Thursday, September 12, 2013

Wanita Malaysia Jadi Mangsa Diskriminasi Kerana Mengalahkan 10 Peserta Lelaki!


Peserta wanita ke angkasa lepas menjadi mangsa terbaru diskriminasi gender di Malaysia hanya kerana mempunyai kelebihan daripada peserta lelaki, susulan kejayaan Roshini Muniam melayakkan diri ke peringkat lima peserta akhir dalam pertandingan AXE Malaysia.

Pertandingan AXE Malaysia

Kontroversi diskriminasi ke atas wanita Muslim yang menyertai pertandingan ratu cantik pada Jun lalu mendapat perhatian umum, namun Roshini atau nama mesranya Rose juga menerima kesan sama apabila menerima kritikan hebat dalam Facebook selepas berjaya mengatasi 10 peserta lelaki lain dalam pertandingan tersebut.

Siswazah daripada Universiti Malaya itu dikritik pelbagai komen negatif dalam laman Facebook (https://www.facebook.com/AXEmalaysia), antaranya menggesa beliau menyertai pertandingan ratu cantik kerana ia sesuai untuk wanita.

"Banyak lagi competition untuk female only kat luar tu lady.. Don't ruin what's intended or most considered to be men only chance? Ini pertandingan je pun, beauty pageant untuk prempuan saja cuba ada lelaki try nak masuk... kecoh sedunia," komen salah seorang penggendali akaun Facebook dengan nama Geeky Fredward.

Seorang lagi penggendali akaun Facebook bernama Syed Wazien juga mempersoalkan penyertaannya, berkata: "What - a woman?! No way, hose!!!"

Pertandingan tersebut merupakan misi untuk mencari wakil Malaysia ke kem angkasa lepas di Florida, dimana wakil daripada 150 negara akan bersaing satu sama lain untuk merebut peluang ke ruang angkasa komersil.

Bagaimanapun, graduan dalam jurusan Bahasa Inggeris tersebut tidak lemah semangat sebaliknya berhasrat untuk membuktikan wanita juga mampu berjaya.

"Batu dan kayu mungkin mematahkan tulang saya, tapi kata-kata tidak akan melukakan saya.

"Saya akan buat yang terbaik untuk memenangi pertandingan ini kerana saya mahu menjadi inspirasi kepada orang biasa untuk memiliki impian dan matlamat," kata Roshini yang dipetik dalam laman Facebooknya.

Isu diskriminasi gender, ataupun seksis sering diperkatakan di Malaysia malahan di Parlimen juga telah diluluskan supaya mana-mana ahli Parlimen tidak mengeluarkan kata-kata seksis ketika perdebatan.

Antara kes-kes seksi yang mendapat perhatian umum ialah pada Mac 2011, apabila Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin berkata semasa debat dalam meluluskan Akta Perbekalan: “Bila wanita membawa kereta perlahan, mereka tidak sedar keadaan trafik. Apabila kita menghon kepada mereka, mereka jadi marah dan tunjuk isyarat tangan kepada pemandu lain”.

Selain itu, pada tahun 2007, ketika perdebatan hangat di Dewan Rakyat dengan ahli parlimen pembangkang tentang kebocoran bumbung di Parlimen, Bung Mokhtar berkata: “Mana ada bocor? Batu Gajah pun bocor tiap-tiap bulan juga.”

Pada April 2011, ahli Parlimen Pasir Mas pada ketika itu Datuk Ibrahim Ali mendakwa isteri punca suami menjadi curang, dengan berkata: “Apabila suami memerlukan si isteri dan si isteri sedang memasak, si isteri akan berkata, tunggu sekejap, saya sedang memasak. Dalam perspektif Islam, isteri harus memberi prioriti kepada keperluan suami”.

Pada April 2006, Abdul Fatah Harun (PAS-Rantau Panjang) berkata bahawa kebanyakan janda adalah miang.

Baru-baru ini, empat peserta pertandingan ratu cantik dihalang daripada menyertai pertandingan ratu cantik kerana melanggar fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan yang diwartakan pada 8 Februari 1996.

[Sumber]

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon