Monday, July 27, 2020

SBDJ Siri 170: Di Bilik Misteri

SBDJ Siri 170: Di Bilik Misteri

Sebagai manusia, rasa cemas dan takut tetap berombak dalam dada saya. Tidak keterlaluan, kalau semua benda yang berada di situ menjadi perhatian mata. Hati kecil yang nakal selalu membuat kesimpulan sendiri tentang apa yang ada di situ.

Toyol jadi-jadian

Semoga tidak ada perkara menakutkan muncul di depan mata kami. Itu doa saya.

"Masuk," kata Mia.

Kami pun masuk ke bilik misteri

"Semuanya seperti keadaan asal," untuk kesekian kali Mia mengulanginya.

Andi Kamarool dan saya hanya anggukkan kepala sambil bergerak mengikuti langkah Mia.

"Sampai berapa lama semua benda yang ada di sini dibiarkan begini?" tanya Andi Kamarool.

"Aku sendiri tak tahu. Pertanyaan tu sebaiknya ditanyakan kepada abang aku."

"Maksud kamu Mia?"

"Kerana dia yang menyuruh aku menjaga dan memelihara semua benda-benda dalam bilik ni. Sebenarnya, aku tidak minat dengan perkara-perkara begini.

"Malangnya aku tidak dapat menolaknya. Aku terpaksa, lagi pun semua tidak menyusahkan malah menguntungkan diri aku."

"Kami faham Mia," tingkah Andi Kamarool.

"Tiga tahun atau empat tahun sekali abang aku datang ke bilik ni. Dia ada urusan yang aku sendiri tak tahu. Apa yang pasti, semua peninggalan nenek dan datuk menjadi miliknya kerana dia orang lelaki."

Macam tadi juga saya dan Andi Kamarool terus anggukkan kepala. Tidak berhasrat untuk mengajukan pertanyaan kepada Mia. Semuanya sudah jelas.

Kerana keadaan bilik agak gelap, Mia pun segera memetik suis lampu di tepi dinding. Seluruh bilik misteri terang benderang. Kini segala-galanya dapat dilihat dengan jelas.

Walaupun begitu, Mia tidak dapat menyembunyikan perasaan cemas. Dia melangkah dengan hati-hati. Sedaya upaya mengelakkan kaki atau tangan menyentuh sesuatu di lantai bilik.

Dan Mia seperti mendapat satu petanda, biar secara tidak sengaja dia tersepak sesuatu di lantai.

Kalau tadi dia nampak cemas dan takut-takut tetapi kali ini dia kelihatan lebih berani dan bersemangat.

"Tamar, Andi, tengoklah sepuas hati."

Kami segera berlegar-legar dalam kamar misteri. Sebaik saja kami mendekati katil besi, lampu letrik padam dengan sendiri.

Mia segera melompat keluar dan terus memetik suis lampu di bahagian ruang dapur. Lampu disitu menyala.

Mia kembali ke kamar misteri dan cuba menyalakan lampu, ternyata usahanya gagal.

Mia cuba mencari lilin, tetapi kami menghalangnya.

Pergelangan tangan kiri dan tangan kanannya kami pegang. Kami tidak mahu Mia meninggalkan kami lagi.

Sama ada suka atau tidak, Mia terpaksa berdiri bersama dalam bilik tersebut. Walaupun lampu di ruang dapur menyala, tetapi cahayanya tidak dapat menerangi atau sampai ke dalam bilik.

Dalam keadaan yang serba gawat itu terdengar suara orang perempuan merintih. Mia terpegun dan memberitahu kami bahawa suara itu tidak lain tidak bukan, adalah suara neneknya sendiri.

Lagi sekali saya dan Andi Kamarool diserang rasa gementar. Bulu roma saya mula berdiri dan secara tidak semena-mena lampu di ruang dapur turut padam.

Senja yang mula bermaharaja di luar menambahkan lagi kegelapan dalam kamar.

"Siapa kamu?"

Entah dari mana suara itu datang. Kasar dan keras sekali. Saya pasti itu bukan seorang perempuan, tetapi suara seorang lelaki yang saya kira bertubuh besar dan tinggi.

Ini berpandukan dari gaya dan tekanan suara yang diluahkannya. Tiada jawapan dari saya dan Andi Kamarool.

"Terangkan, siapa kamu?" ulang suara itu, bertambah keras dan garang.

"Saya dari keturunan Anak Kuntar," terdengar suara Andi Kamarool menjawab pertanyaan.

Saya bertambah gementar. Saya tak mahu menyebut asal keturunan saya kepada orang yang tidak saya kenali.

GELAP

Suasana terasa sepi dan menyeramkan. Dalam gelap itu saya terasa seperti ada sesuatu yang bergerak di sisi saya.

Tiada pertanyaan yang dikemukakan oleh suara tersebut. Cuma yang terdengar adalah suara seperti orang mengeluh.

Mia terus memegang pergelangan tangan saya dengan kuat. Sesungguhnya, pada saat itu, tidak ada rasa ghairah dan terpikat kepada Mia, mekipun bahu kamu sering bersentuhan dan rambutnya yang panjang berbau wangi menyentuh cuping telinga.

Dan adakalanya secara tidak sengaja pipi kami berlaga dalam gelap. Semuanya tidak membangkitkan rasa berahi.

Saya memegang dan memaut lengannya semata-mata kerana mahu menghilangkan rasa takut.

"Iya, sekarang aku dah kenal kamu," cara mengejut suara itu bergema kembali.

"Ayah kamu pewaris dari Rajo Kaya?"

"Iya, memang tepat tuk," jawap Andi Kamarool.

"Kawan kamu yang satu datang dari tanah seberang."

"Iya tuk dari negeri bernama Perak."

"Aku tahu dia tidak berbahaya. Aku tahu asal keturunannya."

Saya terus membatu, badan saya menggeletar sendiri.

Suasana dalam kamar itu terasa cukup menggerunkan. Ada bunyi orang berjalan dan sekali terasa kedua belah bahu saya di tepuk dari belakang.

Di dinding ada dua cahaya memancar seperti cahaya lampu picit. Saya kira, itu adalah sepasang mata harimau jelmaan.

Akibat kemunculan dua cahaya di tepi dinding, suhu badan Mia segera bertukar dari normal menjadi panas.

Saya berusaha memisahkan telapak tangan yang mencengkam pergelangan Mia. Ternyata usaha saya itu tidak berjaya, tangan saya terus melekat bagaikan diikat. Saya terpaksa menahan rasa panas yang amat sangat.

"Apakah tuk dan nenek marah kerana saya dan kawan datang ke sini?" Andi Kamarool terus bertanya.

"Tidak, tidak cucu Rajo Kaya, aku gembira kerana kamu mahu bersahabat dengan cucu aku si Mia."

Setiap patah kata yang diungkapkan oleh suara misteri kepada Andi Kamarool, saya ikuti dengan teliti.

Dengan demikian saya dapat membina keyakinan dan kekuatan dalam diri sendiri. Secara tidak langsung rasa takut dan cemas tersingkir dari lubuk hati.

Bila rasa takut tidak dapat menguasai diri, suhu panas di badan Mia kembali normal. Rasa panas di telapak tangannya terus hilang.

Aneh sungguh, cahaya di dinding, rasa takut, bagaikan mempunyai hubungkait dengan diri Mia, gadis misteri.

"Tuk dan nenek, kenal rapat dengan Rajo Kaya?"

"Secara tentang muka kami tak pernah kenal, secara batin, aku sekarang mengenalinya. Rajo Kaya juga ada menyimpan harimau yang kemudiannya diserahkan kepada ayah kamu. Apa tujuan kamu datang ke mari?"

"Tak ada membawa maksud apa-apa, sekadar untuk menziarahi saja, tuk," dengan nada suara penuh keyakinan Andi Kamarool menjawap pertanyaan dari suara ghaib.

SEPI

Suasana kembali sepi. Saya berdoa dan mengharap tidak ada lagi dialog antara Andi Kamarool dengan menusia ghaib itu.

Saya sudah lemas dan jemu berhadapan dengan keadaan begini. Kalau boleh saya mahu segera keluar dari kamar yang penuh misteri ini.

"Aku senang kamu dan kawan kamu datang menziarahi kami. Aku harap perkenalan kamu dengan cucu kami akan berlanjutan," suara yang bertanya sudah bertukar kepada suara orang perempuan, lembut dan bersopan santun.

Barangkali itu suara nenek Mia. Dari nada suara yang terucap menandakan bahawa dia (dan mungkin suaminya) menyenangi kedatangan kami.

"Sekarang kamu berdua sudah tahu yang Kutar itu anak lelaki Dubalang Api, menantu kesayangan Rajo Kaya.

"Keturunan kamu keturunan orang yang hebat-hebat belaka, lebih handal dari kami. Jangan sia-siakan peninggalan nenek moyang kamu. Mahu aku terangkan pada kamu yang bapa kamu isterinya seorang saja?"

Saya tidak tahu apa reaksi Andi Kamarool mendengar kara-kata itu. Saya tidak melihat wajahnya (Andi Kamarool) dalam gelap.

Saya ramas tangan Mia dalam rasa aneh yang memanjang. Manusia harimau dalam alam ghaib itu, dapat mengetahui segala-galanya tentang asal keturunan Andi Kamarool.

Walaupun semasa hayatnya dulu, manusia harimau tidak mengenali keluarga atau keturunan Andi Kamarool.

Memang saya harapkan suara ghaib itu tidak menyorot asal keturunan datuk saya, Tetapi, kalau hal itu dilakukannya pasti saya tidak dapat berbuat apa-apa.

Hati kecil saya terus berdoa agar perkara sedemikian tidak akan terjadi.

"Benar nenek, isteri bapa seorang saja sampai mati," Andi Kamarool bersuara dengan bangga.

"Kamu belum berkahwin lagi?"

"Ia nenek, saya sedang mencari."

"Kalau sudah mendapat jodoh, kamu harus setia dan menjaga kesejatiannya. Aku tahu kamu mampu mengumpul wanita sebanyak mana yang kamu inginkan. Kamu mampu menundukkan wanita, jika kamu mahu," suara dalam gelap terus bergema.

"Saya faham nek."

"Andi," sambung suara ghaib itu kembali.

"Aku harap kamu tidak melakukannya, kerana itu bukan caranya mempertahankan kesejatian. Takdirnya, pada suatu hari nanti, kamu akan menurunkan warisanmu kepada cucu lelaki kamu.

"Apa jadinya, kalau semua yang mahu kamu perturunkan sudah hancur musnah, semuanya kerana kamu tidak pandai menjaganya."

Saya terdengar Andi Kamarool mengeluh kecil. Dan Mia menyatakan resah. Dia mengerakkan bahunya sehingga berlaga dengan bahu saya. Bunyi nafasnya jelas kedengaran.

"Kerana itu, jangan sekali-kali kamu turutkan keinginan dan hasrat kebinatangan dalam diri manusia. Tidak ada faedahnya, selain dari kehancuran.

"Cubalah kamu fikirkan Andi, Dubalang Api dan Rajo Kaya sebagai pemangku keturunan tetap beristeri satu," bergema lagi suara nenek Mia.

Macam tadi juga, Andi terpaksa mengambil masa untuk menjawab hujah diluahkan oleh suara ghaib itu.

"Tapi adik dan abang ayah berkahwin lebih dari satu?" tanya Andi Kamarool.

"Itulah sebabnya mereka tidak boleh memangku warisan keturunan. Mereka tidak memperolehi hak untuk memelihara harimau keturunan.

"Jika kamu ada kesulitan, datang menemui aku. Sayang..." suara ghaib itu terputus dan digantikan dengan keluhan yang memanjang.

Saya terdengar Andi Kamarool terbatuk. Hati kecil saya terus didatangi doa, semoga Andi Kamarool tidak melanjutkan pertanyaan.

Sesungguhnya saya sudah lemas dan bosan berada dalam kamar yang gelap ini.

"Apa yang sayang tu nek," Andi Kamarool membunuh harapan yang berbunga dalam hati.

Bunti tarikan dan luahan nafas cukup jelas kedengaran.

"Sayangnya kamu tidak mahu memelihara harimau yang ditinggalkan untuk kamu, Andi."

"Sebenarnya bukan apa-apa. Saya kira memelihara harimau ghaib dalam dunia serba maju, bukanlah sesuatu yang baik. Lagi pun saya tidak berminat."

"Aku tak dapat buat apa-apa. Itu kemahuan kamu. Kesian harimau warisan menjadi kurus kering, merayau-rayau mencari tuan, sedangkan orang yang berhak, tidak mahu memeliharanya. Kamu harus memikirkan masalah ini, Andi."

"Saya tidak mahu memikirkannya, saya tidak mahu membawa masalah pada diri saya dan keturunan saya nek."

"Tidak teruk memeliharanya. Makanannya hanya tujuh biji bertih, sebulan sekali kami harus melayani di bawah sinaran bulan."

"Keputusan saya muktamad nek, saya tidak memerlukannya. Sekarang bukan zamannya," begitu bertenaga Andi Kamarool mengucapkan kata-kata.

"Apa boleh buat, keadaan memaksa waris keturunan harimau jadian lenyap begitu sahaja. Keturunan yang kemudian tidak mahu mempertahankannya. Inilah nasib malang kami," nada suara nenek (ghaib) lemah, membayangkan rasa putus asa dan kecewa yang amat sangat.

MENYALA

Seterusnya, suasana dalam kamar terasa hening sekali. Dan tiba-tiba lampu bilik menyala sendiri. Buat beberapa detik, kami berpandangan sama sendiri.

Kemudian saya dan Andi Kamarool merenung ke arah katil besi (Mia merenung ke ruang dapur). Tidak ada-apa pun berubah.

Cadar putih tetap seperti tadi, begitu juga dengan dua biji bantal tanpa sarung. Semuanya seperti tadi.

"Kamu berdua dah dengar dan lihat," Mia tatap wajah kami.

Saya anggukkan kepala begitu juga dengan Andi Kaamrool. Tetapi, hati kecil saya terus bertanya.

Benarkah suara yang saya dengar itu suara nenek Mia. Mungkin suara orang lain yang menyamar.

Semasa otak saya berputar ligat memikirkan perkara tersebut, terasa seperti kuku harimau mencengkam batang tengkuk saya dari belakang.

Saya rasa gentar dan secara tidak langsung apa yang bermain dalam hati kecil saya (tentang suara nenek Mia) turut terhakis.

Bila saya tidak memikirkan tentang perkara tersebut, kuku harimau yang mencengkam batang leher turut hilang.

Saya tidak tahu bagaimana perkara tersebut boleh terjadi. Bagaikan ada kaitan antara suara hati dengan kuku harimau yang mencengkam batang leher saya.

Apakah makhluk yang menghuni kamar aneh ini sudah menguasai hati nurani saya.

"Bagaimana kalau aku bawa kamu berdua ke tempat lain," lanjut Mia dengan sinar mata yang bercahaya.

Dengan serta merta saya memalingkan muka ke arah Andi Kamarool. Secepat kilat Andi Kamarool mengenyitkan mata, menyuruh saya mengajukan pertanyaan.

"Mia nak bawa kami ke mana?"

"Ikut saja."

Kerana saya yang bertanya, kata-kata itu di tujukan kepada saya. Andi Kamarool hanya tersengih kemudian melangkah keluar dari bilik misteri itu.

Kami bertiga (Mia, saya dan Andi Kamarool) melintasi ruang dapur yang terang benderang, menuju ke halaman (bahagian belakang rumah) yang sudah dikuasai oleh warna senja yang samar dan kelabu.

"Ke mana kamu nak bawa kami Mia?" tanya saya.

"Ke kubur nenek aku."

"Haaaaa..." Andi Kamarool seperti terkejut.

"Kamu mahu bergurau dengan kami Mia?"

"Tidak, aku serius ni, Andi."

"Aku tak mahu ke kawasan kubur waktu senja begini. Kalau kamu semua nak pergi teruskan. Biar aku balik ke rumah papan," saya melahirkan protes dan memberhentikan langkah.

Tindakan mengejut yang saya buat menimbulkan rasa serba salah kepada Mia dan Andi Kamarool. Mereka juga berhenti melangkah lalu mendekati saya.

"Kenapa Tamar?" tanya Mia lembut.

"Kamu gila, nak pergi ke tanah kubur waktu senja. Nanti banyak bencana yang kami terima."

Mia menhela nafas, sesekali dia menggaru cuping telinga sebelah kiri. Dia jadi resah dengan tindakan yang saya buat.

"Bukan di kawasan tanah perkuburan, Tamar."

Kata-kata yang diluahkan oleh Mia membuat saya membeliakkan sepasang biji mata. Kalau bukan di tanah perkuburan, di mana pula neneknya di kebumikan?

"Habis, nenek kamu dikebumikan di mana Mia?"

Saya lihat Mia tersenyum. Barangkali pertanyaan yang saya ajukan itu seolah-olah memberi harapan yang saya bersedia mengikut cakapnya.

"Di kawasan rumah ni, tak jauh dari sini. Di bawah pokok, buluh kuning di bucu kanan kawasan rumah," Mia meluruskan telunjuk kepada rumpun buluh kuning yang tumbuh merimbun di sudut kanan halaman rumah.

"Mari."

Mia menyambar pergelangan tangan kanan, menarik saya menuju ke arah rumpun buluh kuning.

Saya tetap enggan pergi dan terus berdiri kaku. Andi Kamarool segera mendekati saya.

"Ikut saja Tamar," itu yang dibisikkan oleh Andi Kamarool ke telinga saya.

"Aku takut kalau terjadi perkara yang buruk, Andi."

"Tamar, bukan niat hati mahu menjahanamkan kamu berdua. Saya mahu menunjukkan perkara yang saya tahu. Tapi, kalau kamu berdua tak mahu, saya tak kisah," kata Mia, air mukanya menggambarkan rasa hampa dan kecewa yang amat sangat.

WAJAR

Saya tergamam, diluar dugaan Mia bertindak begitu. Mungkin perasaannya tersentuh dengan tindak tanduk saya perlihatkan.

Dan sememang tidak wajar saya bersikap demikian. Saya harus menghormatinya.

"Ok, kita pergi sekarang, Mia."

Mia tersenyum riang, Andi Kamarool terus menyambar jari-jemari tangan kiri saya dan terus diramas penuh mesra.

"Terima kasih Tamar."

"Aku harap keputusan yang aku buat ni menggembirakan hati kamu dan Mia."

"Iya, sudah semestinya," sahut Mia.

Tanpa banyak cakap, saya dan Andi Kamarool mengikuti Mia ke rumpun buluh kuning.

Makin hampir dengan kawasan buluh kuning, makin terasa cemas. Macam ada sepasang mata yang mengawasi gerak-geri saya dan Andi Kamarool.

Keadaan hari yang semakin samar membuat suasana terasa seram sekali. Mia mempercepatkan langkahnya dan saya semakin resah.

Cuping telinga kiri dan kanan saya seperti disentuh benda bulat yang berbulu. Sukar untuk meneka rupa bentuknya dengan tepat kerana benda itu tidak dapat di lihat.

Saya hanya dapat mengagaknya saja yang benda itu bulat dan berbulu. Walau apa pun, gangguan benda tersebut membuat saya rasa tidak selesa.

Saya tidak pasti, apakah Andi Kamarool mengalaminya?

"Melangkah perlahan, jangan bercakap dan bersihkan hati dari takbur. Kalau terlihat benda ganjil diam," Mia mengeluarkan arahan.

Langkah saya dan Andi Kamarool terhenti. Kami menanti arahan selanjutnya dari Mia.

"Sekarang bergerak dengan mendahulukan kaki kanan. Renung terus ke depan, jangan toleh kanan."

"Baik Mia," jawab kami serentak.

Dua tiga detik berikutnya, Mia melangkah enam tujuh tapak ke depan mendahului kami sambil mengangkat tangan kiri melepasi kepala, memberi isyarat supaya kami berdua mengikutnya. Kami tetap patuh dengan arahannya itu.

Lebih kurang antara 10 hingga 15 langkah kami melangkah, kami disuruh berhenti di hadapan timbunan batu-batu sungai dan gunung. Ada yang berbentuk bujur, bulat dan nipis.

Dalam cuaca yang bertambah kelam itu, saya masih dapat melihat bebatu tersebut. Ada yang warna kelabu, hitam, warna tanah liat dan ada juga berwarna putih bersih.

"Timbunan batu apa ni Mia?" tanya saya.

"Inilah dia."

"Maksud kamu Mia. Ini kubur nenek kamu?" serentak saya dan Andi Kamarool bersuara.

"Iya, inilah kuburnya."

"Ditanam dalam kawasan rumah, ditimbus dengan batu-batu gunung dan sungai. Aneh sungguh."

"Iya, seperti yang dihajatinya, kenapa kamu bertanya perkara yang sudah tahu," dari tekanan nada suaranya, ada semacam keresahan dalam diri Mia.

Dia seolah-olah kurang puas hati dengan saya yang kerap bertanya dan kerap pula memberi komentar.

"Maafkan dia Mia," Andi Kamarool bersuara.

Mia segera anggukkan kepala sambil melahirkan senyum. Itu tandanya dia sudah memaafkan saya.

Tentu saya amat gembira sekali dengan tindakannya itu. Saya pun menarik nafas lega.

SENJA

Di bawah kamar senja yang kian memberat itu, saya mengambil kesempatan menjeling ke kiri dan ke kanan.

Aneh, setiap kali melakukan perbuatan itu perasaan saya jadi tidak tentu arah. Darah gemuruh menguasai urat-saraf, kepala terasa pening, pandangan jadi berpinar-pinar.

Dua tiga kali saya seakan-akan melihat harimau melompat-lompat, duduk mencangkung di tepi longgokan batu sambil memain-mainkan ekornya.

Bila direnung dengan tetap ke arah tempat tersebut, bayang-bayang harimau itu memang tidak wujud sama sekali, kecuali longgokan batu.

Semuanya ini membuat saya resah dan saya mula mengerti kenapa Mia melarang saya dan Andi Kamarolol merenung ke kiri dan ke kanan. Tegahannya bukan kosong tetapi berasas.

"Tamar," kata Adi Kamarool dalam nada suara yang perlahan sekali. Saya renung mukanya.

"Ada apa Andi?"

"Hadiahkan fatihah untuk roh si mati."

Saya anggukkan kepala. Dan kami segera duduk atas ketulan batu yang agak terpisah dengan longgokan batu atas kubur.

Mia masih berdiri, sepasang matanya merenung ke arah rumpun bambu kuning, macam ada sesuatu yang diintainya di situ. Kami memutuskan tidak mahu menganggu Mia. Biarlah dia dengan caranya.

Dengan penuh ketenangan dan khusyuk, saya dan Andi Kamarool melafazkan doa yang diakhiri dengan Al-Fatihah untuk roh si mati.

Semoga diampuni oleh Allah segala dosanya dan rohnya di tempatkan di kalangan roh insan yang soleh.

"Kubur Rajo Kaya dan Dubalang Api macam ini juga. Agaknya keturunan manusia harimau mesti ditindih dengan batu sungai atau gunung," itu yang dibisikkan oleh Andi Kamarool ke telinga saya.

Kerana tidak pernah melihat bentuk kubur manusia yang dikatakan oleh Andi Kamarool, saya tidak dapat memberikan sebarang komen kecuali tersenyum lebar.

Barangkali, Andi Kamarool faham dan mengerti kerana itu dia tidak melanjutkan cerita tenang dua pusara tersebut.

Dengan perlahan-lahan Andi Kamarool bangun dan saya menyusul beberapa saat kemudian.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 170/284

BACA: SBDJ Siri 169: Mendengar Suara Ganjil
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Sunday, July 12, 2020

SBDJ Siri 169: Mendengar Suara Ganjil

SBDJ Siri 169: Mendengar Suara Ganjil

Setelah menunaikan sembahyang asar, saya terus berlegar-legar dalam bilik surau. Datuk membaca al-Quran, Haji Basilam terus berwirid panjang. Andi Kamarool baring terlentang di bucu surau, sepasang matanya merenung siling surau. Barangkali dia sedang pasang angan-angan tentang Mia agaknya.

Toyol jadi-jadian

Agaknya dia sedang membayangkan dirinya berjalan berdua-duaan dengan Mia di padang lapang. Mereka berkejar-kejaran, berjatuh-jatuhan di tanah lapang. Saling gelak ketawa.

Biarlah Andi Kamarool dengan dunianya, bisik batin saya sambil mengeliat.

"Hummmmm..."

Saya menoleh ke arah Andi Kamarool yang mengeluh. Kedudukannya sudah berubah, kalau tadi dia menelentang kini dia meniarap pula. Datuk dan Haji Basilam masih seperti tadi.

Saya berubah tempat dari penjuru sebelah kanan, bergerak ke penjuru kiri dan pada saat itu sepasang mata saya tertumbuk ke arah beberapa keping sejadah yang tersangkut di dinding.

Sesungguhnya, saya tidak berminat dengan sejadah yang dilipat tiga segi serta ditindih dengan anak lesung batu. Terletak betul betul dibawah jendela yang daunnya tertutup rapat.

Kerana kedudukannya terasing dari sejadah-sejadah yang lain dan ditindih dengan anak lesung batu pula, membuat saya tidak sabar-sabar untuk melihat rupa dan bentuk sejadah tersebut.

Tanpa mahu membuang masa, anak lesung batu saya tolak, sejadah yang berlipat tiga terus ditarik dan dibentangkan atas lantai.

Bila sejadah terhampar di depan mata, saya terlihat potret harimau. Badan harimau berwarna kuning dengan belang-belang hitam berlatar belakangkan pepohon yang menghijau segar.

Saya tatap potret muka harimau untuk beberapa saat dan saya rasa sepasang telinga dan matanya bergerak.

Dan pada saat itu juga, seluruh urat saraf terasa lemah, darah jadi gemuruh dan perasaan jadi gementar.

Saya renung ke arah datuk, Haji Basilam dan Andi Kamarool, semuanya tidak merenung ke arah saya.

Cepat-cepat sejadah aneh itu saya lipat tiga kembali, lalu saya tindih dengan anak lesung batu. Tempat itu segera saya tinggalkan, bergerak perlahan-lahan ke arah Andi Kamarool.

Buat beberapa saat, saya terpaksa duduk bersila di hujung kepala Andi Kamarool untuk menenangkan perasaan dan menghilangkan darah gemuruh yang berlari dalam urat saraf.

Bila perasaan kembali normal, saya segera mendekati Haji Basilam yang secara kebetulan sudah selesai wirid.

"Kenapa muka kamu nampak cemas Tamar?"

"Tak adalah, saya macam biasa."

"Kalau begitu, aku yang salah pandang," kata Haji Basilam sinis.

Debar hati di kala itu hanya Allah saja yang tahu. Haji Basilam bangkit dari duduknya.

Kerana merasa tidak selesa, Andi Kamarool terus duduk dan kemudian berdiri. Datuk menutup Quran dan meletakkan di atas rak.

Haji Basilam melangkah ke tengah surau dengan diikuti oleh datuk. Mereka berhenti di situ.

"Sekarang kita pergi ke rumah lain. Kita bermalam di situ," kata Haji Basilam kepada datuk.

"Ayuh, kita pergi sekarang," balas datuk sambil melemparkan pandangan ke arah saya dan Andi Kamarool.

Kami (saya, Andi Kamarool dan datuk) dibawa oleh Haji Basilam menuju ke sebuah rumah yang terletak di sebelah kanan rumah batu besar.

Jaraknya dengan rumah batu besar, kira-kira sepelaung saja. Dengan tenang, Haji Basilam membuka pintu.

"Naiklah," katanya dari ambang pintu.

Datuk pijak anak tangga dengan teliti dan akhirnya tubuh datuk hilang ditelan pintu rumah.

Saya dengan Andi Kamarool saling berpandangan, siapakah yang harus naik dulu? Saya atau Andi Kamarool.

Lapang rasa dada, bila Andi Kamarool mendahului saya memijak anak tangga rumah. Saya mengekori dari belakang.

Kalau ada bencana, pasti Andi Kamarool menerima risikonya terlebih dahulu dan saya masih ada kesempatan untuk mengelak atau cabut lari.

Berada dalam perut rumah tubuh terasa sejuk sekali. Haji Basilam tidak ambil peduli kehadiran kami.

Dia asyik memberi penerangan tentang rumah papan kepada datuk. Saya lihat datuk anggukkan kepala saja.

MEJA

Rumah papan tiga bilik itu mempunyai ruang tamu yang luas. Tersedia sebuah meja bundar (bulat) yang diperbuat dari papan jati, di kelilingi empat kerusi rotan.

Di tengah bundar ada patung harimau sedang tidur dibuat dari tembikar.

Tidak jauh dari meja bundar, tersedia meja empat persegi yang dibuat dari kayu cengal beralaskan cermin tebal.

Di bawah cermin tersedia potret harimau dengan sepasang mata bersinar. Potret harimau itu nampak seperti hidup.

Kerana emosi terganggu mendorong saya bertindak, menarik kain tutup meja berwarna kuning di bawah meja bundar, lalu menutup potret harimau Sumatera itu.

"Eh tamar, jangan kamu kacau meja tu. Itu meja tulis bapa Mia, sebaiknya kamu beredar dari situ," teriak Haji Basilam. Gerak-geri saya dapat dikesannya.

"Saya tak tahu Tuk Aji."

"Aku lupa nak cakap tadi, dulu meja kaca tu di tempatkan di rumah batu, kemudian di pindahkan ke sini."

"Kenapa dipindahkan ke rumah kecil Tuk Aji?" soal Andi Kamarool.

Saya lihat Haji Basilam menggigit bibir. Ia seperti keberatan mahu menjawab pertanyaan Andi Kamarool.

"Pelik juga, dari rumah batu dipindahkan ke rumah papan," kata saya.

Dan kali ini saya lihat Haji Basilam melagakan gigi atas dengan gigi bawah beberapa kali. Dia mundar-mandir di depan kami dan akhirnya berhenti di depan saya.

"Sebabnya..." Haji Basilam tidak meneruskan kata-kata.

Dia renung muka datuk buat beberapa saat. Bila datuk anggukkan kepala, Haji Basilam pun meneruskan percakapan yang tersangkut.

"Sebabnya, Mia selalu terlihat bentuk manusia yang menyerupai bapanya membaca dan menulis di meja itu waktu tengah malam, terutama pada malam Jumaat dan Isnin. Kadang-kadang dia nampak anak harimau bermain atas meja tu."

"Haaaa..." mulut saya terlopong.

Dengan serta merta bulu roma saya berdiri. Saya segera beredar dari tepi kaca empat segi.

"Bagus jangan dekat meja itu," puji Haji Basilam.

Dia melihat saya beredar disisi tanpa mempedulikan Andi Kamarool yang sedang berbual dengan datuk.

Dari bibir jendela, saya menatap pepohon yang hijau damai di lereng bukit, hati terhibur melihat awan gemawan berarak lembut bersama kicau burung. Dedaun kelapa melintuk-lintuk disentuh bayu petang yang bertiup lembut.

Haji Basilam bergerak menuju ke arah datuk dan Andi Kamarool.

"Memang saya tak duga, abang Aji nak singgah dan bermalam di sini," suara datuk menerkam gegendang telinga saya.

"Bukan apa-apa, aku cuma nak beri pengalaman baru kepada cucu kamu dan kawannya. Aku tak mahu mereka dengar cerita yang bukan-bukan, kemudian mereka percaya dengan cerita itu lalu dihebahkan kepada orang lain, sedangkan mereka sendiri tak tengok," terang Haji Basilam.

"Maksud abang Aji?" tanya datuk.

"Mereka berdua pernah bagitau aku yang mereka pernah dengar cerita-cerita pelik dan aneh di Kerinci ni. Jadi aku mahu mereka tengok sendiri apakah cerita yang mereka dengar itu benar atau sekadar cerita saja."

"Saya faham sekarang, tapi..."

"Tapi apa?" Haji Basilam tentang biji mata datuk.

"Soalnya, beranikah budak berdua tu menghadapinya?"

"Kita tengok dulu, kalau dia orang boleh, kita biarkan. Kalau dia orang tak boleh kita suruh diorang undur."

"Saya setuju," suara datuk riang benar. Ada senyum berlari di kelopak matanya.

BULAT

Bila dialog antara Haji Baslam dengan datuk tidak dapat ditangkap oleh gegendang telinga, saya segera menoleh ke arah mereka. Ingin mengetahui kenapa mereka diam.

Dan pada saat itu saya dapati Andi Kamarool sudah berubah tempat. Dia membelek-belek kitab lama di bawah meja bulat.

Andi Kamarool mencangkung di situ, macam anjing merenung tulang.

"Berapa lama agaknya kita di sini abang Aji?"

"Ikut keadaan," sahut Haji Basilam sambil menyuruh datuk masuk ke bilik tengah untuk berehat.

"Abang Aji bilik mana?"

"Aku di bilik dekat pintu masuk."

"Kalau begitu, budak-budak berdua di bilik sebelah kiri," datuk menoleh ke arah saya dan Andi Kamarool, sebelum dia merenung ke arah bilik yang terbuka sebelah.

Di sebelah kanan pintu (lebih tetapnya dinding sebelah luar) tersangkut sebilah sundang. Di hujung sundang tergantung pedang lama tanpa sarung. Mata pedang nampak berkarat.

Melihat pintu bilik yang terbuka separuh, sundang dan pedang tanpa sarung membuat hati saya berat sekali untuk menginap dibilik tersebut.

"Saya dengan Andi tidur dibilik itu, Tuk Aji," saya meluruskan jari telunjuk ke arah pintu bilik yang terbuka separuh.

Pertanyaan saya tidak dijawab oleh Haji Basilam. Dia hanya tersenyum.

"Belum tentu kamu berdua boleh tidur di situ," jawapan dari Haji Basilam membuat jantung saya berdebar. Seribu persoalan menari-nari dalam kotak minda saya.

"Habis kami tidur di mana?" Andi Kamarool minta kepastian.

"Aku mahu kamu berdua tidur di anjung rumah batu."

"Anjung rumah batu mana Tuk Aji," potong saya.

"Di anjung rumah batu Mia."

"Minta maaf," celah Andi Kamarool.

Haji Basilam ketawa, datuk menggelengkan kepala mendengar ungkapan yang diluahkan oleh Andi Kamarool.

"Jangan mudah mengalah sebelum mencuba, kamu berdua boleh tahu siapa Mia yang sebenar."

Saya dan Andi Kamarool kerutkan kening dan serentak kami merenung muka Haji Basilam dengan seribu persoalan.

Ternyata reaksi kami tidak mengejutkan Haji Basilam, malah dia mempamerkan senyum sinis.

Tanpa mahu mengikuti perkembangan selanjutnya, datuk terus melangkah ke dalam kamar yang dikhaskan untuknya.

Haji Basilam mengikuti datuk sehingga di ambang pintu bilik.

"Aku nak bawa budak-budak ni keluar."

"Silakan abang Aji," sahut datuk dari dalam kamar.

Kerana sudah tahu matlamatnya, saya dan Andi Kamarool keberatan memenuhi ajakan Haji Basilam itu. Walaupun dia sudah berada di muka pintu.

"Mari, kenapa diam di situ," suara Haji Basilam lembut. Dan kami tidak berupaya membantah. Akur dengan kemahuannya.

Saya dan Andi Kamarool mengekori Haji Basilam menuju ke rumah batu besar. Lagi sekali kami terdampar di ruang tamu rumah batu.

Bila berdepan dengan Mia, keresahan di hati pun berakhir. Jauh di sudut hati, saya amat mengagumi kecantikannya.

Dia kelihatan lemah-lembut dan bersopan santun. Saya kira Andi Kamarool juga sependapat dengan saya.

"Si Andi dan Tamar nak melawat kawasan rumah kamu, Mia."

"Boleh ayah bawalah."

"Begini Mia, kamu sendiri yang bawa mereka."

"Ayah nak ke mana?"

"Aku nak berehat, lagipun mereka nak tidur di anjung rumah kamu," kata Haji Basilam sambil bangun.

Tanpa mahu merenung ke arah saya dan Andi Kamarool, Haji Basilam melangkah keluar dari ruang tamu.

Saya dan Andi Kamarool termanggu kerana tidak menduga Haji Basilam membuat keputusan begitu drastik sekali.

Sepasang biji mata Mia silih berganti menatap kami. Dia bagaikan tahu apa yang bergolak dalam lubuk hati saya dan Andi Kamarool.

"Cakap dengan jujur, kamu berdua pernah mendengar cerita yang pelik-pelik tentang aku," soal Mia.

Serentak kami gelengkan kepala.

"Ayah tak cerita apa-apa?"

"Tak ada," jawab kami serentak.

GARU

Buat beberapa detik Mia menggaru-garu pangkal dagunya dengan jari kelingking. Kemudian dia menarik nafas kelegaan. Mia puas hati dengan penjelasan yang kami luahkan.

"Mari," Mia renung muka kami sekali lagi. Ia terus bangun dari kerusi dan melangkah ke pintu.

Kami terus mengekorinya, sebaik sampai di halaman, Mia tidak meneruskan langkah. Dia terus duduk dibangku panjang.

"Kenapa Mia? Kamu sangsi dengan kami," tanya saya.

"Tidak," dia terus bangun.

"Tapi aku..."

"Tapi apa Mia?" potong Andi Kamarool.

Mia senyum dengan sepasang mata yang cantik, bercahaya menampar wajah Andi Kamarool.

Hati saya terus berdebar. Mia terlalu banyak berteka teki dalam hal ini, fikir saya dalam hati. Rasa meluat dan benci kepadanya mula bermain dalam diri.

"Terus terang saja dengan kami Mia," saya merayu.

"Kalau jumpa benda-benda ganjil jangan terkejut. Aku tahu ada pelbagai cerita tentang rumah ni, kerana kamu datang bersama ayah, aku yakin kamu ikhlas, aku harap kamu berdua dapat mencari perkara yang ganjil tu," tambah Mia.

"Kami faham Mia, cerita di luar kadang-kadang lebih hebat dari cerita sebenar. Memang adat manusia suka menambah cerita," Andi Kamarool memberikan pendapat.

"Barangkali cakap Andi betul," balas Mia bersama senyuman dan jelingan manja ke arah Andi Kamarool yang wajahnya mirip pelakon Mustapha Kamal (semasa muda dulu).

Jelingan dan senyuman segera dibalas oleh Andi Kamarool dan Mia nampak tergamam sedikit.

Saya kira, antara mereka ada getaran rasa yang terpancar dari senyuman dan kerlingan.

"Mari kita mulakan."

"Ayuh," jawab saya dan Andi Kamarool serentak.

Untuk melawat seluruh kawasan rumah batu lama itu, perjalanan di mulakan dari sebelah kiri halaman menuju ke kanan.

Berjalan-jalan di kawasan rumah yang luas, di bawah sinar matahari petang yang memancar lembut memang menyeronokkan. Tetapi sebagai manusia saya tetap berhati-hati.

"Mia duduk seorang di sini?" saya bertanya dalam usaha mengatasi rasa jemu berjalan.

"Iya saya tingal seorang. Kenapa Tamar tanya perkara macam tu?"

"Sengaja tanya, saya kira Mia seorang perempuan yang berani."

Mia terdiam, langkah yang rancak diperlahankannya. Kicau burung terus mengasak lubang telinga kami. Di udara kelihatan helang liar terbang rendah.

"Keluarga saya percaya, saya dikawal oleh nenek sendiri. Dalam bahasa di sini sebut Opung," penjelasan yang diungkapkan oleh Mia itu membuat kami bingung.

Haji Basilam tidak pernah menyebut tentang nenek Mia. Saya renung ke kiri dan ke kanan dan ke arah rumah batu, mudah-mudahan biji mata saya dapat mengesan rupa paras nenek Mia. Harapan saya tidak menjadi kenyataan.

"Tapi, sejak tadi kami tak nampak nenek Mia?" Andi Kamarool pula bertanya dalam nada suara yang membayangkan rasa cemas.

"Dia datang bila dipanggil."

"Kami ingin bertemu dengannya Mia," saya hulurkan permintaan.

"Datuk nenek tidak datang secara fizikal."

"Kenapa begitu Mia?" saya mula cemas.

"Datuk dan nenek saya sudah mati."

"Huhhhhh..." keluh saya.

Seluruh sendi kaki terasa lemah. Bagaikan tidak berdaya mahu melangkah. Mahu saya nyatakan pada Mia supaya membatalkan saja melawat kawasan rumahnya.

"Mia kita berhenti di sini."

Permintaan saya tidak dihampakan. Mia sedia berhenti di bawah pokok besar dan duduk atas batang kayu tumbang yang terdapat di situ.

"Mia, kamu harus berterus terang dengan kami. Cerita kamu menimbulkan macam-macam sangkaan buruk di hati," begitu spontan Andi Kamarool menyuarakan suara hatinya.Tanpa segan-segan dia terus duduk.

"Pada kamu berterus terang tetapi, kami tidak dapat menangkap maksud dari kata-kata kamu, Mia."

"Jadi, kamu mahu aku cerita cara terang-terangan Andi?"

"Iya, sudah mestinya begitu."

"Semua keluarga percaya, datuk nenek kami keturunan manusia harimau. Bapa saya, emak saya, adik beradik dan saya memang manusia keturunan harimau. Apa kamu berdua sudah puas dengan penjelasan ini, mari aku tunjukkan buktinya."

Sebelum menyahut pelawannya itu, saya dan Andi Kamarool didakap keresahan. Saya melangkah ke kiri dan ke kanan di hujung batang kayu. Andi Kamarool, sekejap duduk, sekejap bangun. Mia tetap tenang.

"Macam mana! Setuju ikut aku?"

Mia minta kepastian. Kami masih belum dapat memberikan jawapan pasti.

"Sekarang macam mana, kamu berdua setuju atau tidak?" ulang Mia.

"Setuju," sahut saya.

Andi Kamarool terkejut dengan tindakan saya itu.

"Kalau dah setuju mari ikut saya."

"Ke mana Mia?" Andi Kamarool mula ragu-ragu.

"Berpatah balik ke rumah batu."

"Jum..." saya memberi keputusan muktamad.

Kami terus mengikuti Mia. Anehnya, dia membawa ke bahagian belakang rumah dan kami di suruh masuk ikut pintu dapur, bukannya ikut pintu hadapan.

Ini membuat perasaan saya semakin cemas. Ruang dapur yang luas, bersih dan teratur saya renung setiap sudut.

Pinggan mangkuk, cawan dan piring dari luar negeri tersusun rapi dalam rak. Saya dan Andi Kamarool mengambil sikap membisu.

SUDUT

Mia membawa kami ke sebuah bilik di sudut ruang dapur. Dengan perlahan-lahan dia menolak daun pintu.

Memang, Mia tidak berusaha untuk masuk ke kamar tersebut. Malah dia mengingatkan saya dan Andi Kamarool supaya jangan menyentuh papan atau pintu kamar.

Dalam kamar yang agak luas itu tersedia sebuah katil besi, tilam yang ditutup dengan kain cadar berwarna putih. Ada percikan darah yang sudah kering pada cadar tersebut.

"Nampaknya, bilik ini tidak digunakan."

"Memang betul cakap kamu Tamar," Mia renung biji mata saya.

"Dulu, siapa yang tinggal di sini Mia?" Andi Kamarool pula bertanya.

"Ini bilik nenek. Sejak dia mati, bilik ini terus kosong, tak ada siapa yang mahu duduk di situ. Orang tua saya dan abang sendiri tak suka melihatnya, kecuali saya sekali-sekala datang menjenguk dari luar. Saya tak berani masuk."

Penjelasan dari Mia membuat saya dan Andi Kamarool undur dua tiga tapak ke belakang. Tidak mahu mendekati dinding atau pintu bilik.

"Kesan darah di cadar tu, darah siapa Mia?"

Akibat pertanyaan yang saya ajukan, Mia menarik nafas dalam-dalam. Ada keresahan dalam hati terpamer di wajahnya.

Dia seperti kurang senang dengan tindak tanduk saya yang banyak bertanya.

Buat beberapa ketika, Mia menundukkan kepalanya merenung lantai simen dapur. Dia seperti bertafakur seolah-olah mengasingkan dirinya dengan kami dan dunia luar.

Saya dan Andi Kamarool segera mempersiapkan diri untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal terjadi.

Manalah tahu, dengan tiba-tiba Mia menjelma menjadi harimau betina lalu membaham kami.

Sudah lima minit masa berlalu, keadaan Mia tetap seperti tadi. Situasi begini membuat degup jantung saya dan Andi Kamarool bertambah hebat.

Keadaan ruang bertambah suram kerana matahari sudah pun jatuh di kaki langit. Bebunga senja mula menguasai kawasan sekitar rumah.

"Mia, kalau semuanya ini menyusahkan kamu, aku minta maaf," sebaik saya menamatkan kata-kata itu, Mia segera menegakkan kepalanya.

Dia merenung saya dan Andi Kamarool dengan renungan yang tajam tetapi, tidak membayangkan rasa dendam.

"Saya faham Tamar, tak ada apa yang saya mahu rahsiakan dari kamu berdua," tiba-tiba Mia bersuara membunuh keraguan hati kami.

"Cadar putih atas katil tu, cadar kepunyaan nenek di saat-saat kematiannya. Kedudukan cadar itu tidak diusik.

"Sebelum mati, nenek mengalami luka-luka di tubuh. Darah yang keluar tidak berhenti-henti, sebahagian dari darah tu terkena kain cadar," sambung Mia.

"Kasihan dia," keluh Andi Kamarool.

Mia tersenyum dan menerangkan, semasa peristiwa itu berlaku di depan matanya. Ketika itu dia baru berusia tujuh tahun.

Nenek juga memberitahu keluarga, agar mayatnya tidak dikebumikan di tanah perkuburan umum.

"Saya masih ingat kata nenek kepada orang tua lelaki saya, begini katanya. Tanam saja mayat aku di kawasan rumah kita," lanjut Mia dengan wajah yang serius.

Saya segera terfikir, aneh juga dalam dunia yang serba maju ini, masih ada orang yang mahu mayatnya dikebumikan di kawasan perumahan.

Tetapi menurut Mia, tak seorang pun antara keturunan manusia harimau itu yang berani membantah hasrat neneknya itu.

"Antara nenek dan datuk, siapa dulu yang meninggal dunia Mia," tanya Andi Kamarool.

"Menurut cerita orang tua saya, ayahnya mati jatuh ke dalam gaung di sebuah gunung. Mayatnya terus hilang, tidak dapat dikesan.

"Sejak kematian nenek, kami sekeluarga sering terdengar suara orang bercakap dalam bilik ni. Semua keturunan kami membuat kesimpulan, suara itu adalah suara nenek dan suaminya," begitulah Mia mengesahkan tentang sejarah kamar yang terdapat di sudut ruang dapur.

Sekali pandang keadaan kamar itu amat menyeramkan.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 169/284

BACA: SBDJ Siri 168: Rahsia Gadis Kerinci
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Friday, July 10, 2020

SBDJ Siri 168: Rahsia Gadis Kerinci

SBDJ Siri 168: Rahsia Gadis Kerinci

Macam tadi juga, pemandu yang gila-gila bahasa itu, terus memecut kereta ikut suka hati. Tidak mahu langsung memikirkan tentang keselamatan penumpang. Anehnya, Haji Basilam tidak pula menegur perbuatan anak saudaranya. Dia tetap tenang.

Toyol jadi-jadian

Barangkali dia sudah lali dengan perangai anak saudaranya itu, fikir saya dalam hati.

Bagi menghilangkan rasa cemas dan bosan, saya terus menatap pepohon yang meghijau di kiri kanan jalan.

Bila sampai kawasan perkampungan saya suka melihat bentuk rumah penduduk yang tidak banyak bezanya dengan bentuk rumah orang di Semenanjung.

Kanak-kanak berkumpul dan berlari di halaman rumah main galah panjang, gasing dan sebagainya.

Sebagai orang muda, tidak dapat dinafikan saya senang sekali melihat anak-anak gadis yang berambut lebat separuh bahu menyeberang jalan dengan ditemani oleh kedua orang tua.

Biasanya gadis yang menyeberang jalan membawa atau menjinjing pisang, tebu, keladi dan sebagainya.

"Mereka tu baru balik dari ladang, bawa kereta waktu petang memang seronok dapat tengok perkara macam ni. Bila lalu kawasan sungai, kita boleh dapat tengok anak dara mandi, syoknya..." pemandu kereta yang berwajah serius bersuara.

Diam-diam si pemandu melihat telatah saya melalui cermin kecil di depannya. Saya malu sendiri.

"Sudah tu, jangan nak tunjuk perkara tak baik pada Tamar," sergah Haji Basilam.

"Tak apa, lepas ni kita tempuh kawasan hutan," jawap pemandu sambil ketawa kecl.

Saya hanya tersenyum dan Andi Kamarool membetulkan duduknya agar selesa. Datuk tidak memberikan sebarang komen. Kereta terus meluncur di permukaan jalanraya.

Dan apa yang diucapkan oleh pemandu kereta itu memang benar. Setelah melepasi kawasan perkampungan tadi, kami tidak menemui kawasan perkampungan lagi.

Biji mata kami dihidangkan dengan pandangan gunung-ganang, bukit bukau dan hutan belantara. Akhirnya, kereta melalui kawasan yang tidak berhutan tebal.

"Berhenti di sini."

Empat tayar kereta terpaku di atas jalan raya. Tindakan Haji Basilam membuat anak saudaranya terkejut besar.

Datuk hanya menggigit jari kelingkingnya. Saya dan Andi Kamarool saling berpandangan.

"Kenapa berhenti di tengah hutan Ayah Alang?"

"Kalau begitu berhenti di depan, dekat pokok besar. Tentu ada sebab aku suruh kamu berhenti."

"Hum..." keluh anak saudara Haji Basilam.

Kereta bergerak semula dan behenti dekat pokok besar seperti yang dihajati oleh Haji Basilam.

TOLEH

Saya menoleh ke kanan, terlihat sebuah rumah batu bentuk lama tersergam gagah. Halaman rumah yang bercat putih itu kelihatan bersih. Pepokok bunga kertas yang berdaun lebat ditanam di kiri kanan jalan menuju ke rumah.

Terdapat beberapa batang pohon cemara yang tingi menjulang di sudut halaman. Rumput yang hijau bagaikan permaidani menutupi setiap inci halaman.

"Tidak lama lagi waktu asar, aku nak tumpang sembahyang di rumah batu itu," kata Haji Basilam sebaik saja keluar dari perut kereta.

Di tiang pagar (kiri dan kanan) terdapat sepasang patung burung helang yang sedang mengembangkan sayapnya untuk terbang dengan mulut (muncung) yang terbuka. Patung tersebut dibuat dari tembikar putih.

"Nak tumpang sembahyang di rumah tu," tanya anak saudara Haji Basilam sambil mengerutkan dahi. Dia nampak resah semacam.

"Ahh... ayah Alang buat kerja merepek, semua pemandu tak berani berhenti di sini, perempuan yang duduk di rumah tu bukannya manusia," tambah anak saudara Haji Basilam.

"Siapa yang kata perempuan rumah tu bukan manusia?"

"Kawan-kawan saya."

"Kawan-kawan kau tu siapa dan apa kerja mereka?"

"Mereka bawa kereta macam saya."

"Kamu jangan pandai-pandai buat cerita. Itu rumah kawan aku. Nama sebenarnya Abdulhadi. Gelarannya Orang Kaya Semanda, aku panggil orang kaya saja.

"Aku selalu singgah dan sembahyang di sini. Bagi tahu kawan-kawan kamu, cerita yang mereka dengar tu semuanya tak betul."

"Begitu ceritanya, Ayah Alang."

"Iyalah, aku nak perkenalkan si Tamar dan si Andi dengan keluarga orang kaya tu," Haji Basilam renung ke arah saya dan Andi Kamarool. Datuk hanya tersenyum sinis.

Tiba-tiba saya berdebar, teringat apa yang saya ucapkan kepada Haji Basilam. Ternyata orang tua ini tidak mungkir janji.

Dia mahu memenuhi permintaan saya tetapi, sebaliknya saya pula terasa tergugat.

"Kamu pergilah ke Sungai Penuh, kalau tak silap aku dari sini ke sana kira-kira enam puluh batu. Aku dengan kawan-kawan balik sendiri tapi, kalau kamu nak tolong, kamu datang saja pagi esok kira-kira pukul sepuluh pagi."

"Ayah Alang nak tidur di sini?" wajah anak saudaranya nampak cemas.

"Iya, di belakang rumah batu tu ada pondok kecil khas untuk aku yang dibuat oleh orang kaya.

"Kami mengakui adik-beradik dunia akhirat. Anaknya aku jadikan anak angkat, sebulan sekali aku turun ke sini menengok dia," Haji Basilam memberikan penjelasan kepada anak saudaranya yang sekali gus untuk kami bertiga.

BEREDAR

Anak saudara Haji Basilam pun beredar. Tidak sampai sepuluh minit bunyi enjin keretanya hilang dari pendengaran kami.

"Mari kita masuk."

Kami pun segera mengekori Haji Basilam melepasi pintu pagar memasuki halaman rumah batu tua yang nampak tegap.

Di sebelah kiri rumah terdapat beberapa pohon ciku (sawo) yang berbuah lebat, di sebelah kanan ada tiga pohon kelapa gading yang sarat berbuah.

Sebaik saja sampai di depan pintu rumah, Haji Basilam memberi salam dan terdengar suara orang perempuan menjawap salam.

"Ayah datang bawa kawan."

Serentak dengan itu daun pintu terbuka, seorang wanita berkulit putih, leher jinjang, berambut ikal ombak laut tercegat di situ.

Dan kedua belah bibirnya yang nipis, terukir senyuman mesra.

"Silakan masuk," pelawanya penuh hormat.

"Masuk," kata Haji Basilam.

Kami pun segera masuk ke ruang tamu berpermaidani merah darah.

Saya berdiri dekat kerusi antik buatan dari Belanda menghadap ke arah dinding (ruang tamu) sebelah kanan, yang mempamerkan potret muka harimau di seluruh dinding tersebut.

Potret itu menakutkan, misai dan mata harimau bila direnung lama-lama terasa seperti bergerak-gerak.

Melihat kelengkapan di ruang tamu membayangkan pemilik rumah tersebut bukan sebarang.

Orang kaya dan ternama serta dihormati. Kebanyakan barang perhiasan semuanya buatan dari Belanda atau Jerman.

"Silakan duduk."

Tanpa buang masa kami pun duduk dan bangku antik jadi pilihan saya. Bagi menghilangkan rasa cemas, potret harimau di dinding tidak saya renung.

"Semua yang datang ni minum kopi?" tanya wanita bebadan langsing dengan ramah.

Senyum manis terus menari di kelopak bibirnya.

"Saya harap semuanya minum kopi," tingkah Haji Basilam.

"Minta maaf, bagi saya air suam," datuk bersuara.

Wanita berleher jinjang renung ke arah datuk sambil senyum.

"Terima kasih kerana memberitahu saya," balas wanita tersebut lalu melangkah dengan tenang menuju ke ruang dapur.

"Dia tinggal seorang di rumah ni Tuk Aji?" Andi Kamarool bertanya.

Haji Basilam anggukkan kepala.

"Berani," kata Andi kamarool lagi.

Haji Basilam tersenyum.

Sementara menanti air minuman tiba, Haji Basilam dengan murah hati menceritakan biodata perempuan berleher jinjang, penghuni rumah batu besar di kawasan yang di kelilingi hutan tebal.

"Kalau aku tak silap, emaknya orang Lubuk Sikaping. Dia tu diberanakkan dalam tahun 1945," dengan nada suara yang perlahan Haji Basilam memulakan cerita.

"Sekarang tahun 1967 ertinya dia baru berumur lebih kurang dua puluh dua. Cantik orangnya," terkeluar ungkapan dari mulut Andi Kamarool, matanya merenung ke arah ruang dapur.

"Kamu minat dengan anak angkat aku?" secara sepontan Haji Basilam bertanya. Andi Kamarool tersengih, tidak terkata mungkin dia malu.

Saya rasa lucu dengan tindak-tanduk Andi Kamarool tetapi, saya masih dapat menahan ketawa.

Demi menjaga air muka seorang kawan saya tidak menoleh ke arahnya. Saya renung muka datuk. Dia tetap tenang, matanya tetap mengawasi tiap sudut ruang tamu.

Bila dia merenung potret muka harimau di dinding, mulutnya bergerak-gerak. Bila menyedari perbuatannya saya awasi, datuk segera mengubah pandangan ke arah lain.

Saya tetap macam tadi, tidak berani merenung potret harimau tersebut terutama di bahagian matanya yang rasanya seperti bergerak-gerak.

Bila di renung lama-lama hati saya berdebar dan seluruh sendi terasa lemah.

"Nama anak angkat aku tu Muzlipah. Tetapi semua kaum keluarga dan kawan-kawan rapat dengannya memanggil MIA saja. Sedap nama singkatannya Tamar," Haji Basilam renung muka saya.

Sudah tentu saya jadi tak tentu arah. Antara mahu dan malu saya terus menjawab.

"Sedap Tuk Aji."

DUGA

Tidak saya duga jawapan yang tergesa-gesa itu membuat Andi Kamarool ketawa. Begitu juga dengan Haji Basilam.

"Si Mia ni anak tunggal?" datuk bertanya setelah ketawa Andi Kamarool dan Haji Basilam berakhir.

Dengan renungan yang lembut sepasang anak mata Haji Basilam tertumpu ke wajah datuk.

"Anak orang kaya cuma dua orang saja. Anak sulung lelaki, duduknya tidak menetap sekejap di Medan, sekejap di Tanjung Periuk, sekejap di Palembang, sesekali dia duduk di PulauPinang."

"Kenapa berpindah randah?" Datuk minta kepastian.

"Dia saudagar, menjaga harta dan menjalankan perniagaan peninggalan orang tuanya. Di Pulau Pinang di kawasan Jelutung, Kawasan Simpang Enam, dekat sekolah Arab ada tanah milik orang kaya."

"Siapa nama anak lelaki orang kaya tu?"

"Ahmad Al Mubarak Al Kerinci."

"Nama tu pernah saya dengar. Saya dapat tahu banyak tanahnya diwakafkan untuk mendirikan masjid, jadi tanah kubur dan sekolah Arab terutama di daerah Perak Utara, Seberang Perai dan Kedah."

"Dia menjalankan amanat ayahnya supaya mewakafkan harta benda untuk kebajikan agama. Ada ceritanya, sebab dia berbuat macam tu."

"Apa sebabnya," tanya datuk bernafsu.

"Begini, selepas isterinya melahirkan anak pertama, isterinya tidak hamil lagi dekat dua puluh tahun, sedangkan dia berhajat mahukan anak perempuan.

"Bila dia mahu kawin lagi, dengan izin Allah isterinya mengandung si Mia. Sudah ajal isteri, masa dia melahirkan Mia, dia mati. Sejak kejadian itu dia jadi dermawan."

"Kalau begitu, jarak umur Mia dengan abangya, banyak bezanya," keluh datuk dan Haji Basilam anggukkan kepala. Setuju dengan pendapat datuk.

Cerita tentang Mia tidak mati di situ saja. Haji Basilam melanjutkan dengan menyatakan, tanah seberang jalan yang ditanam dengan pepokok cengkih, adalah milik Mia.

Tanah tapak rumah yang didiaminya luasnya lebih dari sepuluh hektar. Selain dari itu dia juga memiliki tanah dusun, tanah sawah dan ladang getah.

Saya segera teringat, semasa naik kereta tadi, kira-kira dua batu sebelum sampai ke kawasan rumah Mia saya melihat ladang getah yang subur dengan daun yang menghijau.

"Banyak hartanya Tuk Aji," kata Andi Kamarool.

"Iyalah, harta pesaka."

"Semuanya dia urus sendiri."

"Sudah tentu Tamar."

Saya telan air liur sambil menyandarkan badan ke bangku antik. Entah macam mana, secara tidak sengaja saya terpandangkan potret harimau di dinding.

Dua tiga kali saya pejam celikkan kelopak mata, saya seperti melihat mata harimau bergerak serta membuka mulut, menjelirkan lidah. Cepat-cepat saya alihkan pandangan ke arah lain.

"Berdasarkan cerita Tuk Aji, saya yakin Mia banyak duit, kenapa dia tak panggil orang jadi pengawal rumahnya.

"Apa dia tak takut harta bendanya kena rompak? Apa dia tak bimbang tentang keselamatan dirinya?" sambil membetulkan duduk, Andi Kamarool bertanya.

"Dia tak memerlukan semuanya itu. Dia ada penjaga istimewa."

"Maksud Tuk Aji?" saya segera bangun.

"Nanti kamu tahu juga dengan apa yang aku maksudkan." Haji Basilam menyuruh saya duduk.

Cakapnya saya patuhi. Datuk tidak turut campur dalam percakapan kami. Dia lebih banyak mendengar dan memerhati.

"Saya nak tanya Tuk Aji, tadi Tuk Aji kata semuanya Mia urus sendiri. Apakah menebas, menebang, membersihkan kawasan rumah dia buat sendiri?" Andi Kamarool rupa-rupanya kurang puas hati dengan penjelasan yang diberikan Haji Basilam sebentar tadi.

"Tidak. Maksud aku urusan kewangan, membersihkan kawasan tanah ada pekerjanya. Mana Mia larat nak kerjakan tanah yang luas ni. Kebun cengkih ada pekerjanya, ladang getah ada orang menjaganya, begitu juga dengan ladang kopi."

"Pekerjanya tak tinggal di sini?" soal saya.

"Tidak, mereka tingal di rumah sendiri, kira-kira dua tiga batu dari sini. Dia orang datang pagi, balik petang."

"Mia memang manusia misteri," rungut Andi Kamarool.

"Kerana itu aku singgah di sini. Aku mahu kamu berdua mengenali siapa Mia ini," sesungguhnya, kata-kata yang diucapkan oleh Haji Basilam penuh dengan tanda tanya dan rahsia.

SENYUM

Saya renung ke arah datuk. Dia tidak menunjukkan sebarang reaksi. Dia nampak bersahaja dan senyum, seolah-olah menyuruh Haji Basilam mengulangi kata-kata yang sudah diucapkan itu.

Apakah sudah ada pakatan antara Haji Basilam dan datuk? Timbul persoalan dalam hati. Andi Kamarool menarik nafas dalam-dalam dan saya terus dengan keresahan tanpa hujung.

"Maaf saya terlambat."

Mia muncul di depan kami menatang talam.

"Lambat pun tak apa. Ini pun kira dah cukup bertuah, ada orang nak bagi minum. Dapatlah kami basah tekak," Andi Kamarool yang pendiam bertukar menjadi peramah bila berdepan dengan Mia.

Dalam senyum yang menawan, Mia mengatur cawan atas meja. Dua piring sukun goreng turut diletakkan.

"Jemput," katanya.

Tanpa membuang masa Andi Kamarool segera meneguk air kopi dan mencubit sukun goreng.

"Sedap," tutur Andi Kamarool.

Dan sepasang anak matanya menelanjangi wajah Mia yang manis.

Mia yang menyedari dirinya menjadi perhatian Andi Kamarool jadi serba salah.

Dia duduk di bangku antik paling kanan, tidak jauh dari Haji Basilam.

Bangku yang diduduki Mia beralaskan kain kuning yang disulam dengan benang emas dalam bentuk seekor harimau.

"Semuanya ini tidak datang dari Jambi, Mia," kata Haji Basilam.

"Habis, dari Pelembang atau Medan?"

"Seorang saja dari Jambi, yang ini," Haji Basilam menuding jari telunjuknya ke arah Andi Kamarool.

"Yang dua dari Tanah Melayu dan yang muda ni cucu orang ni," sambung Haji Basilam sambil biji matanya merenung ke arah datuk. Saya tertunduk malu.

"Saya merasa bertuah dan beruntung menerima tetamu dari Tanah Melayu. Arwah orang tua saya selalu menyebut tentang abangnya yang tua membawa diri ke Tanah Melayu," saya lihat kelopak bibir Mia yang merah cantik bergerak lembut ketika mengucapkan kata-kata.

"Kenapa membawa diri ke Tanah Melayu?" Datuk bertanya.

"Kata arwah ayah saya, abangnya tu merasai dirinya tidak diperlukan keluarga kerana sikap keras kepalanya.

"Dia merajuk dan membawa diri ke tempat bernama JEJAWI terletak antara Pahang dan Negeri Sembilan. Orang tua saya pernah ke sana dan memujuk abangnya balik ke sini tetapi, abangnya yang keras hati tidak mudah di pujuk.

"Dia tak mahu memijak bumi Kerinci. Saya tak tahu, apakah keturunan paman saya tu masih ada disana," tambahnya dengan wajah yang serius.

Dan pada saat itu juga saya terdengar suara ngauman harimau. Dari arah mana datangnya tidak dapat saya pastikan.

BERDEBAR

Secara mendadak badan saya terasa lain macam. Bulu roma terus tegak dan hati berdebar.

Saya renung muka datuk, Andi Kamarool dan Haji Basilam. Mereka nampak tenang dan aman. Barangkali mereka tidak mendengar suara ngauman harimau tersebut.

Situasi begini merisaukan dan melemaskan perasaan saya tetapi, dari gerak mata dan cara datuk duduk di bangku antik, saya dapat membuat andaian bahawa hati datuk tidak aman. Ada sesuatu yang tidak kena.

"Saya tercium bau harimau," datuk luahkan kata-kata dan cuba mahu bangun untuk meninjau ke luar rumah melalui jendela.

Belum pun sempat datuk melakukan sesuatu, Haji Basilam menerkam ke arahnya. Ada sesuatu yang dibisikan oleh Haji Basilam kepada datuk.

"Saya faham," angguk datuk.

Haji Basilam meninggalkan datuk dan duduk di kerusi. Mia yang memerhatikan gelagat datuk dan Haji Basilam, tersenyum.

"Maafkan pak cik Mia," datuk renung muka Mia.

"Tak apa, pak cik orang baru, belum tahu suasana di sini, kecuali ayah yang sudah masak dengan sekeliling," Mia renung ke arah Haji Basilam yang tersenyum senang.

Saya hirup kopi untuk kesekian kalinya sambil menelan sukun goreng. Begitu juga dengan Andi Kamarool.

"Begini Mia, kalau umur pak cik panjang, pak cik bersedia menolong mencari ayah saudara Mia tu. Dengan syarat beritahu dulu, bila Mia mahu datang ke Tanah Melayu."

"Pak cik, tahu tempat itu?"

"Pak cik tak berapa tahu, daerah tu di sebelah selatan, kalau di sebelah utara dari Kuala Selangor membawa ke Kuala Perlis, pak cik tahulah sikit-sikit."

"Kalau dia tak ada, cucunya boleh tolong kamu. Boleh atau tidak kamu menolong Mia, Tamar?" secara mendadak Haji Basilam ajukan pertanyaan. Saya yang terpinga-pinga terus anggukkan kepala.

"Boleh, boleh."

"Begitulah orang muda," puji Haji Basilam sambil menegakkan ibu jarinya ke arah saya.

"Ayah bermalam di sini?"

Haji Basilam terus meletakkan cawan kopi di tangan atas meja. Kesan air kopi di pinggir bibir segera di kesat dengan telapak tangan.

"Iya Mia."

"Kerana ayah ada kawan, tak payahlah saya panggil Sabrun menemui ayah."

"Begitulah kira-kiranya Mia."

Ungkapan Haji Basilam kami (saya dan Andi Kamarool) sambut dengan ketawa. Mia hanya tersenyum. Aduhai! Senyumannya sungguh mendebarkan. Patutlah Andi Kamarool tertarik kepadanya.

Tidak dinafikan, kecantikan Mia gadis Kerinci sungguh mempersonakan. Mia pun mengangkat cawan dan piring yang sudah kosong.

Sampai di ambang pintu (pemisah ruang tamu dapur dengan ruang tamu) dia berhenti melangkah dan merenung ke arah saya dan Kamarool.

"Cantik, tapi aku bimbang Tamar," bibir Andi ke telinga saya.

"Bimbang apa, Andi."

"Siapa tahu dia keturunan manusia harimau. Tanda-tandanya sudah ada. Berani tingga di tempat terpencil seorang diri."

"Jangan fikir yang bukan-bukan Andi," kata sya sambil merenung ke halaman rumah menerusi jendela. Andi juga berbuat demikian.

Datuk dan Haji Basilam masih termenung di kerusi antik.

BIADAP

Bila saya dan Andi Kamarool merenung ke arah pintu dapur, Mia sudah tercegat di situ. Renungannya cukup tajam ke arah kami, macam ada sesuatu yang dicurigai terhadap saya dan Kamarool.

Kelopak bibirnya bergerak bagaikan berkata: Kamu berdua memperkatakan keturunan aku, biadap. Menumpang rumah orang, hormatlah tuan rumah.

Saya dan Andi Kamarool jadi tidak tentu arah, macam orang terpegang besi panas. Serentak kami merenung keluar kembali.

"Waktu asar dah masuk, ayah nak sembahyang di sini atau di surau pekerja?"

"Ayah fikir di sini saja Mia."

"Kalau begitu masuk saja ke bilik sembahyang. Hati-hati sudahlah ayah, jangan ada yang celupar mulut."

Saya dan Andi Kamarool bertukar pandangan. Kata-kata yang diluahkan oleh Mia seolah-olah ditujukan untuk kami berdua. Mia pun masuk ke ruang dapur.

Haji Basilam pun bergerak menuju ke bilik sebelah kanan dengan diikuti oleh datuk, saya dan Andi Kamarool.

Berada dalam bilik terasa selesa, ruang biliknya cukup luas dan bersih boleh menampung lebih dari lima belas orang para jemaah.

Terdapat sebuah rak buku yang penuh dengan kitab-kitab lama, disamping beberapa naskhah Quran yang ukuran dan bentuknya berbeza-beza.

Dari ukuran biasa, ukuran sedang hingga kepada bentuk dan ukuran paling kecil yang panjang kira-kira satu inci setengah dengan lebarnya satu inci.

Jumlahnya lebih kurang lima naskhah, semuanya tergantung rapi. Lampu-lampu antik tergantung di dinding.

"Bilik wuduknya di mana?"

"Sebelah kiri awak, tolaklah pintu tu," Haji Basilam menjawab pertanyaan datuk.

Dengan hati-hati, datuk tolak daun pintu dan terus masuk. Bila datuk keluar, Haji Basilam pula masuk.

Sebaik saja Haji Basilam keluar, saya dan Andi masuk serentak. Bilik mengambil air sembahyang itu kecil saja, berukuran 15 x 10 kaki, lengkap dengan kolah bersimen kasar dan digosok ke telapak tangan atau kaki bagi menghilangkan kekotoran.

Air kolah cukup jernih dan sejuk. Air itu didatangkan dari sebuah anak bukit yang terletak tidak jauh dari rumah batu, melalui pancuran buluh yang bersambung.

Air dari pancuran terjun ke dalam kolah menuju ke sebuah parit kecil yang bertemu dengan sebatang anak sungai.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 168/284

BACA: SBDJ Siri 167: Wanita Di Rumah Batu
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Thursday, July 09, 2020

SBDJ Siri 167: Wanita Di Rumah Batu

SBDJ Siri 167: Wanita Di Rumah Batu

Semua biji mata tertumpu ke arah kotak yang berada di kedua belah telapak tangan Koyan. Dari gerak mata dan air muka datuk, ternyata dia cukup berminat dengan kotak-kotak tersebut.

Toyol jadi-jadian

"Semuanya untuk Haji Bagus," soal datuk.

"Tidak," balas Koyan.

Dia renung ke kiri dan ke kanan, macam ada sesuatu yang diawasinya. Bila dia yakin semuanya dalam keadaan baik dan aman, barulah dia merenung muka Tuk Aji dengan renungan yang tajam.

"Bungkusan yang dibuat dengan kain hijau untuk Haji Bagus sendiri. Dan yang dibalut dengan kain merah untuk kawannya dari Tanah Melayu."

"Yang dibalut dengan kain putih untuk siapa?" tanya Andi Kamarool.

"Ha, yang itu untuk cucu orang dari Tanah Melayu. Kepada siapa barang-barang ini nak saya serahkan?"

"Berikan kepada saya," datuk segera menghulurkan tangan untuk mengambil barang yang dimaksudkan.

Dan Koyan dengan wajah yang tenang bersedia mahu menyerahkan barang-barang tersebut.

"Jangan."

Tuk Aji menjerit dan terus melompat dan menolak tubuh datuk ke kiri.

Dan dia segera mengambil tempat datuk berdiri tadi. Sudah pasti, perbuatan Tuk Aji itu menimbulkan persoalan dalam kepala datuk.

Rasa kurang senang terpamer diwajahnya tetapi, Tuk Aji tetap bersikap seperti biasa. Dua tiga kali datuk gosok hujung dagu dengan ibu jari kiri.

Dia cuba mengawal perasaan dan datuk menyedari perbuatan Tuk Aji itu mempunyai muslihat tertentu, datuk tidak ambil hati.

"Kenapa awak tolak dia, biarlah dia ambil barang-barang itu dari saya," Koyan jegilkan sepasang biji mata ke arah muka Tuk Aji. Saya lihat Tuk Aji tersenyum.

"Saya tua darinya, eloklah saya ambil."

"Hummm..." keluh Koyan dan wajahnya tidak dapat menyembunyikan rasa terkejut.

Gerak anak matanya seolah-olah menyimpan keraguan terhadap Tuk Aji.

"Bukan kerana sesuatu muslihat?"

"Tidak," jawap Tuk Aji.

"Kalau begitu, nah ambil," Koyan segera menghulurkan bungkusan tersebut kepada Tuk Aji.

Tuk Aji seperti keberatan mahu menerimanya. Lagi sekali datuk merasa terkejut oleh perbuatan Tuk Aji itu.

Saya dan Andi Kamarool berpandangan. Hati kecil saya turut merasa hairan dengan sikap Tuk Aji itu.

"Begini, awak letak saja bungkusan itu di tepi masjid. Lagi pun awak dah terangkan nama pemiliknya mengikut warna," dalih Tuk Aji.

"Awak lidah bercabang," rungut Koyan.

"Maafkan saya, kalau awak tersinggung."

"Hiss..." terkeluar dari mulut Koyan.

HILANG

Mungkin Koyan tidak mahu perkara itu berlarutan, meskipun hatinya sakit, dia segera menuju ke tepi sebelah ruang makan. Di situ tersedia sebuah rak untuk meletakkan sepatu para jemaah.

"Boleh saya letakkan di sini saja?" Koyan renung Tuk Aji.

"Boleh," Datuk pula menjawab.

"Jangan lupa, beritahu pada Haji Bagus perkara yang saya sebutkan kepada awak tadi."

"Iya, kami faham," angguk Tuk Aji.

"Baguslah, kalau dah faham. Tapi, saya harapkan awak jangan amalkan cakap berdolak dalik. Perbuatan macam itu tak bagus. Boleh hilang sahabat," Koyan senyum sambil anak matanya tertumbuk ke wajah Tuk Aji.

Satu sindiran yang cukup tajam. Peliknya, Tuk Aji masih boleh mempamerkan senyum.

"Selamat jalan Koyan," kata datuk.

Koyan pun anggukkan kepala tetapi, ekor matanya masih menjeling ke arah Tuk Aji.

Koyan pun melangkah meninggalkan kami.

Bila sekujur tubuh Koyan hilang dari penglihatan, datuk segera mendekati Tuk Aji.

"Kenapa saya tak boleh ambil barang-barang dari Koyan?" dengan sopan datuk ajukan pertanyaan kepada Tuk Aji.

Orang tua yang sentiasa nampak tenang itu mengukir senyum. Tanpa mahu menjawab pertanyaan yang datuk kemukakan, Tuk Aji terus bergerak menuju ke rak kasut lalu mengambil barang (bungkusan) yang diletakkan oleh Koyan tadi.

Semua bungkusan yang diambil segera diletakkan oleh Tuk Aji di atas tanah di halaman masjid.

Bungkusan itu disusun sederet. Tuk Aji terus mencangkung menghadapi ketiga-tiga bungkusan itu.

"Ketiga-tiga bungkusan ini bertujuan untuk membunuh orang yang menerimanya," Tuk Aji memalingkan mukanya ke arah datuk, Andi Kamarool dan saya.

"Biar aku tunjukkan buktinya," sambungnya sambil membuka ketiga-tiga ikatan kain pembungkusan kotak tersebut.

Dengan menggunakan ranting kayu Tuk Aji menolak dengan hati-hati penutup ketiga-tiga kotak tersebut.

"Semua mari dekat aku," panggil Tuk Aji.

Kami segera mendekatinya. Datuk berdiri sebelah kanan, saya sebelah kiri manakala di sebelah saya pula Andi Kamarool. Semua penutup kotak sudah terbuka.

"Kamu nampak isi dalam kotak?"

"Nampak," sahut saya.

Dua tiga kali datuk pejam celikkan kelopak mata sambil mengedutkan kening. Akhirnya, datuk senyum, bila didapati semua kotak tersebut diisi dengan pasir hitam yang halus disamping beberapa kuntum bunga tanjung dan cempaka.

"Kamu senyum kerana kamu tahu muslihat sebenarnya," Tuk Aji renung biji mata datuk.

"Tapi kamu tak tahu, barang-barang yang kamu tengok ini, kalau disentuh dengan jari, seluruh badan kamu jadi hitam," tambah Tuk Aji.

Datuk tersentak mendengar penjelasan itu. Biji matanya terbeliak. Dua tiga kali dia tarik nafas sambil menggeleng-gelengkan kepala.

"Orang yang mengirimkan bungkusan ini nak membunuh kamu, cucu kamu dan Haji Bagus. Biar aku tunjukkan buktinya. Sekarang kamu pergi ambil ranting yang ada daun dan serahkan pada aku," Tuk Aji keluarkan arahan untuk saya. Perintahnya segera saya patuhi.

"Nah, Tuk Aji."

"Terima kasih Tamar."

Tuk Aji segera menyambut tiga ranting mempelam yang saya hulurkan kepadanya. Dua tiga kali dia melurut ketiga-tiga ranting mempelam dengan pasir hitam dalam kotak.

"Tunggu dan lihat," Tuk Aji segera duduk bersila di halaman masjid.

Kami juga turut bersila, semua biji mata tertumbuk ke arah kotak dan tanting mempelam.

Walaupun panas mula terik tetapi, kami tidak merasai bahang kepanasan itu menggigit kulit. Mata, hati dan fikiran tertumpu ke arah tiga kotak di hadapan.

"Ahhhhh..."

Mulut saya separuh terbuka. Tidak sampai beberapa minit, ranting mempelam mengeluarkan asap nipis.

Bila asap nipis itu lesap, ranting mempelam menjadi arang.

Tiga letupan kecil kedengaran dan ketiga-tiga kotak di depan kami pecah berkecai dan kain pembungkusnya terbakar jadi abu. Dan akhirnya bersatu dengan tanah halaman masjid.

MATA

"Kamu sudah tengok dengan mata kepala kamu sendiri. Aku sudah buktikan apa yang aku katakan. Itulah sebabnya aku tak bagi kamu sentuh barang-barang itu. Orang itu mengirim racun untuk membunuh," Tuk Aji segera bangun.

Kami juga turut bangun dan bergerak menuju ke bahagian belakang masjid. Kami duduk di bangku panjang yang ada di situ.

"Saya faham sekarang, terlalu tinggi permainan ilmu hitam mereka," datuk memulakan percakapan, memecahkan suasana yang kami hadapi.

"Memang hebat," celah saya.

"Kamu jangan campur, kamu dengar saja," datuk mengherdik saya bersama dengan jelingan yang amat tajam sekali. Tindakan datuk itu membuat saya rasa malu.

"Kenapa kamu marahkan dia? Aku fikir dia berada di pihak yang betul. Dia kagum dengan kebolehan orang itu," kata-kata yang diungkapkan oleh Tuk Aji membuat saya rasa megah.

Dia membela saya, secara tak langsung memberikan sokongan moral yang tiada nilainya.

"Sekuat mana dan sehebat mana ilmu hitam yang dipelajari dari iblis akhirnya pasti kalah juga dengan kebesaran Allah," Tuk Aji bersuara setelah menyedari yang datuk menerima pandangannya.

"Maksud Tuk Aji?" Andi Kamarool minta kepastian.

"Mudah saja. Aku percaya dengan apa yang dikatakan oleh Koyan tadi. Gelanggang Munah Supandi dan anak buahnya dipanah petir. Cuba kamu ingat apa yang terjadi waktu subuh tadi?"

Apa yang dituturkan oleh Tuk Aji membuat saya termenung sejenak. Tidak dinafikan, sekitar jam lima pagi tadi berlaku hujan lebat, bersama petir sabung menyabung.

"Agaknya bomoh handal tu dah mampus kena petir," Andi Kamarool bersuara dalam nada keriangan.

"Belum tentu, barangkali yang mati itu pengikutnya," celah datuk.

"Boleh jadi pengikutnya, boleh jadi dirinya sendiri tapi, ilmu jahat susah disekat," saya lihat wajah Tuk Aji gusar sekali.

Dia merenung ke langit sambil menelan air liur berkali-kali. Datuk menggigit bibir.

"Orang yang balik ke Tanah Melayu tu mungkin membawa bencana orang di sana. Percayalah cakap aku.

"Ramai orang akan jadi korban terutama orang-orang politik yang mahu cepat berkuasa, peniaga yang tamak dan mahu cepat kaya," sambung Tuk Aji.

"Orang tamak haloba, gila kuasa, kurang iman dan jahil agama tentu masik perangkap mereka," celah Andi Kamarool.

"Pendapat kamu tu mungkin betul Andi," sahut datuk sambil menggosok-gosok mata kirinya. Mungkin mata datuk dimasuki habuk.

"Aku tak mahu kata apa-apa, kita semua ada otak untuk berfikir dan kemudian boleh buat kesimpulan sendiri. Tapi..." Tuk Aji berhenti bercakap.

Dia agak terkejut bila melihat datuk melekapkan telapak tangan kiri ke mata kanan, Manakala telapak tangan kanan menutup mata kiri.

Kira-kira sepuluh minit datuk berbuat demikian. Kemudian barulah sepasang tangannya dijatuhkan lalu dihayun ke depan dan ke belakang beberapa kali.

Bila datuk berhenti menghayunkan sepasang tangan, dia berdehem dua kali berturut-turut sambil sepasang kelopak matanya dipejam celikkan beberapa kali hingga matanya berair.

Dengan hujung lengan baju, datuk sapu air mata yang melelah di pipi. Kelopak matanya dibuka luas-luas dan dengan senyum terukir di kelopak bibir, datuk menatap wajah Tuk Aji.

"Ada petua tersendiri mengeluarkan habuk dalam mata?"

"Sekadar untuk diri sendiri, tak usah tanya tentang petua itu. Lupakan saja, sambung balik cakap yang terputus," datuk bersuara.

"Itu yang kamu nak tahu? Bukan apa-apa. Aku tak suka bincang tentang bomoh tu, sebenarnya aku lebih suka bincang tentang rancangan kita."

"Rancangan? Rancangan apa?" Datuk membeliakkan biji matanya. Rasa hairan dan terkejut terpamer di wajahnya.

Saya dan Kamarool saling berpandangan. Hati kami terus berdebar. Mungkin ada sesuatu yang mahu dirahsiakan dari saya dan Andi Kamarool. Tetapi, kini perkara yang dirahsiakan itu tidak dapat dipertahankan lagi.

"Saya tak dapat menangkap maksudnya. Masih samar-samar."

"Hum... kamu cepat sangat lupa," Tuk Aji terus tepuk bahu kanan datuk dua tiga kali. Mereka sama-sama ketawa.

Semuanya itu membuat hati saya dan Andi Kamarool berdebar.

"Kau lupa?" ulang Tuk Aji.

"Iya, saya benar-benar lupa."

"Kamu pernah cakap yang kamu nak ikut aku ke Tanah Kerinci. Kata kamu di Kerinci masih terdapat kaum keluarga kamu. Lagi pun dari Kerinci ada yang berhijrah ke Tanah Melayu."

"Allahhu Akbar. Baru saya ingat sekarang. Tadi saya tak ingat langsung," dua tiga kali datuk gelengkan kepalanya. Tuk Aji tersenyum melihat telatah datuk yang agak melucukan itu.

"Bagaimana? Sekarang kamu dah ingat?" usik Tuk Aji.

Datuk anggukkan kepala.

"Kamu bersedia nak ke sana?"

"Sudah tentu! Bila kita nak pergi?"

Jawapan dari datuk membuat Tuk Aji menggaru-garu hujung hidungnya dengan jari kelingking beberapa kali.

Dia renung kiri kanan, macam ada sesuau yang difikirkannya.

"Hari ini hari Senin, esok Selasa. Macam mana kalau kita bertolak dari sini pagi Rabu?"

"Saya mengikut saja," balas datuk dengan senyum.

"Kalau dah begitu, kamu semua kena buat persiapan."

"Ikut jalan laut atau darat?"

TAJAM

Pertanyaan itu membuat Tuk Aji membeliakkan sepasang biji matanya. Muka datuk ditatap tajam.

Kemudian wajah saya dan Andi Kamarool menjadi sasaran. Kenapa Tuk Aji berbuat demikian? Saya sendiri pun tak tahu.

"Kenapa kamu tanya macam tu?"

"Bukan apa-apa. Kalau ikut perjalanan darat kena buat persiapan cara jalan darat. Begitu juga dengan jalan laut."

"Hum... Aku fikirkan pertanyaan yang kamu buat tadi sebagai usaha kamu berdalih tak mahu pergi."

"Insya-Allah. Kalau sudah berjanji tetap saya tepati."

"Maafkan aku," Tuk Aji hulurkan tangan.

Datuk segera menyambutnya. Mereka berpelukan. Beberapa minit kemudian kami pun berpisah.

Tuk Aji pulang ke rumah Tuk Siak sementara saya, datuk dan Andi Kamarol menuju ke rumah Haji Bagus.

Di rumah Haji Bagus, datuk melahirkan rasa bangganya kerana rancangan untuk ke Tanah Kerinci sudah berada di ambang jaya.

Haji Bagus dan isteri merestui perjalanan kami bertiga (saya, datuk dan Andi Kamarool). Dia yakin perjalanan kami tidak akan menghadapi sebarang masalah.

"Dia selalu berulang alik Kerinci-Jambi dan Jambi ke Kerinci. Dia bagi tahu kamu nak pergi ke sana nak ikut jalan sungai atau jalan darat?" tanya Haji Bagus.

"Dia tak bagi tahu Abang Haji," jawab datuk sambil mengerutkan dahinya seperti ada keresahan bermain dalam kepala datuk.

"Biasanya, dia ikut jalan sungai separuh dan separuh lagi ikut jalan darat. Tak kira ikut jalan mana, pokoknya kamu semua beruntung dapat pergi ke Kerinci bersama Haji Ahmad Basilam.

"Dia orang lama, umurnya dah dekat seratus tahun tapi masih tegap dan gagah. Dia banyak menyimpan cerita Tanah Kerinci," kata Haji Bagus.

Pagi Rabu yang cerah, saya dan Andi Kamarool bersilat di halaman masjid untuk mengeluarkan peluh. Haji Basilam dan datuk masih berada di dalam masjid.

Saya kira mereka sedang berbincang tentang perjalanan yang ditetapkan. Walau apa pun, saya tidak bimbang semua keperluan untuk perjalanan sudah siap sedia.

Beg yang memuatkan beberapa helai pakaian saya dan datuk terletak di kepala tangga masjid. Begitu juga dengan pakaian Andi Kamarool.

"Sudah."

Serentak saya dan Kamarool menoleh ke arah suara tersebut. Haji Basilam (Tuk Aji) dan datuk berdiri di kaki tangga. Mereka tersenyum ke arah kami.

"Mengapa mesti membuang tenaga, nanti letih," usik Haji Basilam.

"Sekadar nak melembutkan urat," sahut Andi Kamarool. Mereka berdiri didepan kami, melihat peluh yang mercik di kening dan dahi.

"Kamu berdua dah sedia, kalau dah sedia kita mulakan," tutur Haji Basilam.

"Kamu berdua tunggu kami di kepala simpang, aku nak ambil barang di rumah Tuk Siak, datuk kamu ikut aku."

"Baiklah," kata saya.

"Pergi ambil barang-barang kamu," sambung Haji basilam.

Saya dan Andi Kamarool bergegas menuju ke kepala tangga masjid mengambil beg pakaian dan meneruskan perjalanan menuju muara jalan.

Sementara menanti kedatangan Haji Basilam dan datuk, saya dan Andi kamarool berdiri di bawah pohon ketapang.

Matahari pagi terus memancar sinar bersama-sama dengan kicau beburung. Orang-orang kampung yang ramah terus melemparkan senyum ke arah kami tidak kira sama ada mereka berjalan kaki atau naik basikal.

"Andi, kamu pernah pergi ke Kerinci?"

"Belum pernah. Kata orang alamnya cantik, banyak sejarahnya dan banyak pula misterinya."

"Bila sampai Kerinci apa yang kamu mahu tengok Andi?"

"Aku nak tengok kolam air panas di Sumurup dan Sungai Medang. Kata orang airnya sentiasa berasap. Aku nak rebus telur di kolam air panas tu. Kamu pula nak cari apa disana Tamar?"

"Aku nak jumpa orang pendek yang ganjil dalam hutan Kerinci. Tubuhnya tegap, berjalan tegak, mukanya bulat berjanggut panjang.

"Tingginya antara 80-100 cm. Badannya penuh dengan bulu warna coklat dan hitam. Bila berjalan tapak kakinya terbalik. Aku teringin benar nak melihat makhluk ganjil ini."

"Lagi, apa yang ingin kamu cari di sana?" tanya Andi Kamarool lagi.

"Aku teringin nak jumpa dengan keturunan manusia harimau. Kalau jumpa yang perempuan dan cantik serta muda pula aku nak jadikan dia isteri," kata saya.

"Bila kamu tidur dengannya dia terus baham kamu," balas Andi Kamarool.

Kami terus ketawa terkekeh tanpa mempedulikan orang yang lalu lalang di jalanan.

"Apa yang kamu berdua ketawakan hingga nak pecah perut?"

Tanpa disedari datuk muncul dari belakang dan Haji Basilam menyongsong dari sebelah kanan. Saya tergamam, tetapi Andi Kamarool dapat mengawal keadaan. Dia tenang sekali.

"Tamar ni, bila sampai di Kerinci dia nak jumpa keturunan manusia harimau," Andi Kamarool buka rahsia. Datuk gelengkan kepala sambil berkata.

"Kamu bercakap ikut sedap mulut sahaja, Tamar."

"Tak mengapa, kalau kamu berhajat Tuk Aji boleh bawa kamu jumpa mereka," sahut haji Basilam.

"Bergurau dengan cucu saya?"

"Tidak, saya cakap perkara yang benar. Kalau awak nak jumpa pun boleh saya bawakan. Soal perkara itu benar atau tidak terpulang pada diri masing-masing."

"Di mana mereka tinggal Tuk Aji?" saya pula menyoal.

"Usah tanya di mana, sampai masanya aku temukan keturunan tu dengan kamu," penuh semangat Haji Basilam bersuara.

Dua tiga kali belakang saya di tepuknya. Andi Kamarool hanya tersenyum sahaja.

Di bawah hembusan angin dan sinaran matahari pagi yang telah melepasi pokok ketapang, kami pun bergerak meninggalkan muara jalan menuju ke pengkalan (jeti).

Sesekali, Haji Basilam menceritakan pengalaman silamnya yang menarik ketika dia mendaki Gunung Kerinci.

"Nama Kerinci selalu dikaitkan dengan kapal iaitu Kapal Kerinci, pada hal nama Kerinci diambil dari nama Gunung Kerinci," sambil melangkah Haji Basilam membuka tentang sejarah bumi kelahirannya. Dan saya terus pasang telinga.

Bagi saya nama Kerinci bukanlah sesuatu yang asing dan secara kebetulan pula di kampung saya terdapat ramai orang yang berasal dari Kerinci.

"Pada hemat aku, Kerinci itu boleh jadi berasal dari perkataan KERING CAIR yang bermaksud danau yang kering," Haji Basilam bercerita kembali.

"Kerana proses alam dasar danau terangkat atau naik ke atas menjadi dataran tanah yang tinggi.

"Tanah kering sebelah utara menjadi Gunung Kerinci manakala yang berair sebelah selatan menjadi danau Kerinci."

Datuk tidak memperlihatkan sebarang reaksi, sama ada benci atau suka bila mendengar cerita Haji Basilam.

Datuk nampak bersahaja dan tenang. Mungkin dia pernah ke sana dan merasakan apa yang dituturkan oleh Haji Basilam itu sebagai perkara biasa saja.

Berlainan kami berdua, apa yang keluar dari mulut lelaki tua itu, adalah perkara baru membuat kami mendengar penuh minat dan sekali-sekala anggukkan kepala.

Haji Basilam terus bercerita dan perjalanan ke jeti yang agak jauh terasa dekat. Panas yang beransur terik juga turut juga tidak terasa.

Haji Basilam tetap macam tadi, bercerita dan terus bercerita dan akhirnya kami sampai ke pengkalan.

Tanpa membuang masa kami segera menaiki salah satu bot penambang menyeberang Sungai Batang Hari menuju ke kota Jambi.

MENJERIT

"Kamu tunggu di sini, jangan kemana-mana. Kami berdua ada urusan, tunggu di sini," Haji Basilam mengingatkan saya dan Andi Kamarool sebaik saja kami duduk di sebuah bangku panjang depan sebuah kedai.

Haji Basilam dan datuk terus menghilangkan diri. Keadaan kota Jambi hari itu cukup sibuk. Kenderaan dan manusia bertali arus.

Di saat saya dan Kamarool melihat gelagat manusia yang lalu di hadapan kedai, sebuah kereta berhenti.

"Masuk."

Haji Basilam jengukkan muka dari dalam kereta.

"Kenapa tersengih-sengih, masuk saja. Orang suruh masuklah," kata datuk yang berada di bahagian belakang (di kusyen belakang) kereta.

Saya buka pintu, tanpa membuang masa terus meluluskan diri ke dalam kereta. Pemandu kereta yang berkulit hitam berwajah garang menjeling tajam ke arah kami.

Kereta yang ditumpangi terus meluncur ke depan. Setiap kali ada orang melintas jalan pemandunya membunyikan hon kereta.

"Tamar, Andi, ini anak saudara aku. Dia selalu berulang-alik dari Jambi ke Sungai Penuh. Cara kebetulan dia mahu kesana. Kita naik kereta dia, cepat sikit sampai," Haji Basilam memperkenalkan pemandu kereta kepada kami.

Si pemandu hanya tersenyum, misai tebalnya turut bergerak tetapi sinar matanya tajam menyorot wajah kami.

Saya agak cemas melihat perangainya yang memandu laju dengan sebelah tangan. Hon keretanya terus menjerit.

Sesekali dia memarahi kenderaan lain yang memotong keretanya. Datuk, hanya diam saja.

"Dari Jambi ke Sungai Penuh, berapa kilometer Tuk Aji?" Andi bertanya. Haji Basilam terdiam.

"Lebih kurang 434 kilometer. Kamu tahu tak Sungai Penuh ibu Negeri Kerinci?" si pemandu menjawab dalam nada suara yang keras.

Dia masih memandu dengan sebelah tangan. Bila ada lembu atau kambing melintas jalan, hon keretanya terus memekik.

Sesekali dia menekan brek kecemasan, membuat kami yang ada dalam kereta tersengguk-sengguk.

Perjalanan yang cemas dan membosankan itu sampai ke sebuah bandar yang disebut Muarabungo.

Kerana kami sudah hampir dengan waktu zuhur, Haji Basilam menyuruh anak saudaranya berhenti di sebuah masjid.

Setelah menunai sembahyang zuhur, kami menjamu selera di sebuah gerai kepunyaan orang Padang.

Datuk hanya makan tiga suap nasi dan minum air putih. Setelah itu perjalanan menuju ke negeri Kerinci–Sungai Penuh diteruskan.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 167/284

BACA: SBDJ Siri 166: Lelaki Dari Kerinci
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Tuesday, July 07, 2020

SBDJ Siri 166: Lelaki Dari Kerinci

SBDJ Siri 166: Lelaki Dari Kerinci

Apa yang didengar dan dilihat, ternyata menghadiahkan kegembiraannya yang tiada taranya. Dan saya buat tidak kisah dengan tingkah laku anak buah Haji Bagus. Biarlah mereka bersiul atau menyanyi semahu-mahunya.

Toyol jadi-jadian

Apa yang dapat saya kesan di sebalik semuanya itu, mereka berusaha memperlahankan langkah agar jarak mereka dengan Haji Bagus kian jauh.

Saya tidak tahu, apakah tindak tanduk mereka itu dapat dikesan oleh Haji Bagus. Tidak wajar saya ambil tahu.

Saya terus melangkah dengan mengambil kira keselamatan diri, terpaksa berpaut pada batang-batang pokok kecil.

Kami kini sedang menuruni kawasan berbukit menuju ke tanah pamah. Silap langkah atau tersilap paut, badan bergolek di bumi dan berhenti bergolek bila sampai di kaki bukit.

Kerana itu harus melangkah dengan hati-hati dan teliti. Dua tiga kali saya dikejutkan oleh mengkarung liar yang berlari di bawah dedaun kering.

Nyamuk terus mengelilingi cuping telinga, bunyinya menganggu perjalanan. Begitulah, sesudah peluh membasahi sekujur tubuh, akhirnya kami berhadapan dengan jalan berpasir selebar tiga kaki.

Ada kesan tayar basikal dan motosikal di samping tapak kaki manusia dan binatang ternakan.

Panas makin terik, angin yang bertiup lembut sudah lama berhenti tetapi, unggas terus berbunyi.

Saya mula terasa penat dan mahu berhenti. Malangnya saya tidak dapat berbuat demikian kerana Haji Bagus tidak mengizinkan perjalanan diberhentikan tanpa kebenaran darinya.

Setelah hampir dua rantai memijak jalan berpasir, tanpa disangka-sangka Haji Bagus berhenti melangkah.

"Kita sekarang ada di hujung kampung. Kita dah sampai," Haji Bagus bersuara lalu duduk bertengek di akar pokok tepi jalan berpasir.

Saya masih berdiri dan tidak dapat membuat keputusan sama ada terus berdiri atau duduk.

"Kenapa duduk?" tanya Tuk Siak yang terlewat beberapa minit

"Nak tunggu budak-budak," sahut Haji Bagus.

Tuk Siak anggukkan kepala dan terus duduk di sisi Haji Bagus. Dan tanpa rasa malu saya terus duduk atas rumput tepi jalan.

Lebih kurang lima minit kemudian anak buah Haji Bagus pun sampai. Mereka berkumpul lalu mengelilingi kami (Haji Bagus, Tuk Siak dan saya).

Semuanya bermandi peluh tetapi masih mempamirkan wajah keriangan dan senyuman.

"Kamu tahu, kita ni dah berada di hujung kampung."

"Iya, kami tahu Pak Aji."

"Jadi aku nak tanya kamu semua, kamu nak ke masjid atau nak terus balik ke rumah masing-masing," suara Haji Bagus bernada lembut yang diakhiri dengan senyum.

"Begini saja Pak Aji, kami ikut ke masjid dulu. Kemudian baru balik ke rumah masing-masing," jawap lelaki bermisai yang menjadi jurucakap kawan-kawan.

"Aku setuju dengan cara kamu tu, kita ke masjid dulu dan baca doa kesyukuran kerana kerja kita berhasil," celah Tuk Siak yang disambut dengan tepukan gemuruh.

GARANG

Perjalanan yang terhenti diteruskan. Selesai saja melalui jalan berpasir, kumpulan kami terus membelah jalan tanah merah yang terbentang di tengah kampung dan akhirnya melintasi kawasan perumahan.

Matahari terus bersinar garang. Kerana angin mula bertiup yang sekaligus berjaya menyingkirkan rasa panas di tubuh kami.

Kanak-kanak yang bermain gasing dan galah panjang di halaman rumah segera berhenti bermain.

Seluruh perhatian mereka tertumpu ke arah kami yang bergerak bagaikan ombak. Manakala suri rumah menjengukkan muka di tingkap dan di muka pintu.

Beberapa orang lelaki setengah baya bergegas turun dari rumah lalu bersatu dengan rombongan kami menuju ke masjid.

Saya tidak tahu, apakah kehilangan saya selama lebih 14 jam itu menjadi berita yang menggemparkan seluruh kampung tersebut?

Pasti kehilangan saya menjadi buah mulut penghuni kampung. Buktinya, semua insan di dalam kampung melemparkan pandangan ke arah saya.

Semoga di sebalik daun pintu dan tingkap ada gadis Tanah Jambi yang bermata galak dan hidung mancung.

Mana tahu, secara diam-diam ada yang simpati nasib malang yang saya alami dan akhirnya jatuh hati kepada saya.

Terhibur rasa hati dengan angan-angan yang berpeta dalam kepala secara mendadak.

Saya melangkah dengan tenang dan pura-pura buat tak kisah dengan apa yang berlaku di sekeliling.

Sepasang mata saya arahkan ke masjid yang tersergam indah di hadapannya, seolah-olah menanti kepulangan saya.

Alangkah bahagianya, kalau datuk dan Andi Kamarool menyambut kepulangan saya di pintu masjid, fikir saya dalam hati sambil menghayun langkah bersama Haji Bagus dan Tuk Siak.

Lebih kurang dalam jarak 100 hingga 150 kaki mahu sampai ke kawasan masjid (setelah melepasi selekoh kecil) tiba-tiba hati saya berdebar.

Saya dapat merasakan ada empat biji mata meenung gerak geri saya.

Apa yang bergolak dalam dada tidak saya cakapkan dengan Haji Bagus dan Tuk Siak. Dalam cemas dan debar langkah diteruskan.

"Assalamualaikum."

Serentak kami menoleh ke kanan. Datuk dan Andi Kamarool muncul dari celah-celah rimbunan pepokok kecil. Saya menarik bafas lega.

"Kemana kamu pergi."

Biji mata datuk terbeliak ke arah saya.

"Sasssss..." saya tidak meneruskan kata-kata kerana saya tergamam.

"Jangan dipaksa cucu kamu, semangatnya belum pulih. Kalau kamu marah-marah buruk jadinya," Tuk Siak mengingatkan datuk.

"Saya faham," suara datuk lembut.

"Kamu diseksa Tamar?" Andi Kamarool mengajukan pertanyaan.

"Kamu diseksa Tamar?" soal Andi Kamarool lagi.

"Iya, " kata saya perlahan sambil anggukkan kepala.

Dan selanjutnya tidak ada pertanyaan yang diajukan oleh Andi Kamarool kepada saya. Wajahnya nampak gusar sekali.

"Tak usah buang masa, kita ke masjid dulu. Kita buat sembahyang syukur," Haji Bagus mengemukakan usul.

"Satu cadangan yang baik," sahut Andi Kamarool.

Datuk memberikan persetujuan dengan menganggukkan kepala.

Sebelum bergerak ke masjid, Haji Bagus menemui salah seorang anak buahnya yang berbadan kurus, berkulit putih menyimpan janggut, misai dan jambang.

Ada sesuatu yang Haji Bagus cakapkan pada si kurus yang banyak mengangguk dari bersuara.

Beberapa minit kemudian, (sebaik saja Haji Bagus selesai bercakap) si kurus keluar dari kumpulannya, lalu bergerak menuju ke arah rumah Haji Bagus.

Apakah pesanan yang dibawa oleh si kurus untuk orang rumah Haji Bagus? Muncul pertanyaan nakal dalam benak saya.

"Awak tak usah marahkan cucu awak tu, dia dah selamat. Aku percaya dia tersesat," tanpa diduga, Haji Bagus bersuara sambil merenung ke arah datuk yang melangkah seiring dengannya.

"Saya tahu Abang Aji, saya tahu tapi..."

"Ha, kenapa tak teruskan, biar aku dengar."

"Tak mahu dengar cakap orang tua-tua."

"Ai, usah ambil kira semuanya tu. Budak-budak memang begitu."

"Semuanya menyangka diri dah pandai, bertindak ikut suka hati. Tak mahu dengar cakap orang," datuk terus merungut kecil kerana Haji Bagus dan Tuk Siak buat tidak kisah dengan apa yang datuk rungutkan. Perkara tersebut mati begitu saja.

Bila masuk di perkarangan masjid, anak buah Haji Bagus bergegas ke perigi membersihkan diri.

Saya dan Andi Kamarool juga tidak ketinggalan. Begitu juga dengan Tuk Siak, Haji Bagus dan datuk.

Saya agak terkejut bila mendapati anak buah Haji Bagus mengenakan pakaian yang baru dan bersih.

"Di mana dapat pakaian baru, Andi?"

Pertanyaan yang saya ajukan itu membuat Andi Kamarool tersenyum lebar. Dua tiga kali bahu saya ditepuknya.

"Kamu tak perasan, masa kamu jumpa dia orang tadi semuanya memakai baju putih, seluar hitam dan kain lilit kepala warna merah."

"Aku tak begitu ambil berat tentang apa yang mereka pakai, itu kelemahan diri aku Andi."

"Lain kali jangan buat macam itu, sudah menjadi kebiasaan orang-orang di sini, bila masuk ke hutan untuk mencari orang hilang atau sesat menggunakan pakaian khas macam tu.

"Pakaian tu disimpan dalam pondok kecil di bucu masjid. Bila kerja dia orang selesai, mereka pakai balik pakaian asal mereka."

"Barangkali dia orang ada ilmu baru."

"Bukan ilmulah Tamar, perkara itu sudah menjadi kebiasaan orang-orang di sini. Aku dah tanya hal ini dengan Tuk Siak."

"Hmm..." saya mengeluh.

"Macam kau, awal-awal lagi datuk kau sudah sediakan pakaian baru untuk kau. Dia tau pakaian kamu mesti kotor. Kau ni tak boleh berfikir langsung," sindir Andi Kamarool.

Sembahyang kesyukuran dan pembacaan doa selamat pun diadakan.

Saya jadi kelam kabut dan cemas semacam, bila sebahagian dari penduduk kampung yang berada dalam masjid mendesak supaya saya menceritakan kembali pengalaman yang dilalui.

Saya tidak ada pilihan terpaksa akur dengan permintaan mereka. Haji Bagus dan Tuk Siak memberikan kata-kata perangsang supaya saya bercerita.

Manakala datuk sendiri, tidak pula melarang atau menyuruh. Segala-galanya terletak atas kebijaksanaan saya untuk membuat keputusan.

"Ceritakan Tamar," desak Andi Kamarool.

"Baik," kata saya tenang.

Setelah rasa kelam kabut dan cemas dapat saya kawal dengan sebaik mungkin, maka dengan wajah yang penuh keyakinan saya memulakan cerita dari kedatangan seorang gadis yang menyerupai (menyamar) sebagai Nurul Hayat.

Dari situ berganjak kepada pengalaman pahit dan ngeri yang saya rasai semasa menjadi tetamu manusia yang disebut mahaguru.

"Itulah yang saya alami," dengan nada suara yang rendah saya mengakhirkan cerita.

Sebahagian daripada orang yang mendengar cerita saya itu terus mengeluh. Malah ada juga yang menggelengkan kepala dengan wajah yang berkedut.

"Kamu tahu kepala iblis yang paling besar, bukannya lelaki yang di panggil mahaguru. Orang kanan mahaguru itu sebenarnya iblis besar," seorang tua yang duduk dekat tiang seri masjid bersuara lantang. Semua biji mata tertumpu ke arahnya.

"Perempuan jahanam tu dipanggil Bomoh Monah Supandi. Nama sebenarnya adalah Halijah. Ilmu hitamnya cukup tinggi, sihir dan pukaunya tak terkalahkan.

"Kalau dia bergaul dengan kita, dia nampak seperti orang baik-baik, macam orang bangsawan. Namanya selalu berubah," tambah orang tua tu lagi.

Dia tidak peduli dengan biji mata orang ramai yang tertumpu kepadanya.

RESAH

"Kita harus berhati-hati , dia sedang mengembangkan ilmu jahatnya. Anak muridnya bukan saja di Sumatera ni, tetapi sampai ke Jawa dan Tanah Melayu," dengan wajah yang merah padam orang tua berhenti bercakap.

Dia terus duduk dan bersandar di tiang seri masjid.

"Nanti dulu, jangan tinggalkan masjid ni, kita makan dulu," Haji Bagus berdiri di muka pintu masjid menahan orang yang mahu keluar.

Pada sangkaan mereka semuanya sudah tamat sebaik sahaja saya mengakhiri cerita. Orang yang berdiri duduk kembali.

Orang tua yang bersandar di tiang seri nampak resah semacam. Saya segera menghampirinya. Kami bersalam penuh mesra.

"Apa yang mahu saya panggil?"

"Panggil apa saja, kamu tahu aku lebih tua dari datuk kamu," kata orang tua itu ramah.

"Sudah ke Tanah Suci?"

"Sudah dua kali ke sana."

"Kalau begitu saya panggil Tuk Aji saja, boleh?"

"Kamu budak yang bijak, aku tak kisah," orang tuan itu ketawa terkekeh.

Misai putihnya yang lebat turut bergerak. Rambutnya yang lebat sewarna dengan songkok putih (ketayap) yang di pakainya.

"Orang asal kampung ini?" saya merisik rahsia.

Dia gelengkan kepala.

"Dari Kerinci, dari Kampung Lempur Mudek. Datang berziarah ke rumah Tuk Siak.

"Petang semalam tiba. Masa sampai orang di sini heboh tentang kehilangan kamu, mereka bersiap nak mencari kamu," ada segaris senyum bermain di kelopak bibirnya.

"Jumpa dan bercakap dengannya."

"Tuk Aji tak ceritakan apa yang Tuk Aji tahu tentang bomoh perempuan tu."

Saya lihat orang tua tu menarik nafas panjang sambil merenung ke arah beberapa orang anak muda yang sedang menatang beberapa talam hidangan di muka pintu masjid. Hidangan itu segera disusun sebaris di ruang masjid.

Saya juga terlihat datuk, Haji Bagus dan Tuk Siak berada di sebelah masjid, tidak jauh dari tingkap. Mereka seperti berbincang tentang sesuatu.

"Aku dari mula sudah syak yang kamu ni dah masuk perangkap manusia syaitan tu. Tapi, aku tak berani nak cakap pada sesiapa," tanpa diduga orang tua itu bersuara tenang, saya mengigit bibir.

Kumpulan anak muda yang mengatur hidangan segera beredar ke tepi dinding. Tugas mereka sudah selesai.

"Aku tahu, datuk kamu juga sependapat dengan aku tapi, dia tidak mahu menceritakannya.

"Walau apapun, jangan fikirkan yang lalu tu. Kamu dah selamat. Aku bercadang nak mengajak kamu dan datuk kamu ke Tanah Kerinci."

"Kalau tak dijemput pun datuk memang ada rancangan nak ke sana."

"Betul ke?"

"Iya, Tuk Aji," kata saya serius.

"Jemput makan, jamahlah apa yang ada."

NIAT

Haji Bagus mempersilakan tetamu masjid menjamah hidangan yang tersedia. Sudah tentu permintaan tersebut tidak dihampakan.

Hidangan yang disediakan, boleh tahan juga. Keledek rebus, sambal bacang. Tumis petai ikan bilis, pulut putih, kopi dan teh. Pilih sendiri mana yang berkenan di hati.

Dan yang menjadi pilihan saya ialah pulut putih, tumis petai ikan bilis dan kopi. Enaknya tiada terkata.

"Masa bila orang rumah Abang Aji buat semuanya ini," tanya datuk yang hanya menghirup kopi panas. Dia tidak menjamah makanan yang lain.

"Saya dah niat dalam hati kalau jumpa cucu awak, saya nak jamu orang yang mencari cucu awak, termasuk orang yang menanti di masjid.

"Kerana itu, sebelum masuk hutan saya suruh orang rumah sediakan barang-barangnya. Bila di beritahu yang cucu awak sudah dapat, orang rumah saya terus masak," Haji Bagus buka rahsia.

"Ini dah kira cukup baik, tengah hari ni, tak payah suruh orang rumah masak," Tuk Siak bersuara lalu disambut dengan ketawa oleh tetamu yang ada.

"Sekarang baru pukul sebelas pagi, lepas waktu zuhur awak lapar semula, terpaksalah orang rumah masak nasi," tingkah datuk yang juga disambut dengan ketawa.

Menjelang pukul dua belas tengah hari masjid jadi sunyi.Para tetamu sudah pulang kerumah masing-masing. Saya, datuk dan Andi Kamarool terus berhenti di rumah Haji Bagus.

Semasa di rumah Haji Bagus, datuk terus menyoal saya secara lebih mendalam lagi tentang perkara-perkara aneh yang saya lihat dan alami semasa menjadi tetamu yang disebut mahaguru itu.

Dua hari kemudian, setelah menunaikan sembahyang Asar, saya dan Andi Kamarool terus berehat di ruang masjid.

Datuk dan orang tua yang saya panggil Tuk Aji berada di bahagian bawah masjid. Mereka berborak panjang di situ.

Barangkali datuk menceritakan kepadanya tentang rancangan untuk pergi ke Tanah Kerinci.

Mungkin bukan perkara itu yang dibincangkan. Siapa tahu, datuk dan orang tua itu sedang menyusun strategi tertentu untuk melanyak gerombolan anak buah mahaguru hingga ke akar umbinya.

Begitulah, sambil baring saya meramalkan sesuatu tentang perbualan datuk dengan Tuk Aji. Mungkin ramalan itu betul, mungkin tidak.

"Assalamualaikum..." terdengar suara di halaman masjid.

Saya dan Andi Kamarool segera bangun dan bergegas ke pintu masjid. Seorang lelaki memakai terendak, di pinggangnya terselit golok dan parang panjang.

Di bahu kanannya tersangkut segulung rotan seni. Dengan pakaian yang agak lusuh dan bertampal di sana sini, lelaki itu berdiri tenang di halaman masjid tanpa sepatu.

"Pencari rotan sesat," bisik Andi Kamarool.

"Barangkali."

"Bagaimana kita ke bawah."

"Ayoh."

Sebaik saja kami sampai di bahagian bawah masjid, tetamu yang tidak dikenali itu sudah pun berjabat tangan dengan datuk dan Tuk Aji.

"Apa hal awak kemari," soal datuk

"Tadi saya ke rumah Haji Bagus dan Tuk Siak, malangnya mereka tak ada di rumah. Orang rumah Haji Bagus suruh saya jumpa awak di masjid.

"Ada hal mustahak yang nak saya sampaikan kepada awak berdua. Saya bukan orang kampung ni.

"Kampung laman saya sebelah hulu tetapi, saya selalu lalu lalang semasa nak masuk ke hutan mencari rotan," tetamu yang tidak dikenali berhenti bercakap.

"Itu saja yang awak nak cakapkan kepada kami," kata Tuk Aji separuh resah.

Saya dan Andi Kamarool berpandangan, sedangkan datuk duduk merenung tanah. Dahinya dikerutkan.

"Bukan itu, ada hal lain yang lebih mustahak dari itu," suara tetamu yang tidak dikenali mula meninggi.

Segulung rotan seni di bahu dihempaskan ke bumi. Terendak yang menyerkup kepala segera dibuka.

Dia mempamirkan wajah garangnya. Mungkin dia tersinggung dengan kata-kata yang diucapkan oleh Tuk Aji.

Dia merasakan kata-kata itu seolah-olah mempersendakan segala usahanya.

"Jangan marah, abang saya ni tak bermaksud untuk memperkecilkan awak, terangkan, saya sedia mendengarnya. Kalau awak nak minta pertolongan, saya sedia membantu," kata-kata dari datuk itu ternyata dapat memadamkan api kemarahan yang meluap-luap di hatinya.

RESAH

Bila perasaannya sudah cukup tenteram, terendak di kepala diletakkan kembali ke kepala dan segulung rotan di bumi segera diambil lalu disangkutkan ke bahu kiri semula.

Dengan senyum dia menatap wajah datuk. Tetapi, dia seperti keberatan untuk mengucapkan sesuatu kepada datuk.

"Cakapkan, jangan segan-segan," datuk mendesak.

"Kerana kejadian tu saya kira terjadi dalam kawasan jagaan Haji Bagus, eloklah saya beritahu kepada orang-orangnya dengan..." dia tidak meneruskan kata-katanya akibat diganggu rasa gatal di leher. Dia terus mengaru dengan sepuas-puasnya.

"Dengan berbuat begitu perkara ini boleh awak sampaikan kepadanya, iaitu Haji Bagus," sambungnya.

"Apa halnya," celah Tuk Aji tanpa sabar.

"Begini. Semasa saya mencari rotan di kaki bukit, saya terserempak dengan sepasang suami isteri. Katanya, mereka datang dari Tanah Melayu dan tersesat jalan, saya tunjukkan jalan."

"Kamu bantu mereka?" soal datuk.

"Iya. Saya bawa bermalam di rumah saya. Pagi tadi sebelum mencari rotan saya bawa dia orang ke pekan dan saya perkenalkan mereka dengan orang yang selalu berulang alik ke Tanah Melayu."

"Dia tak cakap apa-apa dengan kamu?" soal Tuk Aji.

"Ada."

"Apa dia."

"Katanya, lepas cari rotan di hutan, dia suruh saya pergi ke satu tempat jumpa ketuanya untuk ambil hadiah. Saya ikut apa yang dia suruh."

"Kamu jumpa ketuanya?" soal datuk lagi.

Saya lihat tetamu yang tidak dikenali tu terdiam. Dia nampak resah. Dua tiga kali dia kedutkan dahi. Mundar mandir di depan datuk macam kucing hilang anak.

"Saya jumpa ketuanya dalam keadaan sungguh menakutkan. Seluruh badanya rentung terbakar.

"Tempat kediamannya berselerak tetapi, beberapa patung manusia dan binatang yang dibuat dari tembaga kuning masih elok.

"Saya juga terjumpa beberapa bahagian tanah yang diturap dengan simen, tidak jauh dari tubuh yang terbakar hangus tu, saya jumpa mayat orang lelaki.

"Mayat itu juga terbakar?" datuk serkap jarang.

"Mayat lelaki tu rentung separuh badan dari pinggang ke atas. Dari pinggang ke kiri, keadaannya elok."

"Macam mana kamu tahu dia lelaki?" soal Tua Aji.

"Alat sulitnya, alat sulitnya elok."

"Lagi apa yang kamu jumpa?" desak datuk lagi.

Pertanyaan itu membuat tetamu tidak dikenali melagakan gigi atas dengan gigi bawah beberapa kali.

Matanya merenung ke arah papan dinding masjid. Saya kira dia sedang memerah otak untuk mengingati sesuatu.

"Semasa saya berpusing-pusing di situ saya juga terjumpa pedang lama dan tempayan. Oh ya. Saya jumpa mayat perempuan mati dihempap pokok besar separuh badannya terbenam dalam tanah.

"Perkara inilah yang hendak saya sampaikan kepada Haji Bagus. Ohh... Terlupa pulak nak bagi tau nama," tetamu yang tidak dikenali itu tersengih merenung saya dan Andi Kamarool.

Barangkali dia sendiri terasa lucu dengan tindak tanduknya itu. Sudah sampai mahu berbuih mulut, baru teringat mahu beritahu namanya kepada kami.

"Nama saya Khatib Koyan tapi orang panggil Koyan saja," katanya lalu membelakangi datuk dan Tuk Aji.

Orang itu pun meneruskan perjalanan pulang. Lebih kurang dalam jarak sepuluh kaki meninggalkan kami, orang itu berpatah balik.

"Ini ada beberapa bungkus barang yang diberikan oleh pasangan suami isteri itu kepada saya. Dia minta barang-barang ini disampaikan kepada Haji Bagus."

"Apa barangnya?" soal Tuk Aji.

Koyan pun mengeluarkan tiga bungkusan yang berbalut dengan kain hijau, putih dan merah dari dalam bajunya.

Bungkusan itu berukuran panjang kira-kira tiga inci dan lebarnya tiga inci. Tingginya dalam dua inci lebih, berbentuk empat segi.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 166/284

BACA: SBDJ Siri 165: Dikejar Makhluk Aneh
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com