Sunday, December 01, 2013

Permainan LEGO, 560 Bilion Dihasilkan Sejak 60 Tahun Lalu!


Masyarakat tanpa mengenal usia meminati alat permainan berbentuk bongkah plastik kecil berwarna-warni yang mampu menghasilkan pelbagai objek seperti kenderaan, bangunan dan robot.

LEGO

Pada masa ini, penggunaan Lego semakin berkembang dan turut diketengahkan di dalam filem, pertandingan selain dibangunkan sebagai taman tema di seluruh dunia. Sehingga 2013, kira-kira 560 bilion Lego dihasilkan sejak diperkenalkan oleh perekanya, Ole Kirk Christiansen lebih 60 tahun lalu.

Kehidupan awal

Ole Kirk Christiansen
Ole Kirk Christiansen.

Christiansen dilahirkan pada 1891 di perkampungan kecil utara bandar Billund di Filskov, Denmark.

Beliau hanya mendapat pendidikan sehingga sekolah menengah sebelum diterima bekerja di sebuah kilang sebagai tukang kayu.

Pelbagai pengalaman dan kemahiran yang diperoleh ketika bekerja di kilang itu akhirnya digunakan untuk membuka perniagaan sendiri di bandar kelahirannya pada 1932.

Christiansen menghasilkan pelbagai produk seperti papan seterika, tangga dan alat permainan diperbuat daripada kayu yang merupakan salah satu bidang kepakaran beliau.

Pada 1934, beliau menamakan syarikatnya kepada Lego berasal daripada bahasa Denmark, Leg Godt bermaksud bermain dengan baik.

Hasilkan 200 alat permainan

Pada awal 1940-an, kilang milik Christiansen terbakar untuk kali kedua akibat litar pintas dan ia dibina semula pada 1947.

Ketika itu, perniagaannya semakin berkembang dan menjadi syarikat pertama di Denmark yang membeli mesin pengacuan plastik.

Menjelang 1949, syarikat Christiansen menghasilkan kira-kira 200 alat permainan diperbuat daripada plastik dan kayu.

Pada masa itu, bongkah Lego masih dihasilkan daripada kayu dan ia hanya dipasarkan di Denmark, sekali gus menjadi alat permainan terkenal dalam kalangan kanak-kanak di negara tersebut.

Susulan daripada itu, Christiansen mula mencipta bongkah Lego plastik berwarna-warni untuk menarik perhatian golongan tersebut.

Pada 1950, Godtfred Kirk Christiansen dilantik sebagai Timbalan Presiden Muda oleh bapanya dan beliau turut menyumbangkan idea kreatif bagi menghasilkan binaan daripada Lego.

Empat tahun selepas itu, Lego memasarkan set binaan lengkap dan memperoleh tanda dagangan bagi produk yang digelar Lego Mursten.

Cipta pelbagai set Lego

Syarikat itu melancarkan secara rasmi Lego System of Play terdiri daripada 28 set berbeza dan lapan kenderaan permainan pada 1955.

Bagaimanapun, ketika syarikat itu semakin berkembang dan dikenali di seluruh dunia, Christiansen meninggal dunia akibat serangan jantung pada usia 66 tahun.

Godtfred yang merupakan anak ketiganya diberi kepercayaan mengambil alih syarikat tersebut.

Lego terus menempa nama menghasilkan set permainan lebih variasi dan ia pertama kali menembusi pasaran Amerika Syarikat pada 1961.

Menjelang 1966, syarikat tersebut mula mencipta Lego yang boleh menghasilkan pelbagai bentuk termasuk bangunan dan kenderaan.

Set Lego lebih besar digelar Duplo direka khas untuk bayi dan golongan kanak-kanak pada 1967.

Kira-kira 10 tahun selepas itu, Lego memperkenalkan projek Technic dihasilkan khusus untuk golongan remaja.

Syarikat tersebut terus diwarisi ahli keluarga Christiansen dan cucunya, Kjeld Kirk pernah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Lego dan beliau kekal memegang jawatan itu sehingga Oktober 2004 sebelum diambil alih oleh Jørgen Vig Knudstorp.

Sehingga kini, pelbagai set Lego telah direka mengikut peredaran zaman seperti Lego Mindstorms, kit model kereta dan permainan komputer.

TRIVIA
  • Legoland dibuka pertama kali di Billund pada 1968 dan kini terdapat enam taman tema dibangunkan di beberapa negara termasuk Malaysia.
  • Lego menjadi perintis kemajuan penyelidikan dan pembelajaran. Alat permainan Lego dipasarkan di 130 negara dan memperoleh keuntungan lebih AS$1.5 bilion (RM4.8 bilion).
  • Sejak 1993, pakaian kanak-kanak berumur 0-12 tahun menggunakan jenama LEGOwear dihasilkan dan dipasarkan syarikat dari Denmark, Kabooki.
  • Selain alat permainan, Lego turut menerbitkan beberapa buku seperti The Ultimate Lego Book pada 1999.
  • Pada Jun 2013, Warner Bros menghasilkan filem diadaptasi daripada Lego Ninjago.
  • Beberapa pesaing pernah cuba menciplak reka bentuk Lego dengan menghasilkan alat permainan sama. Lego pernah memfailkan beberapa saman terhadap beberapa syarikat termasuk di China atas dakwaan perlanggaran hak cipta.
Sumber: Sinar Online

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon