Mar 7, 2015

Asal Usul Kuih Popia

Pada November 2007, segelintir masyarakat di Indonesia telah menuduh Malaysia mengambil tarian barongan yang dikatakan berasal dari Indonesia dan menjadikannya sebagai tarian tempatan.

Kuih-popia-goreng

Tuduhan itu telah menyebabkan satu siri tunjuk perasaan diadakan di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

Malaysia bagaimanapun menegaskan tidak pernah mendakwa tarian itu sebagai tarian tempatan biarpun ia wujud dalam kalangan masyarakat Jawa yang menetap di Johor dan Selangor.

Terbaru, sekumpulan aktivis dari Indonesia telah mengadakan demonstrasi di lokasi sama bagi menuntut kerajaan Malaysia supaya tidak menjadikan kuih popia sebagai makanan warisan negara ini.

Tuntutan itu dibuat oleh aktivis yang dikenali sebagai Forum Masyarakat Peduli Budaya Indonesia (Formasbudi) selepas mendakwa popia atau dikenali sebagai lunpia merupakan makanan khusus dari Semarang, Jawa Tengah.

Penyelarasnya, Rahmulyo Adiwibowo berkata, Formasbudi mengambil langkah tersebut supaya popia Semarang tidak didakwa sebagai milik negara Malaysia.

"Kerajaan Indonesia perlu mengambil langkah awal agar popia tidak diambil Malaysia, caranya adalah dengan menetapkan ia (popia) sebagai warisan budaya nasional.

"Jangan sampai popia menerima nasib seperti produk kebudayaan lain termasuk batik, rendang dan lagu Rasa Sayang. Pemerintah perlu mengambil langkah pencegahan," katanya yang dipetik menerusi portal berita Indonesia, Skalanews.com baru-baru ini.

Tambahnya pada 17 Oktober 2014, Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia telah menetapkan lunpia Semarang sebagai warisan budaya nasional.

Sehubungan itu, dia memberitahu, Pejabat Kebudayaan dan Pariwisata Provinsi Jawa Tengah akan menyampaikan usul kepada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) agar Lunpia Semarang diiktiraf sebagai warisan budaya dunia yang berasal dari Indonesia.

Dalam pada itu, Rahmulyo mendakwa, lunpia diasaskan oleh Tjoa Thay Joe, seorang lelaki keturunan Cina yang menetap di Semarang yang kemudiannya telah bernikah dengan seorang wanita tempatan bernama Mbok Wasi pada tahun 1870.

Sementara itu, cef selebriti terkemuka, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali Cef Wan berkata, tidak ada mana-mana negara yang boleh mendakwa popia sebagai makanan eksklusif mereka kerana kuih itu terdapat di seluruh dunia.

Pelbagai versi

Katanya, China adalah negara yang paling layak mendakwa kuih itu berasal dari negara mereka kerana pembuatan popia atau spring roll sudah wujud sejak beratus tahun lamanya dari negara mereka.

"Begitu juga dengan Filipina, Poland, Thailand dan Vietnam, kesemua negara ini ada versi popia mereka yang tersendiri termasuk di Mexico yang lebih dikenali dengan nama Chimicanga," jelasnya yang dipetik menerusi Instagramnya.

Tambah beliau, mereka yang membuat tuntutan tersebut tidak pernah keluar dari negara sendiri untuk melihat popia yang disediakan melalui pelbagai versi di seluruh pelosok dunia.

Seorang lagi cef selebriti, Datuk Ismail Ahmad atau Cef Ismail berkata, tuntutan segelintir masyarakat Indonesia yang mendakwa popia berasal dari negara mereka adalah tidak masuk akal kerana setiap popia dihidangkan dengan cara berbeza mengikut negara, masyarakat dan budaya.

"Mengapa hanya Malaysia dijadikan sasaran aktivis berkenaan sedangkan berdasarkan bentuk, isi dan cara membuatnya sudah menunjukkan popia Malaysia amat berlainan dengan lunpia Semarang.

"Jadi tidak adil untuk mengaitkan popia hanya milik Indonesia lebih-lebih lagi China dan beberapa negara lain turut memiliki kuih tersebut," katanya.

Persamaan budaya

Sebelum ini, kuih popia telah diwartakan sebagai makanan warisan negara menerusi Akta Warisan 2005 bersama pelbagai makanan lain seperti nasi dagang, teh tarik serta roti canai.

Sementara itu, Ketua Dewan Perwakilan Indonesia, Irman Gusman berkata, demonstrasi yang diadakan di Jakarta itu dibuat sekadar ingin memperkenalkan kuih lumpia Semarang sebagai makanan warisan republik berkenaan.

"Isu popia ini bagai masalah adik-beradik yang melibatkan hal-hal kecil sahaja dan langsung tidak memberi masalah kerana selepas itu kita akan berbaik semula.

"Ia tidak harus diperbesarkan kerana tidak akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara ini," ujarnya.

Tambahnya, Indonesia dan Malaysia mempunyai hubungan kebudayaan yang rapat, jadi sudah tentu terdapat persamaan dalam beberapa perkara.

Resepi Kuih Popia

Bahan-bahan:
  • 300 gram udang kering
  • bawah merah (ikut suka) ditumbuk
  • serbuk cili kering (ikut suka)
  • air asam jawa (ikut suka)
  • sedikit minyak untuk menumis
  • garam, gula & serbuk perasa (secukup rasa)
  • resipi ni perlu guna gula lebih sedikit
  • Kulit popia

Cara-cara:

1) Rendam sebentar udang kering. Cuci dan toskan. Selepas itu dikisar halus.

2)Tumis bawang sehingga naik bau. Kemudian masukkan udang kering yang telah dikisar. Gaul.

3) Masukkan air asam jawa, garam, gula dan serbuk perasa. Gaul hingga udang agak kering.

4) Bila dah kering, tutup api dan sejukkan sebentar. Kemudian kisar lagi supaya udang tidak berketul-ketul.

5) Cara membungkus popia: Kulit popia dipotong segi 4 dan bungkus macam popia biasa. Atas potong segi empat panjang, isi udang ditengah dan gulung. Kemudian temukan kedua-dua hujungnya dan simpul sekali (macam simpul tali kasut).

6) Goreng guna minyak yang banyak. Kalau bungkus cara popia biasa, masa menggoreng api kena perlahan. Kalau tak popia akan liat di bahagian dalam. Kalau jenis yang 1 lagi tu, api sederhana tapi kena jaga-jaga sebab mudah hangus.

Tips: Tutup kulit popia yang belum dibungkus dengan kain untuk elakkan kulit popia jadi keras.

Tenangkan hati dengan memakan kuih popia yang sedap. Selamat mencuba..;)

BACA INI JUGA: Kaedah Dan Pemakanan Untuk Kecerdasan Minda

Sumber: Kosmo.com.my

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

5 comments

kalo di daerah saya itu namanya lumpia hehe

ohh rupanya banyak negara memilki popia, nanti nak try semuanya haha

dari ciplak menciplak popia sampai resepi popia sp tnjukkan..haha

Bingung dengan diorang ni jadi SP kongsikan sekali resepi popia..haha

Hal mcm ni pun jadi isu.. lepas ni negara cina pulak claim char kuey teow.. india pulak claim roti canai huhu... makanan je apa ada hal.. sama2 makan je lah.. :D

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon