Saturday, October 18, 2014

Logbar Ring, Cincin Ajaib Teknologi Moden!


Jika Harry Potter memiliki tongkat sakti untuk menghasilkan kuasa ajaib, jangan terkejut kerana ada teknologi terkini yang mampu menghasilkan cincin magis.

Logbar Ring

Fungsinya seakan-akan sama iaitu melakukan sesuatu kerja tanpa menyentuh objek. Menarik kan?

Dikenali sebagai 'Logbar Ring', cincin ini dikatakan mempunyai kuasa yang luar biasa. Bayangkan rutin harian seperti menghantar mesej boleh dilakukan tanpa menekan sebarang huruf pada telefon bimbit anda.

Tidak cukup dengan itu, alat elektronik lain juga dapat dikawal menggunakan teknologi canggih ini.

Satu perkara yang sangat menarik dan luar biasa selain daripada menjimatkan masa. Tetapi, bagaimana cincin magis ini berfungsi?

Bluetooth merupakan antara teknologi canggih yang diguna pakai dalam ciptaan elektronik ini. Selain itu, sistem yang telah direkodkan ke dalam cincin magis melncarkan lagi komunikasi alat tersebut.

Melalui teknologi bluetooth yang popular pada masa kini, ditambah dengan idea dan kebijaksanaan pengatur cara (programmer) yang luar biasa, apa sahaja produk dapat dihubungkan antara satu sama lain.

Dalam ciptaan baru yang luar biasa ini, terdapat dua cara untuk menghubungkan cincin dan alat elektronik lain. Sama ada berhubung secara terus atau secara berpasangan. Sekiranya alat tersebut sesuai dengan perisian cincin, pengguna dapat berhubung terus dengan kedua-dua alat berkenaan.

Sebaliknya, jika tidak bersesuaian, ia memerlukan alat pengiriman data sebagai pusat untuk menghubungkan alat elektronik tersebut.

Setelah dapat dihubungkan antara satu sama lain, langkah seterusnya ialah menyarungkan cincin ke jari. Bahagian tepi cincin mempunyai sensor sentuhan dan perlu ditekan terlebih dahulu. Tujuannya adalah untuk mengaktifkan cincin sebelum jari digerakkan mengikut isyarat yang telah ditetapkan.

Pergerakan jari dalam arah membulat adalah contoh gerakan isyarat yang telah didaftarkan oleh pereka. Gerakan isyarat bertujuan untuk menganalisis data pada cincin. Apabila cincin bergetar selepas beberapa saat, itu menandakan isyarat telah diterima.

Selepas itu barulah pengguna dapat menggunakan empat kelebihan utama yang ada pada cincin tersebut. Setiap aplikasi memiliki identiti gerakan isyarat yang tersendiri.

Pengguna hanya perlu menggerakkan isyarat yang telah direka mengikut aplikasi tertentu. Bagi memudahkan pengguna, gerakan isyarat setiap aplikasi boleh diubahsuai mengikut cita rasa masing-masing. Rekaan isyarat itu boleh dilakukan pada bila-bila masa menerusi telefon pintar dan tablet.

Logbar Ring [2]

Menariknya, setiap fungsi alat canggih luar biasa ini memberi pengalaman baru kepada setiap individu yang menggunakannya.

Kelebihan pertama yang dimiliki oleh cincin ini ialah mengawal alat elektronik dirumah. Biasanya kita perlu bangun untuk menutup atau membuka suis lampu tapi dengan cincin ajaib ini, pengguna hanya perlu menggerakkan jari mengikut isyarat yang telah ditetapkan sebagai simbol lampu.

Hasilnya, lampu akan tertutup dan terbuka mengikut kemahuan pengguna. Ia juga boleh dilakukan pada alat elektronik lain seperti televisyen.

Kehebatan ciptaan cincin luar biasa ini bukan hanya setakat itu. Keluaran Logbar ini juga memiliki kuasa penghantaran sistem pesanan ringkas yang berbeza dengan mesej biasa. Percaya atau tidak, dalam situsi seperti sedang memandu dan menerima 'teks' daripada rakan, anda tidak perlu berhenti ditepi jalan untuk membalas.

Sebaliknya, hanya perlu menggerakkan jari mengikut bentuk huruf dan menolak ke arah kiri sebagai simbol hantar.

Satu perkara yang anda perlu tahu, anda tidak perlu memegang atau melihat ke arah telefon ketika membalas mesej. Mudah bukan?

Cara ini juga boleh digunakan untuk berhubung dalam laman sosial seperti Facebook dan Twitter.

Tambah menarik, sistem pembayaran bil juga boleh dilakukan melalui cincin ini. Hanya melalui satu gerak isyarat, segala bil telah dijelaskan dalam satu masa. Bagi individu yang subuk bekerja, aplikasi sebegini dapat membantu dalam menjimatkan masa.

Selain itu, kelebihan utama lain ialah sebarang akses maklumat dapat dikesan melalui tiga lampu kecil (light emitting diodes, LED) yang terdapat pada cincin luar biasa tersebut. Alat elektronik ini juga akan bergetar jika mengenal pasti sebarang penghantaran atau penerimaan maklumat.

Untuk pengetahuan anda, hanya gajet yang mempunyai perisian iOS7 dan keatas seperti iPhone, iPad dan iPod Touch sesuai digunakan sebagai penghubung kepada cincin tersebut.

Bagi pengguna Android pula, perisian versi 4.4 dan keatas juga dapat digunakan. Walau bagaimanapun, syarikat Logbar bakal menghasilkan akses dalam Windows Phone dan Ring Hub.

Logbar Ring - How it work

Rekaan kreatif ini dihasilkan oleh sebuah syarikat, Logbar Inc. yang diketuai oleh Takuro Yoshida. Bertemakan slogan 'Shortcut everything', syarikat kreatif ini percaya mereka mampu menghasilkan rekaan yang luar biasa.

Penghasilan cincin magis ini telah dilakukan sejak tahun 2013 dan pelaksanaannya melibatkan pelbagai proses dari segi pemilihan perisian, perkakas dan rekaan produk yang sesuai.

Difahamkan, rekaan unik dan luar biasa ini telah berjaya memperoleh dana khas selepas menyertai projek Kickstarter pada 4 April 2014.

Bagi memenuhi cita rasa pelanggan, cincin luar biasa ini bakal direka dalam enam jenis saiz yang berbeza.

Mengikut jangkaan, cincin Logbar bakal dipasarkan ke Amerika, Eropah, Jepun dan China tahun ini.

BACA INI JUGA: Insan Mulia Dan Sebentuk Cincin

-SENTIASAPANAS.COM

3 comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon