Saturday, April 05, 2014

Pengarah Yang Menolak Mengarah Filem Hebat!


Tom Cruise, Nicholas Cage, Megan Fox, Rachelle Lefevre, Peter Weller merupakan antara para pelakon yang pernah menolak tawaran membintangi filem yang tak dijangka bakal menjadi filem hit.

Tapi tahukah anda, bukan pelakon sahaja yang pernah membuat keputusan tidak popular sebegini?

Antara pengarah filem yang pernah meninggalkan atau menolak tawaran mengarahkan filem kerana perbezaan pendapat atau konflik jadual, termasuk:

The Hobbit
Pengarah akhir: Peter Jackson
Pengarah pilihan asal: Guillermo del Toro

The Hobbit

Guillermo Del Toro diberikan tanggungjawab mengarahkan "The Hobbit" pada tahun 2008. Malah dia turut menghasilkan skrip bersama-sama Peter Jackson, Fran Walsh dan Philippa Boyens untuk filem tersebut, yang asalnya hanya mahu dihasilkan dalam dua filem.

Namun begitu, filem yang dijadualkan memulakan penggambaran pada tahun 2010 itu ditunda dan pelabur "The Hobbit", MGM mengalami masalah kewangan dan tidak akan memberi laluan untuk filem tersebut selagi masalah tersebut tidak diselesaikan. Menjelang Mei, pengarah filem "Pacific Rim" tersebut mengundur diri dan digantikan dengan Peter Jackson dan filem itu akhirnya diberi kelulusan pada bulan Oktober.

Thor: The Dark World
Pengarah akhir: Alan Taylor
Pengarah pilihan asal: Patty Jenkins

Thor: The Dark World

Selepas filem pertamanya diarahkan oleh pelakon Kenneth Branagh, pengarah wanita Patty Jenkins, yang popular melalui filem "Monster" dan 'remake' siri televisyen "The Killing", diumumkan pengarah sekuel filem adiwira Marvel ini.

Namun begitu, dua bulan selepas pengumuman tersebut, Jenkins membuat keputusan untuk mengundur diri atas alasan popular – 'Perbezaan pendapat dan kreativiti'. Namun begitu, beberapa khabar angin tercetus. Ada yang mengatakan Jenkin dipecat kerana tidak bergerak dengan lebih pantas dalam keputusan-keputusan yang dibuat, manakala ada pula yang mengatakan pihak Marvel sendiri yang mula rasa ragu-ragu dengan pilihan mereka.

Oleh sebab yang demikian, pengarah siri TV popular "Game of Thrones", Alan Taylor telah dipanggil menggantikan Jenkins. Tapi mengikut khabar anginnya, hubungan Taylor dan Marvel juga tidak begitu baik!

Brave
Pengarah akhir: Mark Andrews
Pengarah pilihan asal: Brenda Chapman

Brave

Ramai yang bertepuk tangan apabila rakan karib Andrew Stanton dan kru Pixar, Brenda Chapman dinamakan sebagai pengarah filem animasi terbaru mereka dari mitos "The Bear and The Bow". Malah Chapman disanjung kerana menjadi pengarah wanita pertama untuk studio animasi berkenaan.

Namun begitu, pihak Pixar merasakan ada yang tidak kena dengan idea dan arah tuju Chapman dalam menghasilkan filem tersebut, lantas memanggil Mark Andrews ("The Incredibles") untuk membantu, sekaligus menghasilkan "Brave". Namun begitu, pihak Pixar tidak membuang Chapman, dan tetap diberikan kredit dalam penghasilan animasi berkenaan. Malah Chapman turut dijemput untuk naik ke pentas bagi menerima anugerah Oscar untuk Filem Animasi Terbaik pada tahun 2013.

The Wolverine
Pengarah akhir: James Mangold
Pengarah pilihan asal: Darren Aronofsky

The Wolverine

Selepas Bryan Singer, yang biasa menghasilkan filem-filem "X-Men", menolak tawaran mengarahkan filem "The Wolverine", pihak Fox beralih arah kepada Darren Aronofsky yang popular dengan karya hebat seperti "The Wrestler" dan "Black Swan", apatah lagi bila Aronofsky sendiri sudah pernah bekerjasama dengan pelakon titular, Hugh Jackman sebelum ini melalui "The Fountain".

Namun begitu, enam bulan selepas dia mengesahkan pembabitannya, Aronofsky membuat keputusan untuk berundur dari filem tersebut, dengan alasan tempoh penggambaran "The Wolverine" memakan masa hampir setahun dan akan diadakan di luar negara. Aronofsky enggan berjauhan dari keluarganya sebegitu lama.

Quantum of Solace
Pengarah akhir: Marc Foster
Pengarah pilihan asal: Roger Michell

Quantum of Solace

Apabila pengarah filem Roger Michell diumumkan sebagai pengarah filem James Bond, "Quantum of Solace", ramai yang merasakan ini masanya untuk pengarah itu menerima penghargaan yang sepatutnya.

Malangnya Michell meninggalkan projek tersebut pada Oktober 2006. Sekalipun pihak produksi menyatakan 'perbezaan kreativiti' sebagai punca pengunduran Michell, pengarah tersebut menyatakan ketiadaan skrip yang kukuh menyebabkan dia enggan meneruskannya.

"Mereka mahu saya buat papan cerita babak aksi tanpa skrip. Macam mana saya nak buat? Ia buat saya rasa rimas dan tidak lagi berminat," ujar Michell.

The Green Hornet
Pengarah akhir: Michel Gondry
Pengarah pilihan asal: Stephen Chow

The Green Hornet

Pelakon dan pengarah Stephen Chow sudah cukup terkenal di tanah airnya, dan turut memiliki para pengikutnya sendiri di peringkat antarabangsa. Jadi bila Seth Rogen, pelakon dan penulis bersama filem 'remake' "The Green Hornet" berjaya mendapatkan Chow untuk mengarah dan memainkan watak Kato, ramai yang ternanti-nanti hasil filem tersebut.

Namun begitu, tiga bulan selepas dia diumumkan sebagai pengarah, pada Disember 2008, Chow membuat keputusan untuk menarik diri atas alasan percanggahan jadual dan perbezaan pendapat, dan digantikan dengan pengarah surealis Perancis, Michel Gondry.

Menurut Gondry, Chow sebenarnya menakutkan studio produksi dengan idea-idea gilanya. Katanya, "Chow ada idea-idea yang anda tidak akan berani mahu bentangkan pada studio produksi. Ada babak tentang penyakit AIDS dan payudara plastik!"

Namun begitu, wakil Stephen Chow menafikan hal tersebut.

Spiderman 4
Pengarah akhir: Marc Webb
Pengarah pilihan asal: Sam Raimi

Spiderman 4

Sekalipun pada mulanya mereka merancang untuk menghasilkan filem keempat francais adiwira "Spider-Man", pihak Sony mengumumkan bahawa mereka telah membuat keputusan untuk menghasilkan reboot dan bukan sambungan kepada trilogi Sam Raimi. Malah pelakon asalnya, Tobey Maguire juga digantikan dengan pelakon yang lebih muda, Andrew Garfield.

Menurut sumber, Sony memutuskan kerjasamanya dengan Raimi selepas mereka bercanggah pendapat tentang watak antagonis baru Spider-Man, dan akhirnya Raimi membuat keputusan untuk berundur diri dan digantikan dengan pengarah Marc Webb.

Harry Potter
Pengarah akhir: Chris Columbus dan lain-lain
Pengarah pilihan asal: Steven Spielberg

Harry Potter

Sebelum "Harry Potter" menjadi antara francais filem terlaris dunia, pengarah Steven Spielberg terlebih dahulu menunjukkan minat untuk menghasilkan filem adaptasinya. Namun begitu, Spielberg akhirnya membuat keputusan untuk melepaskan projek tersebut apabila ideanya tidak diterima.

Spielberg pada mulanya mahu menjadikan filem itu berbentuk animasi dengan pelakon Haley Joel Osment melakon suara watak Harry Potter sendiri.

Selepas Spielberg mengundur diri, barulah studio produksi mula mencari-cari pengarah lain yang lebih sesuai. Sekalipun penulisnya JK Rowling sendiri berminat dengan Terry Gilliam ("The Imaginarium of Dr. Parnassus") sebagai pengarahnya, Warner Bros. akhirnya memilih pengarah filem "Home Alone", Chris Columbus untuk mengarahkan dua filem pertamanya.

Sumber: Yahoo.Malaysia

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon