Bekas pelatih Rumah Putih, Monica Lewinsky yang menggemparkan pentas politik antarabangsa kerana terbabit dalam skandal seks dengan bekas Presiden Amerika Syarikat Bill Clinton, akhirnya membuka mulut menceritakan kisah sebenar.
Monica bersama Clinton sebelum skandal mereka didedahkan.
Selepas hampir sedekad mendiamkan diri, wanita yang digelar perempuan tidak bermaruah kerana melakukan seks oral di pejabat Oval Rumah Putih, akhirnya muncul di majalah Vanity Fair edisi terbaru untuk mendedahkan kisah silamnya.
Monica yang kini berusia 40 tahun hanya berumur awal 22 tahun ketika skandal berkenaan berlaku iaitu sekitar 1990-an.
Hubungan terlarangnya dengan Clinton ketika itu bukan saja menggemparkan penduduk Amerika Syarikat, malah dia turut dimalukan di seluruh dunia.
Skandal berkenaan ternyata memberi kesan mendalam kepada Monica hingga mendorong dia hampir membunuh diri kerana terlalu tertekan dengan kejian masyarakat sekeliling.
“Selepas sekian lama, barulah kini saya berani untuk tampil ke depan. Clinton boleh menjelaskan perkara sebenar mengenai hubungan kami, tetapi dia tidak berbuat demikian.
“Saya tidak mahu terus menyembunyikan diri dan mahu menamatkan kisah hidup dengan pengakhiran yang berbeza daripada sebelumnya,” luahnya dalam artikel panjang lebar yang disiarkan majalah berkenaan.
Monica sebelum ini mengambil keputusan menyepikan diri hampir sedekad selepas skandal itu dihebohkan kepada orang ramai.
Kehilangan Monica yang sukar dikesan menyebabkan timbul khabar angin dia dibayar oleh Clinton untuk menghilangkan diri sementara menunggu skandal itu dilupakan.
Jelasnya, tiada yang lebih mustahak melainkan menjelaskan kebenaran kepada umum dan bukannya terus menyembunyikan hakikat sebenar.
Skandal Monica dan Clinton menggegarkan Rumah Putih sekitar 1990an.
Skandal seks Monica dan Clinton didedahkan pada orang ramai pada 1998 dan mengejutkan masyarakat seluruh dunia.
Ia juga hampir memusnahkan reputasi Clinton hingga menyebabkan Dewan Perwakilan turut menuduhnya melakukan jenayah pada 1999, namun dilepaskan dengan persetujuan ahli Senat bagi membolehkan beliau menghabiskan penggal keduanya pada 2001.
Meskipun kini skandal berkenaan sudah lama dilupakan, Monica belum diterima sepenuhnya oleh rakyat negara itu selain turut menjadi contoh terburuk dalam sejarah politik Amerika.
Hubungan itu, katanya, berlaku antara dua individu dewasa secara sukarela, tetapi dia amat menyesali apa yang berlaku.
“Sudah pasti ketua saya mengambil kesempatan ke atas saya, tetapi saya ingin tegaskan hubungan kami terjalin secara rela.
“Ia hanyalah satu perhubungan bebas dan saya terpaksa memikul segala tohmahan selain dijadikan kambing hitam semata-mata untuk melindungi jawatan beliau,” katanya dalam satu pendedahan yang dikeluarkan majalah berkenaan Selasa lalu.
Ketika skandal itu hangat diperkatakan, dia menerima banyak tawaran bagi mendedahkan kisahnya sehingga ada yang bernilai RM33 juta, tetapi ditolak kerana berasakan ia bukan satu perkara yang betul untuk dilakukan.
Sebaliknya, Monica kembali meneruskan pengajian sebelum memutuskan untuk tinggal di luar negara dengan mencuba pelbagai pekerjaan terutama di bidang komunikasi dan pemasaran.
Monica dikatakan menyambung pelajaran di peringkat sarjana dalam bidang psikologi sosial di London selain berpindah-randah antara Los Angeles, New York dan Portland, Oregon.
Majalah Time sebelum ini turut menyiarkan skandal berkenaan.
Kisah silam yang dilalui Monica itu bagaimanapun sentiasa menghantui langkahnya dan kebanyakan majikan tidak dapat menerima semua itu dengan hati terbuka.
“Saya sukar mendapat pekerjaan yang baik kerana majikan masih dibayangi skandal berkenaan.
“Kekecewaan yang dilalui membuatkan saya putus harapan dan pernah berhasrat untuk membunuh diri bagi menamatkan semua kesengsaraan itu.
“Situasi itu juga menyebabkan keluarga terutama ibu berasa bimbang saya akan terus dimalukan sehingga ke akhir hayat,” katanya.
Menurut Monica, dia mula berani tampil ke depan selepas tragedi menyayat hati seorang pelajar gay Universiti Rutgers, Tyler Clementi yang membunuh diri kerana tidak tahan dimalukan di khalayak ramai. Ia berkaitan penyebaran video Clementi yang bercium dengan lelaki lain di Internet.
Sebagai salah seorang yang pernah berdepan dengan situasi memalukan itu, Monica akui terpanggil untuk bekerjasama dengan mangsa buli alam siber seperti Clementi bagi membantu mereka berdepan dengan masyarakat.
“Saya sendiri menyesali apa yang berlaku terhadap Presiden Clinton. Biar saya ulangi sekali lagi iaitu saya amat menyesal terhadap apa yang berlaku.
“Mungkin dengan berkongsi cerita berkenaan, saya boleh membantu orang lain berdepan saat hitam yang memalukan,” katanya.
Meskipun mengakui sudah lama melupakan skandal berkenaan, Monica akui sering terfikirkan isteri Clinton, Hillary.
Dia sering tertanya sama ada bekas wanita pertama itu akan menyertai kembali pertandingan bagi merebut kerusi di Rumah Putih.
Ketika kempen Hillary pada 2008 untuk merebut pemilihan calon presiden bagi Parti Demokratik, beliau tewas kepada presiden sekarang, Barack Obama yang menyaksikan nama Monica sekali lagi dikaitkan.
Wajah terbaru Monica.
Beberapa bulan sebelum ini, Monica mula risau dirinya akan dijadikan isu politik lagi sekiranya Hillary mahu kembali merebut jawatan berkenaan untuk penggal 2016.
Monica berkata, dia sanggup melakukan apa saja jika itu dapat memperbetulkan kesilapan yang dilakukan.
“Saya menyesal apa yang berlaku dan bebanan itu seakan-akan sentiasa tergantung di leher. Percayalah, walaupun hanya sekali anda berkelakuan buruk, selamanya masyarakat akan mengingatinya,” katanya. -AFP