Feb 16, 2015

AWAS! Bisa Semut Selangor Membawa Maut!

Cuaca cerah pada pagi itu menandakan rancangan Abdul Wahab Mydin, 44, untuk menemani sepupunya membaiki kereta di sebuah bengkel yang terletak di Lorong Kulit berhampiran Hospital Pulau Pinang dapat diteruskan.

Semut Selangor

Sementara menunggu kereta dibaiki, dia mengambil angin dengan bersantai di sebatang pokok berhampiran bengkel tersebut sambil memerhatikan gelagat mekanik yang sedang khusyuk membaiki kereta milik sepupunya.

Bagaimanapun, tindakannya berehat di pokok tersebut menjadi titik hitam buatnya apabila dia digigit seekor semut daripada spesies Tetraponera rufonigra atau lebih dikenali sebagai Semut Selangor.

Ketika kejadian yang berlaku pada April 2014 itu, menurut Abdul Wahab, dia sedang duduk di bawah sebatang pokok berhampiran bengkel tersebut dan secara tiba-tiba terasa ada seekor serangga menggigit di bawah pelipat belakang lututnya.

“Oleh kerana saya memakai seluar jean ketika itu, jadi saya hanya dapat menepuk serangga tersebut tanpa mengetahui apakah yang menggigit saya.

“Selepas pulang ke rumah, saya mendapati, serangga yang terlekat pada bahagian seluar itu adalah Semut Selangor selepas mengenal pasti ciri-ciri serangga itu yang berwarna merah di bahagian depan badannya dan hitam pada bahagian belakang.

“Sebelum ini, saya pernah terdengar kes mangsa digigit Semut Selangor di sekitar Pulau Pinang dan disebabkan itu, saya dapat mengecam serangga tersebut,” ujar bapa kepada 10 orang anak itu.

Diratah

Semut Selangor [2]
Rosliza menyapu ubat pada kaki suaminya.

Tambahnya, dia menyapu minyak buah pala selepas mendapati kawasan di bahagian belakang pelipat lututnya menjadi gatal dan kemerah-merahan.

“Namun, setelah dua minggu, kegatalan dan kemerah-merahan itu masih belum pulih, malah menjadi semakin teruk pula,” jelasnya yang terpaksa berhenti kerja dalam bidang perhotelan kerana kaki kirinya tidak dapat berfungsi dengan sempurna selain pergerakannya kini terbatas apabila terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

Menurut isterinya, Rosliza Ramli, 43, dalam tempoh dua minggu sahaja isi pada bahagian paha dan betis suaminya itu melepuh seperti ‘diratah’ dan melihat keadaan yang semakin parah, mereka terpaksa menelefon ambulans untuk mengambil Abdul Wahab di rumah disebabkan dia sudah tidak mampu untuk berjalan.

Jelas Rosliza, bisa daripada gigitan semut itu sudah merebak masuk ke dalam isi menyebabkan kaki suaminya itu menjadi hitam dengan kesemua kulit dan isi menjadi mati.

“Kaki suami berlubang sehingga boleh nampak tulang, malah dia juga tidak boleh berjalan dan hampir tiga bulan terlantar di hospital.

“Keadaan itu menjadi semakin teruk kerana suami juga menghidap penyakit kencing manis,” jelasnya sambil memberitahu, dalam tempoh setahun, suaminya itu sudah enam kali melakukan pembedahan pada bahagian kaki.

Pengarah Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof. Datuk Dr. Raymond Azman Ali berkata, sebenarnya gigitan semut spesies Tetraponera rufonigra tidak membawa ancaman kepada manusia yang mengamalkan gaya hidup sihat.

“Bisa semut itu tidak akan mengancam nyawa manusia jika kita berada dalam keadaan sihat, cergas dan tiada sebarang penyakit tetapi jika ia menyerang manusia yang mempunyai masalah kesihatan, sudah tentu sengatan itu akan menjadi teruk sehingga boleh menyebabkan mangsa lumpuh,” katanya.

Penyakit kronik

Jelas Raymond, jika jangkitan bisa itu masuk ke dalam tubuh mangsa ia akan menjadi bakteria yang boleh menyerang antibodi badan.

“Apabila terkena gigitan semut, jangan garu tetapi segera mendapatkan ubat serta melakukan rawatan awal. Apa yang penting, kita kena jaga kesihatan kerana jika badan tidak mempunyai sebarang masalah, potensi untuk bisa itu merebak akan berkurangan,” ujarnya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Parasitologi dan Entomologi Perubatan PPUKM, Dr. Aishah Hani Azil berkata, Tetraponera rufonigra atau Semut Selangor merupakan serangga yang tidak berbahaya tetapi bagi sesetengah orang yang mempunyai masalah alergi atau penyakit kronik seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung, gigitan haiwan itu boleh memudaratkan sehingga membawa maut.

“Gigitan semut ini boleh menyebabkan dua kemungkinan manifestasi klinikal pada manusia sama ada simptom setempat (lokalisasi) ataupun simptom menyeluruh (sistemik).

“Simptom setempat adalah sama seperti gigitan serangga berbisa yang lain seperti beng­kak, sakit dan radang pada ba­hagian yang terkena gigitan tetapi selalunya, simptom ini akan hilang selepas beberapa hari,” ujarnya.

Katanya, simptom menyeluruh pula boleh berlaku sekiranya mangsa gigitan itu mempunyai sejarah penyakit kronik dan alergi. Antara simptom yang akan dialami mangsa ialah seperti muntah, cirit-birit dan sesak nafas.

Rawatan ais

Semut Selangor [3]
Kesan gigitan semut selangor.

Jelas Aishah Hani, biasanya kesemua simptom itu akan bermula kurang daripada 24 jam selepas digigit semut tersebut.

“Simptom sistemik ini juga boleh menyebabkan kejutan anafilaksis yang boleh menyebabkan kematian. Misalnya, jika mangsa merupakan pesakit kencing manis, luka gigitan semut ini boleh melarat dan menyebabkan ulser yang berbahaya jika tidak dirawat segera.

“Semut Selangor mempunyai dua cara untuk menyerang mangsa iaitu melalui sengatan yang berpunca daripada bahagian belakang badannya dan gigitan yang berpunca daripada bahagian kepalanya.

“Sebagai langkah awal, mangsa perlu membuang semut atau mana-mana bahagian serangga itu terlebih dulu sekiranya terkena gigitan supaya penyengat yang mengandungi bisa tidak terus melekat pada kulit,” ujarnya sambil memberitahu, mangsa juga digalakkan menggunakan pelapik ketika membuang semut kerana dikhuatiri bisa itu akan terkena pada jari.

Tambahnya, selepas itu pesakit boleh mencuci luka menggunakan cecair antiseptik dan meletakkan pek ais pada kawasan terkena gigitan semut untuk meredakan inflamasi selain pergi ke farmasi untuk mendapatkan krim sapu atau ubat alergi antihistamine jika kegatalan dan kemerah-merahan itu masih tidak reda.

“Pesakit mesti mendapatkan rawatan doktor dengan segera jika mula mengalami simptom seperti muntah, berasa pening atau sesak nafas selepas digigit,” ujarnya.

Aishah Hani memberitahu, Semut Selangor hidup dalam koloni yang aktif pada waktu siang dan kurang aktif pada waktu malam.

“Kebarangkalian untuk semut ini bertemu dengan manusia lebih tinggi kerana ia mencari makan pada waktu siang sama seperti kegiatan harian manusia, manakala waktu malam ia lebih banyak menghabiskan waktu di sarangnya.

“Sarangnya pula boleh didapati dalam pokok-pokok besar atau tunggul kayu. Lazimnya, semut ini tidak akan menyerang manusia kecuali apabila ia berasa terancam,” katanya.

BACA INI JUGA: Misteri! Seekor Semut Tahu Apabila Ajalnya Akan Tiba

Sumber: Kosmo.com.my

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

3 comments

Ngeri pula melihat kesannya... Tapi jika tiada penyakit dan sihat mungkin kesan sengatnya tidak menjadi sedemikian.

Saya rasa beliau tidak mempunyai ketahanan antibodi yg kukuh ...tapi semua itu ad lah asbab kpd satu cerita perjalanan...

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon