Khamis, Mac 27, 2014

Alexia Sloane, Kanak-kanak Penterjemah 4 Bahasa!


Loading...

Bayangkan anda berada dalam sebuah majlis persidangan yang dianggotai oleh beberapa orang warga asing seperti Taiwan, Korea, Jerman dan sebagainya. Ahli speaker pula bercakap dalam bahasa Perancis.

Alexia Sloane
Alexia Sloane.

Sudah tentu majoriti tidak memahami. Dan untuk memudahkan cara, para anggota disediakan penterjemah bahasa melalui 'earphone' ditepi meja.

Bila diletakkan ke telinga, tiba-tiba terdengar suara kanak-kanak sedang menterjemah bahasa Perancis ke bahasa Inggeris. Apa perasaan anda? Adakah penganjur tersilap?

Alexia Sloane, kanak-kanak berusia 13 tahun yang bekerja secara sambilan sebagai penterjemah bahasa di Parlimen Eropah. Sebenarnya, seawal usia 10 tahun lagi, Alexia sudah fasih bertutur dalam empat bahasa, Inggeris, Sepanyol, Perancis dan Cina.

Kini dia sedang belajar beberapa bahasa lain seperti Jerman, Arab, Rusia dan Itali.

Lebih menarik lagi, Alexia adalah seorang kanak-kanak istimewa yang kehilangan penglihatannya sejak berusia dua tahun kerana menghidap ketumbuhan dalam otak yang dipanggil Neurofibromatosis peringkat 1.

Ketika ketumbuhan itu dikesan, ia berada betul-betul diantara saraf mata Alexia. Namun, belum sempat dibedah ia sudah meragut kedua-dua mata kanak-kanak istimewa ini.

Alexia Sloane with Family
Alexia bersama ibu bapa dan adiknya.

Menurut ibu bapanya, Isabella, 43 dan Richard, 61, mereka mula menyedari kelakuan pelik Alexia ketika bercuti di Perancis.

Alexia yang pada mulanya sangat ceria dengan percutian itu tiba-tiba bertukar suram. Dia seolah-olah berada dalam ketakutan dan tidak henti-henti menangis. Namun, mereka tidak mengambil serius kerana beranggapan Alexia membuat perangai.

Alexia kemudiannya bertanya, kemanakah semua orang menghilang? Reaksi itu seolah-olah dia tidak boleh melihat sedangkan di sekeliling kanak-kanak itu ada ramai orang.

Sangsi dengan kelakuan ini, Isabella terus membawa Alexia ke hospital berdekatan. Melalui imbasan MRI, semuanya terjawab.

Lanjutan daripada pemeriksaan ini, doktor merancang untuk menjalankan pembedahan. Bagaimanapun, doktor menjangkakan akan ada komplikasi kerana usia Alexia yang terlalu muda.

Alexia Sloane visited European Parliament
Alexia bersama Ahli Parlimen Eropah.

Lantas doktor memilih untuk menjalankan rawatan kimoterapi selama 18 bulan. Malangnya, hanya sempat menjalani rawatan selama 10 minggu sebelum mata Alexia tiba-tiba gelap.

Sedar kekurangan yang terpaksa dihadapi anaknya, Isabella menghantar Alexia menuntut ilmu seawal mungkin. Bayangkan, ketika baru berusia empat tahun, Alexia sudah pandai membaca dan menulis tulisan Braille dengan lancar tanpa sebarang kesalahan biarpun pada bentuk-bentuk yang sukar.

Kini, perkembangan Alexia terus mencatat kejayaan. Majoriti kanak-kanak seusianya sedang sibuk menghadap Facebook, YouTube mahupun blog, Alexia mampu tersenyum lebar memegang trofi hasil dari terbitan novel tulisannya.

Begitu juga dalam keghairahan kanak-kanak sebayanya sibuk berfesyen, Alexia lebih senang ke parlimen untuk bekerja tanpa menghiraukan orang lain.

Kehebatan yang dimiliki Alexia tidak terhenti disitu. Dia juga hebat bermain alat muzik. Mintalah apa saja lagu, pasti Alexia tidak akan menghampakan anda.

Alexia Sloane play music

Menurut Alexia, meskipun keadaannya begitu, dia tetap bersyukur kerana mampu melakukan apa saja yang setanding manusia normal. Semangat itulah yang membuatkan Alexia terus maju mengejar impian.

Menurut Alexia lagi, bila tiba masanya, dia ingin menyambung pengajian dalam bidang linguistik di Universiti Cambridge. Dia ingin menjadi pakar bahasa dan menumpukan perhatian pada bidang penulisan.

Walaupun Alexia sudah menjadi penterjemah parlimen, namun itu cumalah kerja sambilan sahaja. Jadi, cita-citanya itu merupakan kemuncak untuk melengkapkan dirinya menjadi penulis yang berwibawa.

Menurut ibunya, dia berbangga dengan pencapaian dan kemahiran yang ditunjukkan Alexia. Pun begitu, jauh disudut hati, dia amat risau dengan perkembangan kesihatan Alexia kerana ketumbuhan ini masih ada, cuma tidak aktif.

Besar kemungkinan ia akan kembali lagi. Cuma masanya tidak diketahui. Doanya hanya satu, agar anak istimewanya dapat menikmati kehidupan seperti orang lain walaupun serba kekurangan.

BACA INI JUGA: Makanan Terbaik Untuk IQ Tinggi

-Sentiasapanas.com

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon