Thursday, September 12, 2013

 Isu Kalimah Allah: Penganut Kristian Digesa Kembali Kepada Kepercayaan Asal

Isu Kalimah Allah: Penganut Kristian Digesa Kembali Kepada Kepercayaan Asal

Persatuan Pengguna Islam Sedunia (IMCA) menggesa agar penganut Kristian patuh semula kepada kepercayaan asal mereka tanpa mengubah suai istilah-istilah dan konsep yang sedap didengar orang bukan Kristian.

IMCA gesa Kristian patuh kepada ajaran asal.

Setiausaha Agung IMCA, Sheikh Abd. Kareem S. Khadaeid berkata, IMCA sebagai persatuan antarabangsa tidak mahu "mencari gaduh" dengan sesiapa dan hanya mengharap masyarakat Kristian menghormati agama lain terutama Islam.

"Kami yakin bahawa orang Kristian yang teguh dengan agama dan iman mereka patut menzahirkan kepercayaan mereka dalam keadaan asal.

"Mereka (Kristian) yang mendakwa diri mereka sebagai orang beriman perlu ikhlas dengan kebenaran itu.

(Baca: Tahukah Anda Maksud Sebenar Kalimah 'Allah'?)

"Jika penganut Kristian berhasrat, mereka patut memperkenalkan kata nama Aramic bagi Tuhan yang digunakan sendiri oleh Jesus seperti Eloi, Eli, Eloah, Elohim, Yahweh atau Jehovah ke dalam perbendaharaan Bahasa Melayu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai surat terbuka kepada masyarakat Kristian dalam satu sidang akhbar anjuran Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini hari ini. Turut hadir Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.

Tegas Sheikh Abd. Kareem lagi, jika masyarakat Kristian terutama Mingguan Katholik Herald mahu menggunakan kalimah Allah dalam bible bahasa Malaysia mereka, kenapa tidak dilakukan ke dalam bible bahasa-bahasa lain juga.

"Malah, semalam ada paderi mereka yang mengatakan ini bukan perancangan namun kajian terperinci saya di seluruh dunia sejak dahulu lagi sudah ada konsep 'contextualization' yang mengunakan elemen yang diamalkan Islam dan diserapkan ke dalam Kristian untuk membolehkan umat Islam yang murtad tidak kekok.

"Jadi, adakah mereka ikhlas dalam isu penggunaan kalimah Allah ini? " tegasnya.

Menurut Sheikh Abd. Kareem, masyarakat masa kini sudah terlalu banyak masalah dan tidak perlu ditambah dengan masalah baru yang mampu menggugat masa depan umat sejagat.

Kerajaan sekat guna kalimah Allah elak kekeliruan agama

Isu kalimah Allah

Kerajaan bertindak berlandaskan undang-undang ketika melarang majalah mingguan Herald daripada menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya bagi mengelak kekeliruan agama yang boleh mengancam ketenteraman awam serta menimbulkan sensitiviti keagamaan.

Arahan bertarikh 7 Januari 2009 yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri itu munasabah dan selaras dengan Enakmen-Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam (Negeri-Negeri).

Perkara tersebut dinyatakan sewaktu Mahkamah Rayuan mendengar rayuan Kerajaan dan enam pihak lain yang tidak berpuas hati dengan keputusan kontroversi Mahkamah Tinggi membenarkan kalimah suci itu digunakan dalam seksyen Bahasa Melayu majalah tersebut.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Mohamed Apandi Ali yang bersidang bersama Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim dan Datuk Mohd. Zawawi Salleh selepas mendengar penghujahan dalam mahkamah yang penuh sesak, menangguhkan keputusan hingga bulan depan.

Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan yang mewakili perayu-perayu sebelum itu berhujah, Menteri Dalam Negeri membuat pertimbangan keharmonian masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya boleh terancam jika kalimah Allah digunakan dalam penerbitan itu.

Beliau menyatakan, masyarakat Islam di negara ini amat sensitif terhadap perkara berhubung isu agama terutamanya penggunaan kalimah Allah yang merujuk kepada Tuhan bagi penganut agama itu.

''Kalimah Allah merupakan kalimah suci umat Islam dan diletakkan pada kedudukan yang paling tinggi yang kesuciannya mesti dipelihara. Ia merujuk kepada keesaan-Nya dan tidak boleh disamakan dengan konsep Triniti mengikut kepercayaan penganut Kristian,'' hujah beliau.

Sehubungan itu, Suzana menyatakan, kalimah Allah bukan semata-mata terjemahan kepada perkataan Tuhan seperti yang dinyatakan dalam Herald tetapi merupakan kata nama khas bagi Tuhan untuk masyarakat Islam.

Dalam hujahnya, Suzana turut membangkitkan bukti baharu berhubung keharmonian kaum yang tercemar melalui afidavit yang menyatakan beberapa kejadian antaranya cubaan membakar gereja berikutan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Beliau turut menyatakan, arahan tersebut merupakan tindakan awal menteri dan tidak memerlukan insiden sebenar yang menggugat ketenteraman awam berlaku terlebih dahulu sebelum membolehkan arahan dikeluarkan.

Sehubungan itu, kata beliau, tiada bukti yang menunjukkan menteri berkenaan bertindak atas niat jahat atau melaksanakan budi bicara secara tidak munasabah ketika mengeluarkan sekatan terhadap majalah berkenaan.

Sementara itu, peguam Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman yang mewakili Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berhujah, kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh agama lain kerana kalimah itu hak eksklusif umat Islam dan tiada bukti menunjukkan perkataan itu sebahagian daripada agama Kristian.

''Jika seseorang menggunakan kalimah Allah, ia merupakan seorang Islam,'' hujah beliau.

Abdul Aziz turut mempertikaikan terjemahan perkataan Allah kerana Injil yang asli adalah dalam bahasa Ibrani (Hebrew) yang kemudian diterjemahkan kepada bahasa Latin.

Menurut beliau, kitab terjemahan di Sabah dan Sarawak tidak asli kerana Bible dalam bahasa Inggeris yang telah diterjemahkan tidak mengandungi kalimah Allah.

(Baca: Apa Sebenarnya Motif Tersirat Disebalik Polemik Kalimah Allah?)

Dalam pada itu, Mubashir Mansor yang berhujah bagi pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menyatakan, sekatan itu munasabah bagi menghalang isi kandungan majalah itu yang turut boleh diakses secara dalam talian, disebarkan kepada umat Islam.

Peguam itu turut mempertikaikan penggunaan kalimah Allah yang diterjemahkan dalam seksyen bahasa Melayu kerana Kitab Bible versi bahasa Inggeris tidak terkandung kalimah berkenaan.

Hujah Mubashir, Terengganu melaksanakan enakmen yang melarang penggunaan perkataan itu dalam kalangan bukan Islam dan mereka perlu mendapat kebenaran Sultan untuk menggunakannya.

Mahkamah turut mendengar penghujahan Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) yang menyatakan, Mahkamah Tinggi terkhilaf dalam keputusannya kerana gagal menimbangkan bahawa Islam adalah agama Persekutuan dan tidak boleh berdiri sama tinggi dengan agama lain.

Pada sebelah petang, Porres Royen yang mewakili Gereja Roman Katolik berhujah, penggunaan kalimah Allah tidak harus disekat kerana ia bukan merupakan satu kesalahan memandangkan perkataan itu hanya digunakan untuk penganut Kristian.

Beliau menghujahkan, isu yang ditimbulkan itu bukan perkara baharu kerana perkataan tersebut telah digunakan sejak zaman berzaman lamanya dan tiada perkataan lain yang lebih sesuai bagi menggantikan perkataan Tuhan melainkan dengan menggunakan kalimah Allah.

Seorang lagi peguam pihak gereja, Benjamin Dawson turut berhujah, kalimah Allah yang digunakan dalam bahasa Indonesia di Sabah dan Sarawak serta di negara jiran itu tidak langsung membangkitkan sebarang kekacauan.

Menurut beliau, perkataan itu merupakan yang sama digunakan dalam Bible dan juga al-Quran dan tidak sesuai untuk mengubahnya kerana telah lama digunakan dan penerbitan itu hanya khusus untuk penganut Kristian.

Pada 31 Disember 2009, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam agar Herald dibenarkan menggunakan kalimah Allah.

Mahkamah Tinggi berpuas hati bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang penerbitan Herald daripada menggunakan kalimah Allah dalam majalah edisi bahasa Malaysia, adalah menyalahi undang-undang, batal dan tidak sah. -Utusan

Friday, August 23, 2013

Apa Sebenarnya Motif Tersirat Disebalik Polemik Kalimah Allah?

Apa Sebenarnya Motif Tersirat Disebalik Polemik Kalimah Allah?

Kebiasaanya, sesuatu perkara yang hendak dilakukan tanpa bermotifkan sesuatu, itu namanya sia-sia atau bodoh.


Adakah sia-sia puak Kristian ingin menggunakan kalimah Allah dalam Bible di setiap gereja mereka? Sudah pasti jawapannya TIDAK.

Mereka sudah lama merancang secara terperinci mengenai perkara ini dengan begitu halus sehinggakan tidak dapat terbayang dalam benak kepala kita bagi mereka yang tidak suka berfikir.

(Baca: Tahukah Anda Maksud Sebenar Kalimah 'Allah'?)

Kalaulah ada orang mengatakan ;”ah! biarlah, dia..dia. aku..aku. Yang penting sekarang Malaysia aman.”

Memang benar sekarang mungkin negara kita AMAN kerana kita masih dipimpin oleh orang Islam, TIDAK MUSTAHIL pada 25 tahun, 50 tahun, 75 tahun atau 100 tahun akan datang, Malaysia sudah dirampas oleh golongan ANTI-ISLAM.

Siapa yang akan merasai BAHANA dan BENCANA ini, kalau bukan anak-anak dan keturunan kita sekarang? Oleh itu, fikir-fikirlah tindakan yang perlu diambil demi masa hadapan generasi akan datang.

Sehubungan itu, kalimah Allah bolehlah dikategorikan sebagai kalimah suci yang melambangkan Islam itu sendiri.

Umat Islam semestinya mempertahankan penggunaan kalimah ini agar ianya tidak tersasar dari maksud sebenar. Ia adalah kewajipan bagi umat Islam dalam mempertahankan kesucian Islam itu sendiri.

Asas Polemik Kalimah Allah

Semuanya bermula sejak tahun 2007 di mana akhbar The Sun bertarikh 24 Disember 2007 telah menyiarkan sebuah laporan oleh wartawan Joseph Masilamany yang bertajuk ‘Church leaders explain use of Allah”.

Berdasarkan kepada petikan laporan tersebut, beliau mengemukakan pendapat bahawa “penggunaan perkataan ‘Allah’ untuk merujuk kepada Tuhan di kalangan penganut agama Kristian telah diamalkan dengan meluas untuk beberapa generasi di banyak negara dan bukan bertujuan menyinggung perasaan atau mengelirukan masyarakat Islam”, ini tentunya menurut para pemimpin Kristian.

Tindakan Paderi Lawrence Andrews menfailkan larangan 
penggunaan kalimah Allah di Mahkamah menjadititik permulaan 
penentangan penggunaan kalimah Allah oleh umat Islam.

Wartawan tersebut menemu ramah penyunting akhbar mingguan Katolik tempatan, Paderi Lawrence Andrews, dan agaknya turut berbicara dengan Setiausaha Agung Majlis Gereja-Gereja Malaysia, Rev. Herman Shastri.

Paderi Lawrence dilaporkan mendakwa, “istilah ‘Allah’ yang digunakan oleh orang Kristian atau dalam tulisan mereka tidak bermaksud menggusarkan masyarakat Islam atau mencetuskan kekeliruan.

Kami mengikut Bible. Bible dalam bahasa Melayu menggunakan ‘Allah’ sebagai terjemahan istilah God dan ‘Tuhan’ sebagai terjemahan untuk istilah Lord.”

Terdapat lima alasan utama yang dikemukakan oleh laporan tersebut mengapa Gereja Katolik ingin meneruskan penggunaan kalimah ‘Allah’ di dalam akhbar terbitan mereka. Alasan yang dikemukakan ialah seperti berikut:
  1. Mendakwa mereka mengikut Bible. Bible dalam bahasa Melayu menggunakan kalimah ‘Allah’ sebagai terjemahan istilah God dan ‘Tuhan’ sebagai terjemahan untuk Lord.
  2. Mendakwa bahawa mulai awal abad ke-19, para penganut Katolik di Malaya telah pun memiliki buku-buku doa dalam bahasa Melayu dan kalimah ‘Allah’ telah digunakan sebagai terjemahan kepada istilah God. Para penganut Katolik Malta juga menggunakan kalimah ‘Allah’ untuk merujuk kepada Tuhan dan demikian juga masyarakat Kristian di Indonesia, Pakistan dan Asia Barat.
  3. Mendakwa ayat-ayat al-Quran sendiri telah menunjukkan bahawa golongan bukan Islam juga telah menggunakan lafaz Allah.
  4. Mendakwa bahawa segmen (terjemahan) dalam bahasa Malaysia diwujudkan untuk memenuhi keperluan kepelbagaian etnik dan bahasa yang wujud di Malaysia sebagaimana yang wujud di dalam populasi penganut Katolik di Malaysia.
  5. Mendakwa kerajaan tidak mempunyai hak untuk campurtangan dalam urusan dalaman gereja berdasarkan hak yang diberi oleh Perkara 11(3)A Perlembagaan Persekutuan.

Hujah-Hujah Politikus Terhadap Kalimah Allah

Sepatutnya isu ini perlulah diperbincangkan secara ilmiah di kalangan para Ulamak, Ketua Agama dan wakil Kerajaan (JAKIM) bagi mencari titik pertemuan berkaitan isu penggunaan kalimah ALLAH. Tetapi sayang, ianya hanyalah ILUSI di siang hari.

Apa tidaknya, para Politikus yang tidak berkelayakan atau tahu berkaitan agama tetapi memanipulasi isu ini demi kelangsungan politik mereka.

Di bawah ini adalah petikan kenyataan yang dikeluarkan oleh mereka yang merasakan ia lebih tahu dan arif tentang isu ini. Tetapi apabila dikaji semua adalah HYPOCRISY.

Pencanggahan pendapat dan pendirian dalam PAS membuktikan 
tiada kesepakatan umat Islam dalam menjaga kepentingan Islam.

Hadi Awang - Islam tidak menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam amalan mereka, walaupun tidak mencapai maksud asal bahasa al-Quran.

Anwar Ibrahim - Saya alu-alukan pendirian Pas itu sebagai pendirian bersama Pakatan Rakyat. Beliau (Hadi Awang) mahu ia jelas bahasa semua pihak termasuk pihak gereja dan bukan Islam hendaklah menghormati isu itu dan bagaimana umat Islam mulikan nama Allah.

Nik Aziz Nik Mat - Saya bersetuju orang bukan Islam termasuk pemimpin mereka dibenarkan menggunakan kalimah ‘Allah’ walaupun perkataan itu merupakan hak eksklusif bagi orang Islam.

Mohamad Sabu - Orang bukan Islam boleh guna kalimah ‘Allah’.

Tuan Ibrahim Tuan Man - Pas berpendirian bahawa Bible Bahasa Melayu harus menggantikan istilah ‘God’ dengan tuhan, bukannya Allah untuk mencerminkan maksud sebenar daripada teks asal.

Dr Abdul Rani Osman - Mencemuh Lim Guan Eng membangkitkan penggunaan kalimah ‘Allah’. Ia tidak boleh dijadikan polemik kerana sangat sensitif melibatkan umat Islam dan boleh menimbulkan ketegangan jika tidak ditangani dengan sebaik-baiknya.

Harun Din – Sesiapa yang bersetuju kalimah ‘Allah’ boleh digunakan oleh orang kafir dan bersengkokol dengannya, maka ia akan jatuh kufur.

Janji Dr. Haron Din mempertahankan penggunaan kalimah Allah 
mendapat sokongan dari akar umbi penyokong PAS dan UMNO.

Kesimpulan

Jika kita melihat kepada scenario terkini, umat Islam didapati kurang peka dan pekak kepada isu ini. Masing-masing mengambil jalan mudah iaitu “WAIT and SEE” tanpa mengambil tindakan sewajarnya.

Sekurang-kurangnya, kita boleh menyatakan sokongan di dalam semua petisyen yang diusahakan oleh NGO Islam atau menyebarkan artikal-artikal berkaitan isu kalimah Allah.

Namum begitu, pihak politikus beragama Islam sepatutnya berganding bahu tanpa menjadikan ideologi parti sebagai batasan dalam menyuarakan pandangan umat Islam tentang isu ini.

Bersatu Islam teguh, Bercerai Islam runtuh.

Benarlah sabda Rasullulah S.A.W tentang akan tiba pada suatu zaman, Islam akan diserang dan dipermainkan oleh musuh Allah S.W.T samada dari dalaman atau luaran seperti yang disabdakannya untuk renungan kita semua;

Akan datang suatu zaman di mana agama Islam hanya tinggal namanya sahaja, dan al-Quran pula hanya tinggal huruf dan tulisannya. Masjid-masjidnya cantik dan megah, tetapi sunyi daripada petunjuk. Ulama mereka adalah manusia yang paling jahat di antara yang ada di bawah langit. Daripada para ulama ini muncul bermacam-macam fitnah dan (fitnah itu) kembali ke dalam lingkungan mereka.” – Riwayat Baihaqi

[Sumber]

Penggunaan Kalimah ‘Allah’ Dalam Akhbar Mingguan ‘The Herald’ Perlu Diselesaikan

Penggunaan Kalimah ‘Allah’ Dalam Akhbar Mingguan ‘The Herald’ Perlu Diselesaikan

Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa kontroversi berhubung isu penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam sebuah akhbar mingguan Katolik ‘The Herald’ perlu diselesaikan.


Sehubungan itu, panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Abu Samah Nordin mengarahkan rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, yang membenarkan The Herald menggunakan kalimah ‘Allah’, didengar pada 10 Sept ini.

Panel hakim yang turut dianggotai Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim dan Datuk Rohana Yusuf itu membuat keputusan berkenaan selepas sebulat suara menolak permohonan Gereja Katolik untuk membatalkan rayuan kerajaan.

(Baca: Tahukah Anda Maksud Sebenar Kalimah 'Allah'?)

Dalam penghakimannya, Abu Samah berkata bekas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memfailkan afidavit yang memperjelas bahawa isu penggunaan kalimah ‘Allah’ bukanlah sebahagian daripada penyelesaian 10 perkara.

“Oleh itu, ia tidak terpakai dalam kes ini. Perkara ini (rayuan) tidak boleh dianggap akademik kerana masih terdapat isu dan kontroversi yang perlu diselesaikan,” katanya. Berdasarkan persetujuan bersama pihak gereja, Kementerian Dalam Negeri (KDN), kerajaan dan Majlis Agama Islam di enam negeri, Mahkamah Rayuan tidak membuat sebarang perintah berhubung kos.

Gereja Katolik memfailkan permohonan bagi membatalkan rayuan kerajaan pada 8 Julai lepas.

Pada 16 Feb 2010, pihak gereja memfailkan semakan kehakiman dengan menamakan KDN serta kerajaan sebagai responden, dan memohon antara lain, satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri yang melarang penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam The Herald adalah tidak sah.

Akhbar mingguan itu, yang dicetak dalam empat bahasa, menggunakan kalimah ‘Allah’ sebagai terjemahan untuk ‘God’ bagi seksyen bahasa Malaysia terutama bagi memenuhi keperluan masyarakat di Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, kerajaan berhujah penggunaan kalimah ‘Allah’ hanya boleh digunakan secara eksklusif oleh umat Islam.

Pada 31 Dis 2009, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan keputusan KDN melarang The Herald menggunakan kalimah ‘Allah’ adalah salah, batal dan tidak sah.

Kerajaan kemudian mengemukakan rayuan berhubung keputusan itu.

Terdahulu, peguam Porres Royan, yang mewakili pihak gereja, berhujah rayuan kerajaan harus dibatalkan kerana tidak ada sebarang kontroversi atau pertikaian berhubung penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan Katolik.

Beliau berkata ini kerana penyelesaian sepuluh perkara yang ditandatangani Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan dialamatkan kepada pengerusi Persekutuan Kristian Malaysia Ng Moon Hing membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam kitab Bible Bahasa Indonesia/Bahasa Malaysia serta bahasa pribumi Iban, Kadazan-Dusun dan Lun Bawang.

“Kami berpendapat kerajaan sudah mengubah pendiriannya berhubung penggunaan kalimah berkenaan,” katanya sambil menambah penyelesaian sepuluh perkara itu merupakan keputusan kolektif Kabinet dan ia turut membincangkan isu kalimah ‘Allah’.

Porres berkata kesannya ialah kalimah ‘Allah’ kini boleh digunakan dalam Bible Bahasa Indonesia/Bahasa Malaysia serta bahasa pribumi lain dan kitab ini boleh diimport serta dicetak.

“Jika kabinet sudah memberi kebenaran berhubung penggunaan kalimah itu dalam Bible, maka sudah semestinya ia boleh juga digunakan dalam penerbitan,” katanya.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan yang mewakili KDN dan kerajaan berhujah bahawa rayuan mereka tidak harus dibatalkan kerana terdapat isu yang perlu diputuskan.

“Permohonan yang difail pemohon adalah remeh dan perlu ditolak,” katanya.

Beliau berkata isu di depan Mahkamah Tinggi adalah berkaitan kuasa budi bicara Menteri Dalam Negeri mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan berhubung permit pencetakan The Herald manakala penyelesaian sepuluh perkara membincangkan isu kitab Bible.

Peguam Mubashir Mansor, yang mewakili Majlis Agama Islam Terengganu pula berhujah semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi terhad kepada keputusan pentadbiran KDN bertarikh 7 Jan 7 2009.

Oleh itu, beliau berkata penyelesaian sepuluh perkara tidak boleh diambil kira kerana dibuat selepas Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah berhubung permohonan semakan kehakiman oleh pihak gereja.

“Surat Perdana Menteri bertarikh 11 April 2011 itu tidak menyentuh perjara dalam rayuan berkenaan. Beliau tidak mengatakan bahawa The Herald boleh menggunakan kalimah Allah,” kata Mubashir.

Peguam Hanif Khatri Abdulla, yang mewakili Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) berkata arahan Kabinet adalah khusus untuk import dan eksport kitab Bible secara fizikal namun tidak menyentuh kandungannya.

Beliau berkata Hishammuddin, dalam afidavitnya memperjelas mengapa penyelesaian sepuluh perkara dikeluarkan dan apa yang dipertimbang serta sebaliknya.

Hishammuddin juga berkata Kabinet tidak membuat sebarang keputusan berhubung penggunaan kalimah Allah.

Hishammuddin berkata keputusan Kabinet pada 11 April 2011 hanyalah mencari jalan untuk mengatasi masalah berhubung import, pencetakan, pengagihan serta penggunaan kitab Bible dalam Bahasa Malaysia di negara ini.

Lebih 300 anggota badan bukan kerajaan (NGO) seperti Perkasa, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Macma berhimpun di pekarangan mahkamah seawal 7 pagi.

-BERNAMA

Monday, January 14, 2013

PAS Keliru Pilih Antara Politik Dan Agama Isu Kalimah Allah

PAS Keliru Pilih Antara Politik Dan Agama Isu Kalimah Allah

Pening! Itulah kata-kata seorang kawan dalam Pas apabila ditanya pandangannya berhubung isu kalimah Allah yang melibatkan parti itu. Kawan penulis ini mengakui ahli-ahli Pas di peringkat umbi kecewa dengan apa yang berlaku.


Keputusan Pas untuk bersama-sama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP bagi membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah dikatakan meletakkan ahli-ahli Pas tersepit.

Mereka juga turut keliru apabila Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyokong langkah tersebut sedangkan beberapa ulama yang cukup dihormati dalam Pas seperti Timbalan Mursyidul Am, Datuk Haron Din dan Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib menentang langkah itu. Kedua-duanya berpendapat penggunaan kalimah Allah tetap eksklusif untuk umat Islam sahaja.

Walaupun ada pihak lain dalam Pas seperti Dewan Pemuda yang diketuai oleh Nasruddin Hassan turut membuat pendirian menyokong Abdul Hadi, namun orang tidak mempedulikannya kerana mereka amat memahami pendirian politik dewan itu tidak konsisten dan kadang kala dilihat seperti lalang sahaja.

Apa yang penting bagi ahli-ahli Pas di peringkat akar umbi ialah pendirian kepimpinan kanan dan golongan ulama. Sebab itu mereka pening dan keliru yang mana satukah pendirian Pas apabila berlaku percanggahan pendapat antara kedua-dua kumpulan itu.

Namun begitu berdasarkan tinjauan rambang dan maklumat rakan-rakan dalam Pas, mereka mengakui majoriti ahli parti itu mahu Pas menarik balik persetujuan menyokong bukan Islam menggunakan kalimah Allah.

Sebab itulah mereka mengharapkan, Majlis Syura Ulama Pas yang dijangka bermesyuarat malam ini di Kuala Lumpur akan membuat satu ketetapan iaitu menolak keputusan pakatan pembangkang dalam soal berkenaan kerana imej Pas dikatakan semakin terjejas berikutan isu kalimah Allah ini.

Menurut sumber dalaman Pas kepada penulis, sepatutnya kepimpinan parti itu tidak boleh tergopoh-gapah menyatakan persetujuan bersama-sama PKR dan DAP kerana isu tersebut bukannya soal remeh.

''Kepimpinan parti patut membawanya untuk perbincangan di peringkat majlis syura, biarlah majlis itu tentukan, bukannya begitu mudah memberi sokongan yang akhirnya Pas dilihat tidak sefahaman," kata sumber itu ketika dihubungi di Kuala Lumpur.

Apa yang menimbulkan persoalan ialah sikap Abdul Hadi yang menafikan bahawa berlaku percanggahan pendapat antara pemimpin Pas berhubung isu berkenaan dan menganggap isu kalimah Allah ini ditimbulkan kerana menjelang pilihan raya.

Tetapi semua orang dapat menyaksikan bagaimana tegasnya, Haron Din, Harun Taib dan Nasharudin Mat Isa mempertahankan pendirian mereka, biarpun beberapa pemimpin Pas menyatakan adalah menjadi hak Presiden parti untuk menyokong apa juga pendirian bersama PKR dan DAP.

Ketegasan pemimpin-pemimpin bertaraf ulama itu membuktikan mereka konsisten dengan pendirian bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh bukan Islam dan sudah pasti pandangannya sehaluan dengan majoriti ahli Pas.

Mereka memahami bahawa dalam keadaan genting bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13, Pas berada dalam kedudukan perlu menyokong apa sahaja tindakan PKR dan DAP serta perlu senada di peringkat dalam parti.

Pas tidak boleh dilihat tidak sehaluan dengan kedua-dua parti berkenaan dan berlaku percanggahan pendirian dalam sesuatu isu di peringkat dalaman, namun isu kalimah Allah bukan sekadar isu untuk Pas menjaga hati PKR dan DAP atau menunjukkan semua pemimpin Pas sekata.

Tetapi jauh daripada itu ialah ahli-ahli Pas mahu tahu apa rasionalnya bukan Islam diberi keistimewaan tersebut sedangkan sebelum ini selama berpuluh-puluh tahun tiada tuntutan seumpama itu dilakukan, kenapa sekarang baru ia dibuat, apakah agenda tersembunyi di sebalik semua ini?

Sebab itulah lebih 95 peratus ahli Pas kecewa dengan pendirian pucuk pimpinan parti yang dilihat begitu mudah memberi sokongan tanpa melihat kesannya dari segi jangka masa panjang.

Apatah lagi, mereka terpaksa menerima hakikat bahawa mereka tidak mempunyai apa-apa lagi perisai untuk berhujah bahawa Pas melakukan itu bukan kerana politik, ia memandangkan semua orang tahu sejauhmanakah kekuatan Pas dalam pakatan pembangkang.

Penjelasan

Pas tidak akan berani berkata tidak kepada apa-apa juga perkara yang dipersetujui oleh DAP dan PKR termasuklah juga dalam soal kalimah Allah. Keadaan inilah yang memungkinkan sesetengah ulama dalam Pas yang masih lagi berpegang teguh kepada perjuangan Islam menentang persetujuan Pas.

Apa yang lebih mengelirukan ahli-ahli Pas ialah cara penjelasan yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin parti itu mengenai setakat mana bukan Islam boleh menggunakan kalimah Allah.

''Ada yang kata tidak boleh digunakan dalam Bible dan ada pula yang kata hanya untuk amalan biasa...semua ini memeningkan ahli-ahli Pas kerana apa yang mereka tahu orang bukan Islam tidak boleh menggunakan kalimah Allah.

''Istilah jangan disalahgunakan pun seperti diputuskan oleh pakatan pembangkang juga telah menimbulkan kekeliruan, apa maksud sebenar?

''Soalnya kalau pun berlaku salahguna bolehkah pemimpin-pemimpin Pas berbuat sesuatu untuk mengambil tindakan?,'' tanya seorang pemimpin muda Pas di peringkat kawasan kepada penulis ketika dihubungi.

Oleh itu kata pemimpin berkenaan, Pas tidak ada pilihan selain memastikan segala persetujuan dengan pakatan pembangkang berhubung isu kalimah Allah ditarik balik.

Selain itu, ahli-ahli Pas juga mahu percanggahan pendapat antara pemimpin-pemimpin parti tersebut diselesaikan segera kerana ini bukan kali pertama ia berlaku.

''Dulu dalam isu Nasharudin Mat Isa, ada pemimpin Pas mahu beliau dikenakan tindakan kerana bertelagah dengan Karpal Singh tetapi golongan ulama mempertahankan Nasharudin.

''Isu ini pun sudah cukup memeningkan kepala ahli-ahli Pas kerana mereka tidak faham kenapa setiap kali ada pemimpin Pas menegur pemimpin PKR atau DAP biar pun dalam perkara berkaitan prinsip Pas, mereka akan dikenakan tindakan.

''Nasib baiklah golongan ulama bertindak sebagai 'pendamai' kalau tidak entah berapa ramai pemimpin Pas akan dipecat daripada parti semata-mata kerana berselisih dengan pemimpin-pemimpin kedua-dua parti berkenaan,'' kata pemimpin muda itu lagi.

Apa pun, tumpuan kini adalah bagaimana Pas mahu menangani percanggahan pendapat antara pemimpin-pemimpinnya dalam isu kalimah Allah. Namun apa yang pasti, ahli-ahli parti itu di peringkat umbi mahukan golongan ulama tegas menolak penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Ia memandangkan isu tersebut benar-benar menguji sejauhmanakah ketegasan Pas dalam mempertahankan perkara berkaitan kesucian Islam.

[Sumber]

Tahukah Anda Maksud Sebenar Kalimah 'Allah'?

Tahukah Anda Maksud Sebenar Kalimah 'Allah'?

Masing-masing pihak mahu menyebut Tuhan dengan nama Allah Taala. Ini sebuah petanda yang sungguh indah sekiranya Allah, mengikut kamus Dewan Bahasa yang membawa makna Tuhan Yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya, disembah secara mutlak. Tetapi jika Allah diibadahi bersama dengan tuhan yang lain, maka ia telah menyalahi makna Kamus Dewan yang menjadi tunggak Bahasa Kebangsaan.


Allah, sebuah nama khusus untuk Tuhan yang disadur dari bahasa Arab. Ibn Qayyim berkata bahawa kalimah Allah mempunyai makna asal, di mana kata asalnya adalah al Ilah. Ini sebagaimana pendapat ahli bahasa terkenal Sibawaih dan majoriti sahabatnya kecuali beberapa orang yang berpendirian sebaliknya (tanpa sebarang hujah). Lafaz Allah mencakup seluruh makna Al asma' Al Husna dan sifat-sifat-Nya yang maha tinggi.

Permulaan kepada perbincangan ini adalah apabila wujudnya tafsiran firman Allah SWT di dalam Surah az-Zumar, ayat 38 maksudnya, "Dan sungguh jika kamu bertanya kepada mereka: Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?, nescaya mereka menjawab: Allah."

Menunjukkan orang Arab jahiliyah telah mensyirikkan Allah, mereka memang mengetahui bahawa Allah adalah Tuhan yang menciptakan dan mematikan, Tuhan yang memberi rezeki dan mentadbir alam ini. Di samping mereka mengetahui bahawa Allah adalah Tuhan yang sebenar, mereka juga memuja tuhan yang lain. Sama seperti kaum Nasrani, yang memiliki keyakinan triniti; Tuhan Bapa iaitu Allah, Anak Tuhan iaitu Jesus dan Roh Kudus.

Budaya adalah amalan yang diterima bersama. Sudah menjadi budaya orang Arab sejak zaman berzaman memanggil Tuhan sebagai Allah tanpa mengira agama. Maka orang Arab Kristian pun menamakan Tuhan Bapa sebagai Allah, sama seperti orang Arab Islam dan orang Yahudi.

Dalam prinsip Islam ada kaedah yang disebut al 'adah muhakkamah iaitu budaya yang tidak bersalahan dengan syarak boleh menjadi hukum. Merujuk Arab Kristian sebagai alasan adalah tidak tepat sebab berbeza kebudayaan. Orang Kristian Arab memanggil Isa sebagai Yasu' sementara orang Kristian di Malaysia memanggil Jesus. Hakikatnya di Malaysia hanya orang Islam selama ini menggunakan kalimah Allah dan umat Kristian menggunakan kalimah Tuhan.

Terdapat kaedah lain yang dijelaskan oleh Imam As Syatibi iaitu "Melihat kepada kesan aplikasi". Diambil berdasarkan beberapa dalil antaranya adalah hadis Nabi ini: "Jika tidak kerana kaum kau masih baru meninggalkan kepercayaan jahiliyah, nescaya aku akan bangunkan Kaabah di atas binaan Ibrahim". (Riwayat Bukhari & Muslim). Hadis ini menunjukkan Nabi membiarkan binaan Kaabah yang dibina tidak mengikut struktur yang diasaskan oleh Nabi Ibrahim selepas roboh akibat banjir kerana memikirkan implikasinya. Walhal membina kembali Kaabah mengikut struktur asal merupakan sebuah yang harus.

Kerana implikasi merobohkan Kaabah pada masa itu akan membawa 'kerosakan' yang lebih besar berbanding kesalahan struktur Kaabah tersebut. Hadis ini membawa dua pengajaran iaitu melihat kesan akhir daripada sebuah tindakan, serta terkadang peraturan yang tidak harus dilakukan akan menghasilkan impak yang membawa kebaikan.

Ada juga orang yang berdalil dengan lagu negeri yang mengandungi perkataan Allah. Ini satu hujah yang sangat ajaib. Pertamanya bilakah lagu negeri tersebut menjadi lagu Gospel yang dinyanyikan didalam gereja? Keduanya jika orang Kristian melihat papan tanda yang tertera perkataan Allah, lalu menyebutnya, apakah papan tanda itu telah menjadi bahan selebaran agama Kristian?

Kita bukan mahu menutup mulut umat Kristian daripada menyebut nama Allah atau melarang mereka membaca perkataan Allah. Tetapi kita sedang bahaskan penggunaan kalimah Allah dalam bahan dakwah Kristian seperti Bible dan makalah-makalah yang mereka terbitkan. Alasan tidak keruan seperti ini adalah tindakan apologetik. Kesimpulannya pengharaman kalimah Allah dalam Bible dan selebaran dakwah Kristian memiliki dalil agama selaras dengan perlembagaan negara malah didokong oleh sosiobudaya.

Tuhan Bapa dalam pelbagai bahasa

Budaya Islam dalam mewacanakan ilmu menggunakan Bahasa Arab maka seluruh umat Islam tanpa mengira ras dan geografi - dari Timur hingga Barat - berkongsi pengetahuan dan kebudayaan yang sama. Orang Jepun yang menduduki Gunung Fuji tetap memanggil masjid sama seperti orang Eskimo yang memakai baju bulu dan hidup di belantara salji.

Begitu juga Tuhan Yang Esa dipanggil Allah oleh seluruh umat Islam sejak Islam didakwahkan oleh Nabi Muhammad SAW. Ketika bangsa Melayu memeluk Islam, nenek moyang kita memanggil Tuhan tersebut dengan nama Allah sedangkan sebelum itu mereka memanggil Brahman. Kosa kata Brahman dihapuskan sementara kata Tuhan dikekalkan sampai hari ini.

Ini sangat berbeza dengan nama Tuhan bagi agama Kristian, yang setiap bangsa menyebutnya sesuai dengan bahasa ibunda mereka. Umat Kristian Cina menulis perkataan shên atau shang-ti, sementara orang Kristian Korea menulis cheon-ju atau haneunim untuk Tuhan. Sedangkan orang Greek memanggil ho-theos atau ho-kurios. Sebaliknya orang Islam di China, atau di Korea atau di Greek senada seirama memanggil Allah sebagai nama Tuhan.

Kita perlu tahu bahawa masyarakat Sabah dan Sarawak menerima budaya masyarakat Indonesia, malah jika kita ke Kota Kinabalu, dengan mudah boleh menjumpai Al kitab terjemahan Indonesia. Jadi dalam Al kitab tersebut memang tertulis perkataan Allah ketika merujuk kepada Tuhan Bapa. Namun hakikatnya bukanlah budaya masyarakat Kristian di sana memanggil Allah.

Contoh mudah adalah ketika umat Islam membaca Al kitab terjemahan Indonesia, terjumpa perkataan Yesus, kita tetap akan memanggil Nabi Isa. Begitu juga ketika kita membaca karya sasterawan Indonesia yang dicalonkan Hadiah Nobel, Bapak Pram: ketika beliau menulis perkataan 'kebutuhan', apakah kita juga akan menggunakan perkataan yang sama dalam perbualan kita? Pasti tidak! Kita tetap menggunakan perkataan yang diterima oleh budaya kita iaitu 'keperluan'.

Jangan jadikan modal politik

Maka, isu kalimah Allah ini lebih dilihat sebagai modal politik pembangkang. Mereka telah terdesak sehingga menjadikan agama sebagai bahan mainan. Sedangkan isu agama merupakan perkara sensitif. Dalam sejarah dunia telah tercatit peperangan disebabkan agama. Kita tidak mahu negara kita bergolak kerana sentimen yang dibangkitkan oleh DAP. Cukuplah Syria berperang disebabkan Bashar al-Assad yang menganut agama Syiah cuba menghapuskan kaum Sunni. Peliknya Mat Sabu boleh menyokong perjuangan Bashar.

Umat Islam Malaysia mengisi komposisi 60 peratus sedangkan umat Kristian berjumlah sembilan peratus. Saya hairan ketika Lim Guan Eng mendesak kerajaan sedangkan majoriti bersama kerajaan.

Bagaimana DAP mengatakan bahawa mereka adalah pejuang demokrasi sedangkan dalam isu ini majoriti menolaknya. Nampaknya DAP sudah tidak demokratik, yang tinggal hanyalah nama parti seperti pepatah Cina menyebut "menggantung kepala kambing, menjual daging anjing". Bayangkan jika mereka menguasai negara, apa yang akan berlaku kepada kaum Cina yang menganut Buddha, Teoisme, Confucius dan agama dan budaya lain. Bagaimana pula dengan nasib Islam sendiri? Ini persoalan yang sangat serius.

Kita ini adalah bangsa Melayu yang masih memiliki sultan dan raja. Telah menjadi rukun kehidupan kita untuk mentaati raja dan pantang untuk menderhaka. Oleh sebab itu kita wajar menghormati keputusan raja dalam isu kalimah Allah kerana institusi raja yang bertanggungjawab dalam masalah agama Islam. Bagaimana kita ingin dihormati seandainya kita tidak pernah menghormati orang lain? Bagaimana kita ingin menegakkan nasib Melayu kalau sultan sebagai lambang bangsa kita diabaikan? Sultan dan Melayu tidak dapat dipisahkan.

Agenda pluralisme dan Kristianisasi

Saya tidak tahu apakah Lim Guan Eng berdoa kepada Tuhan Bapa dengan memanggil Allah dan memanggil Bonda Maria dengan nama Ibu Maryam. Malah saya juga tidak tahu apakah penganut Kristian di Malaysia sama ada di Semenanjung atau di Borneo memanggil Gabriel dengan nama Jibril, Gog dan Magog dengan Yakjuj dan Makjud, Mesiah dengan perkataan Al Masih. Malah saya sendiri tidak tahu apakah umat Kristian memanggil Haliluyah dengan sebutan Alhamdulillah. Jika tetap mahu guna kalimah Allah maka guna juga kata Alhamdulillah.

Jika DAP mahu menukar perkataan Tuhan kepada Allah maka perlu tukar semua nama dan perkataan lain yang semakna, seperti yang disebutkan tadi. Implikasinya lebih daripada itu: Gereja Jesus Benar wajar di tukar kepada Gereja Isa Benar. Gereja True God wajar ditukar kepada Gereja Allah Yang Sebenar. Gereja Immanuel perlu di tukar kepada Gereja Allah Menyertai Kita. Church of God kepada Gereja Allah.

Isu kalimah Allah ini dilihat sebagai agenda pluralisme dan taqrib (pendekatan) antara agama. Umat Islam wajar meninjau gerakan Kristianisasi di Indonesia yang sangat marak. Sekjen Kementerian Agama, Bahrul Hayat menjelaskan pertumbuhan gereja di sana adalah yang tercepat di dunia, mencapai 190 peratus setiap tahun. Gerakan Kristianisasi bermula dengan menterjemah Bible ke dalam bahasa Indonesia termasuk menggunakan nama Allah.

Ini bertepatan dengan teori psikologi yang disebut sebagai Homophily iaitu 'sama wajah'. Apabila pendakwah memiliki persamaan dengan orang yang didakwah maka proses mempengaruhi lebih mudah dilakukan.

Apabila Bible telah diterjemah ke dalam bahasa Melayu termasuk perkataan tuhan ditukar kepada Allah, maka darjah 'sama wajah' semakin besar. Umat Islam semakin terdedah kepada masalah murtad dan jumlah mereka akan bertambah.

Dahulu Pas menyalahkan kerajaan sebab isu murtad. Apa yang kerajaan sedang lakukan adalah untuk menangani masalah ini. Tapi hari ini Pas membuka pintu untuk orang Melayu murtad secara senyap. Nampaknya perjuangan akidah bukan lagi menjadi keutamaan mereka.

Selama ini rakyat Malaysia hidup dalam keadaan harmoni dan saling menghormati. Sebagai contoh di Sabah dan Sarawak, jika ada sekolah ganti pada hari Sabtu, guru-guru dari Gereja SDA tidak datang ke sekolah sebab hari Sabtu tidak boleh bekerja, dikhususkan untuk beribadah.

Guru-guru Islam memahami dan menghormati hukum dan peraturan Gereja SDA. Apakah kita ingin memaksa penganut Gereja SDA wajib datang ke sekolah juga?

Ini sungguh tidak wajar. Begitulah sebaliknya, umat Kristian wajar memikirkan sensitiviti umat Islam.

BACA INI JUGA: Kenapa Kalimah ALLAH Hanya Layak Untuk Umat Islam?

[Sumber]

Sunday, January 06, 2013

Paderi Lega Sokongan Mat Sabu Kalimah ‘Allah Untuk Orang Bukan Islam’

Paderi Lega Sokongan Mat Sabu Kalimah ‘Allah Untuk Orang Bukan Islam’

Kenyataan timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu bahawa bukan Islam juga dibenarkan merujuk Tuhan sebagai “Allah” melegakan, selepas kenyataan yang bercanggah dari ketua penerangan parti Islam tersebut.


“Jaminan timbalan presiden PAS kekal dengan pendiriannya tiga tahun lalu sungguh melegakan. Kami menghormati pendirian konsistennya, dan mengagumi keberaniannya dan mengalu-alukan beliau sebagai rakan kebenaran yang ikhlas,” kata Uskup Paul Tan yang dilaporkan kepada sebuah portal berita, sehari selepas Mohamad menerangkan pendirian parti.

Semalam The Malaysian Insider melaporkan pemimpin PAS yang dikenali sebagai Mat Sabu, berkata: “Presiden PAS telah memberi kenyataan pada 2010 untuk tidak melarang agama lain selain Islam untuk menggunakan nama ‘Allah’. PAS masih kekal dengan pendirian itu.”

Untuk orang Islam di Malaysia, yang merangkumi 60 peratus dari 28 juta penduduk, mendakwa perkataan Arab itu adalah nama yang ekslusif untuk Tuhan mereka, dan bercanggah dengan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 yang membenarkan Gereja Katolik untuk menggunakan perkataan tersebut sebagai Tuhan untuk orang Kristian dalam bahagian Bahasa Melayu akhbar mingguannya, Herald, yang dibaca kebanyakannya dari Borneo.

Tan, yang mengetuai Gereja Katolik Melaka-Johor, dilaporkan berkata Kristian di sebelah Semenanjung merasakan ini adalah satu langkah yang signifikan dalam penyelesaian mengenai isu perkataan “Allah”.

“Pandangan saya ialah semua pihak dalam parti tersebut perlu berkomunikasi, kerana pandangan ketua penerangan itu bercanggah,” katanya lagi.

Mohamad menambah bahawa presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah menyuarakan pandangannya tiga tahun lalu, apabila isu ini kali pertama diperdebatkan.

Abdul Hadi yang merupakan seorang ulama Islam, dalam kenyataannya pada 7 Januari, 2010 berkata: “Kesimpulannya, kita tidak boleh menghalang mereka dari menggunakan perkataan ‘Allah’ untuk mereka, di tempat ibadat dan amalannya, walaupun maksudnya berbeza dari asal menurut bahasa kita.”

Debat dalam penggunaan perkataan tersebut di kalangan bukan Islam dihangatkan bulan lalu apabila ketua penerangan PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man secara terbuka mengatakan perkataan “Allah” dalam Alkitab, kitab Injil yang dialihbahasa ke bahasa Melayu, tidak memberi maksud yang sebenar dengan perkataan tersebut.

“Pendirian PAS mengatakan perkataan tersebut harus menggunakan perkataan ‘Tuhan’ dan bukan ‘Allah’ untuk menunjukkan maksud sebenar teks tersebut,” katanya sehari selepas Krismas.

Tuan Ibrahim berkata kedua-dua Kristian dan Islam mungkin terkeliru dengan perkataan “Allah” yang digunakan dalam Alkitab.

Beliau memberi pandangan tentang kenyataan yang dikeluarkan oleh rakan Pakatan Rakyat (PR) dari DAP, Lim Guan Eng, yang mengatakan dalam perutusan hari Krismasnya untuk membenarkan semula perkataan itu digunakan dalam kitab Injil berbahasa Melayu tersebut, dan membenarkan kitab itu dihantar ke Sabah dan Sarawak, yang mewakili 9.2 peratus penduduk Kristian di Malaysia.

Tahun-tahun kebelakang ini orang Islam dan Kristian telah berdebat dengan penggunaan perkataan “Allah”, di mana orang Islam mengatakan perkataan itu seharusnya ekslusif untuk mereka memandangkan Islam adalah agama monotheistik dan “Allah” merujuk kepada Tuhan untuk orang Islam.

Penghantaran melalui kapal Alkitab, kitab Injil berbahasa Melayu untuk Kristian Bumiputera, telah dihalang dan dirampas di pelabuhan, sebelum kerajaan membenarkannya pada tahun 2011.

Perdebatan di mahkamah mengenai isu perkataan “Allah” masih belum diselesaikan, dengan Gereja Katolik masih dihalang dari menggunakan perkataan tersebut dalam akhbar mingguannya, walaupun keputusan Mahkamah Tinggi membenarkannya pada 31 Disember, 2009.

Ini kerana Kementerian Dalam Negeri pada 2010 membuat rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi, dan sejak itu mahkamah tidak membuat sebarang keputusan untuk menetapkan tarikh untuk perbicaraan.

Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata PR akan berbincang pada 8 Januari mengenai isu tersebut.

[Sumber]