Thursday, July 09, 2020

SBDJ Siri 167: Wanita Di Rumah Batu

SBDJ Siri 167: Wanita Di Rumah Batu

Semua biji mata tertumpu ke arah kotak yang berada di kedua belah telapak tangan Koyan. Dari gerak mata dan air muka datuk, ternyata dia cukup berminat dengan kotak-kotak tersebut.

Toyol jadi-jadian

"Semuanya untuk Haji Bagus," soal datuk.

"Tidak," balas Koyan.

Dia renung ke kiri dan ke kanan, macam ada sesuatu yang diawasinya. Bila dia yakin semuanya dalam keadaan baik dan aman, barulah dia merenung muka Tuk Aji dengan renungan yang tajam.

"Bungkusan yang dibuat dengan kain hijau untuk Haji Bagus sendiri. Dan yang dibalut dengan kain merah untuk kawannya dari Tanah Melayu."

"Yang dibalut dengan kain putih untuk siapa?" tanya Andi Kamarool.

"Ha, yang itu untuk cucu orang dari Tanah Melayu. Kepada siapa barang-barang ini nak saya serahkan?"

"Berikan kepada saya," datuk segera menghulurkan tangan untuk mengambil barang yang dimaksudkan.

Dan Koyan dengan wajah yang tenang bersedia mahu menyerahkan barang-barang tersebut.

"Jangan."

Tuk Aji menjerit dan terus melompat dan menolak tubuh datuk ke kiri.

Dan dia segera mengambil tempat datuk berdiri tadi. Sudah pasti, perbuatan Tuk Aji itu menimbulkan persoalan dalam kepala datuk.

Rasa kurang senang terpamer diwajahnya tetapi, Tuk Aji tetap bersikap seperti biasa. Dua tiga kali datuk gosok hujung dagu dengan ibu jari kiri.

Dia cuba mengawal perasaan dan datuk menyedari perbuatan Tuk Aji itu mempunyai muslihat tertentu, datuk tidak ambil hati.

"Kenapa awak tolak dia, biarlah dia ambil barang-barang itu dari saya," Koyan jegilkan sepasang biji mata ke arah muka Tuk Aji. Saya lihat Tuk Aji tersenyum.

"Saya tua darinya, eloklah saya ambil."

"Hummm..." keluh Koyan dan wajahnya tidak dapat menyembunyikan rasa terkejut.

Gerak anak matanya seolah-olah menyimpan keraguan terhadap Tuk Aji.

"Bukan kerana sesuatu muslihat?"

"Tidak," jawap Tuk Aji.

"Kalau begitu, nah ambil," Koyan segera menghulurkan bungkusan tersebut kepada Tuk Aji.

Tuk Aji seperti keberatan mahu menerimanya. Lagi sekali datuk merasa terkejut oleh perbuatan Tuk Aji itu.

Saya dan Andi Kamarool berpandangan. Hati kecil saya turut merasa hairan dengan sikap Tuk Aji itu.

"Begini, awak letak saja bungkusan itu di tepi masjid. Lagi pun awak dah terangkan nama pemiliknya mengikut warna," dalih Tuk Aji.

"Awak lidah bercabang," rungut Koyan.

"Maafkan saya, kalau awak tersinggung."

"Hiss..." terkeluar dari mulut Koyan.

HILANG

Mungkin Koyan tidak mahu perkara itu berlarutan, meskipun hatinya sakit, dia segera menuju ke tepi sebelah ruang makan. Di situ tersedia sebuah rak untuk meletakkan sepatu para jemaah.

"Boleh saya letakkan di sini saja?" Koyan renung Tuk Aji.

"Boleh," Datuk pula menjawab.

"Jangan lupa, beritahu pada Haji Bagus perkara yang saya sebutkan kepada awak tadi."

"Iya, kami faham," angguk Tuk Aji.

"Baguslah, kalau dah faham. Tapi, saya harapkan awak jangan amalkan cakap berdolak dalik. Perbuatan macam itu tak bagus. Boleh hilang sahabat," Koyan senyum sambil anak matanya tertumbuk ke wajah Tuk Aji.

Satu sindiran yang cukup tajam. Peliknya, Tuk Aji masih boleh mempamerkan senyum.

"Selamat jalan Koyan," kata datuk.

Koyan pun anggukkan kepala tetapi, ekor matanya masih menjeling ke arah Tuk Aji.

Koyan pun melangkah meninggalkan kami.

Bila sekujur tubuh Koyan hilang dari penglihatan, datuk segera mendekati Tuk Aji.

"Kenapa saya tak boleh ambil barang-barang dari Koyan?" dengan sopan datuk ajukan pertanyaan kepada Tuk Aji.

Orang tua yang sentiasa nampak tenang itu mengukir senyum. Tanpa mahu menjawab pertanyaan yang datuk kemukakan, Tuk Aji terus bergerak menuju ke rak kasut lalu mengambil barang (bungkusan) yang diletakkan oleh Koyan tadi.

Semua bungkusan yang diambil segera diletakkan oleh Tuk Aji di atas tanah di halaman masjid.

Bungkusan itu disusun sederet. Tuk Aji terus mencangkung menghadapi ketiga-tiga bungkusan itu.

"Ketiga-tiga bungkusan ini bertujuan untuk membunuh orang yang menerimanya," Tuk Aji memalingkan mukanya ke arah datuk, Andi Kamarool dan saya.

"Biar aku tunjukkan buktinya," sambungnya sambil membuka ketiga-tiga ikatan kain pembungkusan kotak tersebut.

Dengan menggunakan ranting kayu Tuk Aji menolak dengan hati-hati penutup ketiga-tiga kotak tersebut.

"Semua mari dekat aku," panggil Tuk Aji.

Kami segera mendekatinya. Datuk berdiri sebelah kanan, saya sebelah kiri manakala di sebelah saya pula Andi Kamarool. Semua penutup kotak sudah terbuka.

"Kamu nampak isi dalam kotak?"

"Nampak," sahut saya.

Dua tiga kali datuk pejam celikkan kelopak mata sambil mengedutkan kening. Akhirnya, datuk senyum, bila didapati semua kotak tersebut diisi dengan pasir hitam yang halus disamping beberapa kuntum bunga tanjung dan cempaka.

"Kamu senyum kerana kamu tahu muslihat sebenarnya," Tuk Aji renung biji mata datuk.

"Tapi kamu tak tahu, barang-barang yang kamu tengok ini, kalau disentuh dengan jari, seluruh badan kamu jadi hitam," tambah Tuk Aji.

Datuk tersentak mendengar penjelasan itu. Biji matanya terbeliak. Dua tiga kali dia tarik nafas sambil menggeleng-gelengkan kepala.

"Orang yang mengirimkan bungkusan ini nak membunuh kamu, cucu kamu dan Haji Bagus. Biar aku tunjukkan buktinya. Sekarang kamu pergi ambil ranting yang ada daun dan serahkan pada aku," Tuk Aji keluarkan arahan untuk saya. Perintahnya segera saya patuhi.

"Nah, Tuk Aji."

"Terima kasih Tamar."

Tuk Aji segera menyambut tiga ranting mempelam yang saya hulurkan kepadanya. Dua tiga kali dia melurut ketiga-tiga ranting mempelam dengan pasir hitam dalam kotak.

"Tunggu dan lihat," Tuk Aji segera duduk bersila di halaman masjid.

Kami juga turut bersila, semua biji mata tertumbuk ke arah kotak dan tanting mempelam.

Walaupun panas mula terik tetapi, kami tidak merasai bahang kepanasan itu menggigit kulit. Mata, hati dan fikiran tertumpu ke arah tiga kotak di hadapan.

"Ahhhhh..."

Mulut saya separuh terbuka. Tidak sampai beberapa minit, ranting mempelam mengeluarkan asap nipis.

Bila asap nipis itu lesap, ranting mempelam menjadi arang.

Tiga letupan kecil kedengaran dan ketiga-tiga kotak di depan kami pecah berkecai dan kain pembungkusnya terbakar jadi abu. Dan akhirnya bersatu dengan tanah halaman masjid.

MATA

"Kamu sudah tengok dengan mata kepala kamu sendiri. Aku sudah buktikan apa yang aku katakan. Itulah sebabnya aku tak bagi kamu sentuh barang-barang itu. Orang itu mengirim racun untuk membunuh," Tuk Aji segera bangun.

Kami juga turut bangun dan bergerak menuju ke bahagian belakang masjid. Kami duduk di bangku panjang yang ada di situ.

"Saya faham sekarang, terlalu tinggi permainan ilmu hitam mereka," datuk memulakan percakapan, memecahkan suasana yang kami hadapi.

"Memang hebat," celah saya.

"Kamu jangan campur, kamu dengar saja," datuk mengherdik saya bersama dengan jelingan yang amat tajam sekali. Tindakan datuk itu membuat saya rasa malu.

"Kenapa kamu marahkan dia? Aku fikir dia berada di pihak yang betul. Dia kagum dengan kebolehan orang itu," kata-kata yang diungkapkan oleh Tuk Aji membuat saya rasa megah.

Dia membela saya, secara tak langsung memberikan sokongan moral yang tiada nilainya.

"Sekuat mana dan sehebat mana ilmu hitam yang dipelajari dari iblis akhirnya pasti kalah juga dengan kebesaran Allah," Tuk Aji bersuara setelah menyedari yang datuk menerima pandangannya.

"Maksud Tuk Aji?" Andi Kamarool minta kepastian.

"Mudah saja. Aku percaya dengan apa yang dikatakan oleh Koyan tadi. Gelanggang Munah Supandi dan anak buahnya dipanah petir. Cuba kamu ingat apa yang terjadi waktu subuh tadi?"

Apa yang dituturkan oleh Tuk Aji membuat saya termenung sejenak. Tidak dinafikan, sekitar jam lima pagi tadi berlaku hujan lebat, bersama petir sabung menyabung.

"Agaknya bomoh handal tu dah mampus kena petir," Andi Kamarool bersuara dalam nada keriangan.

"Belum tentu, barangkali yang mati itu pengikutnya," celah datuk.

"Boleh jadi pengikutnya, boleh jadi dirinya sendiri tapi, ilmu jahat susah disekat," saya lihat wajah Tuk Aji gusar sekali.

Dia merenung ke langit sambil menelan air liur berkali-kali. Datuk menggigit bibir.

"Orang yang balik ke Tanah Melayu tu mungkin membawa bencana orang di sana. Percayalah cakap aku.

"Ramai orang akan jadi korban terutama orang-orang politik yang mahu cepat berkuasa, peniaga yang tamak dan mahu cepat kaya," sambung Tuk Aji.

"Orang tamak haloba, gila kuasa, kurang iman dan jahil agama tentu masik perangkap mereka," celah Andi Kamarool.

"Pendapat kamu tu mungkin betul Andi," sahut datuk sambil menggosok-gosok mata kirinya. Mungkin mata datuk dimasuki habuk.

"Aku tak mahu kata apa-apa, kita semua ada otak untuk berfikir dan kemudian boleh buat kesimpulan sendiri. Tapi..." Tuk Aji berhenti bercakap.

Dia agak terkejut bila melihat datuk melekapkan telapak tangan kiri ke mata kanan, Manakala telapak tangan kanan menutup mata kiri.

Kira-kira sepuluh minit datuk berbuat demikian. Kemudian barulah sepasang tangannya dijatuhkan lalu dihayun ke depan dan ke belakang beberapa kali.

Bila datuk berhenti menghayunkan sepasang tangan, dia berdehem dua kali berturut-turut sambil sepasang kelopak matanya dipejam celikkan beberapa kali hingga matanya berair.

Dengan hujung lengan baju, datuk sapu air mata yang melelah di pipi. Kelopak matanya dibuka luas-luas dan dengan senyum terukir di kelopak bibir, datuk menatap wajah Tuk Aji.

"Ada petua tersendiri mengeluarkan habuk dalam mata?"

"Sekadar untuk diri sendiri, tak usah tanya tentang petua itu. Lupakan saja, sambung balik cakap yang terputus," datuk bersuara.

"Itu yang kamu nak tahu? Bukan apa-apa. Aku tak suka bincang tentang bomoh tu, sebenarnya aku lebih suka bincang tentang rancangan kita."

"Rancangan? Rancangan apa?" Datuk membeliakkan biji matanya. Rasa hairan dan terkejut terpamer di wajahnya.

Saya dan Kamarool saling berpandangan. Hati kami terus berdebar. Mungkin ada sesuatu yang mahu dirahsiakan dari saya dan Andi Kamarool. Tetapi, kini perkara yang dirahsiakan itu tidak dapat dipertahankan lagi.

"Saya tak dapat menangkap maksudnya. Masih samar-samar."

"Hum... kamu cepat sangat lupa," Tuk Aji terus tepuk bahu kanan datuk dua tiga kali. Mereka sama-sama ketawa.

Semuanya itu membuat hati saya dan Andi Kamarool berdebar.

"Kau lupa?" ulang Tuk Aji.

"Iya, saya benar-benar lupa."

"Kamu pernah cakap yang kamu nak ikut aku ke Tanah Kerinci. Kata kamu di Kerinci masih terdapat kaum keluarga kamu. Lagi pun dari Kerinci ada yang berhijrah ke Tanah Melayu."

"Allahhu Akbar. Baru saya ingat sekarang. Tadi saya tak ingat langsung," dua tiga kali datuk gelengkan kepalanya. Tuk Aji tersenyum melihat telatah datuk yang agak melucukan itu.

"Bagaimana? Sekarang kamu dah ingat?" usik Tuk Aji.

Datuk anggukkan kepala.

"Kamu bersedia nak ke sana?"

"Sudah tentu! Bila kita nak pergi?"

Jawapan dari datuk membuat Tuk Aji menggaru-garu hujung hidungnya dengan jari kelingking beberapa kali.

Dia renung kiri kanan, macam ada sesuau yang difikirkannya.

"Hari ini hari Senin, esok Selasa. Macam mana kalau kita bertolak dari sini pagi Rabu?"

"Saya mengikut saja," balas datuk dengan senyum.

"Kalau dah begitu, kamu semua kena buat persiapan."

"Ikut jalan laut atau darat?"

TAJAM

Pertanyaan itu membuat Tuk Aji membeliakkan sepasang biji matanya. Muka datuk ditatap tajam.

Kemudian wajah saya dan Andi Kamarool menjadi sasaran. Kenapa Tuk Aji berbuat demikian? Saya sendiri pun tak tahu.

"Kenapa kamu tanya macam tu?"

"Bukan apa-apa. Kalau ikut perjalanan darat kena buat persiapan cara jalan darat. Begitu juga dengan jalan laut."

"Hum... Aku fikirkan pertanyaan yang kamu buat tadi sebagai usaha kamu berdalih tak mahu pergi."

"Insya-Allah. Kalau sudah berjanji tetap saya tepati."

"Maafkan aku," Tuk Aji hulurkan tangan.

Datuk segera menyambutnya. Mereka berpelukan. Beberapa minit kemudian kami pun berpisah.

Tuk Aji pulang ke rumah Tuk Siak sementara saya, datuk dan Andi Kamarol menuju ke rumah Haji Bagus.

Di rumah Haji Bagus, datuk melahirkan rasa bangganya kerana rancangan untuk ke Tanah Kerinci sudah berada di ambang jaya.

Haji Bagus dan isteri merestui perjalanan kami bertiga (saya, datuk dan Andi Kamarool). Dia yakin perjalanan kami tidak akan menghadapi sebarang masalah.

"Dia selalu berulang alik Kerinci-Jambi dan Jambi ke Kerinci. Dia bagi tahu kamu nak pergi ke sana nak ikut jalan sungai atau jalan darat?" tanya Haji Bagus.

"Dia tak bagi tahu Abang Haji," jawab datuk sambil mengerutkan dahinya seperti ada keresahan bermain dalam kepala datuk.

"Biasanya, dia ikut jalan sungai separuh dan separuh lagi ikut jalan darat. Tak kira ikut jalan mana, pokoknya kamu semua beruntung dapat pergi ke Kerinci bersama Haji Ahmad Basilam.

"Dia orang lama, umurnya dah dekat seratus tahun tapi masih tegap dan gagah. Dia banyak menyimpan cerita Tanah Kerinci," kata Haji Bagus.

Pagi Rabu yang cerah, saya dan Andi Kamarool bersilat di halaman masjid untuk mengeluarkan peluh. Haji Basilam dan datuk masih berada di dalam masjid.

Saya kira mereka sedang berbincang tentang perjalanan yang ditetapkan. Walau apa pun, saya tidak bimbang semua keperluan untuk perjalanan sudah siap sedia.

Beg yang memuatkan beberapa helai pakaian saya dan datuk terletak di kepala tangga masjid. Begitu juga dengan pakaian Andi Kamarool.

"Sudah."

Serentak saya dan Kamarool menoleh ke arah suara tersebut. Haji Basilam (Tuk Aji) dan datuk berdiri di kaki tangga. Mereka tersenyum ke arah kami.

"Mengapa mesti membuang tenaga, nanti letih," usik Haji Basilam.

"Sekadar nak melembutkan urat," sahut Andi Kamarool. Mereka berdiri didepan kami, melihat peluh yang mercik di kening dan dahi.

"Kamu berdua dah sedia, kalau dah sedia kita mulakan," tutur Haji Basilam.

"Kamu berdua tunggu kami di kepala simpang, aku nak ambil barang di rumah Tuk Siak, datuk kamu ikut aku."

"Baiklah," kata saya.

"Pergi ambil barang-barang kamu," sambung Haji basilam.

Saya dan Andi Kamarool bergegas menuju ke kepala tangga masjid mengambil beg pakaian dan meneruskan perjalanan menuju muara jalan.

Sementara menanti kedatangan Haji Basilam dan datuk, saya dan Andi kamarool berdiri di bawah pohon ketapang.

Matahari pagi terus memancar sinar bersama-sama dengan kicau beburung. Orang-orang kampung yang ramah terus melemparkan senyum ke arah kami tidak kira sama ada mereka berjalan kaki atau naik basikal.

"Andi, kamu pernah pergi ke Kerinci?"

"Belum pernah. Kata orang alamnya cantik, banyak sejarahnya dan banyak pula misterinya."

"Bila sampai Kerinci apa yang kamu mahu tengok Andi?"

"Aku nak tengok kolam air panas di Sumurup dan Sungai Medang. Kata orang airnya sentiasa berasap. Aku nak rebus telur di kolam air panas tu. Kamu pula nak cari apa disana Tamar?"

"Aku nak jumpa orang pendek yang ganjil dalam hutan Kerinci. Tubuhnya tegap, berjalan tegak, mukanya bulat berjanggut panjang.

"Tingginya antara 80-100 cm. Badannya penuh dengan bulu warna coklat dan hitam. Bila berjalan tapak kakinya terbalik. Aku teringin benar nak melihat makhluk ganjil ini."

"Lagi, apa yang ingin kamu cari di sana?" tanya Andi Kamarool lagi.

"Aku teringin nak jumpa dengan keturunan manusia harimau. Kalau jumpa yang perempuan dan cantik serta muda pula aku nak jadikan dia isteri," kata saya.

"Bila kamu tidur dengannya dia terus baham kamu," balas Andi Kamarool.

Kami terus ketawa terkekeh tanpa mempedulikan orang yang lalu lalang di jalanan.

"Apa yang kamu berdua ketawakan hingga nak pecah perut?"

Tanpa disedari datuk muncul dari belakang dan Haji Basilam menyongsong dari sebelah kanan. Saya tergamam, tetapi Andi Kamarool dapat mengawal keadaan. Dia tenang sekali.

"Tamar ni, bila sampai di Kerinci dia nak jumpa keturunan manusia harimau," Andi Kamarool buka rahsia. Datuk gelengkan kepala sambil berkata.

"Kamu bercakap ikut sedap mulut sahaja, Tamar."

"Tak mengapa, kalau kamu berhajat Tuk Aji boleh bawa kamu jumpa mereka," sahut haji Basilam.

"Bergurau dengan cucu saya?"

"Tidak, saya cakap perkara yang benar. Kalau awak nak jumpa pun boleh saya bawakan. Soal perkara itu benar atau tidak terpulang pada diri masing-masing."

"Di mana mereka tinggal Tuk Aji?" saya pula menyoal.

"Usah tanya di mana, sampai masanya aku temukan keturunan tu dengan kamu," penuh semangat Haji Basilam bersuara.

Dua tiga kali belakang saya di tepuknya. Andi Kamarool hanya tersenyum sahaja.

Di bawah hembusan angin dan sinaran matahari pagi yang telah melepasi pokok ketapang, kami pun bergerak meninggalkan muara jalan menuju ke pengkalan (jeti).

Sesekali, Haji Basilam menceritakan pengalaman silamnya yang menarik ketika dia mendaki Gunung Kerinci.

"Nama Kerinci selalu dikaitkan dengan kapal iaitu Kapal Kerinci, pada hal nama Kerinci diambil dari nama Gunung Kerinci," sambil melangkah Haji Basilam membuka tentang sejarah bumi kelahirannya. Dan saya terus pasang telinga.

Bagi saya nama Kerinci bukanlah sesuatu yang asing dan secara kebetulan pula di kampung saya terdapat ramai orang yang berasal dari Kerinci.

"Pada hemat aku, Kerinci itu boleh jadi berasal dari perkataan KERING CAIR yang bermaksud danau yang kering," Haji Basilam bercerita kembali.

"Kerana proses alam dasar danau terangkat atau naik ke atas menjadi dataran tanah yang tinggi.

"Tanah kering sebelah utara menjadi Gunung Kerinci manakala yang berair sebelah selatan menjadi danau Kerinci."

Datuk tidak memperlihatkan sebarang reaksi, sama ada benci atau suka bila mendengar cerita Haji Basilam.

Datuk nampak bersahaja dan tenang. Mungkin dia pernah ke sana dan merasakan apa yang dituturkan oleh Haji Basilam itu sebagai perkara biasa saja.

Berlainan kami berdua, apa yang keluar dari mulut lelaki tua itu, adalah perkara baru membuat kami mendengar penuh minat dan sekali-sekala anggukkan kepala.

Haji Basilam terus bercerita dan perjalanan ke jeti yang agak jauh terasa dekat. Panas yang beransur terik juga turut juga tidak terasa.

Haji Basilam tetap macam tadi, bercerita dan terus bercerita dan akhirnya kami sampai ke pengkalan.

Tanpa membuang masa kami segera menaiki salah satu bot penambang menyeberang Sungai Batang Hari menuju ke kota Jambi.

MENJERIT

"Kamu tunggu di sini, jangan kemana-mana. Kami berdua ada urusan, tunggu di sini," Haji Basilam mengingatkan saya dan Andi Kamarool sebaik saja kami duduk di sebuah bangku panjang depan sebuah kedai.

Haji Basilam dan datuk terus menghilangkan diri. Keadaan kota Jambi hari itu cukup sibuk. Kenderaan dan manusia bertali arus.

Di saat saya dan Kamarool melihat gelagat manusia yang lalu di hadapan kedai, sebuah kereta berhenti.

"Masuk."

Haji Basilam jengukkan muka dari dalam kereta.

"Kenapa tersengih-sengih, masuk saja. Orang suruh masuklah," kata datuk yang berada di bahagian belakang (di kusyen belakang) kereta.

Saya buka pintu, tanpa membuang masa terus meluluskan diri ke dalam kereta. Pemandu kereta yang berkulit hitam berwajah garang menjeling tajam ke arah kami.

Kereta yang ditumpangi terus meluncur ke depan. Setiap kali ada orang melintas jalan pemandunya membunyikan hon kereta.

"Tamar, Andi, ini anak saudara aku. Dia selalu berulang-alik dari Jambi ke Sungai Penuh. Cara kebetulan dia mahu kesana. Kita naik kereta dia, cepat sikit sampai," Haji Basilam memperkenalkan pemandu kereta kepada kami.

Si pemandu hanya tersenyum, misai tebalnya turut bergerak tetapi sinar matanya tajam menyorot wajah kami.

Saya agak cemas melihat perangainya yang memandu laju dengan sebelah tangan. Hon keretanya terus menjerit.

Sesekali dia memarahi kenderaan lain yang memotong keretanya. Datuk, hanya diam saja.

"Dari Jambi ke Sungai Penuh, berapa kilometer Tuk Aji?" Andi bertanya. Haji Basilam terdiam.

"Lebih kurang 434 kilometer. Kamu tahu tak Sungai Penuh ibu Negeri Kerinci?" si pemandu menjawab dalam nada suara yang keras.

Dia masih memandu dengan sebelah tangan. Bila ada lembu atau kambing melintas jalan, hon keretanya terus memekik.

Sesekali dia menekan brek kecemasan, membuat kami yang ada dalam kereta tersengguk-sengguk.

Perjalanan yang cemas dan membosankan itu sampai ke sebuah bandar yang disebut Muarabungo.

Kerana kami sudah hampir dengan waktu zuhur, Haji Basilam menyuruh anak saudaranya berhenti di sebuah masjid.

Setelah menunai sembahyang zuhur, kami menjamu selera di sebuah gerai kepunyaan orang Padang.

Datuk hanya makan tiga suap nasi dan minum air putih. Setelah itu perjalanan menuju ke negeri Kerinci–Sungai Penuh diteruskan.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 167/284

BACA: SBDJ Siri 166: Lelaki Dari Kerinci
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Tuesday, July 07, 2020

SBDJ Siri 166: Lelaki Dari Kerinci

SBDJ Siri 166: Lelaki Dari Kerinci

Apa yang didengar dan dilihat, ternyata menghadiahkan kegembiraannya yang tiada taranya. Dan saya buat tidak kisah dengan tingkah laku anak buah Haji Bagus. Biarlah mereka bersiul atau menyanyi semahu-mahunya.

Toyol jadi-jadian

Apa yang dapat saya kesan di sebalik semuanya itu, mereka berusaha memperlahankan langkah agar jarak mereka dengan Haji Bagus kian jauh.

Saya tidak tahu, apakah tindak tanduk mereka itu dapat dikesan oleh Haji Bagus. Tidak wajar saya ambil tahu.

Saya terus melangkah dengan mengambil kira keselamatan diri, terpaksa berpaut pada batang-batang pokok kecil.

Kami kini sedang menuruni kawasan berbukit menuju ke tanah pamah. Silap langkah atau tersilap paut, badan bergolek di bumi dan berhenti bergolek bila sampai di kaki bukit.

Kerana itu harus melangkah dengan hati-hati dan teliti. Dua tiga kali saya dikejutkan oleh mengkarung liar yang berlari di bawah dedaun kering.

Nyamuk terus mengelilingi cuping telinga, bunyinya menganggu perjalanan. Begitulah, sesudah peluh membasahi sekujur tubuh, akhirnya kami berhadapan dengan jalan berpasir selebar tiga kaki.

Ada kesan tayar basikal dan motosikal di samping tapak kaki manusia dan binatang ternakan.

Panas makin terik, angin yang bertiup lembut sudah lama berhenti tetapi, unggas terus berbunyi.

Saya mula terasa penat dan mahu berhenti. Malangnya saya tidak dapat berbuat demikian kerana Haji Bagus tidak mengizinkan perjalanan diberhentikan tanpa kebenaran darinya.

Setelah hampir dua rantai memijak jalan berpasir, tanpa disangka-sangka Haji Bagus berhenti melangkah.

"Kita sekarang ada di hujung kampung. Kita dah sampai," Haji Bagus bersuara lalu duduk bertengek di akar pokok tepi jalan berpasir.

Saya masih berdiri dan tidak dapat membuat keputusan sama ada terus berdiri atau duduk.

"Kenapa duduk?" tanya Tuk Siak yang terlewat beberapa minit

"Nak tunggu budak-budak," sahut Haji Bagus.

Tuk Siak anggukkan kepala dan terus duduk di sisi Haji Bagus. Dan tanpa rasa malu saya terus duduk atas rumput tepi jalan.

Lebih kurang lima minit kemudian anak buah Haji Bagus pun sampai. Mereka berkumpul lalu mengelilingi kami (Haji Bagus, Tuk Siak dan saya).

Semuanya bermandi peluh tetapi masih mempamirkan wajah keriangan dan senyuman.

"Kamu tahu, kita ni dah berada di hujung kampung."

"Iya, kami tahu Pak Aji."

"Jadi aku nak tanya kamu semua, kamu nak ke masjid atau nak terus balik ke rumah masing-masing," suara Haji Bagus bernada lembut yang diakhiri dengan senyum.

"Begini saja Pak Aji, kami ikut ke masjid dulu. Kemudian baru balik ke rumah masing-masing," jawap lelaki bermisai yang menjadi jurucakap kawan-kawan.

"Aku setuju dengan cara kamu tu, kita ke masjid dulu dan baca doa kesyukuran kerana kerja kita berhasil," celah Tuk Siak yang disambut dengan tepukan gemuruh.

GARANG

Perjalanan yang terhenti diteruskan. Selesai saja melalui jalan berpasir, kumpulan kami terus membelah jalan tanah merah yang terbentang di tengah kampung dan akhirnya melintasi kawasan perumahan.

Matahari terus bersinar garang. Kerana angin mula bertiup yang sekaligus berjaya menyingkirkan rasa panas di tubuh kami.

Kanak-kanak yang bermain gasing dan galah panjang di halaman rumah segera berhenti bermain.

Seluruh perhatian mereka tertumpu ke arah kami yang bergerak bagaikan ombak. Manakala suri rumah menjengukkan muka di tingkap dan di muka pintu.

Beberapa orang lelaki setengah baya bergegas turun dari rumah lalu bersatu dengan rombongan kami menuju ke masjid.

Saya tidak tahu, apakah kehilangan saya selama lebih 14 jam itu menjadi berita yang menggemparkan seluruh kampung tersebut?

Pasti kehilangan saya menjadi buah mulut penghuni kampung. Buktinya, semua insan di dalam kampung melemparkan pandangan ke arah saya.

Semoga di sebalik daun pintu dan tingkap ada gadis Tanah Jambi yang bermata galak dan hidung mancung.

Mana tahu, secara diam-diam ada yang simpati nasib malang yang saya alami dan akhirnya jatuh hati kepada saya.

Terhibur rasa hati dengan angan-angan yang berpeta dalam kepala secara mendadak.

Saya melangkah dengan tenang dan pura-pura buat tak kisah dengan apa yang berlaku di sekeliling.

Sepasang mata saya arahkan ke masjid yang tersergam indah di hadapannya, seolah-olah menanti kepulangan saya.

Alangkah bahagianya, kalau datuk dan Andi Kamarool menyambut kepulangan saya di pintu masjid, fikir saya dalam hati sambil menghayun langkah bersama Haji Bagus dan Tuk Siak.

Lebih kurang dalam jarak 100 hingga 150 kaki mahu sampai ke kawasan masjid (setelah melepasi selekoh kecil) tiba-tiba hati saya berdebar.

Saya dapat merasakan ada empat biji mata meenung gerak geri saya.

Apa yang bergolak dalam dada tidak saya cakapkan dengan Haji Bagus dan Tuk Siak. Dalam cemas dan debar langkah diteruskan.

"Assalamualaikum."

Serentak kami menoleh ke kanan. Datuk dan Andi Kamarool muncul dari celah-celah rimbunan pepokok kecil. Saya menarik bafas lega.

"Kemana kamu pergi."

Biji mata datuk terbeliak ke arah saya.

"Sasssss..." saya tidak meneruskan kata-kata kerana saya tergamam.

"Jangan dipaksa cucu kamu, semangatnya belum pulih. Kalau kamu marah-marah buruk jadinya," Tuk Siak mengingatkan datuk.

"Saya faham," suara datuk lembut.

"Kamu diseksa Tamar?" Andi Kamarool mengajukan pertanyaan.

"Kamu diseksa Tamar?" soal Andi Kamarool lagi.

"Iya, " kata saya perlahan sambil anggukkan kepala.

Dan selanjutnya tidak ada pertanyaan yang diajukan oleh Andi Kamarool kepada saya. Wajahnya nampak gusar sekali.

"Tak usah buang masa, kita ke masjid dulu. Kita buat sembahyang syukur," Haji Bagus mengemukakan usul.

"Satu cadangan yang baik," sahut Andi Kamarool.

Datuk memberikan persetujuan dengan menganggukkan kepala.

Sebelum bergerak ke masjid, Haji Bagus menemui salah seorang anak buahnya yang berbadan kurus, berkulit putih menyimpan janggut, misai dan jambang.

Ada sesuatu yang Haji Bagus cakapkan pada si kurus yang banyak mengangguk dari bersuara.

Beberapa minit kemudian, (sebaik saja Haji Bagus selesai bercakap) si kurus keluar dari kumpulannya, lalu bergerak menuju ke arah rumah Haji Bagus.

Apakah pesanan yang dibawa oleh si kurus untuk orang rumah Haji Bagus? Muncul pertanyaan nakal dalam benak saya.

"Awak tak usah marahkan cucu awak tu, dia dah selamat. Aku percaya dia tersesat," tanpa diduga, Haji Bagus bersuara sambil merenung ke arah datuk yang melangkah seiring dengannya.

"Saya tahu Abang Aji, saya tahu tapi..."

"Ha, kenapa tak teruskan, biar aku dengar."

"Tak mahu dengar cakap orang tua-tua."

"Ai, usah ambil kira semuanya tu. Budak-budak memang begitu."

"Semuanya menyangka diri dah pandai, bertindak ikut suka hati. Tak mahu dengar cakap orang," datuk terus merungut kecil kerana Haji Bagus dan Tuk Siak buat tidak kisah dengan apa yang datuk rungutkan. Perkara tersebut mati begitu saja.

Bila masuk di perkarangan masjid, anak buah Haji Bagus bergegas ke perigi membersihkan diri.

Saya dan Andi Kamarool juga tidak ketinggalan. Begitu juga dengan Tuk Siak, Haji Bagus dan datuk.

Saya agak terkejut bila mendapati anak buah Haji Bagus mengenakan pakaian yang baru dan bersih.

"Di mana dapat pakaian baru, Andi?"

Pertanyaan yang saya ajukan itu membuat Andi Kamarool tersenyum lebar. Dua tiga kali bahu saya ditepuknya.

"Kamu tak perasan, masa kamu jumpa dia orang tadi semuanya memakai baju putih, seluar hitam dan kain lilit kepala warna merah."

"Aku tak begitu ambil berat tentang apa yang mereka pakai, itu kelemahan diri aku Andi."

"Lain kali jangan buat macam itu, sudah menjadi kebiasaan orang-orang di sini, bila masuk ke hutan untuk mencari orang hilang atau sesat menggunakan pakaian khas macam tu.

"Pakaian tu disimpan dalam pondok kecil di bucu masjid. Bila kerja dia orang selesai, mereka pakai balik pakaian asal mereka."

"Barangkali dia orang ada ilmu baru."

"Bukan ilmulah Tamar, perkara itu sudah menjadi kebiasaan orang-orang di sini. Aku dah tanya hal ini dengan Tuk Siak."

"Hmm..." saya mengeluh.

"Macam kau, awal-awal lagi datuk kau sudah sediakan pakaian baru untuk kau. Dia tau pakaian kamu mesti kotor. Kau ni tak boleh berfikir langsung," sindir Andi Kamarool.

Sembahyang kesyukuran dan pembacaan doa selamat pun diadakan.

Saya jadi kelam kabut dan cemas semacam, bila sebahagian dari penduduk kampung yang berada dalam masjid mendesak supaya saya menceritakan kembali pengalaman yang dilalui.

Saya tidak ada pilihan terpaksa akur dengan permintaan mereka. Haji Bagus dan Tuk Siak memberikan kata-kata perangsang supaya saya bercerita.

Manakala datuk sendiri, tidak pula melarang atau menyuruh. Segala-galanya terletak atas kebijaksanaan saya untuk membuat keputusan.

"Ceritakan Tamar," desak Andi Kamarool.

"Baik," kata saya tenang.

Setelah rasa kelam kabut dan cemas dapat saya kawal dengan sebaik mungkin, maka dengan wajah yang penuh keyakinan saya memulakan cerita dari kedatangan seorang gadis yang menyerupai (menyamar) sebagai Nurul Hayat.

Dari situ berganjak kepada pengalaman pahit dan ngeri yang saya rasai semasa menjadi tetamu manusia yang disebut mahaguru.

"Itulah yang saya alami," dengan nada suara yang rendah saya mengakhirkan cerita.

Sebahagian daripada orang yang mendengar cerita saya itu terus mengeluh. Malah ada juga yang menggelengkan kepala dengan wajah yang berkedut.

"Kamu tahu kepala iblis yang paling besar, bukannya lelaki yang di panggil mahaguru. Orang kanan mahaguru itu sebenarnya iblis besar," seorang tua yang duduk dekat tiang seri masjid bersuara lantang. Semua biji mata tertumpu ke arahnya.

"Perempuan jahanam tu dipanggil Bomoh Monah Supandi. Nama sebenarnya adalah Halijah. Ilmu hitamnya cukup tinggi, sihir dan pukaunya tak terkalahkan.

"Kalau dia bergaul dengan kita, dia nampak seperti orang baik-baik, macam orang bangsawan. Namanya selalu berubah," tambah orang tua tu lagi.

Dia tidak peduli dengan biji mata orang ramai yang tertumpu kepadanya.

RESAH

"Kita harus berhati-hati , dia sedang mengembangkan ilmu jahatnya. Anak muridnya bukan saja di Sumatera ni, tetapi sampai ke Jawa dan Tanah Melayu," dengan wajah yang merah padam orang tua berhenti bercakap.

Dia terus duduk dan bersandar di tiang seri masjid.

"Nanti dulu, jangan tinggalkan masjid ni, kita makan dulu," Haji Bagus berdiri di muka pintu masjid menahan orang yang mahu keluar.

Pada sangkaan mereka semuanya sudah tamat sebaik sahaja saya mengakhiri cerita. Orang yang berdiri duduk kembali.

Orang tua yang bersandar di tiang seri nampak resah semacam. Saya segera menghampirinya. Kami bersalam penuh mesra.

"Apa yang mahu saya panggil?"

"Panggil apa saja, kamu tahu aku lebih tua dari datuk kamu," kata orang tua itu ramah.

"Sudah ke Tanah Suci?"

"Sudah dua kali ke sana."

"Kalau begitu saya panggil Tuk Aji saja, boleh?"

"Kamu budak yang bijak, aku tak kisah," orang tuan itu ketawa terkekeh.

Misai putihnya yang lebat turut bergerak. Rambutnya yang lebat sewarna dengan songkok putih (ketayap) yang di pakainya.

"Orang asal kampung ini?" saya merisik rahsia.

Dia gelengkan kepala.

"Dari Kerinci, dari Kampung Lempur Mudek. Datang berziarah ke rumah Tuk Siak.

"Petang semalam tiba. Masa sampai orang di sini heboh tentang kehilangan kamu, mereka bersiap nak mencari kamu," ada segaris senyum bermain di kelopak bibirnya.

"Jumpa dan bercakap dengannya."

"Tuk Aji tak ceritakan apa yang Tuk Aji tahu tentang bomoh perempuan tu."

Saya lihat orang tua tu menarik nafas panjang sambil merenung ke arah beberapa orang anak muda yang sedang menatang beberapa talam hidangan di muka pintu masjid. Hidangan itu segera disusun sebaris di ruang masjid.

Saya juga terlihat datuk, Haji Bagus dan Tuk Siak berada di sebelah masjid, tidak jauh dari tingkap. Mereka seperti berbincang tentang sesuatu.

"Aku dari mula sudah syak yang kamu ni dah masuk perangkap manusia syaitan tu. Tapi, aku tak berani nak cakap pada sesiapa," tanpa diduga orang tua itu bersuara tenang, saya mengigit bibir.

Kumpulan anak muda yang mengatur hidangan segera beredar ke tepi dinding. Tugas mereka sudah selesai.

"Aku tahu, datuk kamu juga sependapat dengan aku tapi, dia tidak mahu menceritakannya.

"Walau apapun, jangan fikirkan yang lalu tu. Kamu dah selamat. Aku bercadang nak mengajak kamu dan datuk kamu ke Tanah Kerinci."

"Kalau tak dijemput pun datuk memang ada rancangan nak ke sana."

"Betul ke?"

"Iya, Tuk Aji," kata saya serius.

"Jemput makan, jamahlah apa yang ada."

NIAT

Haji Bagus mempersilakan tetamu masjid menjamah hidangan yang tersedia. Sudah tentu permintaan tersebut tidak dihampakan.

Hidangan yang disediakan, boleh tahan juga. Keledek rebus, sambal bacang. Tumis petai ikan bilis, pulut putih, kopi dan teh. Pilih sendiri mana yang berkenan di hati.

Dan yang menjadi pilihan saya ialah pulut putih, tumis petai ikan bilis dan kopi. Enaknya tiada terkata.

"Masa bila orang rumah Abang Aji buat semuanya ini," tanya datuk yang hanya menghirup kopi panas. Dia tidak menjamah makanan yang lain.

"Saya dah niat dalam hati kalau jumpa cucu awak, saya nak jamu orang yang mencari cucu awak, termasuk orang yang menanti di masjid.

"Kerana itu, sebelum masuk hutan saya suruh orang rumah sediakan barang-barangnya. Bila di beritahu yang cucu awak sudah dapat, orang rumah saya terus masak," Haji Bagus buka rahsia.

"Ini dah kira cukup baik, tengah hari ni, tak payah suruh orang rumah masak," Tuk Siak bersuara lalu disambut dengan ketawa oleh tetamu yang ada.

"Sekarang baru pukul sebelas pagi, lepas waktu zuhur awak lapar semula, terpaksalah orang rumah masak nasi," tingkah datuk yang juga disambut dengan ketawa.

Menjelang pukul dua belas tengah hari masjid jadi sunyi.Para tetamu sudah pulang kerumah masing-masing. Saya, datuk dan Andi Kamarool terus berhenti di rumah Haji Bagus.

Semasa di rumah Haji Bagus, datuk terus menyoal saya secara lebih mendalam lagi tentang perkara-perkara aneh yang saya lihat dan alami semasa menjadi tetamu yang disebut mahaguru itu.

Dua hari kemudian, setelah menunaikan sembahyang Asar, saya dan Andi Kamarool terus berehat di ruang masjid.

Datuk dan orang tua yang saya panggil Tuk Aji berada di bahagian bawah masjid. Mereka berborak panjang di situ.

Barangkali datuk menceritakan kepadanya tentang rancangan untuk pergi ke Tanah Kerinci.

Mungkin bukan perkara itu yang dibincangkan. Siapa tahu, datuk dan orang tua itu sedang menyusun strategi tertentu untuk melanyak gerombolan anak buah mahaguru hingga ke akar umbinya.

Begitulah, sambil baring saya meramalkan sesuatu tentang perbualan datuk dengan Tuk Aji. Mungkin ramalan itu betul, mungkin tidak.

"Assalamualaikum..." terdengar suara di halaman masjid.

Saya dan Andi Kamarool segera bangun dan bergegas ke pintu masjid. Seorang lelaki memakai terendak, di pinggangnya terselit golok dan parang panjang.

Di bahu kanannya tersangkut segulung rotan seni. Dengan pakaian yang agak lusuh dan bertampal di sana sini, lelaki itu berdiri tenang di halaman masjid tanpa sepatu.

"Pencari rotan sesat," bisik Andi Kamarool.

"Barangkali."

"Bagaimana kita ke bawah."

"Ayoh."

Sebaik saja kami sampai di bahagian bawah masjid, tetamu yang tidak dikenali itu sudah pun berjabat tangan dengan datuk dan Tuk Aji.

"Apa hal awak kemari," soal datuk

"Tadi saya ke rumah Haji Bagus dan Tuk Siak, malangnya mereka tak ada di rumah. Orang rumah Haji Bagus suruh saya jumpa awak di masjid.

"Ada hal mustahak yang nak saya sampaikan kepada awak berdua. Saya bukan orang kampung ni.

"Kampung laman saya sebelah hulu tetapi, saya selalu lalu lalang semasa nak masuk ke hutan mencari rotan," tetamu yang tidak dikenali berhenti bercakap.

"Itu saja yang awak nak cakapkan kepada kami," kata Tuk Aji separuh resah.

Saya dan Andi Kamarool berpandangan, sedangkan datuk duduk merenung tanah. Dahinya dikerutkan.

"Bukan itu, ada hal lain yang lebih mustahak dari itu," suara tetamu yang tidak dikenali mula meninggi.

Segulung rotan seni di bahu dihempaskan ke bumi. Terendak yang menyerkup kepala segera dibuka.

Dia mempamirkan wajah garangnya. Mungkin dia tersinggung dengan kata-kata yang diucapkan oleh Tuk Aji.

Dia merasakan kata-kata itu seolah-olah mempersendakan segala usahanya.

"Jangan marah, abang saya ni tak bermaksud untuk memperkecilkan awak, terangkan, saya sedia mendengarnya. Kalau awak nak minta pertolongan, saya sedia membantu," kata-kata dari datuk itu ternyata dapat memadamkan api kemarahan yang meluap-luap di hatinya.

RESAH

Bila perasaannya sudah cukup tenteram, terendak di kepala diletakkan kembali ke kepala dan segulung rotan di bumi segera diambil lalu disangkutkan ke bahu kiri semula.

Dengan senyum dia menatap wajah datuk. Tetapi, dia seperti keberatan untuk mengucapkan sesuatu kepada datuk.

"Cakapkan, jangan segan-segan," datuk mendesak.

"Kerana kejadian tu saya kira terjadi dalam kawasan jagaan Haji Bagus, eloklah saya beritahu kepada orang-orangnya dengan..." dia tidak meneruskan kata-katanya akibat diganggu rasa gatal di leher. Dia terus mengaru dengan sepuas-puasnya.

"Dengan berbuat begitu perkara ini boleh awak sampaikan kepadanya, iaitu Haji Bagus," sambungnya.

"Apa halnya," celah Tuk Aji tanpa sabar.

"Begini. Semasa saya mencari rotan di kaki bukit, saya terserempak dengan sepasang suami isteri. Katanya, mereka datang dari Tanah Melayu dan tersesat jalan, saya tunjukkan jalan."

"Kamu bantu mereka?" soal datuk.

"Iya. Saya bawa bermalam di rumah saya. Pagi tadi sebelum mencari rotan saya bawa dia orang ke pekan dan saya perkenalkan mereka dengan orang yang selalu berulang alik ke Tanah Melayu."

"Dia tak cakap apa-apa dengan kamu?" soal Tuk Aji.

"Ada."

"Apa dia."

"Katanya, lepas cari rotan di hutan, dia suruh saya pergi ke satu tempat jumpa ketuanya untuk ambil hadiah. Saya ikut apa yang dia suruh."

"Kamu jumpa ketuanya?" soal datuk lagi.

Saya lihat tetamu yang tidak dikenali tu terdiam. Dia nampak resah. Dua tiga kali dia kedutkan dahi. Mundar mandir di depan datuk macam kucing hilang anak.

"Saya jumpa ketuanya dalam keadaan sungguh menakutkan. Seluruh badanya rentung terbakar.

"Tempat kediamannya berselerak tetapi, beberapa patung manusia dan binatang yang dibuat dari tembaga kuning masih elok.

"Saya juga terjumpa beberapa bahagian tanah yang diturap dengan simen, tidak jauh dari tubuh yang terbakar hangus tu, saya jumpa mayat orang lelaki.

"Mayat itu juga terbakar?" datuk serkap jarang.

"Mayat lelaki tu rentung separuh badan dari pinggang ke atas. Dari pinggang ke kiri, keadaannya elok."

"Macam mana kamu tahu dia lelaki?" soal Tua Aji.

"Alat sulitnya, alat sulitnya elok."

"Lagi apa yang kamu jumpa?" desak datuk lagi.

Pertanyaan itu membuat tetamu tidak dikenali melagakan gigi atas dengan gigi bawah beberapa kali.

Matanya merenung ke arah papan dinding masjid. Saya kira dia sedang memerah otak untuk mengingati sesuatu.

"Semasa saya berpusing-pusing di situ saya juga terjumpa pedang lama dan tempayan. Oh ya. Saya jumpa mayat perempuan mati dihempap pokok besar separuh badannya terbenam dalam tanah.

"Perkara inilah yang hendak saya sampaikan kepada Haji Bagus. Ohh... Terlupa pulak nak bagi tau nama," tetamu yang tidak dikenali itu tersengih merenung saya dan Andi Kamarool.

Barangkali dia sendiri terasa lucu dengan tindak tanduknya itu. Sudah sampai mahu berbuih mulut, baru teringat mahu beritahu namanya kepada kami.

"Nama saya Khatib Koyan tapi orang panggil Koyan saja," katanya lalu membelakangi datuk dan Tuk Aji.

Orang itu pun meneruskan perjalanan pulang. Lebih kurang dalam jarak sepuluh kaki meninggalkan kami, orang itu berpatah balik.

"Ini ada beberapa bungkus barang yang diberikan oleh pasangan suami isteri itu kepada saya. Dia minta barang-barang ini disampaikan kepada Haji Bagus."

"Apa barangnya?" soal Tuk Aji.

Koyan pun mengeluarkan tiga bungkusan yang berbalut dengan kain hijau, putih dan merah dari dalam bajunya.

Bungkusan itu berukuran panjang kira-kira tiga inci dan lebarnya tiga inci. Tingginya dalam dua inci lebih, berbentuk empat segi.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 166/284

BACA: SBDJ Siri 165: Dikejar Makhluk Aneh
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Sunday, July 05, 2020

SBDJ Siri 165: Dikejar Makhluk Aneh

SBDJ Siri 165: Dikejar Makhluk Aneh

Dalam keadaan yang gawat itu, apa yang saya lakukan semua tidak kena. Kematian dirasakan terlalu hampir. Hujan terus turun dan badan terus mengigil. Semuanya menakutkan dan mencemaskan. Saya tidak mahu memikirkan tentang mahaguru dan anak buahnya. Hidup atau mati itu urusan mereka.

Toyol jadi-jadian

Sebaiknya dalam keadaan yang haru-biru itu, dimanfaatkan untuk membebaskan diri dari cengkaman mahaguru dan orang-orangnya. Itulah yang bergelodak dalam batin saya.

"Aku mesti gunakan peluang ini," ulang saya berkali-kali.

Tanpa berfikir panjang, saya buat keputusan nekad untuk merempuh pagar buluh kuning dalam hujan dan cahaya petir yang sabung menyabung untuk menyelamatkan diri.

Sambil berlari saya mula terfikir bahawa ilmu yang dimiliki mahaguru tidak dapat menahan kekuatan kuasa Allah. Sekali hujan turun, sekali petir berbunyi, mahaguru sudah menjadi kelam kabut.

Disaat saya merempuh pagar buluh kuning tadi, memang terasa seperti ada sesuatu yang memburu saya dari belakang. Memukul bahagian leher saya dengan bulu kabung (Enau).

Tidak memadai dengan itu, saya dihujani dengan reranting kayu dari kiri dan kanan. Semuanya tidak saya hiraukan.

Tidak dapat saya pastikan, apakah yang mengejar saya itu manusia atau makhluk lain. Maklumlah berlari dalam gelap tetapi, mulut saya tidak berhenti-henti membaca surah AL-Ikhlas, Al-Falak dan An-Nas.

Dengan keyakinan yang tinggi bahawa apa yang saya rencanakan secara mendadak pasti berhasil. Saya tidak mahu jadi hamba ilmu yang bertentangan dengan akidah Islam.

Kerana itu saya berlari dan terus berlari hingga bunyi telapak kaki makhluk aneh hilang entah kemana.

Walaupun tidak dikejar, larian yang dibuat tidak juga surut malah jauh dari berhenti. Surah AL-Ikhlas, Al-Falak dan An-Nas terus meniti dibibir tanpa mengenal noktah.

Mungkin terlalu banyak tenaga yang dikerah, membuatkan larian tidak sekencang tadi. Saya mula rasa penat dan tercungap-cungap.

Langkah saya mula terhoyong-hayang, seluruh sendi terasa sakit-sakit, tetapi perjalanan tetap diteruskan, walaupun terpaksa merangkak di bumi.

Begitulah bergerak dalam gelap tanpa matlamat memang sukar. Entah bagaimana saya bagaikan tersentak, bila terlihat sekumpulan kelip-kelip itu hilang entah kemana.

Bila langkah dimulakan kumpulan kelip-kelip itu muncul kembali. Sukar untuk dipastikan dari mana kumpulan kelip-kelip itu muncul.

LALUI

Apa yang menguntungkan saya, cahaya dari kelip-kelip itu menerangi sekitar kawasan yang saya lalui.

Secara tidak langsung kumpulan kelip-kelip itu jadi penyuluh jalan dan hati saya bagaikan diarah-arah untuk mengikuti ke arah mana kumpulan kelip-kelip itu pergi.

Dan perjalanan seterusnya amat menyenangkan kerana berpelitakan dari cahaya kumpulan kelip-kelip yang tidak diundang.

Disaat asyik melangkah, hidung saya terbau bunga melati yang cukup harum. Serentak dengan itu terdengar sayup-sayup kokok ayam.

Ertinya saya berada tidak jauh dari kawasan perkampungan. Kumpulan kelip-kelip yang jadi penyuluh jalan mula berkurangan dan berpecah dua.

Separuh menuju ke sebelah kanan dan yang separuh lagi masih jadi penyuluh jalan. Kokok ayam makin jelas kedengaran dan terasa dekat sekali.

Saya dongakkan kepala melihat langit yang bersih. Sesungguhnya saya tidak dapat memastikan ketika mana hujan berhenti.

Melihat keadaan awan, langit dan bintang, saya yakin waktu subuh kian hampir. Kokok ayam mula jarang kedengaran, tidak serancak tadi.

Dalam suasana hening dan damai menjelang subuh, langkah tetap diteruskan. Desiran angin yang lembut menyentuh dedaun dapat didengar dengan jelas.

Saya menggigit bibir bila mendapati kumpulan kelip-kelip yang sedikit terus ghaib. Saya jadi panik, saya hilang pedoman.

Dalam kebingungan tanpa penghujung itu, terdengar bunyi reranting dan dedaun kering dipijak orang. Saya kembali cemas.

Bau wangi kian hebat menyengat lubang hidung dan saya terus melangkah mengikut kemahuan hati.

"Assalamualaikum..."

Seorang lelaki berserban dan berjubah putih dengan wajah yang bersih muncul di depan. Langkah saya terhenti.

"Waalaikum salam," saya menjawab.

Dia menghulurkan tangan. Telapak tangan kanan kami segera bercantum. Telapak tangannya terasa lembut, macam kapas. Jari-jemarinya bagaikan tiada bertulang.

Di dadanya tergantung lampu picit yang talinya membelit leher. Kelopak bibirnya yang merah segar mengukir senyum.

Wajahnya yang bersih dan lembut memancarkan keikhlasan hatinya. Membuatkan keyakinan dalam hati bahawa lelaki yang berdiri di hadapan saya, bukan dari golongan mahaguru.

"Tak lama lagi subuh datang, mari ke surau. Sementara menanti subuh, boleh kita buat sembahyang sunat fajar atau berzikir. Mari orang muda."

"Saya... sayyyyy..."

"Jangan bimbang, mari kita ke surau. Kalau tak mahu buat sembahyang sunat atau berzikir, boleh baca Quran," katanya dengan nada suara yang cukup lembut.

Dia mula menarik tangan saya. Dan kokok ayam masih kedengaran. Di kaki langit ada cahaya cerah.

Hati saya masih berbelah bagi, sama ada memenuhi pelawaannya atau menolak dengan kata-kata yang manis penuh sopan.

"Saya..."

"Saya tahu awak orang baru di sini. Awak sesat kerana ada orang yang mahu menyesatkan awak."

"Di mana suraunya tuan?"

"Di situ," jari telunjuknya menuding ke arah bangunan yang dibuat dari papan.

Bahagian halaman bangunan itu diterangi cahaya dari jamung. Terdengar suara orang membaca ayat-ayat suci penuh syahdu membuat saya teringat kepada datuk.

Kokok ayam terus juga kedengaran yang diselang seli dengan suara kanak-kanak menangis kerana terjaga dari tidur.

Saya kira tidak jauh dari surau, pasti ada perkampungan dan saya ingin berkenalan dengan penghuni kampung dan keluarga orang berserban dan yang berjubah putih.

Suasana terasa damai dan hening sekali. Suara orang mengaji Quran menguasai seluruh kawasan.

"Ikut saya, kita tidak boleh berlengah-lengah lagi," katanya.

Saya terus mengikutnya. Bau wangi terus menguasai lubang hidung. Sebaik saja sampai ke halaman surau, lelaki berjubah putih bersalam dengan seorang lelaki yang sebaya dengannya.

Lelaki berkulit hitam, memakai kain pelikat, baju Melayu cekak musang itu merenung tajam ke arah saya.

"Pasangkan lampu gasolin."

"Baik," jawap lelaki yang memakai kain pelikat itu.

Dia segera masuk ke surau. Suara orang mengaji Quran terus bergema sedangkan di dalam surau tidak kelihatan manusia.

"Bawa lampu picit ni, pergi bersih badan kamu di telaga. Tukar pakaian kamu dengan pakaian yang bersih."

Orang berjubah putih menyerahkan lampu picit dan bungkusan pakaian kepada saya.

"Pakaian kamu rendam dalam baldi dekat telaga, nanti ada orang yang membasuhnya. Pergi cepat, waktu subuh tak nanti kita."

Sebaik saja orang berjubah putih itu selesai berkata-kata, saya terus menuju ke perigi untuk membersihkan badan dan mengambil wuduk dan kembali ke pintu surau.

Saya lihat orang berjubah putih baru saja selesai menunaikan sembahyang sunat fajar. Dia berdiri dan merenung ke arah saya dengan renungan yang lembut.

"Masuk, subuh dah sampai."

Saya anggukkan kepala lalu melangkah ambang pintu surau.

"Kamu azan."

"Saaaayyyaaa..." saya jadi tergamam.

"Iya, kenapa? Kamu takut atau tak tahu?"

Saya tidak boleh berdalih lagi, terpaksa akur dengan permintaannya. Selesai saja azan, ruang surau mula dipenuhi dengan jemaah.

Mereka berpakaian serba putih. Wajah mereka nampak bersih dan berseri membayangkan ketenangan dan keikhlasan rohani.

Mereka terus melakukan sembahyang sunat subuh.

Subuh itu orang berjubah putih menjadi imam. Pembacaannya lancar sekali. Suaranya juga cukup baik.

Selesai sembahyang subuh dan berdoa, dia mengadakan kuliah subuh yang pendek menghuraikan surah Al-Kafirun.

Bila semuanya selesai, semua para jemaah bersalaman dengan saya. Ternyata para jemaah berat mulut, tidak mahu bertanya tentang diri saya.

Mereka sekadar mengucapkan salam bersama senyum yang ikhlas.

Bila mereka berada di ambang pintu dan melambaikan tangan ke arah saya, tubuh mereka nampak samar-samar dan akhirnya lesap entah kemana dalam sekelip mata.

Apa yang berlaku di depan mata membuat saya terpegun kehairanan.

"Jangan fikir tentang semuanya itu. Kamu pergi ke telaga semula, pakaian kamu sudah dibersihkan dan sudah kering."

Saya bertambah bingung menangkap percakapannya. Mana mungkin secepat itu pakaian yang direndam dapat dibersihkan dan dikeringkan.

"Kenapa tak pergi ambil pakaian kamu?"

"Di perigi?" soal saya sangsi.

"Iya, di mana lagi? Bukankah kamu yang rendam dalam baldi di telaga?"

"Iya..." dalam rasa serba salah, antara percaya dengan tidak, saya pun melangkah ke perigi.

Apa yang diungkapkan oleh lelaki yang berjubah putih itu memang benar. Pakaian saya kering diampaian dalam pondok perigi yang beratapkan daun rumbia. Siapa yang membasuh dan menyidai pakaian di ampai?

Tanpa mahu memikir tentang semuanya itu, pakaian segera saya tukar. Dan saya kembali menemui orang yang berjubah putih yang menanti di muka pintu surau.

Pakaian yang dipinjamkan saya pulangkan semula kepadanya.

"Masuk dulu," katanya.

Saya patuhi permintaannya. Kami duduk bersila tidak jauh dari muka pintu. Dari cahaya lampu gasolin yang menyimbah di halaman surau, saya dapat melihat kabus nipis yang bergerak lemah menyusup di celah-celah pepokok renik melepasi pepokok yang tinggi. Badan terasa segar sekali.

"Aku tahu kamu bermasalah," si jubah putih memecahkan suasana hening dalam perut surau.

"Iya," saya anggukkan kepala.

"Tak apa, biar aku hantar kamu ke sempadan. Sebelum matahari terbit, dengan izin Allah, kamu dapat jumpa datuk kamu."

"Tuan kenal datuk saya?"

"Aku tak kenal dia, tapi aku tahu siapa dia."

"Bagaimana keadaannya sekarang?"

"Dengan izin Allah dia terpelihara dari segala kejahatan," katanya dengan senyum.

CAHAYA

Keadaan hari bertambah samar-samar. Cahaya merah di kaki langit kian kuat. Ada hemat saya, sebentar lagi matahari pasti muncul.

Kokok ayam sudah lama berhenti tetapi diganti dengan teriakan ungka dan monyet di balik bukit.

Orang berjubah putih bangun. Api lampu gasoline dipadamnya. Api jamung di halaman tidak semarak tadi.

"Mari ikut aku, biar aku hantar kamu ke sempadan."

Saya segera mengikutnya menuju ke halaman surau. Api jamung di padamkan.

"Pintu surau tak ditutup tuan?"

"Tak mengapa, tak lama lagi ada orang datang nak buat sembahyang dhuha, tempat ibadat tak elok dikunci atau ditutup."

"Hummmmmmm..." sahut saya.

Saya mengikut orang berjubah putih melalui jalan kecil selebar dua kaki yang terletak dibelakang surau. Saya tidak dapat mengagak pukul berapa ketika itu.

Apa yang pasti subuh sudah hampir ke penghujung. Kami tidak banyak bercakap kali ini tetapi, bau wangi yang segar menguasai lorong kecil yang di lalui.

Saya yang tadi keletihan dan lesu kembali bertenaga. Saya tidak tahu kenapa secara tiba-tiba saya boleh sihat dan segar. Fikiran saya bebas dari teringat atau terkenangkan mahaguru dan anak muridnya.

Ingin rasa hati bertanya kepada orang berjubah putih tentang mahaguru dan anak muridnya. Apakah dia tahu tentang kisah mereka?

Anehnya keinginan itu tidak dapat saya ungkapkan, saya tidak tahu bagaimana mahu memulakannya. Akibatnya, keinginan tersebut hanya berlegar-legar dalam sanubari saja.

"Kenapa Tuan?"

Saya jadi terkejut, bila orang berjubah putih berhenti melangkah. Dia renung ke arah kaki langit melihat cahaya merah yang kian menipis. Cahaya cerah mula bangkit dan langit kelihatan terang.

"Cukup sampai di sini saja aku menghantar kamu."

Saya tergamam, bagaimana saya harus meneruskan perjalanan dalam hutan tanpa panduan.

Walaupun ada cahaya cerah di kaki langit tetapi, ditempat saya berdiri masih samar-samar. Tidak dapat mengenali seorang dalam jarak antara 25 hingga 35 kaki.

Kabus yang bangkit dari permukaan bumi menambahkan kesukaran untuk saya bergerak. Semuanya membuat saya cemas dan takut.

"Kamu bimbang?" orang berjubah putih bertanya.

"Iya tuan, saya tak pandai berjalan dalam hutan. Saya sampai ke tempat tuan tadi kerana sudah terdesak."

"Tak usah bimbang, yakinkan diri dan berusaha, selebihnya kita serahkan pada Allah," Si jubah putih memberikan suntikan semangat.

Dia juga menggesa saya supaya melangkah lurus ke depan. Jangan melencung ke kanan atau ke kiri.

BURUK

Baru lima langkah memulakan perjalanan, langkah saya terhenti. Hati saya berdebar dan takut semacam. Pelbagai kemungkinan buruk yang saya fikirkan menunggu di depan. Orang berjubah putih segera mendekat.

"Kenapa?"

"Saya takut, tuan."

"Dengar sini, sebelum ini kamu sudah berdepan keadaan yang lebih dahsyat. Kamu sudah tengok manusia melakukan kerja-kerja yang tidak disukai oleh Allah.

"Kamu mohon pada-Nya untuk keluar dari tempat terkutuk tu. Dengan izin-Nya kamu terlepas hingga kamu berjumpa dengan aku.

"Sekarang aku nak tunjukkan jalan ke sempadan kampung. Apa kamu tak memerlukan pertolongan dari aku?"

"Saya perlukan pertolongan tuan."

"Kalau begitu, kira langkah kamu sampai dua ratus langkah. Berhenti di situ. Di situ ada orang menunggu kamu. Aku tak boleh lama-lama di sini, selamat jalan."

"Terima kasih tuan."

Saya pun memulakan langkah pertama. Lebih kurang lima langkah perjalanan, saya pun menoleh ke belakang.

Orang berserban dan berjubah putih hilang. Begitu juga dengan bangunan surau. Apa yang saya lihat ialah pepokok besar dan pepohon renik.

Bau wangi masih dapat saya hidu. Suara ungka dan kera kian rancak, begitu juga dengan nyanyian beburung, bagaikan bergembira dengan cahaya matahari yang kian melebar di langit.

Keadaan hari beransur cerah. Perjalanan diteruskan seperti yang diinginkan oleh orang yang berserban putih itu.

Matahari terus mempamerkan diri. Cahayanya menerkam tiap liku hutan yang sedang saya lalui.

Kicau burung bertambah kuat dan tupai jantan begitu gagah memburu tupai betina dari dahan ke dahan.

Kokok dan ketak ayam cukup jelas kedengaran. Sayup-sayup terdengar suara kanak-kanak bersorak riang.

Saya kira mereka sedang berlarian beramai-ramai menuju untuk mandi dan berenang di sungai.

Berdasarkan kepada fakta-fakta tersebut, meyakinkan hati bahawa saya sebenarnya berada di pinggir sebuah perkampungan. Hati kecil dibungai keriangan yang tiada taranya.

Disaat kegembiraan yang memuncak kerana terlepas dari kekuasaan mahaguru dan anak buahnya saya dikejutkan dengan orang bercakap.

Berdasarkan pengamatan sendiri, jumlah orang yang bercakap lebih dari tiga orang.

Kerana keadaan hari sudah terang benderang, saya tidak gusar atau merasa takut menghadapi sebarang cabaran yang datang.

Apa yang perlu, saya mesti berhati-hati. Silap langkah atau terlalai pasti celaka menimpa diri.

Saya terus mengamati arah suara orang bercakap yang diganggu dengan bunyi pepokok renik ditebas dengan parang.

Barangkali manusia laknat dan puaknya masih memburu aku. Itu kesimpulan yang saya buat bila menghadapi saat genting.

Badan saya kembali menggeletar, kematian terbayang dalam tempurung kepala. Pada saat itu juga tergambar dalam kepala, bagaimana tubuh Osman Garing dipotong-potong.

Saya segera menyembunyikan diri dengan cara merebahkan tubuh di perdu pokok besar. Pokok-pokok renik sekeliling saya lenturkan untuk menutup sebahagian dari tubuh.

Dengan berbuat demikian menyukarkan kumpulan orang yang bercakap itu bertemu dengan saya.

Suara orang bercakap makin lama makin dekat. Ada seketikanya mereka menyebut dan melaung nama saya dengan sekuat hati.

Dan saya bertambah cemas. Badan dan muka saya rapatkan ke bumi.

"Di sini kamu bersembunyi."

Saya segera angkat muka dan sepasang kaki betul-betul di depan batang hidung saya. Dan saya tidak berani menatap wajah orang yang bersuara itu.

Saya kira, riwayat hidup saya akan berakhir di perdu pokok besar. Kedua belah mata saya pejamkan sambil menantikan mata pedang mahaguru jatuh ke batang leher saya.

Lama juga saya menanti tetapi, tiada apa pun yang menyentuh leher saya.

"Apa sudah jadi dengan kamu ni, semalam-malaman kami mencari kamu, tak tentu makan tak tentu tidur.

"Rupa-rupanya kamu sembunyi di sini. Bangun cepat, jangan meniarap begitu nanti dada kamu sejuk."

Saya buka mata dan dongakkan wajah. Haji Bagus terpaku di depan. Belum pun sempat berkata-kata dan bangkit, Tuk Siak menerpa lalu memeluk tubuh saya erat sekali. Kemudian barulah saya dibangunkan.

Di belakang Haji Bagus dan Tuk Siak terpacak lebih dari sepuluh orang penduduk kampung dengan golok dan parang di tangan.

Di wajah mereka tergambar kepuasan dan keriangan. Tugas mereka mengesan kehilangan saya sudah berhasil.

Keriangan jadi milik mereka dan kehampaan membelit hati saya. Dua tiga kali saya menarik nafas kecewa. Datuk tidak bersama mereka. Ke mana datuk?

Barangkali dia berada di masjid atau sedang berusaha mencari saya sendirian. Itu yang terputik dalam hati.

"Dari petang membawa ke malam hingga ke pagi ni, kami mencari kamu," datang lagi pertanyaan dari Haji bagus. Saya hanya menarik nafas panjang.

"Kemana kamu pergi? Kamu disembunyikan orang halus?" menyusul pertanyaan dari Tuk Siak.

Seperti tadi juga saya hanya mampu menarik dan melepaskan dengan sepasang kelopak mata yang pejam celik.

Fikiran saya bercelaru dalam sinar matahari pagi yang kian meninggi. Saya tidak dapat menberikan jawapan.

"Tuk saya di mana?"

Itu yang terlontar dari mulut. Orang sekeliling berpandangan sesama sendiri. Tuk Siak dan Haji Bagus menggigit bibir, mata mereka tertumpu ke arah matahari yang sudah berada di puncak bukit.

Suara unggas dan ungka tetap macam tadi, masih rancak menyambut kemunculan matahari.

"Tuk saya dimana?"

Untuk kedua kali, pertanyaan yang tidak mendapat jawapan dilakukan kembali. Tuk Siak tepuk bahu Haji Bagus.

"Tadi dia bersama-sama kami, bila sampai dekat pokok besar itu dia berpecah dengan kami," jelas Haji Bagus sambil menudingkan telunjuknya ke arah pokok besar dengan akar hutan berjuntaian di dahan.

Pokok besar yang rimbun berdaun lebat itu mengingatkan saya peristiwa petang semalam.

Di situ, saya menemui wanita yang mengakibatkan saya mengalami pelbagai bagai kejadian aneh.

Bagi sekian kalinya saya menarik nafas panjang. Sepasang mata saya alihkan ke arah lain.

Saya tidak mahu memandang pokok besar yang kulitnya menggerutu dililit akar hingga ke dahan.

Setiap dahan ada akar berjuntaian. Di bawah pokok besar itu ada pepokok renik.

"Bagaimana kalau kita tunggu datuk saya di sini?"

Usul yang diajukan membuat Tuk Siak mengerutkan dahi. Haji Bagus mengosok-gosok hujung dagunya berkali-kali.

Orang-orang kampung yang ada di situ hanya membisu. Mereka setia dengan Haji Bagus dan Tuk Siak.

"Begini saja, kita balik dulu. Tak guna menunggunya di sini," cetus Tuk Siak.

Saya keberatan mahu menerima cadangan itu.

"Kenapa?" tanya saya.

SENANG

Saya tahu, Tuk Siak dan Haji Bagus kurang senang dengan pertanyaan saya itu. Tetapi, mereka tidak memperlihatkannya. Kedua orang tua itu masih tenang dan masih boleh memberikan senyuman untuk saya.

"Kita balik dulu Tamar, aku yakin datuk kamu tahu apa yang mesti dibuatnya," lembut suara Haji Bagus.

Belakang saya diurutnya dua tiga kali. Saya pun anggukkan kepala, tanda setuju.

"Mari kita balik."

Haji Bagus memberitahu anak buahnya yang disambut dengan senyum. Meredah tumbuh-tumbuah hutan yang melata diperut bumi membuat kaki seluar basah oleh air embun.

Perjalanan menuju ke kawasan kampung tidak dibungai dengan percakapan. Semuanya melangkah dengan tenang di bawah sayap matahari yang kian keras memancarkan cahaya.

Di angkasa kelihatan burung helang tinggi dengan kepak terkembang sambil mata merenung ke bumi mencari mangsa.

"Berhenti," kata Haji bagus.

Anak buahnya yang berjumlah lebih sepuluh orang (tidak termasuk saya) segera berhenti melangkah. Mereka berpandangan sesama sendiri.

Helang liar tetap berlegar-legar di udara sesekali berbunyi nyaring. Kicau burung, bunyi ungka dan monyet tidak kedengaran lagi tetapi diganti dengan bunyi reriang rimba.

"Macam ada bunyi orang berjalan, cepat sembunyikan diri. Jaga keselamatan diri masing-masing," tambah Haji Bagus.

Semua anak buahnya berpecah. Ada yang sembunyi di balik perdu kelubi, di balik banir dan sebagainya.

Saya ditarik oleh Haji Bagus bersembunyi di kelompok pokok pisang hutan.

Bunyi ranting kering kena pijak jelas kedengaran, begitu juga bunyi batang-batang pokok kecil patah akibat dirempuh suatu benda yang besar membuat hati saya menggelabah dan takut.

Saya gugup, sepasang gajah yang cukup besar melintas di depan saya dan Haji Bagus. Anggota sendi saya terasa lemah.

Pasangan gajah itu terus meredah hutan, memijak anak-anak pokok yang menghalang perjalanannya menuju ke utara.

Belalainya terus mematah pokok bayas dan kabung yang tumbuh meliar. Setelah menelan umbut bayas dan umbut kabung, belalainya mengibas tubuh sementara telinga yang besar dan lebar tetap bergerak menimbulkan bunyi seperti orang menggaru bahagian kulit yang gatal.

"Dia tak ganggu kita, dia nak cari rezeki," bisik Haji Bagus kepada saya, sebaik saja sepasang gajah itu hilang dari pandangan.

Haji Bagus segera memberitahu anak buahnya supaya keluar dari tempat persembunyian.

Perjalanan selanjutnya cukup hati-hati.

Haji Bagus mengingatkan anak buahnya supaya menghindari dari bertemu atau melalui laluan binatang buas demi keselamatan diri.

Perjalanan yang diteruskan di bawah keramahan matahari itu, tidak terasa penat. Kabus nipis yang bangkit di kaki bukit, sudah hilang diusir oleh sinar matahari.

Mungkin sudah berada di kawasan selamat, ada diantara anak buah Haji Bagus bersiul-siul dan bernyanyi dalam nada suara yang rendah. Malah mereka mula menjarakkan diri dengan Haji Bagus dan Tuk Siak.

Bila melintasi kawasan yang agak berbukit saya terlihat asap berkepul di udara. Bila ditinjau lebih dekat, saya terlihat sekumpulan budak-budak berusia antara 10 hingga 15 tahun sedang bermain gasing di bawah pokok jambu yang berdaun lebat. Bunyi terkukur dan merbuk peliharaan bersahut-sahutan.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 165/284

BACA: SBDJ Siri 164: Dendam Tok Guru
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Thursday, July 02, 2020

SBDJ Siri 164: Dendam Tok Guru

SBDJ Siri 164: Dendam Tok Guru

Mungkin kerana mahu memburu masa atau tidak rela ditimpa kecelakaan memaksa orang kanan dan perempuan suruhan mencakar-cakar timbunan tanah di kiri kanan lubang. Deraman tetap tenang mengkais-kais longgokan tanah di bibir lubang dengan menggunakan cangkul.

Toyol jadi-jadian

Maziah tidak ambil peduli apa yang berlaku sekelilingnya. Dia tekun dengan tugasnya membancuh simen.

"Haaaa!"

Mulut saya terlopong. Dua tiga kali kelopak mata saya pejam-celikkan. Bibir di gigit dan nafas dilepaskan perlahan-lahan dan hati kecil bertanya, apakah aku kini berada di alam nyata atau di alam fantasi?

Akhirnya, saya sedar bahawa saya bukan berkhayal. Apa yang terjadi di depan mata adalah benar.

Memang, jari jemari perempuan suruhan dan orang kanan luar biasa sekali. Ruas jari-jemari mereka panjang dan bentuknya macam ruas ranting buluh kuning, manakala kuku di jari bertukar menjadi seperti kuku beruang.

"Sudah, cukup tu."

Saya lihat mahaguru angkat tangan kanan. Dia sudah dapat merasakan bahawa lubang yang ditimbus sudah sama rata dengan paras bumi dia berdiri.

Jari jemari dan kuku orang kanan serta perempuan suruhan kembali normal. Mereka berdiri sambil mengibas-ngibas telapak tangan ke kiri dan ke kanan membuang tanah yang lekat.

Di wajah mereka terpamer kepuasan yang amat sangat lalu mereka berbalas senyuman dengan mahaguru.

"Sekarang tugas kamu taruh simen sampai rata. Boleh kamu buat kerja yang senang ni?" muka Maziah ditenung oleh mahaguru.

"Boleh tok guru."

"Bagus, bila kerja tu selesai, kita berkumpul di bawah pokok mempelam. Sekarang kami pergi dulu. Kami tunggu kamu di situ. Cepat buat kerja tu masa dah suntuk, awan hitam dah dekat nak sampai ke bulan," mahaguru dongakkan mukanya ke langit.

Mahaguru segera mengajak orang kanannya, perempuan suruhan dan Deraman ke tempat yang dimaksudkan.

Mereka membiarkan Maziah terkial-kial di situ. Aneh sungguh, kenapa saya tidak dipelawa untuk ikut serta? Timbul pertanyaan dalam diri. Dan saya jadi cemas semacam.

Di tengah-tengah kedinginan malam itu, badan Maziah terus dibasahi peluh. Dia bekerja bagaikan orang gila.

Dalam waktu yang cukup singkat permukaan tanah (permukaan lubang kubur) selesai diturap dengan simen.

Maziah tersenyum puas. Maklumlah dapat menunaikan arahan mahaguru dengan sempurna.

BEREDAR

Sebelum beredar menuju ke arah kumpulan mahaguru di bawah pokok mempelam, Maziah terlebih dahulu menyapu peluh di dahi dan muka dengan kain hitam tiga segi yang dikeluarkan dari rusuk sebelah kiri.

Tanpa menoleh ke arah saya, dia pun memulakan langkah menuju arah mahaguru dan kumpulannya.

Saya makin resah ditinggalkan sendirian. Termanggu macam orang bodoh. Apakah saya harus bertahan di situ. Wajarkah saya buat macam orang bodoh untuk ikut campur dalam kumpulan mahaguru?

Saya dongakkan kepala ke langit, bintang dan bulan masih ada. Gumpalan awan hitam terus bergerak. Bunyi deru angin terus menyumbat gegendang telinga. Badan terasa dingin sekali.

Suasana demikian membuat saya merasa mengantuk dan tersengguk-sengguk.

Dari bawah pokok mempelam terdengar mahaguru memberi arahan kepada Deraman dan Maziah yang diselang seli dengan bacaan mantera yang bunyi hampir menyamai Bahasa Urdhu dan Jawa Kuno bercampur aduk dengan bahasa Sanskrit.

Begitulah antara tidur dan terjaga, saya terlihat simen diatas kubur Osman Garing merekah. Kelihatan semut-semut berwarna putih sebesar jari kelingking bermunculan dari rekahan simen itu.

Di bahagian kepala dan kaki (kubur) keluar kabus nipis. Serentak dengan itu terdengar suara cengkerik cukup kuat. Boleh memekakkan telinga. Saya ketakutan.

"Allahhu Akbar..." saya menjerit sekuat hati.

Dan pada saat itu juga bahu kiri saya dipaut dari belakang dengan kasar sekali. Saya jatuh terlentang. Bila cuba bangun kepala terasa pening dan saya rebah kembali.

Dengan mata yang terbuka saya menatap bulan, bintang dan awan gemawan yang bergerak lemah di dada langit. Dada rasa seperti dihempap benda berat yang menyekat gerak tubuh saya.

"Bakal anak murid tu mesti duji," terdengar bisikan suara dari sebelah telinga kiri.

Tidak diketahui dengan pasti apakah suara bisikan itu ditujukan kepada saya atau orang lain. Tidak mungkin untuk saya.

"Tarik," terdengar pekikan yang kuat.

Belum pun sempat dipastikan dari arah mana suara itu datang, sepasang kaki saya dipegang oleh sepasang tangan berbulu.

Bentuk dan rupa makhluk tangan berbulu tidak dapat dilihat. Bunyi tarikan dan hembusan nafas jelas kedengaran dan baunya hancing sekali.

"Cepat tarik."

Suara perintah kian lantang. Sukar dikesan dari arah mana suara itu muncul. Dan saya pun ditarik macam menarik bangkai anjing yang mati dilanggar lori balak.

Kerana diheret dengan kasar daging punggung dan paha terasa seperti mahu bercerai dengan anggota tubuh.

Setiap sendi bagaikan mahu tercabut. Setiap kali saya mengerang kesakitan saya diejek dengan ketawa. Suara ketawa bergerak mengikut arah angin.

Bila saya merayu agar ditarik dengan cermat muka saya di simbah dengan air yang bercampur selut (tanah liat hitam) akibatnya mata saya terasa pedih.

Mungkin kerana terlalu banyak bercakap, mulut saya disumbat dengan seketul batu sebesar penumbuk orang dewasa.

Saya sudah tidak berdaya. Saya pasrah pada Allah. Dalam keadaan sakit yang tidak tertahan-tahan itu saya terus menyebut nama Allah berulang kali.

Akhirnya, bahagian pangkal kemaluan saya dipijak-pijak. Sakitnya, Allah saja yang mengetahui.

"Sudahlah tu..."

Sepasang tangan berbulu melepaskan sepasang kaki saya yang diseret. Hati terasa lega tetapi, rasa pedih yang perit di bahagian belakang, punggung dan paha tetap terasa.

Bila saya mengerang kesakitan, tangan berbulu segera menggosok bahagian yang sakit hingga rasa sakit hilang. Tetapi, saya tetap gagal untuk melihat wajah tangan yang berbulu itu.

"Tinggalkan calon baru itu di situ."

Terdengar suara ghaib sekali lalu. Beberapa saat kemudian terdengar bunyi telapak kaki orang berjalan di sebelah kanan.

Bunyi yang kuat itu beransur perlahan dan akhirnya terus hilang. Suasana terasa sepi sekali.

Kerana rasa sakit sudah hilang, saya pun terus duduk dan pada saat itu juga saya teringatkan mahaguru dan kumpulannya.

Usaha saya tidak sia-sia, mahaguru dan puaknya tersengih merenung ke arah saya. Rupanya makhluk tangan berbulu mengheret saya ke arah kawasan pokok mempelam.

Kerana perempuan suruhan pernah bercakap dan melayani saya. Tentu tidak salah kalau saya mendekatinya.

Saya yakin dia telah melihat apa yang saya alami. Fikir saya sendirian. Saya pun cuba menginsut kearahnya.

"Jangan bergerak, duduk bersila di situ," pekik orang kanan mahaguru sekuat hati.

Perempuan suruhan ketawa terkikih tetapi mahaguru dan Maziah diam terpaku kecuali biji mata saja yang bergerak merenung pergerakan saya.

"Kamu tidak boleh melepasi garisan putih," sambung orang kanan.

Saya tidak dapat buat apa-apa, terpaksa patuh pada arahan yang dikeluarkan. Jarak saya dengan kumpulan mahaguru (di bawah pokok mempelam) kira-kira sepuluh kaki.

Dipisahkan oleh garisan putih (garisan itu dibuat dari kapur) yang membentuk sebuah bulatan.

Mahaguru dan puaknya berada dalam bulatan. Mereka duduk atas peti (kotak) susu mengelilingi mahaguru sedangkan mahaguru yang berada ditengah-tengah duduk atas bangku kecil yang diperbuat daripada buluh kuning.

Antara mereka dan saya terdapat perbezaan yang cukup ketara. Saya berada diluar garisan.

Mereka duduk atas peti susu dan bangku sedangkan saya disuruh duduk mencangkung dengan sepasang tangan memeluk betis, tidak ubah macam orang tawanan perang.

Saya hanya mampu menelan air liur, setiap kali mereka meneguk kopi panas. Tidak dapat dipastikan siapakah yang menyediakan air kopi panas untuk mereka.

Barangkali air kopi memang sudah ada di dalam sebuah peti susu yang tidak diduduki oleh sesiapa.

Keadaan peti itu juga agak ganjil, dicat dengan warna hitam dan ditutup dengan kain kuning.

Walau apa pun, aroma (bau) kopi membuat saya pejam celik dan kepingin untuk menikmatinya.

Dalam keadaan perasaan yang serba tertekan itu, sayup-sayup gegendang telinga menangkap suara kokok ayam.

Nyanyian burung hantu yang menyeramkan masih bergema datang dari arah puncak bukit yang tertegun kaku.

Rasa dingin terus menggigit setiap kulit tubuh, saya menggigil tetapi, mahaguru bersama puaknya menghangatkan tubuh dengan minum air kopi panas.

Dalam usaha menghalau kedinginan saya mengigit bibir. Ternyata usaha itu tidak memberi kesan, saya terus menggigil dan gigi pun berlaga sama sendiri.

Angin terus merempuh dedaun hutan hingga bergesel sesama sendiri dan bulu roma terus berdiri.

Betapa tidak? Hasil sentuhan itu melahirkan bermacam-macam bunyi aneh. Ada suara orang menangis, ketawa dan menjerit. Begitulah silih berganti.

LEMAH

Angin yang mulanya bertiup lemah, tiba-tiba bertukar menjadi keras. Langit yang cerah mula dilitupi awan-awan hitam tebal. Saya kira tidak lama lagi bumi pasti disirami hujan.

"Kamu harus ingat. Apa yang kamu tengok tadi, tetap menjadi rahsia diri kamu seumur hidup. Biar rahsia itu pecah di perut, jangan pecah dimulut."

Memang tidak salah lagi. Itu adalah suara mahaguru dalam nada yang cukup serius. Saya pun angkat kepala dan merenung ke arahnya.

Mahaguru melepaskan renungan tajam ke wajah Maziah dan Deraman penuh makna dan rahsia tersendiri.

"Kamu berdua mesti merahsiakan tempat kamu menuntut ilmu ini, jangan beritahu sesiapa tentang diri aku, tentang orang kanan dan perempuan suruhan.

"Kalau ada orang bertanya bentuk tubuh dan muka kami, jangan beritahu. Faham?" sambung mahaguru.

"Faham," sahut Maziah dan Deraman serentak.

"Kalau ada orang yang bertanya, kemana hilangnya Osman Garing? Apa kamu nak jawap?" orang kanan kemukakan pertanyaan.

"Mati dalam laut, kena ribut," jawab Deraman.

"Kamu, apa jawapan kamu, Maziah?"

"Saya beritahu orang yang bertanya, saya tidak begitu rapat dengannya. Saya tak tahu langsung tentang hal dirinya."

"Kedua-dua jawapan boleh dipakai. Tetapi, sebaiknya jawapan mesti sama, jangan bertelagah antara satu dengan lain," orang kanan memberi pandangan.

"Kami ikut nasihat orang kanan," kata Deraman.

Senyum megah terukir di kelopak bibir orang kanan.

Seterusnya mahaguru mengingatkan Deraman (Wan) dan Maziah jangan sekali-kali melakukan pemujaan dan pembunuhan dengan sewenang-wenangnya.

Ada syarat tertentu yang membolehkan pemujaan dan pembunuhan dilakukan.

Pertama, orang itu mempunyai ilmu dunia yang berlawanan dengan apa yang mereka (Maziah dan Deraman) tuntut. Bila dicabar harus bertindak. Musnahkan mereka.

Kedua, orang yang menolak atau enggan menunaikan permintaan mereka, walaupun sudah dipujuk dan sudah banyak tolak ansur.

Ketiga, orang yang sudah mengetahui tipu muslihat mereka. Contohnya mereka dapat memukau orang ternama dan kaya hingga orang terbabit mengikut telunjuk mereka.

Tetapi, disaat akhir rahsia penipuan dapat dikesan oleh orang yang bakal menjadi mangsa mereka. Pada saat itu, mangsa harus diculik dan dihukum di tempat pemujaan.

Keempat, orang yang gila menuntut ilmu batin untuk jadi kebal, menuntut ilmu penggerun atau mahu mencari kekayaan dengan mudah dan taksub dengan dukun atau bomoh.

"Kamu berdua juga harus ingat, orang yang mahu dikorbankan untuk pemujaan, jangan terus dibunuh.

"Mesti dipukau terlebih dahulu, jangan dibunuh di kawasan lapang atau di tempat terbuka seperti apa yang kamu tengok tadi. Itu cuma contoh saja untuk kamu."

"Habis kemana kami nak buat kerja tu?" tanya Maziah dengan sepasang mata yang bercahaya di bawah sinar pelita minyak tanah.

"Buat dalam rumah atau pondok. Sebaiknya rumah atau pondok tu jangan ada tiang. Kalau ada tiang buat bilik dibawah rumah dan korek lubang.

"Pokoknya, mayat mesti ditanam dalam kawasan rumah, darah mesti menitik atas bumi. Ditanam dan permukaan mesti disimen.

"Kalau tak ada simen, longgokkan kayu dan bakar atas kubur hingga tak ada orang menyangka dibawah unggun api ada mayat manusia. Cara memotongnya sudah aku tunjukkan tadi."

"Iya, kami dah faham."

"Bagus," kata mahaguru dengan senyuman yang memanjang.

Kehadiran saya diluar garisan, seolah-olah tidak wujud sama sekali. Saya dibuat endah tak endah saja.

Rasa dingin mula berkurangan dan saya boleh mengerakkan jari-jemari dan tidak perlu memeluk kedua belah lutut.

Saya terus bangun dan melakukan senaman untuk memanaskan darah. Saya melompat dan membuka bunga silat untuk memanaskan dan menegangkan urat di setiap sendi.

"Duduk," jerit perempuan suruhan.

Belum sempat saya menjawab, seketul tanah hitam sebesar buah ciku (sawo) dilontar tepat ke bahu kanan.

Serta merta sendi lutut saya jadi lemah dan tidak mampu berdiri. Saya terus jatuh terduduk disitu.

"Duduk diam-diam disitu," sambung perempuan suruhan.

"Pulihkan sendinya," orang kanan keluarkan perintah.

Perempuan suruhan segera melompat melepasi garis putih menuju ke arah saya. Hidung saya dicuitnya dengan ibu jari kaki kirinya.

Kedua belah sendi lutut kembali berfungsi dengan baik. Kerana sudah dilarang jangan bergerak kemana-mana, saya terus diam di situ.

Mahaguru memetik ibu jari kiri ke arah orang kanannya. Saya lihat orang kanan angguk kepala.

Dari gerak-geri tersebut, saya mula faham, tugas selanjutnya di serahkan kepada orang kanan.

"Darah pertama biarkan menitik atas bumi, darah selebihnya kamu ambil dan sapukan kemuka, terutama bagi orang perempuan, dengan itu kulit muka lambat kecut, sentiasa nampak awet muda. Tadi sudah aku terangkan," orang kanan memulakan kuliahnya.

"Iya. Saya ingat," sahut Maziah

"Kamu kesal Osman Garing jadi korban pemujaan?"

Maziah tidak menjawab.

"Bagaimana dengan kamu Deraman?"

Saya lihat Deraman resah semacam. Mahaguru menggigit bibir, di wajah terbayang keraguan.

Dia merasa sangsi terhadap dua orang anak muridnya yang sudah ditauliahkan itu. Dia segera memberi isyarat kepada orang kanan supaya menyerahkan tugas itu kepadanya kembali. Orang kanan anggukkan kepala.

PUCAT

Mahaguru genggam penumbuk, sementara tangan kirinya menarik lawi ayam yang terselit di pinggang sebelah kanan.

Dua tiga kali dia menumbuk angin, sebelum lawi ayam yang berulukan gading gajah bertukar tempat. Dari telapak tangan kiri melompat ke talapak tangan kanan.

Lawi ayam dikeluarkan dari sarungnya. Dua tiga kali lawi ayam diacukan ke batang leher Maziah dan Deraman.

"Jangan khianat aku."

Saya lihat muka Maziah dan Deraman pucat lesi.

"Saya cakap kamu suka atau tidak Osman Garing dibunuh."

"Suka tok guru."

"Humm... Kamu berdua suka aku bertindak kasar dan biadab?"

"Maafkan kami tok guru."

"Hummmm.."

Malam kian tua, awan hitam masih bergerak lemah di dada langit. Suara burung hantu jarang kedengaran. Angin bagaikan penat mahu menyentuh dedaun di hujung reranting.

Ayam bagaikan sudah bosan mahu berkokok. Tetapi, cahaya dari pelita minyak tanah tetap setia menerangi tempat mahaguru dan pengikutnya berkumpul.

Begitulah, ditengah-tengah kelesuan malam yang kian tua, kemarahan yang pada mulanya membara dalam dada mahaguru terus padam.

Dengan secara sepontan mahaguru membuka rahsia.

"Kamu berdua tak tahu, atau sengaja pura-pura tidak tahu yang si Osman Garing tu ada ilmu. Hari pertama aku tengok ekor matanya, aku dah tahu. Dia bukan datang dengan dada kosong."

"Dia beritahu saya, dia tak ada apa-apa. Dadanya kosong, dia datang ke sini semata-mata nak tuntut ilmu. Nak belas dendam dengan orang yang buat jahat padanya," kata Deraman.

"Memang begitulah cara dia menipu kamu. Itu cara dia minta simpati dengan kamu. Eh! Kamu tak sedar dia ada hati dengan Maziah.

"Malah nak jadikan Maziah bininya. Dia nak tengok siapa handal berkayuh sampan atas katil," tutur mahaguru bersama senyum sinis.

Biji mata Deraman terbeliak. Dia tidak menduga sampai sejauh itu Osman Garing mahu bermain serong dengannya.

"Tapi, dia nampak cukup baik tok guru," Maziah pula bersuara.

Mendengar kata-kata yang diungkapkan oleh Maziah itu, mahaguru ketawa terbahak-bahak. Dua tiga kali dia gelengkan kepala.

"Orang nak pekenakan kamu, kamu kata baik Maziah. Kamu tak tahu dia datang ke sini nak menguji aku dan aku pula berazam nak menjadikan dirinya mangsa pemujaan.

"Kerana dia rela jadi anak murid aku, senanglah aku menguasainya. Kalau dia datang nak berlawan dengan aku, sulit juga aku dibuatnya," mahaguru menarik nafas panjang.

Maziah dan Deraman berpandangan sesama sendiri. Orang kanan dan perempuan suruhan mengikuti cerita dari mahaguru penuh minat.

"Tak mengapa, semuanya sudah selesai," cetus mahaguru lagi dengan perasaan yang cukup lega sekali.

Buat beberapa minit mereka tidak berkata-kata. Masing-masing termenung panjang. Barangkali mereka sedang membuat rumusan tersendiri tentang cerita yang dituturkan oleh mahaguru itu.

"Tak lama lagi ada orang muda yang nak aku jadikan korban pemujaan. Itupun kalau orang muda itu berhasrat nak mencabar aku," suara mahaguru memecahkan suasana bungkam yang menguasai kawasan bawah pokok mempelam.

"Siapa orangnya tok guru?" dengan lantang Maziah bertanya.

KORBAN

Ternyata cara yang dilakukan oleh Maziah itu dianggap keterlaluan oleh orang kanan dan perempuan suruhan.

Kerana mahaguru tidak memperlihatkan sebarang reaksi mereka tidak dapat berbuat apa-apa.

"Sabar dulu anak muridku yang setia. Terpaksa ambil masa, tak boleh terburu-buru," dengan nada suara yang lembut mahaguru bersuara.

Matanya tertumpu ke sumbu pelita minyak tanah yang terbakar.

"Aku rasa kamu berdua tak sempat nak tengok upacara pemujaan itu," tambah mahaguru.

"Kenapa pula?" desak Deraman.

"Sebabnya esok atau lusa kamu berdua nak tinggalkan tempat ini. Kau orang dah tamat buat apa duduk sini.

"Orang yang mahu dikorbankan itu bergantung kepada keadaan. Bila ada murid yang sudah tamat menuntut dan mahu diberi tauliah, barulah korban dan pemujaan dibuat.

"Sekarang kau dah faham kenapa aku tak beritahu nama orang dan masanya?"

"Kami faham mahaguru," sahut Maziah dan Deraman serentak.

Sebaik sahaja mahaguru selesai bercakap, darah saya tersirap kerana pada hemat saya orang yang dimaklum oleh mahaguru laknat itu adalah batang tubuh saya.

"Maziah," teriak orang kanan.

"Kalau kamu mahu kulit anu dan hatinya untuk dibuat bedak atau jamu awet muda, bolehlah aku simpan."

"Boleh juga tolong simpankan."

Selesai saja Maziah menjawab pertanyaan dari orang kanan mahaguru, terdengar bunyi petir yang amat kuat bersama sinaran cahaya kilat.

Gerakan jantung bagaikan terhenti dan saya terlihat pohon enau (kabung) yang berada tidak jauh dari kawasan saya dan anak buah mahaguru duduk terbakar.

Api terus menjilat bahagian atas pokok kabung. Kawasan sekitar terang benderang. Dahan mempelam sebelah kiri terus sekah.

Mahaguru dan pengikutnya bernasib baik kerana dahan mempelam tidak menghempap kepala mereka.

Mungkin kerana terkejut membuat mereka melompat dan berada diluar garisan bulat.

Bahang panas mula tersebar. Kulit muka terasa seperti dibakar. Dan serentak dengan itu hujan turun mencurah curah. Keadaan menjadi kelam-kabut.

"Berteduh dalam rumah, cepat masuk."

Dalam hujan lebat dengan pakaian yang basah kuyup, mahaguru mengeluarkan arahan kepada anak buahnya. Arahan itu segera dipatuhi.

Dalam usaha mencari tempat selamat, saya segera berpatah balik ke arah 'batang mayat' tempat tubuh Osman Garing dikerat.

Darah yang bercampur dengan air hujan meleleh di batang mayat sebelum menitik ke atas permukaan bumi.

Dalam cahaya kilat yang muncul sekali sekala saya sempat melihat simen di permukaan (tempat Osman Garing ditanam) tanah dibawa oleh air hujan sedikit demi sedikit ke kawasan rendah.

Suasana sekitar gelap-gelita (semua jamung dan pelita minyak tanah padam akibat ditimpa hujan).

Sebaik saja saya berlindung di bucu 'batang mayat', terdengar bunyi petir yang membuat telinga terasa pekak dan bumi terasa macam bergegar.

"La haula walla..."

Itu yang terpancut dari kelopak bibir saya, bila melihat pokok mempelam (tempat mahaguru dan orangnya berkumpul) dipanah petir.

Batangnya terkopak dua. Daun dan ranting hangus dimakan api. Pangkal dan akar pokok tercabut dari bumi dan pokok terus tumbang kaku.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 164/284

BACA: SBDJ Siri 163: Mayat Dalam Guni
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Wednesday, July 01, 2020

SBDJ Siri 163: Mayat Dalam Guni

SBDJ Siri 163: Mayat Dalam Guni

Osman Garing tunduk merenung lantai. Bermacam-macam persoalan timbul dalam kotak fikirannya. Apa yang pasti, dia tetap menyesali diri sendiri kerana kurang bertanya dengan guru yang terdahulu. Kalau dia bertanya lebih terperinci, tentu dia tidak terjebak dalam ilmu yang tidak menguntungkan.

Toyol jadi-jadian

Mata mahaguru terus tertumpu ke wajah Osman Garing bersama senyum sinis. Tentu saja perbuatan itu kurang menyenangkan hati Osman Garing.

Walau bagaimanapun hati kecilnya tetap mengharap mahaguru memberi penjelasan tanpa menunggu pertanyaan darinya.

Mata mahaguru masih lagi memandang tajam ke arahnya. Osman Garing keresahan.

"Sebab dikatakan ilmu itu panas," mahaguru menyambung kembali percakapan yang terhenti.

"Kerana orang yang mengamalkan ilmu itu, tidak akan dapat mengumpulkan harta sampai ke mati. Hidupnya sentiasa dalam kesempitan, bila berbini jodoh tak panjang. Walau macam manapun ilmu itu ada kelebihannya..."

Mahaguru berhenti bercakap dan senyum panjang segera terukir di kelopak bibirnya. Senyuman itu membuatkan Osman Garing resah dan gelisah, tidak menentu.

"Apa kelebihan ilmu yang saya tuntut itu?" Osman Garing tidak sabar.

"Haa. Kamu nak tahu kelebihannya?"

"Iya, sudah tentu. Selama ini saya tidak tahu kelebihannya, saya tengok orang belajar, saya ikut belajar."

"Kelebihannya, orang perempuan mudah jatuh hati pada orang yang mengamal ilmu tu, rela jadi isteri walaupun hidup susah," sambil menggaru hujung dagu mahaguru bersuara.

Osman Garing ketawa kecil. Dia tidak menafikan kebenaran dari kata-kata itu kerana dia sendiri sudah mengalaminya.

"Ada lagi rahsia?" desak Osman Garing.

"Ada Osman, kau jangan terkejut," Mahaguru membetulkan kedudukannya.

"Apa dia mahaguru?"

"Orang yang mengamalkan ilmu ini, bila dapat anak tidak kira lelaki atau perempuan, mesti kena penyakit sawan babi.

"Biasanya si anak mati muda, kerana penyakit kurang darah," mahaguru telan air liur.

Buat beberapa saat, mahaguru melagakan gigi atas dengan gigi bawah beberapa kali. Kemudian mengosok-gosok pangkal hidungnya hingga merah.

"Kenapa kurang darah tok guru?"

"Darah si anak dihisap oleh makhluk halus yang dipuja oleh tuannya. Nafsu berahi si bapa cukup ganas, tak kira anak bini orang, semuanya nak disapu.

"Kadang-kadang jadi haruan makan anak. Ilmu tu cukup panas, elok saja kamu buang," satu saranan yang baik dari mahaguru.

Osman Garing termenung panjang. Hati kecilnya mengakui nafsu seksnya cukup panas. Pantang tengok perempuan dia terus berahi. Meskipun pada saat itu dia sudah mempunyai empat isteri.

Semasa menjadi buruh ladang getah di kawasan batu Gajah dulu, dia menggoda isteri mandor Maniam yang periang.

Tidak memadai dengan itu, dia juga menggoda anak Ah Siung, peniaga kedai runcit yang terletak tidak jauh dari kawasan ladang getah tersebut.

Kebiadapannya itu dapat dikesan oleh Maniam dan Ah Siung dan Osman Garing dinasihati supaya beredar dari tempat itu sebelum sesuatu yang buruk terjadi pada dirinya.

SENYAP

Secara senyap-senyap Osman Garing menghilangkan diri (berhenti kerja) dari ladang getah tersebut.

Beberapa orang pekerja pernah terserempak dengan isteri mandor mendatangi rumah Osman Garing waktu malam.

Biasanya, isteri mandor berbuat demikian disaat suaminya (mandor) mabuk di kantin pekerja atau di kelab pekerja.

Walaupun Osman Garing ada membuat hubungan sulit dengan anak gadis Ah Siung tetapi, perbuatan mereka tidak dapat dikesan oleh para pekerja ladang kecuali Ah Siung sendiri.

Apa yang pasti, kira-kira sebulan setelah Osman Garing menghilangkan diri, anak gadis Ah Siung didapati menggantung diri di pokok getah.

"Kamu mesti buang ilmu tu Osman, ilmu tu panas," ulang mahaguru.

"Susah tok, ilmu tu dah sebati dengan saya. Maklumlah, sudah berbelas-belas tahun saya amalkan."

Jawapan yang diluahkan oleh Osman Garing itu memaksa mahaguru mengerutkan dahi. Ia termenung sebentar.

Kemudian toleh kiri dan kanan. Dongakkan wajah ke dada langit, melihat awan dan bintang.

"Aku tahu Osman," mahaguru bersuara lemah.

"Perkara itu memang susah, hanya mati saja yang boleh menceraikan kamu dengan ilmu panas tu. Tak mengapa, kamu lalui ujian ini dulu. Kalau kamu lulus ujian, dengan sendiri ilmu yang ada pada kamu tu jadi tawar," mahaguru berhenti bercakap.

"Bila ujian itu mahu diadakan tok?"

"Sekarang juga. Kamu ikut dan dengar perintah dari orang suruhan aku. Jangan bantah cakapnya. Kamu bersedia?"

"Saya bersedia."

"Aku harap kamu lulus ujian," nada suara mahaguru agak gementar.

Dia bagaikan dapat membaca sesuatu yang buruk akan berlaku ke atas anak muridnya itu.

Mahaguru angkat tangan kanan melepasi kepalanya. Perempuan suruhan faham dengan isyarat yang dibuat oleh mahaguru.

Dia pun anggukkan kepala sebagai tanda dirinya bersedia menjalankan tugas, yang dibebankan ke atas bahunya.

Perempuan suruhan segera berdiri dekat Osman Garing. Senyum sinis dihamburkan untuk orang yang bakal menjalani ujian. Senyum itu disambut oleh Osman Garing dengan rasa hambar.

"Kamu silap," kata perempuan suruhan.

"Maksud kamu?"

"Kamu manusia bodoh sombong, kenapa tidak berterus terang dengan mahaguru yang kamu ada menuntut ilmu di tempat lain.

"Kalau kamu cakap awal-awal, ilmu tu boleh dibuang dulu sebelum kamu jadi anak muridnya," perempuan suruhan mula berleter.

"Saya fikir mahaguru dapat kesan, lagi pun saya memang tidak tahu bila mahu jadi anak murid mahaguru mesti buang ilmu yang lain."

"Bukan tak tahu, kamu yang tak jujur."

"Sumpah saya tak tahu, lagi pun awak tak tanya saya,"

"Sudahlah aku tak mahu cakap apa-apa. Kamu dah tengok apa yang dibuat oleh Maziah dan Deraman. Sekarang kamu kena buat, macam dia orang buat. Apa kamu boleh buat?"

"Boleh, saya boleh buat."

"Kalau begitu mulakan sekarang."

Osman Garing pun melangkah menuju ke baldi berdarah. Gerak-geri dan tingkah lakunya terus jadi perhatian mahaguru.

Ternyata biji mata perempuan suruhan dan orang kanan mahaguru juga tertumpu kepada Osman Garing.

Keresahan dan kegelisahan terpamer di wajah mereka. Dan mereka mengharapkan, Osman Garing tidak akan membuat kesilapan semasa melakukan upacara ujian itu.

Osman Garing rapat ke baldi. Sapu darah ke muka dan kedua belah lengan. Akhirmya meneguk darah penuh selera.

"Ah..." Mahaguru mengeluh sambil menggelengkan kepala.

Osman Garing telah melakukan kesilapan. Sepatutnya dia minum darah dulu sebelum menyapu muka dan kedua belah lengan dengan darah.

Kesilapan itu juga dapat dikesan oleh orang kanan dan perempuan suruhan.

Semuanya sudah terlambat. Kesilapan yang dilakukan oleh Osman Garing tidak boleh diubah atau diperbetulkan.

Padah dari kesilapan itu, risikonya cukup tinggi. Rasa hiba, sayu dan hampa terpamer di wajah mahaguru.

Dan Osman Garing yang merasakan apa yang berlaku sudah sempurna, segera mendekati perempuan suruhan untuk mempamerkan kesan darah di muka, di mulut dan kedua belah tangan.

Semasa Osman Garing berdiri kaku di depan perempuan suruhan, orang kanan menarik keluar sebilah keris berluk tujuh dari bawah paha kirinya.

Cepat-cepat keris itu dicampak ke arah mahaguru yang bersedia menyambutnya dengan tangan kiri.

Keris ditarik dari sarungnya ditilik, ditatang dan ditimbang berkali-kali. Sepasang bibir mahaguru bergerak-gerak, macam ada sesuatu yang dikatakan kepada keris.

"Kewajipan."

Terdengar suara mahaguru meninggi serentak dengan itu keris di balingkan ke arah rusuk kiri (bahagian perut) Osman Garing.

Mata keris terbenam di situ. Darah bersemburan. Mulut Osman Garing separuh ternganga. Mukanya berkedut menahan kesakitan. Mungkin bisa keris sudah meresap ke dalam urat sarafnya.

"Jangan, biarkan dia."

Maziah yang mahu membantu Osman Garing segera membatalkan niat, akibat ditegah oleh mahaguru.

Osman Garing berjalan dalam keadaan hoyong hayang sambil mengangkat kedua belah tangannya seolah-olah minta tolong kepada rakannya Wan Deraman dan Maziah.

Apakan daya, kawan sendiri tidak berani melanggar perintah mahaguru. Dan akhirnya Osman Garing tersembam di bumi.

Kaki dan tangannya menggelitik. Dia mengeruh macam lembu kena sembelih, bergolek-golek di bumi.

Saya kira dia akan bangun kembali. Saya pun menghitung satu hingga sepuluh. Ternyata Osman Garing tidak juga bangun. Dia sudah menjadi mayat.

"Balut tubuhnya."

Orang kanan segera mencampak segumpal guni ke arah perempuan suruhan. Dalam keadaan yang tergesa-gesa kain guni pun disambung dan mayat Osman Garing pun dibungkus dengan kain tersebut.

Orang kanan segera melangkah mayat Osman Garing sebanyak tiga kali berturut-turut sebelum berdiri di hujung kepala mayat.

"Kamu berdiri di situ."

MAYAT

Orang kanan menyuruh perempuan suruhan berdiri di hujung kaki mayat. Perintah itu segera dipatuhi. Suara burung hantu bersahut-sahutan, bagaikan berdendang keriangan.

"Kita letakkan mayat ini, atas kayu mayat. Suruh Maziah lapah perutnya macam melapah perut lembu.

"Kamu bagi tahu dia apa yang mesti diambil dari perut mayat itu. Beritahu betul-betul, jangan silap bagitahu, silap ambil buruk padahnya," orang kanan terus luahkan petunjuk. Dia terus membongkok.

"Aku angkat kepala, kamu angkat kaki," kata orang kanan.

"Baik," jawap perempuan suruhan.

Mereka pun mengangkat dan mengusung mayat Osman Garing, lalu diletakkan atas batang kayu yang dipanggil 'Kayu Mayat'.

"Buka kainnya?" tanya perempuan suruhan.

"Nanti dulu, tunggu perintah aku. Jangan pandai sendiri!"

"Maafkan saya."

"Hum..."

Suara burung hantu terus bergema. Angin terus bertiup lembut. Sesekali terdengar ngauman harimau sayup-sayup.

Darah dari mayat Osman Garing terus meleleh atas kayu mayat dan menitik ke atas bumi.

Orang kanan kembali duduk ke tempat asalnya, begitu juga dengan perempuan suruhan.

Mahaguru kelihatan resah ditempatnya, renung kiri, renung kanan. Renung langit dan bumi. Mahaguru menggigit bibir sambil menarik nafas dalam-dalam.

"Semuanya mesti di selesaikan dengan segera," bisik batin mahaguru.

Tanpa membuang masa dia terus tepuk tangan tiga kali berturut-turut. Tergesa-gesa perempuan suruhan mendekati mahaguru.

"Apa yang patut saya buat?"

"Kamu ambil kapak, gergaji, parang dan serahkan barang-barang itu kepada mereka," jari telunjuk mahaguru menghala kepada batang tubuh Maziah dan Deraman yang berdiri kaku macam patung.

"Baik."

Perempuan suruhan pun bergerak ke kanan. Dalam cahaya lampu minyak tanah yang samar-samar itu, sekujur tubuh perempuan suruhan hilang dari pandangan saya.

Mahaguru dan orang kanannya terus membisu, masing-masing termenung. Barangkali, sedang melayani perasaan yang berbunga di hati.

Perempuan suruhan muncul kembali di hadapan mahaguru dengan gergaji dan kapak di tangan.

"Kapak untuk lelaki," tutur mahaguru.

Kapak pun diserahkan kepada Deraman. Orang kanan mahaguru melagakan gigi atas dengan gigi bawah dua tiga kali.

"Gergaji berikan pada si perempuan. Parang kau pegang sendiri. Faham."

"Saya faham."

Perempuan suruhan pun menghulurkan gergaji kepada Maziah. Parang panjang ditangannya. Perempuan suruhan segera cacakkan parang ke bumi.

Maziah dan Deraman terpinga-pinga. Mereka tidak tahu untuk apa barang-barang itu diserahkan kepada mereka.

Orang kanan bangun dan terus melangkah menghampiri mayat Osman Garing yang berada diatas kayu mayat.

"Bawakan kepada aku perasap, cepat," orang kanan tenung wajah perempuan suruhan.

"Tempat perasap yang baru atau yang lama?"

"Yang baru, taruh bara dan kemenyannya sekali. Pergi cepat, jangan banyak tanya lagi."

"Baik."

Perempuan suruhan menyelinap ke sebelah kiri saya. Kalau saya tidak mengelak pasti saya dilanggarnya.

Kira-kira lima minit kemudian, perempuan suruhan muncul di sisi orang kanan. Dupa yang mengeluarkan asap kemenyan segera diserahkan kepada orang kanan.

Bau kemenyan menguasai seluruh ruang. Dupa terus ditatang. Dibawa bergerak ke kiri dan kanan.

Dari mulut orang kanan keluar jampi mantera dalam bahasa yang tidak saya fahami.

Sebaik saja berhenti membaca mantera, mayat Osman Garing segera diperasap oleh orang kanan, bermula dari hujung kaki hingga ke hujung kepala.

Perbuatan sedemikian dilakukan sebanyak tujuh kali berturut-turut.

Saya kira perbuatan orang kanan yang aneh itu, bukan sahaja menjadi perhatian saya malah mungkin mencolek perasaan Wan Deraman dan Maziah.

Tiba-tiba secara mengejut orang kanan merentap kain guni yang membalut mayat Osman Garing dengan kasar sekali.

Kain guni itu dihumban ke sebelah kanan dinding buluh, pada saat itu, watak orang kanan sungguh berbeza sekali.

Gerak-gerinya kasar, macam orang lelaki. Rambutnya menggerbang menutup wajah, nampak kasar dan mempunyai dua warna.

Sebelah kiri berwarna kuning-kekuningan manakala sebelah kiri berwarna putih macam kapas.

Bila rambut menutup wajah itu ditolak ke kiri dan ke kanan, kelihatan sepasang mata yang bulat dan besar memancarkan cahaya kemerah-merahan dengan gigi yang menyeringai. Macam gigi kucing hutan.

Orang kanan itu melompat sambil mengeluarkaan suara seperti suara harimau menderam untuk menangkap sesuatu.

Setiap muka yang berada di ruang itu ditatapnya.

MENGGIGIL

Saya menggigil bila sepasang mata besarnya tertumpu ke wajah saya. Dia menjelirkan lidahnya dengan wajah yang menakutkan.

Dia sudah kemasukan syaitan, cara kebetulan pula pada masa itu saya terdengar suara asing berlegar-legar di udara, iaitu suara perempuan mengilai dan ketawa, seiring dengan terdengar lolongan anjing sayu dan memanjang.

Burung hantu yang tadinya berehat, kembali aktif, bersahut-sahutan dengan pelbagai gaya dan nada yang boleh meremangkan bulu tengkok.

"Ya Allah," kata saya, bila melihat orang kanan dengan lidah terjelir menjilat seluruh muka Osman Garing yang sudah menjadi mayat itu.

Dengan tidak semena-mena dia terus menjerit dan rebah ke bumi terus tidak sedarkan diri.

Pelik sungguh, perempuan suruhan yang berada dekatnya tidak bertindak. Malah melihat sahaja orang kanan yang terbujur kaku di situ.

Suara perempuan menjerit dan ketawa di udara terus hilang. Tetapi lolongan anjing masih berterusan. Suara burung hantu mula mengendur.

Darah sudah pun berhenti keluar dari mayat Osman Garing.

Kerana menyedari orang kanannya terbaring agak lama, mahaguru segera bangun dan mendekatinya.

Dengan belakang tangan kiri mahaguru menepuk belakang orang kanannya dengan sekuat hati.

Orang kanan segera sedar dan seperti kilat pula di bangun lalu menggamit Maziah dan Deraman mendekatinya.

Sebaik sahaja Maziah dan Deraman berdiri di depannya, mereka terus ditampar oleh orang kanan dengan kuat.

Berpandukan dari orang kanan itu menampar, ternyata bukan tampar sebarangan tetapi, tampar yang berbuah.

Maksudnya, bahana dari kena penampar tersebut, boleh membuat seseorang itu jadi bodoh atau terus lena (tidur sambil berdiri) paling kurang boleh buat orang itu gagap seumur hidup.

Andaian saya tepat sekali, tampar yang dilepaskan oleh orang kanan itu berbuahkan PUKAU.

Buat beberapa minit selepas ditampar, Maziah dan Deraman terhoyong hayang, macam orang khayalan. Setelah itu barulah mereka berdiri dengan betul. Tegak kaku macam tunggul kayu.

Bagi menguji PUKAU yang dilepaskan (tampar) tadi menjadi atau tidak, orang kanan segera menjalankan ujian dengan menyuruh Maziah dan Deraman duduk bertinggung, kemudian disuruh makan tanah. Ternyata arahan itu dipatuhi.

"Menjadi," beritahu orang kanan kepada mahaguru.

"Mulakanlah, keluarkan perintah."

"Baik."

Orang kanan mendekati perempuan suruhan. Berbisik sesuatu dan perempuan suruhan anggukkan kepala.

Orang kanan segera mendekati mahaguru. Bercakap sesuatu sambil berjalan menuju ke tempat duduk.

Saya terbongkok macam patung tetap mengikuti setiap peristiwa dengan teliti di samping mencari kesempatan untuk melarikan diri.

Apa yang pasti peluang sedemikian sukar untuk diperolehi. Dan saya harus terus bersabar.

"Hei, kamu berdua. Gunakan apa yang ada ditangan kamu, potong mayat tu," jerit perempuan suruhan.

Maziah dan Deraman anggukkan kepala.

"Kerat lapan tau."

SENYUM

Macam tadi juga, Maziah dan Deraman terus anggukkan kepala. Tidak berani bersuara. Sentiasa tunduk renung bumi. Tidak berani tatap wajah perempuan suruhan.

Mahaguru dan orang kanannya tetap mengikuti perkembangan yang berlaku dengan penuh sopan. Sesekali mereka berbalas senyum. Seolah-olah puas dengan apa yang terjadi.

"Mulakan sekarang."

Tanpa bertangguh-tangguh, Maziah dan Deraman meluru kearah mayat Osman Garing diatas kayu mayat.

Tugas mereka pun bermula dan saya tak sanggup melihat mereka mengerat-ngerat tubuh Osman Garing, macam memotong ayam. Tidak sampai dua jam, kerja-kerja itu selesai seperti yang dihajati.

Bahagian tubuh yang sudah dipotong-potong dimasukkan ke dalam guni beras oleh perempuan suruhan lalu diikat dengan tali rapia.

Dibiarkan di atas kayu mayat, perempuan suruhan ambil sebatang kayu sepanjang lima kaki dan ukuran bulatnya sebesar lengan kanak-kanak berusia dua tahun.

Di kedua belah bahagian hujung kayu ditajamkan. Dengan hujung kayu itu, perempuan suruhan membuat garisan empat segi di tanah.

"Sekarang kamu Deraman, korek lubang ikut tanda yang aku buat, faham?"

"Faham!"

"Mulakan."

Perempuan suruhan menyerahkan cangkul dan pencebak (alat penggali lubang) kepada Deraman.

Lelaki yang sudah bodoh, akibat dipukau itu pun memulakan tugasnya.

"Kamu Maziah, pergi bancuh simen. Semua barang-barang sudah disediakan, faham?"

"Saya faham."

"Kalau dah faham mulakan, jangan berhenti selagi belum dapat perintah."

Maziah anggukkan kepala dan memulakan tugas yang sebelumnya tidak pernah dilakukan. Kerana perintah terpaksa juga dibuat.

Dalam waktu yang tidak sampai satu jam lubang sedalam enam kaki dan lebarnya lebih kurang empat kaki siap digali oleh Deraman.

Perempuan suruhan segera membuat pemeriksaan, bagi memastikan sama ada lubang itu dikorek mengikut tanda yang ditetapkan atau sebaliknya.

Semuanya beres dan perempuan suruhan angkat tangan kiri ke arah orang kanan, memberitahu acara selanjutnya boleh dimulakan.

Orang kanan pun angun berjalan menuju ke arah mayat dalam guni di atas kayu mayat. Dia pun mengheret mayat dalam guni ke bibir lubang.

Mahaguru bangun dari tempat duduknya mengawasi setiap kerja yang dilakukan oleh orang kanannya.

Mahaguru tidak ingin melihat sebarang kesilapan yang kecil atau besar. Semuanya mesti berjalan mengikut peraturan yang ditetapkan.

Mahaguru menuju ke bibir lubang. Berdiri di sebelah orang kanannya yang masih memegang muncung guni beras.

"Tanam sekarang," tanya orang kanan.

"Nanti dulu," balas mahaguru sambil mengangkat tangan kiri serta mengembangkan lima jarinya.

Matanya tertumbuk ke wajah perempuan suruhan yang berada disebelah lubang (sebelah kanan).

"Sudah kamu ambil darahnya untuk disimpan dalam baldi," pertanyaan untuk perempuan suruhan.

"Sudah tok guru."

"Sudah kamu asingkan kulit dan sebahagian anggota tubuhnya untuk kamu dan orang kanan aku? Mungkin juga untuk perempuan yang baru ditauliahkan?"

Sudah."

"Termasuk jantung, hati dan bahagian dalam anunya?"

"Sudah tok guru."

"Bagus."

Buat beberapa ketika mahaguru termenung panjang. Kemudian mundar-mandir ditepi lubang, macam ada sesuatu yang difikirkannya.

Bila dia berhenti melangkah, sepasang biji matanya menghala ke arah Maziah dan Deraman.

"Sudah kamu minum darah kawan kamu?"

Pertanyaan itu tidak dijawab oleh Maziah dan Deraman.

Mahaguru renung muka orang kanannya dengan renungan yang tajam dan penuh tanda tanya.

Ketika itu terdengar bunyi gemersik angin menyetuh dedaun di luar kawasan pagar buluh. Juga terdengar bunyi suara kucing mengiau yang dituruti dengan bunyi tapak kaki orang berlari.

Pagar buluh bergoyang sendiri dan ada imbasan seperti kain batik berlegar-legar diudara. Semuanya tidak berapa jelas.

Sayup-sayup kedengaran lolongan anjing liar entah dari mana datangnya, tidak dapat dipastikan.

"Jangan bimbang, semuanya aku uruskan," begitulah dalam keadaan suasana serba seram, orang kanan mahaguru memberikan jawapan.

"Bila?"

Darah untuk diminum sudah ada, selesai semua kerja ini, aku suruhlah dia orang minum. Jangan bimbang, ini kerja aku, ini tugas aku," lantang sekali suara orang kanan penuh keyakinan.

Mahaguru anggukkan kepala sambil tersenyum lebar. Timbunan tanah di kiri kanan lubang di jelingnya.

TIMBUS

"Tanam mayat dalam guni ni cepat-cepat, timbus dan simen rata-rata. Biar orang tak dapat kesan dibawah simen ini ada kubur," satu perintah dalam nada suara yang kasar dan keras dari mahaguru untuk orang kanan dan perempuan suruhan.

"Buat dengan cepat, sebelum awan yang bergerak tu menutup bulan, kerja ni mesti selesai," mahaguru luruskan jari telunjuk ke arah gumpalan awan hitam yang berarak perlahan menuju ke bulan.

"Kalau kamu gagal kita semua ditimpa celaka, jangan berlengah-lengah," sambung mahaguru.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 163/284

BACA: SBDJ Siri 162: Senafas Dengan Guru
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com