Monday, September 30, 2013

Mati Ditikam Selepas Mengigau Nama Wanita Lain Dalam Mimpi


Seorang wanita menikam teman lelakinya 31 kali selepas mangsa mengigau menyebut nama wanita lain ketika tidur.

Mimpi

Menurut laporan Xinhua, Hong Hui baring di sebelah teman lelakinya yang tidur apabila dia mendengar mangsa menyebut nama wanita lain.

Ia menyebabkan Hong berang dan meluru ke dapur untuk mengambil pisau lalu menikam mangsa sebanyak 31 kali.

Hong kemudian terlena di sisi mayat teman lelakinya itu.

Bercakap di mahkamah, Hong Hui menyuarakan rasa kesalnya terhadap kejadian itu dan berkata, mereka berpacaran sejak sekolah menengah hingga ke universiti serta merancang untuk berkahwin.

Penggal kepala suami

Sementara itu, seorang isteri yang tidak tahan diganggu suaminya, seorang wanita muda memenggal kepala lelaki itu sebelum menyerah diri kepada polis.

Menurut laporan Times of India, wanita berusia 21 tahun itu adalah isteri kedua si mati.

Mangsa, penarik beca berusia 28 tahun dan tinggal di Tamil Nadu, sebelum ini berkahwin dengan wanita lain dan sudah mempunyai dua anak apabila berkahwin dengan suspek.

Hubungan antara kedua-dua wanita itu baik tetapi masing-masing tidak tahan dengan sikap si suami yang panas baran dan sering memukul kedua-dua isterinya sehingga mendorong mereka pulang ke rumah ibu bapa masing-masing.

Si suami mengunjungi isteri keduanya Sabtu lalu dan merampas wangnya. Suspek bertindak menyerang lelaki itu, dengan mencampakkan serbuk cili pada muka mangsa.

Sebaik lelaki itu terjatuh, isterinya mengambil sabit dan memenggal kepala mangsa. Dia kemudian menyerah diri di balai polis berhampiran bersama-sama dengan senjata yang berlumuran darah.

Menurut polis, mangsa mempunyai rekod aktiviti antisosial.

Bunuh bapa untuk warisi harta

Seorang wanita di Nanjing, China pula telah ditangkap kerana di dakwa menggunakan khidmat pembunuh upahan untuk membunuh bapanya bagi membolehkan dia mewarisi harta lelaki itu.

Polis menangkap wanita berkenaan yang dikenali dengan nama keluarganya Hu dan seorang suspek pembunuh upahan berusia 19 tahun bernama Zheng, lima jam selepas mayat bapa Hu ditemui mati di kediamannya, kelmarin.

Hu didakwa menghubungi Zheng menerusi Internet dan menawarkannya sejumlah wang untuk membunuh bapanya selepas mereka bertengkar.

Menurut ibu Hu yang sudah bercerai dengan mangsa sejak lebih 20 tahun lalu, anaknya merancang pembunuhan itu untuk mendapatkan harta si mati.

Menurut akhbar Modern Express, mendapatkan khidmat pembunuhan di China begitu mudah. Seorang wartawan yang menyamar pelanggan hanya diminta membayar 100,000 yuan (RM50,000), harga biasa bagi membunuh seseorang.

-Agensi

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon