Sunday, May 26, 2019

Kisah Kematian Mustafa Kemal Ataturk Dan Kontroversi Jasad Tidak Di Terima Bumi

Kisah Kematian Mustafa Kemal Ataturk Dan Kontroversi Jasad Tidak Di Terima Bumi

Bila kita berbicara tentang Mustafa Kemal Ataturk, cerita paling masyhur mengenai beliau ialah jenazahnya yang tidak diterima bumi kerana dosa-dosa yang dilakukan pada umat Islam, apabila menghapuskan sistem kekhalifahan dan tindakan kejam beliau kepada institusi agama.

Mustafa Kemal Ataturk

Kisah jasad tidak diterima bumi ini adalah topik kontroversi yang sering diceritakan para agamawan di medan-medan ceramah tak kira masa atau tempat. Wallahu a'lam.

Tahun-tahun Terakhir Ataturk

Pada tahun 1937, sudah timbul tanda-tanda kemerosotan kesihatan Ataturk dan pada awal tahun 1938, semasa melakukan lawatan ke Yalova, Turki, beliau ditimpa penyakit serius dan memerlukan rawatan doktor.

Selepas mendapat rawatan jangka pendek di Yalova di mana keadaan kesihatan beliau dilihat bertambah baik, Ataturk meneruskan lawatan seperti dirancang.

Namun, keadaan kesihatan beliau kembali merosot semasa melakukan perjalanan ke Ankara, Mersin dan Adana.

Apabila beliau pulang semula ke Ankara pada Mei 1938, Ataturk dinasihatkan untuk berangkat ke Istanbul bagi mendapatkan rawatan untuk penyakit beliau.

Hasil diagnosis yang dilakukan pakar perubatan mendapati beliau menghidap sirosis, sejenis penyakit hati yang mengakibatkan peningkatan dalam tisu berserat dan pemusnahan sel-sel hati.

Dan ini sesuatu yang tidak mengejutkan kerana menurut rekod, Ataturk dikenali sebagai kaki botol, suka menari, bermain permainan kad dan perempuan.

Berikutan itu, beliau mengambil keputusan menjadikan Istana Dolmabahce, Istanbul, di sebelah utara bahagian Eropah Selat Bosphorus sebagai kediaman beliau.

Semasa bulan-bulan terakhir ini, walaupun dalam keadaan sakit yang teramat, Ataturk cuba meneruskan rutin harian seperti biasa.

Antara rutin beliau pada bulan-bulan tersebut ialah mempengerusikan mesyuarat Majlis Menteri-Menteri, menyelesaikan urusan berkenaan wilayah Hatay dan menjadi tuan rumah kepada Raja Carol II dari Romania semasa lawatan baginda ke Turki pada Jun 1938.

Namun, Ataturk dilihat jarang berdiri dan pada ketika itu, berehat di atas kapal layar Savarona sehingga akhir Julai 1938, di mana keadaan kesihatan beliau kembali merosot lalu dipindahkan ke satu bilik khas di Istana Dolmabahce.

Semasa di Dolmabahce, Ataturk koma pada bulan September sebelum kembali tidak sedarkan diri pada 9 November.

Pada tanggal 10 November 1938, beliau meninggal dunia pada usia 57 tahun dengan jam bilik tidurnya menunjukkan waktu kematian 9.05 pagi.

Pengebumian

Persiapan telah diatur oleh pihak berkuasa untuk menguruskan urusan pemakaman negara untuk Ataturk. Pada ketika itu, belum ada keputusan berkenaan tempat pemakaman.

Sehari selepas kematian beliau, Parlimen Turki yang bersidang di Ankara melantik Ismet Inonu sebagai Presiden Republik Turki yang baharu.

Pada mulanya, tidak ada keperluan untuk melakukan solat jenazah bagi Ataturk namun, Makbule Atadan, kakak kepada Ataturk, yang menetap di Dolmabahce selama beberapa hari sehingga hari kematian Ataturk, mendesak agar urusan tersebut dilakukan di sebuah masjid sebelum jenazah dibawa ke Ankara.

Akhirnya, Atadan diyakinkan oleh Presiden Jabatan Pengurusan Agama, Rifat Borekci bahawa solat jenazah juga seharusnya dilakukan di luar masjid.

Pada 19 November, jam 8.10 pagi waktu tempatan, solat jenazah Ataturk diimamkan oleh Profesor Serafettin Yaltkaya, Pengarah Institut Kajian Islam di mana ia dilakukan dalam Bahasa Turki dan bukan mengikut Bahasa Arab.

Semasa upacara berlangsung, sebarang usaha untuk mengambil gambar adalah tidak dibenarkan, selain solat jenazah dihadiri oleh orang-orang yang rapat dengan beliau, beberapa orang jeneral, pegawai-pegawai agama, kakitangan istana dan Mejar Yasar Okur, seorang hafiz Al-Quran merangkap pegawai tentera yang berkhidmat bersama Ataturk selama 15 tahun.

Memandangkan urusan pengebumian ditangguhkan bagi memberi peluang kepada def-def kehormat dan orang ramai memberi penghormatan terakhir kepada Ataturk, jenazah beliau telah diawet di Ankara oleh pakar patologi dari Akademi Perubatan Tentera Gulhane (GMMA), Prof. Lutfi Aksu.

Sementara proses pengkafanan dilakukan oleh salah seorang dari sembilan pakar perubatan yang menandatangani sijil kematian beliau, Prof. Mehmet Kamil Berk.

Kemudian, jenazah Ataturk dibaringkan dalam posisi rehat sementara Atadan, pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan tentera serta individu berpengaruh lain memberi penghormatan terakhir pada waktu-waktu tertentu.

Jenazah Ataturk diletakkan dalam satu keranda kayu walnut berkualiti tinggi dengan bahagian dalam diperbuat daripada kayu mahogani.

Keranda yang dilitupi dengan bendera kebangsaan Turki diletakkan pada 16 November di dewan sambutan istana pada sebuah catalfaque.

Ianya diapit dengan tiga obor tinggi pada setiap sisi mewakili enam rukun utama Kemalisme dan diletakkan lingkaran bunga di atas keranda untuk tatapan orang ramai.

Selama tiga hari, beribu-ribu orang hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada beliau pada catalfaque di mana pegawai-pegawai kehormat bertugas menjaga jenazah.

Selepas selesai solat, jenazah Ataturk dibawa keluar dari Dolmabache, diletakkan atas kaison yang ditarik kuda dan dibawa di hadapan perarakan jenazah ke Taman Gulhane.

Dari Seraglio Point, sebuah bot torpedo membawa jenazah beliau ke kapal perang TCG Yavuz, yang diiringi oleh kapal tentera laut Turki dan kapal-kapal asing membawa jenazah sehingga melepasi Pulau Buyukada. Setelah itu, Yavuz meneruskan perjalanan ke bandar pelabuhan Izmit.

Keranda yang membawa jenazah dipindahkan ke atas keretapi pengebumian dan dibawa ke Ankara di mana ia tiba pada 20 November 1938.

Menanti jenazah tiba ialah def-def kehormat terdiri daripada Presiden Turki, Ismet Inonu, Speaker Parlimen Turki, Abdulhalik Renda, Perdana Menteri, Celal Bayar, menteri-menteri Kabinet, Panglima Angkatan Tentera Turki, Field Marshall Fevzi Cakmak, pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan tentera serta semua ahli parlimen.

Keranda Ataturk kemudian sekali lagi dibawa di atas kaison ke Bangunan Perhimpunan Agung Kebangsaan Turki di Ulus, di mana ia diletakkan atas sebuah catalfaque di hadapan bangunan Parlimen untuk tatapan umum.

Ini memberi peluang kepada ribuan penduduk Ankara memberi penghormatan terakhir kepada Bapa Turki Moden.

Pada hari berikutnya, satu lagi upacara pengebumian lebih besar diadakan bagi memberi peluang kepada pemimpin-pemimpin asing memberi penghormatan terakhir.

17 pemimpin asing hadir memberi penghormatan

Perarakan dengan keranda jenazah Ataturk yang dilitupi dengan bendera Turki diletakkan atas kaison yang ditarik kuda dibawa ke Muzium Etnografi Ankara turut diiringi sembilan detasmen pegawal kehormatan.

Antara negara yang menghantar detasmen tersebut ialah Britain, Iran dan Yugoslavia.

Setibanya di muzium, keranda Ataturk diletakkan dalam sebuah keranda batu marmar berwarna putih yang dibina khas dengan bendera Turki menutup penutup keranda.

Dan dari rekod rasmi ini, cerita jenazah Ataturk tidak diterima bumi muncul dan tersebar secara meluas di serata dunia termasuk di medan-medan ceramah.

Dan bila memandang polisi pemerintahan Ataturk, maka tidak hairanlah bagaimana ia dapat dikaitkan sebagai satu kisah teladan yang menarik tetapi sumbernya goyah.

Cerita sebenar kenapa kerajaan Turki menyemadikan sementara jenazah beliau di situ ialah mereka mahu membina satu kompleks pemakaman besar untuk Ataturk di atas bukit paling tinggi di Ankara pada ketika itu, Rasateppe.

Memandangkan projek kompleks pemakaman yang dipanggil Anitkabir akan mengambil masa 15 tahun, maka pihak kerajaan memilih Muzium Etnografi Ankara sebagai tempat persemadian sementara beliau.

Anitkabir

Anitkabir makam mustafa kemal

Dan impian tersebut menjadi kenyataan pada 1953, apabila penutup keranda batu dibuka kali pertama dan keranda tersebut dibawa keluar dengan bantuan kren jenis trispastos untuk diletakkan di atas catalfaque dengan disaksikan oleh kakak Ataturk, Makbule Atadan, Presiden Celal Bayar, Speaker Parlimen Refik Koraltan, Perdana Menteri Adnan Menderes, Panglima Angkatan Tentera Turki Nuri Yamut, Abdulhalik Renda dan beberapa pegawai tinggi kerajaan.

Gabenor Ankara, Kemal Aygun menugaskan ahli patologi dari fakulti perubatan Universiti Ankara, Profesor Kamile Sevki Mutlu untuk mengeluarkan keranda, memeriksa jenazah dan menyelia proses pengebumian semula di mana ia perlu mengikut tradisi pengebumian tempatan.

Proses yang berlaku pada 9 November 1953 ini menyaksikan Prof. Mutlu dibantu oleh dua rakan sekerjanya, Dr. Cahit Ozen dan Dr. Seref Yezgan serta 10 guru sekolah tinggi teknikal vokasional yang dihadiri pegawai-pegawai tinggi kerajaan.

Selepas membuka bahagian dalam zink, mereka menemui sebuah plastik coklat mengandungi jenazah Ataturk yang disokong penyokong kayu.

Selepas mengeluarkan plastik dan kain kafan jenazah, pasukan Prof. Mutlu mendapati jenazah beliau masih dalam keadaan baik dan tidak busuk, terima kasih kepada proses pengawetan yang dijalankan 15 tahun lepas oleh Prof. Aksu yang meninggal dunia pada tahun 1951.

Turut ditemui dalam keranda tersebut ialah sampel bahan kimia pengawet yang digunakan dalam satu botol tertutup bersama label kimia tersebut.

Def-def kehormat naik ke catalfaque seorang demi seorang dan memandang wajah Ataturk dan atas nasihat Prof. Mutlu, keranda ditutup semula selepas jenazah dikafankan dengan kain yang baru dan diberi kimia khas untuk kekal utuh.

Sehari selepas itu, pada tanggal 10 November 1953, keranda dilitupi bendera Turki dibawa keluar dari Muzium Etnografi Ankara dan diusung oleh 12 askar untuk diletakkan atas kaison untuk dibawa ke lokasi kekal persemadian beliau, Anitkabir.

Pengusungan keranda diketuai oleh pelbagai pemimpin komuniti agama Turki seperti Armenian Patriach, Greek Orthodox, Roman Katolik dan ketua Rabbi Yahudi selain Presiden Bahagian Hal Ehwal Agama Turki.

138 pegawai simpanan muda termasuk daripada barisan sehingga tiga kilometer terdiri daripada Presiden, Perdana Menteri, Menteri-Menteri Kabinet, ahli-ahli perhimpunan kebangsaan, gabenor-gabenor wilayah dan diplomat-diplomat asing.

Sementara 21 juta rakyat Turki berdiri tegak dan senyap seketika selama lima minit di setiap pelosok negara.

Seorang laksamana tentera laut menjaga kusyen baldu mengandungi Pingat Kemerdekaan, satu-satunya pingat dalam banyak pingat yang dimiliki, yang dipilih Ataturk untuk dipakai.

Dan Bapa Turki Moden disemadikan di tempat persemadian kekalnya, kompleks pemakaman Anitkabir.

Seorang pegawai menceritakan pengalaman semasa proses tersebut berlangsung, “Saya masih bertugas pada hari pengebumiannya, bila saya menitiskan air mata tentang hakikat kematian. Hari ini saya tidak bersedih kerana 15 tahun telah mengajar saya bahawa Ataturk tidak pernah mati.”

Legasi

Hari ini, pada 9 November setiap tahun, pada 9.05 pagi, semua aktiviti dihentikan seketika selama dua minit.

Siren dibunyikan di segenap pelosok negara dan rakyat Turki diam seketika pada waktu tersebut untuk menghormati Ataturk tanpa mengira sama ada di jalan raya, kafe atau pasar raya dan bagi pelajar sekolah, mereka juga diam seketika selama seminit pada 9.05 pagi.

Pada hari itu, bendera Turki dikibarkan separuh tiang bagi mengingati presiden pertama Republik Turki.

Bagi yang mengikuti sejarah Turki, pasti sedar akan jasa Ataturk membebaskan negara daripada dijajah Britain, Perancis, Itali dan Greece dan menghalau mereka keluar dari bumi Anatolia.

Dan Ataturk turut berjasa membawa Turki maju ke depan dengan melancarkan pelbagai polisi bagi mengukuhkan kembali Turki sebagai sebuah negara yang hebat.

Kehebatan beliau dalam mengendalikan soal pemerintahan mengagumkan ramai sehingga menjadikan beliau atau ideologi Kemalisme sebagai cara melawan imperialisme Barat.

Daripada Shah Reza di Iran sehinggalah presiden pertama Tunisia, Habib Bourgiba menjadikan beliau sebagai inspirasi.

Sementara parti Nazi Jerman diketuai Adolf Hitler menganggap beliau seperti sebahagian daripada mereka dan meniru bulat-bulat sebahagian polisi Ataturk seperti bersikap keras terhadap gereja, institusi Islam dan menghalau keluar kelompok minoriti seperti yang dilakukan beliau pada 20-an dan 30-an.

Pada hari kematian Ataturk, Joseph Goebbels, Menteri Propaganda Jerman menyifatkan kematian beliau satu kehilangan yang sukar digantikan.

Namun pada masa yang sama, polisi keras Ataturk terhadap Islam sama sekali mencalarkan imej beliau sebagai patriot dan nasionalis.

Ya, beliau membenarkan kebebasan wanita tetapi menafikan kebebasan mereka menutup aurat. Beliau masih membenarkan azan dan Al-Quran tetapi semuanya diubah dalam Bahasa Turki berikutan sikap anti-Arab beliau.

Pendek kata, pendekatan sekular Ataturk menolak Islam sehingga ke tebing curam namun, tindakan ini mendorong ramai ulama bangkit termasuk Said Nursi hafizahullah untuk memelihara cahaya agama daripada terus pudar di bumi Anatolia.

Kemalisme

Jasad Mustafa Kemal Ataturk
Jasad Mustafa Kemal Ataturk.

Tetapi, legasi terbesar Ataturk ialah Kemalisme, satu doktrin politik yang menganggap dirinya moden dan pro-Barat, sosialis, pro-tentera dan ultra-sekular dalam pendekatannya sehingga mencekik warga Turki untuk bernafas dalam mendapatkan hak mereka terutama soal kebebasan agama.

Dan ini sudah dibuktikan dengan siri kudeta pada 1960, 1971, 1980 dan 1997 di mana tentera dan sistem kehakiman memperlihatkan diri mereka sebagai penjaga Kemalism.

Dan mereka tidak teragak-agak menyingkirkan mana-mana tokoh sama ada Adnan Menderes atau Necmettin Erbakan sekiranya agenda kerajaan berlawanan dengan enam prinsip utama Kemalism.

Namun, keghairahan Kemalism ini akhirnya memakan diri kerana perlahan-lahan ditolak rakyat yang mula condong kepada pan-Islamisme dan mahukan kembali hak mereka yang dinafikan.

Ini dibantu pula dengan beberapa keputusan Kesatuan Eropah (EU) yang tidak memihak kepada mereka termasuk mengharamkan mahkamah keselamatan negara dan kebijaksanaan parti-parti politik bercorak Islam termasuk Parti Pembangunan dan Keadilan (AKP) bermain catur politik yang membantu mereka naik ke puncak.

Dan siapa sangka dengan cubaan rampasan kuasa terbaru pada 2016, ia bukan langkah akhir kejatuhan sebuah lagi kerajaan pilihan rakyat tetapi satu lagi pukulan besar kepada Kemalisme.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Wednesday, May 15, 2019

Jackie Chan Sebenarnya Buta Huruf!

Jackie Chan Sebenarnya Buta Huruf!

Semua orang kenal legenda seni bela diri dan pelakon hebat dan tangkas, Jackie Chan, yang walaupun bertubuh kecil, ia bukanlah penghalang kepadanya untuk berjaya dalam industri lakonan sehingga menembusi dunia filem Hollywood.

Legenda Jackie Chan
Jackie Chan.

Beliau yang tidak tahu membaca mahupun menulis, adalah contoh kepada masyarakat bahawa usaha dan kegigihan mampu membuahkan kejayaan.

Jackie Chan dilahirkan pada 7 April 1954 di Hong Kong kepada bapanya Charles dan ibunya Lee-lee Chan.

Ketika dilahirkan, bapanya yang tidak mampu membayar kos pembedahan terpaksa meminjam daripada rakan dan menolak tawaran doktor untuk mengambil Jackie Chan sebagai bayaran.

Bapanya merupakan seorang tukang masak di kedutaan Perancis di Hong Kong manakala ibunya seorang pembantu rumah.

Semasa zaman kanak-kanaknya, kehidupan Jackie Chan dihimpit kemiskinan yang sangat teruk. Bapa Jackie Chan akan mengejutkannya pada awal pagi dan mereka akan berlatih kung fu bersama-sama.

Charles percaya dengan belajar kung fu, ia akan membantu Jackie Chan dalam membina karekter, mengajar erti kesabaran, kekuatan dan keberanian.

Ketika di sekolah rendah, Jackie Chan bersekolah di Nah-Hwa Primary School yang mana dia gagal pada tahun pertama lalu diberhentikan sekolah oleh bapanya.

Wang yang diberikan untuk berulang alik ke sekolah sebaliknya digunakan untuk membeli makanan dan berjalan kaki pergi dan pulang dari sekolah serta kerap bergaduh dengan kanak-kanak kulit putih dalam perjalanan.

Ketika kanak-kanak lain lulus dan melangkah ke darjah 3, Jackie Chan yang gagal masih di darjah 1.

Melihat keadaan itu, bapanya menghantar Jackie Chan yang berusia 7 tahun ketika itu ke Akademi Drama China, sebuah Sekolah Opera Peking.

Ketika berjalan bersama ayahnya di sekolah itu, Jackie Chan terlihat kanak-kanak beraksi dan bermain pedang serta kayu.

Jackie Chan menceritakan ketika itu dia berasa sangat teruja dan bersemangat, serta tidak mahu ke sekolah akademik lagi.

Di sekolah tersebut, Jackie Chan mempelajari seni bela diri, akrobatik, menyanyi dan juga berlakon.

Pelajar sekolah ini diajar disiplin yang sangat tegas di mana mereka akan dipukul jika melanggar arahan atau membuat kesilapan.

Walaupun agak keras baginya, namun Jackie Chan tiada tempat untuk pergi kerana ketika itu ibu bapanya telah berpindah ke Australia dan dia dijaga oleh seorang Master.

Jackie Chan menamatkan pelajaran di akademi ini pada usia 17 tahun, namun ketika itu Opera China sudah tidak lagi popular membuatkannya serta rakan-rakan terpaksa mencari kerja dalam bidang lain.

Namun, ia sangat sukar kerana mereka tidak diajar membaca dan menulis ketika di akademi itu dan satu-satunya kerja yang boleh dilakukannya adalah kerja buruh atau aksi.

Ketika itu juga banyak filem di Hong Kong dihasilkan dan mereka memerlukan stuntman yang muda dan kuat.

Jackie Chan seorang yang sangat lincah dan sanggup mencuba apa saja untuk mendapatkan kerja.

Karier sebagai seorang stuntmat Jackie Chan bermula dengan filem Bruce Lee iaitu Fist of Fury pada dan Enter the Dragon pada tahun 1972 dan 1973, namun ia tidaklah semudah itu.

Kegagalan demi kegagalan dilalui Jackie Chan dan disebabkan kesukaran mencari kerja stuntman, dia berhijrah ke Australia dan tinggal bersama ibu bapanya di sana pada tahun 1976.

Jackie Chan kemudiannya menyambung pelajaran dan bekerja dalam bidang pembinaan.

Kerja dalam bidang pembinaan amat sukar dan membosankan bagi Jackie Chan, membuatkannya tidak gembira tinggal di Australia.

Namun, nasib menyebelahi Jackie Chan apabila penyelamatnya iaitu Willie Chan muncul dalam hidupnya.

Willie Chan yang bekerja dalam industri perfileman Hong Kong sedang mencari seorang bintang untuk filem terbaru Lo Wei (pelakon dan direktor yang popular di Hong Kong).

Willie yang pernah melihat bakat dan aksi Jackie sebagai stuntman berasa kagum, dan telah bertemu dengannya. Ketika ini Jackie Chan belum mengetahui bahawa Willie akan menjadi rakan baik serta pengurusnya.

Jackie Chan kemudiannya pulang ke Hong Kong untuk membintangi filem "New Fist of Fury" ketika berusia 21 tahun.

Namun, filem ini tidak begitu berjaya kerana bakat yang ada pada Jackie Chan tidak digunakan dengan betul.

Kejayaan mula menampakkan bayangnya hanya apabila Jackie Chan menyumbangkan ideanya yang menggabungkan unsur lawak ke dalam filem seni bela diri.

Tidak lama selepas itu, Jackie Chan mula menjadi bintang terkenal, dengan kejayaan dalam filem "Snake in Eagle's Shadow", diikuti dengan filem blockbuster iaitu "Drunken Master".

Filem pertama yang diarahkan oleh Jackie Chan juga mendapat sambutan hangat iaitu "Fearless Hyena".

Jackie Chan tidak berhenti disitu apabila dia mula bereksperimentasi dengan watak komiknya.

Perubahan ini memberikan perspektif baru kepada genre ini yang mana kemahiran yang dipelajari di sekolah opera telah digunakan sepenuhnya oleh Jackie Chan.

Selepas kematian Bruce Lee, pencarian pelakon baru yang boleh menginspirasikan penonton seperti mana dilakukan Bruce Lee, lalu setiap ahli seni bela diri muda diberikan peluang.

Jackie Chan yang tidak mahu meniru gaya dan hidup dalam bayang-bayang Bruce Lee telah menghasilkan gaya tersendiri dalam lakonannya.

Dalam menyempurnakan gayanya yang tersendiri, pelbagai kecederaan yang dialaminya termasuklah patah hidung sebanyak 3 kali, buku lali, hampir kesemua jari, tulang pipi serta tengkorak kepalanya.

Kini, Jackie Chan adalah antara legenda seni bela diri terbaik di dunia setaraf dengan Bruce Lee.

Jackie Chan bukan sahaja sangat popular di Asia malah juga di Hollywood dan banyak filem-filem beliau mendapat sambutan hangat di Hollywood termasuklah Rush Hour dan Shanghai Noon.

Walaupun menerima pendidikan yang sangat minima, Jackie Chan telah dianugerahkan gelaran doktor kehormat sains sosial oleh Hong Kong Baptist University dan rakan kehormat oleh Hong Kong Academy of Performing Arts.

Tidak mampu membaca dan menulis, Jackie Chan masih mampu mencapai kejayaan sebegitu besar disebabkan ketekunan dan kegigihannya dalam bidang yang diceburi.

Usaha inovatifnya menambah elemen komik dalam filem seni bela diri terbukti berkesan dan memberikan impak besar kepada dunia perfileman sehingga ke hari ini.

Pada tahun 2015, majalah Forbes menganggarkan kekayaan Jackie Chan sebanyak RM1.5 bilion.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Sunday, January 27, 2019

Kenapa Masih Ramai Rakyat Turki Menyanjung Mustafa Kamal Ataturk

Kenapa Masih Ramai Rakyat Turki Menyanjung Mustafa Kamal Ataturk

Majoriti umat Islam kini terutamanya yang bukan rakyat Turki pasti akan membenci tokoh kontroversi bernama Mustafa Kamal Ataturk. Dia dikatakan sebagai punca terhapusnya Khilafah Turki Uthmaniyyah namun hakikatnya, hampir seluruh rakyat Turki dahulunya menganggap Mustafa Kamal Ataturk sebagai hero bangsa.

Rakyat Turki Menyanjung Mustafa Kamal Ataturk

Kini, separuh rakyat Turki masih lagi mengagungkan Ideologi Kemalis terutama dalam kalangan tentera.

Kalau tak percaya, pergilah tengok sendiri di Turki, gambar-gambar Mustafa Kamal Ataturk digantung disana-sini dan jangan cuba-cuba menghina, nanti orang Turki belasah anda!

Sepertimana orang Malaysia menyayangi Tunku Abdul Rahman sebagai Bapa Kemerdekaan Malaya, begitu juga anggapan rakyat Turki kepada Mustafa Kamal yang digelar AtaTürk (Bapa Turki) kerana memperjuangkan kemerdekaan Turki.

Tulisan ini bukanlah untuk menyanjung Mustafa Kamal Ataturk, tetapi ianya adalah penulisan yang mewakili pandangan rakyat Turki.

Mari kita lihat rasional rakyat Turki dalam isu taboo ini.

1. HERO KEMERDEKAAN

Tunku merupakan kerabat DiRaja Kedah yang keluar istana untuk aktif dalam politik. Beliau menggantikan Onn Jaafar seorang pemimpin Melayu yang mempunyai darah Turki Uthmaniyyah sebagai pemimpin UMNO.

Dulu-dulu, banyak pihak politik Melayu berusaha melawan penjajah Jepun atau British seperti PKMM, Rejimen Melayu ke-10 PKM, KMM, MPAJA, PUTERA-AMCJA, Hizbul Muslimin dan UMNO.

Ada yang lawan secara perang dan ada secara rundingan. Perjuangan sayap kiri kebanyakannya diharamkan oleh British.

Tunku adalah salah seorang pejuang Nasionalis sayap kanan dan setelah menjadi wakil kerajaan tempatan melalui Pilihanraya Persekutuan 1955, Tunku memimpin kerajaannya untuk membuat Rundingan London pada 1956 bagi menuntut kemerdekaan dan seterusnya menggubal perlembagaan persekutuan melalui Suruhanjaya Reid sebulan kemudian. Kemerdekaan tercapai pada 1957, 2 tahun setelah kerajaan Tunku dibentuk.

Mustafa Kamal Ataturk pula merupakan seorang Komander Perang dalam angkatan tentera Khilafah Turki Uthmaniyyah.

Pada 1918, Turki Uthmaniyyah kalah dalam Perang Dunia Pertama. Tentera Bersekutu iaitu British, Perancis, Itali dan Rusia yang memenangi peperangan itu telah mencarik-carikkan wilayah Khilafah Turki Uthmaniyyah.

Khalifah ketika itu tidak lagi menguasai empayar Islam sebaliknya hanya menjadi Sultan yang mampu berkuasa di sekitar Turki sahaja.

Bahkan Tentera Bersekutu mencengkam hampir 70% wilayah Turki untuk dijajah pula.

Pada 1920, Mustafa Kamal Ataturk membentuk kerajaan yang dikenali sebagai Majlis Kebangsaan Turki (MKT) di Ankara.

Mustafa Kamal Ataturk dilantik menjadi Perdana Menteri kerajaan MKT.

Kesultanan Turki Uthmaniyyah ketika itu sangat lemah dan perlu tunduk kepada kuasa Barat.

Oleh itu, wakil kerajaan Sultan Turki Uthmaniyyah di Istanbul menandatangani Perjanjian Sevres yang membolehkan kedaulatan Turki tergadai kerana menjadi negara taklukan barat.

Mustafa Kamal Ataturk tak bersetuju dengan Perjanjian Sevres lalu memimpin sebuah revolusi politik dan ketenteraan yang dipanggil Gerakan Nasional Turki bagi menentang penjajahan Turki.

Maka berlakulah Perang Kemerdekaan Turki antara Turki pimpinan Mustafa Kamal Ataturk melawan gabungan Britain, Perancis, Itali, Yunani dan Armenia.

Rakyat Turki amat takut ketika itu kerana perlu berhadapan dengan gabungan tentera barat yang baru saja memenangi Perang Dunia Pertama.

Namun keajaiban berlaku apabila Mustafa Kamal Ataturk berjaya menewaskan gabungan tentera barat itu pada 1922.

Setelah itu, Mustafa Kamal Ataturk di Ankara memutuskan secara rasmi bahawa bentuk pemerintah baharu akan digunakan di Turki.

Mustafa Kamal Ataturk dipilih sebagai pemimpin Turki lalu dia memindahkan ibu negara Turki dari Istanbul ke Ankara.

Pada 1923, Kerajaan Turki pimpinan Mustafa Kamal Ataturk menghadiri Muktamar Luzan di Switzerland lalu tertubuhlah Republik Turki baharu dengan beliau menjadi Presidennya.

Kemerdekaan Turki pada 1923 ini adalah 3 tahun setelah MKA membentuk kerajaannya.

Akhirnya, pada 3 Mac 1924, dengan rasminya Mustafa Kamal menghapuskan sistem Khalifah.

Republik Turki berjaya membebaskan diri dari dijajah oleh Barat tidak seperti negara Islam lain yang dijajah oleh kuasa barat dan hanya mencapai kemerdekaan setelah tamatnya Perang Dunia Kedua.

Sebab itu orang Turki menganggap Mustafa Kamal Ataturk ini hero nasionalis yang bijak tidak seperti Raja-Raja Arab.

2. POLITIK PRO BARAT

Dasar luar Malaya ketika zaman pemerintahan Tunku lebih bercorak Pro-Barat Anti-Komunis memandangkan negara baru sahaja merdeka dan pada waktu ini ancaman komunis masih kuat.

Namun, pemerintahan Mustafa Kamal Ataturk di Turki adalah lebih ekstrim pro baratnya berbanding Malaya.

Kononnya, bagi menolak unsur Autokratik tertutup, Mustafa Kamal Ataturk mengamalkan pemerintahan bercorak Demokrasi Liberal dengan nilai-nilai sekular yang lebih bebas dan sama rata buat rakyatnya.

Hasilnya, kemelesetan ekonomi Turki mula mengukuh kembali.

3. BUDAYA HIDUP ALA BARAT

Suatu ketika dahulu di Malaya, budaya hidup ala Barat adalah perkara normal. Ustazah sekolah pun hanya memakai skarf dan skirt.

Isu aurat hanya mula dititik beratkan ketika zaman al-Arqam yang disebut sebagai unsur “Talibanisasi” oleh masyarakat.

Pada zaman Mustafa Kamal Ataturk memerintah, Turki ketika itu mengalami Revolusi Fesyen bagi melambangkan masyarakat berketamadunan moden.

Walaupun isteri dan ibu Mustafa Kamal Ataturk sendiri bertudung, tetapi majoriti masyarakat Turki pada ketika itu tidak bertudung.

Pemakaian skarf dalam urusan rasmi tidak dibenarkan, bagi meraikan hak kebebasan dan mengangkat darjat hak kewanitaan.

Bahkan, Turki antara negara terawal di eropah yang membenarkan wanita untuk mengundi.

Orang lelaki pula dilarang memakai penutup kepala berunsur keagamaan.

Sebaliknya, mereka disarankan untuk memakai topi “koboi”.

4. PENGHAPUSAN TULISAN ARAB

Dahulu penulisan orang Melayu menggunakan bahasa Melayu Klasik manhaj Hamzah Fansuri sepertimana yang terkandung dalam kitab-kitab Turath Jawi.

Kemudian, Bahasa Melayu Klasik ini dimodenkan dengan menggunakan tulisan Jawi moden.

Seterusnya pada era Tunku, tulisan Jawi dihapuskan sepenuhnya dalam urusan rasmi oleh seorang ahli politik dari Kedah iaitu Khir Johari pada tahun 1966.

Di Turki, Mustafa Kamal Ataturk juga menghapuskan penggunaan tulisan Arab dan menggantikan sistem huruf dan tulisan yang dicipta olehnya sendiri.

Sebelum kedatangan Islam ke Turki dahulu, Turki merupakan sebahagian dari wilayah Yunani dan kemudiannya Rom Byzantine.

Oleh itu, sistem tulisan yang berteraskan tulisan Latin atau Rumi ini lebih sesuai digunakan untuk bunyi bahasa Turki berbanding penggunaan huruf Arab.

Hasilnya, Mustafa Kamal Ataturk berjaya mengurangkan kadar buta huruf di Turki.

Selain memperkenalkan tulisan Turki Moden, Mustafa Kamal Ataturk juga memperkenalkan Bahasa Turki Moden bagi menggantikan bahasa Turki Klasik yang banyak dipengaruhi unsur Arab dan Parsi.

Al-Quran serta Azan diterjemah dan dibaca dalam bahasa Turki Moden agar mudah difahami oleh rakyat.

Namun, tindakan ini ditentang kuat oleh golongan konservatif terutama dari kalangan agamawan.

Sistem pengajian tradisi seperti Turath Islami dihapuskan dan digantikan dengan sistem pengajian Saintifik Kontemporari.

Semua ini berlaku kerana rakyat Turki telah lama meninggalkan cara hidup Islam dan mengamalkan budaya hidup ala barat.

Oleh itu, dasar-dasar kerajaan perlu diubah mengikut situasi semasa masyarakat agar mereka tidak keciciran dari mengejar arus pemodenan.

5. KAITAN FREEMASON

Menurut sesetengah dakwaan, seorang ahli politik dari Kedah iaitu Sanusi Junaid mendedahkan bahawa Tunku merupakan ahli Freemason yang ketika itu popular dengan buku bertajuk, “Apa Salahnya Masuk Freemason.”

Manakala di Turki, amat masyhur bahawa Mustafa Kamal Ataturk merupakan ahli Freemason dengan banyaknya bukti yang tersebar.

Bahkan, Mustafa Kamal Ataturk dikatakan seorang yang gemar minum arak dan berzina.

Namun, fokus penulisan ini bukan nak cerita pasal Freemason, hanya sebagai sisipan sahaja.

Tulisan ini bukan nak menyamakan antara Tunku dan Mustafa Kamal, tetapi untuk menggambarkan bagaimana pandangan orang Turki terhadap Mustafa Kamal Ataturk adalah sama seperti pandangan orang Malaysia terhadap Tunku Abdul Rahman.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Friday, April 15, 2016

Siapa Dr. Zakir Naik?

Siapa Dr. Zakir Naik?

Siapa yang tidak kenal Dr. Zakir Naik. Seorang ulama India, penulis dan da’i ahli perbandingan agama yang kerap menyampaikan dakwah secara debat dan ceramah di seluruh dunia.

Siapa Dr. Zakir Naik

Nama lengkap beliau adalah Zakir Abdul Karim, lahir pada 18 Oktober, 1965 di Mumbai (Bombay pada waktu itu).

Dr. Zakir Naik merupakan seorang doktor perubatan yang memperoleh ijazah Bachelor of Medicine and Surgery (MBBS) dari Mumbai. Pada tahun 1991, beliau mula bekerja dalam bidang dakwah, dan mengasaskan Islamic Research Foundation (IRF) .

Dr. Zakir Naik merupakan seorang yang popular dalam membuat penilaian kritis dan memberikan jawapan strategik kepada soalan-soalan yang mencabar yang diajukan oleh penonton selepas ceramahnya.

Menerusi ceramahnya, beliau menjelaskan sudut pandangan serta membetulkan pandangan salah terhadap ajaran Islam, dengan menggunakan al-Qur'an, hadis dan input relatif daripada kitab-kitab agama lain sebagai tambahan, bersama fakta saintifik.

Menurut laman blog The Islamic Research Foundation (IRF), dalam tempoh 20 tahun (sehingga tahun 2014) Dr. Zakir Naik telah mengadakan lebih 2,000 sesi ceramah di seluruh dunia.

Antaranya ialah Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Itali, Perancis, Arab Saudi, Australia, New Zealand, Afrika Selatan, Botswana, Nigeria, Ghana, Indonesia, Malaysia, Singapura, Brunei, Thailand, Hong Kong, China, Mauritius, Sri Lanka dan Maldives.

Pada bulan Mac 2012, sesi ceramah beliau di Kishanganj, Bihar, dihadiri lebih daripada sejuta orang, dan menjadi salah satu perhimpunan terbesar di dunia bagi ceramah agama yang hanya dikendalikan oleh seorang penceramah.

Pada tahun 2012, Dr. Zakir Naik pernah mengadakan ceramah di Malaysia. Ceramah beliau berlangsung di Johor Bahru, Universiti Teknologi MARA, Kuantan dan Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur.

Dr. Zakir Naik pernah menerima pelbagai anugerah dari pemimpin-pemimpin di seluruh dunia.

Pada tahun 2013, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan kepada Dr Zakir dalam Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1435H/2013M di Putrajaya.

BACA INI JUGA: Video Ini Punca Ketakutan Hindraf Terhadap Dr. Zakir Naik?

Sumber: Astroawani