereka enggan makan kerana apabila makan mereka akan membuang air besar sekali gus akan berasa sakit.

“Selain menyebabkan kanak-kanak fobia untuk membuang air besar, mereka juga akan hilang selera makan kerana perut dirasakan seperti sudah penuh.

“Masalah sembelit yang berlaku terlalu lama juga menyebabkan najis akan bertakung dalam badan dan apa yang berlaku kencing akan menjadi tidak lawas dan memudahkan jangkitan kuman kepada pundi kencing pula.

“Lazimnya, kanak-kanak berusia tiga tahun ke atas pula akan mengadu sakit kepala jika mengalami masalah sembelit. Justeru, ibu bapa perlu peka jika kanak-kanak mengadu tentang masalah mereka,” katanya.

Pemberian karbohidrat seperti nasi dan roti merupakan antara makanan yang mudah menyebabkan sembelit.

Namun, ibu bapa tidak perlu bimbang kerana penyediaan makanan secara sihat dapat mengelakkan sembelit misalnya, melengkapkan sajian karbohidrat dengan hidangan buah-buahan, sayur-sayuran serta air yang banyak.

Dalam pemberian makanan pejal kepada bayi berusia enam bulan, ibu bapa perlu membuat pengubahsuaian terhadap makanan agar sesuai dengan mereka.

Perkara itu dapat dipastikan dengan melihat keadaan najis bayi mereka dalam tempoh beberapa hari selepas makanan diperkenalkan.

“Lihat najis mereka, jika bayi tidak membuang air besar dua hingga empat hari, cuba lebihkan air atau buah dalam sajian mereka dan biasanya perubahan dapat dilihat selepas beberapa hari kemudian.

“Bagi kanak-kanak pula, apabila mereka sudah mula berjalan dan berlari, berilah air dengan lebih banyak kerana jumlah keperluan air pada usia adalah berbeza mengikut keadaan mereka,” ujar beliau.

Sembelit tidak ada rawatan yang khusus, namun kanak-kanak yang sembelit dinasihatkan mengambil jumlah air dan serat yang tinggi seperti mengambil buah jambu, epal dan betik serta sayuran hijau.

Bagi rawatan segera, kanak-kanak sembelit akan diberikan ubat untuk memudahkan mereka membuang najis selain ubat tahan sakit bagi mengelakkan mereka berasa sakit di bahagian tempat keluar najis.

Rawatan tradisional pula, lazimnya ibu bapa boleh menyuruh anak-anak bermain dalam air suam supaya bahagian punggung mereka kurang rasa sakit di samping boleh melakukan urutan di bahagian kaki dan perut untuk membuang angin dan membantu untuk melancarkan proses membuang air.

“Kita juga menggalakkan pemberian kapsul probiotik untuk membantu penghadaman di bahagian usus kanak-kanak selain kelancaran untuk membuang air besar.

“Pemberian buah-buahan serta sayuran hijau juga bagus untuk pemakanan kanak-kanak. Ibu bapa perlu kreatif untuk membolehkan kanak-kanak makan sayur dan buah secukupnya dalam hidangan harian,” katanya.

BACA INI JUGA: Khasiat Buah Betik Yang Anda Perlu Tahu

Sumber: Utusan.com.my

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

1 comments so far

Kesian klu tengok budak2 kena sembelit ni.. bagus panduan mcm ni. Thanks sharing SP

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon