Tuesday, September 12, 2017

Sambutan Hari UNESCO Malaysia

Sambutan Hari UNESCO Malaysia

Pada tahun 2011, Malaysia me­lalui Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) telah memperkenalkan sambutan Hari UNESCO Malaysia sebagai memperingati penubuhan organisasi tersebut pada 1946 dan juga penyertaan Malaysia sebagai ahli pada 1958.

Hari UNESCO Malaysia

Asas mengadakan sambutan Hari UNESCO Malaysia pada mulanya adalah untuk menghebahkan peranan SKUM yang dibentuk pada 1966 bagi mengukuhkan kerjasama Malaysia dalam UNESCO untuk sektor pendidikan, saintifik dan kebudayaan.

Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) adalah satu pertubuhan yang berteraskan pembangunan mampan untuk kebaikan sejagat dan secara dasarnya tidak membezakan ideologi politik di kalangan negara ahli.

Tetapi begitu malang sekali se­perti mana agensi PBB yang lain, UNESCO kebelakangan ini telah dipergunakan sebagai medan dan senjata geopolitik demi mencapai agenda sesebuah negara.

Apabila agenda politik menjadi faktor pendorong maka hasrat dan objektif murni UNESCO lazimnya akan menjadi mangsa.

Tetapi setelah beberapa tahun sambutan Hari UNESCO Malaysia telah melalui beberapa fasa perubahan sejajar dengan keadaan geopolitik semasa.

Umpamanya sambutan pada 2012 menggunakan tema Pendidikan Untuk Pembangunan Lestari sementara sambutan 2014 pula dengan tema Warisan Kita, Warisan Dunia.

Selain menganjurkan pelbagai bentuk program yang berunsurkan kesenian, kebudayaan dan warisan antara lain bertujuan memupuk sikap menghormati nilai sejarah khususnya dalam kalangan generasi muda, tema tersebut juga adalah isyarat tersirat Kuala Lumpur kepada maksud sebenar Kebersamaan dalam kerangka UNESCO.

Sambutan Hari UNESCO Malaysia menekankan kepada rentetan sejarah Malaysia dan dikaitkan pula dengan objektif UNESCO iaitu untuk memastikan pembangunan yang mampan, membasmi kemiskinan serta memelihara keamanan.

Perjalanan sejarah Malaysia yang bermula dari kemerdekaan pada 1957 sehingga kini sebenarnya banyak yang boleh dipelajari oleh berbagai agensi PBB terutama sekali UNESCO.

Rakyat Malaysia terdiri dari berbagai bangsa, kaum dan kebudayaan seperti mana UNESCO yang mempunyai 195 negara ahli dari berbagai latar belakang bermula dari Afghanistan dan Bhutan sehinggalah kepada negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK).

Kestabilan dan kemakmuran yang di nikmati selama ini oleh Malaysia walaupun menghadapi berbagai kekangan melalui kepelbagaian latar belakang rakyat boleh dijadikan iktibar kepada UNESCO dan bakal dijadikan landasan mencapai matlamat tersebut.

Semua program sambutan yang telah disediakan mengambil kira pengalaman Malaysia sebagai sebuah negara yang mementingkan aspek kemanusiaan bagi setiap dasar yang digubal.

Apabila UNESCO menerima negara Palestin sebagai ahli yang ke 195 pada 2011, AS dan beberapa sekutunya telah membuat bantahan dengan menggunakan pelbagai alasan yang pada asasnya dapat dinilai penglibatan Palestin dalam pertubuhan tersebut mampu mengancam sebuah negara ahli yang lain iaitu Israel. Akibatnya adalah AS dan Israel telah menghentikan bayaran yuran tahunan kepada UNESCO sebagai bantahan penyertaan Palestin.

Paling perit kesannya adalah bayaran dari AS yang berjumlah AS$80 juta setahun merangkumi hampir satu per empat dari jumlah bajet tahunan pertubuhan tersebut.

Banyak program dan inisia­tif terpaksa dibatalkan kerana kekurangan peruntukan. Paling ketara adalah banyak program 2014 sama ada terpaksa dibatalkan atau dikurangkan kerana bajet UNESCO kekurangan sebanyak AS$150 juta.

Begitu ironis sekali kerana AS salah sebuah negara pengasas penubuhan UNESCO yang antara lain mengesyorkan matlamat menghindar tindakan ekstrim sebagai asas penubuhan tetapi sebaliknya telah mengambil tindakan melam­pau hanya kerana bercanggah ke­pentingan politik mereka.

Begitu murni sekali objektif anti-ekstrim ini kerana untuk menjayakan berbagai inisiatif UNESCO dasar luar sesebuah negara perlu di elakkan dari dipengaruhi oleh sikap yang melampau.

Isu keahlian negara Palestin juga menterjemahkan UNESCO masih dibelenggu oleh sifat berpuak da­lam kalangan negara ahli.

Dari pengundian 58 negara ahli yang mewakili lembaga pertubuhan ter­sebut, hanya 40 negara menerima Palestin sebagai ahli sementara masing-masing 14 dan 4 negara yang berkecuali dan menentang usul tersebut.

Harapannya adalah Hari UNES­CO Malaysia mampu memberi isyarat bahawa UNESCO perlu berbalik kepada hasrat asal penubuhan dan mengetepikan se­gala perbezaan ideologi politik demi kejayaan setiap program yang dirancangkan.

Kuala Lumpur boleh menggunakan Hari UNESCO Malaysia sebagai landasan mempromosi sifat kesederhanaan dalam UNESCO kerana itulah amalan Malaysia selama ini.

Selamat menyambut Hari UNSECO.

BACA INI JUGA: Sambutan Hari Patriot

sumber: utusan

Saturday, August 12, 2017

Sambutan Festival Tari Malaysia

Sambutan Festival Tari Malaysia

Festival Tari Malaysia telah mula disambut sejak tahun 1992 dan dilaksanakan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan tujuan festival adalah bagi memantapkan lagi kumpulan-kumpulan kesenian di peringkat negeri selaras dengan perkembangan pesat di negara ini.

Festival Tari Malaysia

Selain itu festival tari ini diharap dapat menjadikan kesenian sebagai satu pengisian kepada industri pelancongan negara.

Beberapa kategori dipertandingkan sempena festival tari tersebut.

Antaranya Anugerah Kostum Terbaik tarian kontemporari, Anugerah Susunan Muzik Terbaik Tarian Kontemporari dan Anugerah Susunan Muzik Terbaik Tarian Rampaian Tradisional.

Penyertaan Festival Tari Malaysia ini dibuka kepada mereka yang berumur 16 hingga 35 tahun.

Keutamaan adalah kumpulan baharu untuk menampilkan bakat masing-masing dengan penyertaan setiap pasukan tidak melebihi 15 orang

Kumpulan yang ingin bertanding perlu menyediakan sinopsis mengenai sejarah penubuhan kumpulan, pereka tari, pemuzik, konsep serta tema tarian.

Pertandingan semasa Festival Tari Malaysia menawarkan hadiah wang tunai, sijil penyertaan dan trofi.

Masuk adalah percuma dan borang penyertaan boleh didapati di pejabat atau laman web JKKN.

Medan serlah bakat seni tari

Tarian tradisi mahupun etnik melambangkan warisan bangsa dan identiti sesebuah negara. Rutin dalam gerak tarinya dipersembahkan bukan kosong, tetapi ada isinya iaitu menceritakan sifat majmuk masyarakat, cara hidup sesebuah kaum termasuk pakaian, makanan, adat resam dan seni.

Atas sebab ini pentingnya tarian tradisi ini terus dipelihara.

Ia juga mendorong Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menganjurkan Festival Tari Malaysia.

Mengikuti peredaran semasa tiada salahnya asal tidak meminggirkan seni tradisi yang menjadi lambang jati masyarakat. Memeliharanya inilah antara usaha giat dijalankan JKKN.
JKKN sentiasa mencari inisiatif untuk memberi nilai tambah, pembaharuan ke arah transformasi dan menjadi pemangkin kepada perkembangan seni budaya tanah air dalam mengiktiraf karyawan seni budaya tempatan dengan menyediakan landasan untuk mereka mempersembahkan karya bermutu dan dihayati bersama.

Festival Tari Malaysia membawa satu kelainan dengan memberi peluang kepada generasi muda untuk menyerlahkan bakat bukan saja dalam bidang tradisional seperti kelazimannya, malah memberi peluang untuk mendedahkan bakat dalam genre tarian moden seperti street dance, hip hop, ballet, kontemporari, jazz, line dance, tap, bally, lyrical dance dan banyak lagi genre tari moden lain yang bersesuaian.

Setiap kumpulan akan bersaing dengan lapan daripadanya adalah kategori tradisional manakala selebihnya kategori moden.

Acara Festival Tari Malaysia ini terbuka kepada orang ramai dan mereka dijemput hadir untuk menyaksikan FESTARI kerana tiada bayaran dikenakan.
 
Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 14 Tarian Tradisional Masyarakat Majmuk Di Malaysia

sumber: jkkn

Friday, August 11, 2017

Sambutan Hari Koperasi Negara

Sambutan Hari Koperasi Negara

Sambutan Hari Koperasi Negara (HKN) merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Hari Koperasi

Hari Koperasi Negara disambut pada Ogos setiap tahun sebagai pengiktirafan kerajaan kepada gerakan koperasi di atas sumbangan yang telah diberikan kepada pembangunan sosio ekonomi negara.

Gerakan koperasi telah mula diperkenalkan di negara ini pada tahun 1922 dan kini ia telah berkembang dengan pesatnya.

Tujuan Hari Koperasi Negara diadakan ialah untuk menjelaskan aktiviti, peranan dan hala tuju gerakan koperasi serta menghebahkan kepada masyarakat umum bahawa koperasi memainkan peranan penting dalam pembangunan negara dari segi ekonomi dan sosial.

Objektif Hari Koperasi Negara

Objektif sambutan Hari Koperasi Negara adalah untuk:
  • Mewujudkan semangat kerjasama di kalangan koperasi-koperasi.
  • Memberi penghargaan kepada koperasi-koperasi di atas sumbangan yang telah diberikan terhadap gerakan koperasi.
  • Menilai pencapaian gerakan koperasi di dalam bidang ekonomi dan sosial selaras dengan konsep, prinsip dan falsafah koperasi.
  • Mendapatkan idea-idea baru dalam usaha memperkukuhkan pengurusan, pentadiran dan perniagaan koperasi selaras dengan Dasar Koperasi Negara.

8 Fungsi dan Aktiviti Koperasi

1. Fungsi Kewangan & Perbankan

Koperasi dengan fungsi kewangan dan perbankan telah mempelopori perkembangan gerakan koperasi sejak tahun 1920an.

Koperasi fungsi ini menjalankan aktiviti kewangan iaitu menyediakan pinjaman kepada anggota pada kadar faedah yang berpatutan.

Aktiviti lain di bawah fungsi ini ialah pajak gadai secara islam (Ar-Rahnu), pelaburan dan perkhidmatan insuran.

Anggota-anggotanya adalah terdiri daripada mereka yang bergaji tetap terutamanya di sektor awam, badan berkanun dan swasta.

Pada masa ini 2 buah koperasi yang khusus menjalankan fungsi perbankan iaitu Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad dan Co-opbank Persatuan Malaysia Berhad.

2. Fungsi Perumahan

Tumpuan koperasi jenis ini ialah menjalankan projek-projek perumahan untuk anggota-anggotanya.

Kebanyakan projek bertumpu kepada rumah berkos rendah dan sederhana.

Harga jualan rumah-rumah ini adalah di dalam lingkungan keupayaan anggota dan pada umumnya sekitar 20% hingga 30% lebih rendah daripada harga yang lazimnya ditawarkan di pasaran.

3. Fungsi Pengguna

Tujuan utama koperasi fungsi pengguna adalah untuk membantu anggota-anggotanya mendapatkan barangan yang berkualiti pada harga yang berpatutan.

Di antara aktiviti yang dijalankan oleh koperasi ini adalah seperti pasar mini, pasaraya, kedai runcit, stesen minyak, kedai alatan rumah dan lain-lain.

Koperasi fungsi pengguna di peringkat sekolah pula diperkenalkan dengan tujuan untuk menanam sifat berjimat-cermat dan memupuk asas keusahawanan di kalangan pelajar.

Di antara aktiviti utama yang dijalankan ialah mengusahakan kantin sekolah, kedai buku, kedai dobi dan kelas komputer.

4. Fungsi Pengangkutan

Sebahagian besar koperasi fungsi pengangkutan adalah terdiri daripada koperasi di rancangan pembangunan tanah seperti FELDA, RISDA dan FELCRA yang menjalankan aktiviti mengangkut hasil pertanian ke kilang pemprosesan.

Selain daripada koperasi peserta rancangan, koperasi lain yang menjalankan fungsi pengangkutan adalah seperti koperasi pengusaha teksi, pengusaha bas dan lori.

5. Fungsi Peladangan

Koperasi yang didaftarkan di bawah fungsi peladangan menjalankan aktiviti pembangunan dan pengurusan tanah pertanian.

Di antara tanaman utama yang diusahakan oleh koperasi-koperasi ini ialah getah, kelapa sawit, nanas, koko dan sayur-sayuran.

6. Fungsi Perindustrian

Sebahagian besar koperasi fungsi perindustrian adalah terdiri daripada koperasi-koperasi yang menjalankan kegiatan industri kecil yang lebih dikenali sebagai Koperasi Industri Kampung (KIK).

KIK ditubuhkan bertujuan mengumpulkan sumber-sumber untuk mengeluar, memasar dan menghasilkan barangan daripada hasil anyaman, barangan hiasan tembikar dan perak dan barangan perabot.

7. Fungsi Pembinaan

Koperasi fungsi pembinaan menjalankan aktiviti-aktiviti berkaitan kerja pembinaan infrastruktur seperti pembinaan jambatan kecil, jalan-jalan dan kerja penyelenggaraan umum.

Di antara koperasi-koperasi yang terlibat dengan kegiatan pembinaan ialah Koperasi Pembangunan Daerah (KPD), koperasi di rancangan FELDA, FELCRA dan RISDA.

8. Fungsi Perkhidmatan

Koperasi fungsi perkhidmatan merupakan koperasi-koperasi yang di dalam aktiviti dan kegiatan selain daripada yang berkaitan dengan fungsi kewangan, pengguna, perladangan, pengangkutan, perindustrian, pembinaan dan perumahan.

Di antara perkhidmatan yang dijalankan oleh koperasi-koperasi ini ialah pengurusan dana, penyelenggaraan bangunan dan kawasan perumahan, sewaan bangunan/lot-lot gerai, pusat asuhan kanak-kanak, kelas komputer, pusat pembayaran bil dan seumpamanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: skm

Wednesday, August 09, 2017

Sambutan World #QuranHour 31 Ogos 2017

Sambutan World #QuranHour 31 Ogos 2017

Tanggal 31 Ogos 2017 ini bakal menyaksikan acara kemuncak World #QuranHour dan Merdeka #QuranHour yang julung kali diadakan tahun ini.

World #QuranHour 2017

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah, Marhaini Yusoff berkata, sambutan World #QuranHour pada 9 Zulhijah 1438H jatuh pada tarikh yang sama di mana negara menyambut Hari Kemerdekaan ke-60.

Menurutnya, pengisian sepanjang hari tersebut bermula dengan World #QuranHour di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagai lokasi perdana pada jam 11 pagi.

“Pada masa sama, kempen berinteraksi dengan al-Quran di 14 negeri. Majlis pelancaran World #QuranHour bertemakan Dunia Berbudi & Penyayang bakal disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Padang Arafah.

“Pada tahun lepas, 70 lokasi di 50 negara dan 700 lokasi dalam negara telah berdaftar untuk menganjurkan satu jam bersama al-Quran kali pertama.

“Saya berharap lebih ramai khususnya rakyat luar negara melalui pejabat kedutaan dan Kementerian Pendidikan menyertai aktiviti bersama al-Quran,” katanya.

Beliau berkata, selepas program World #QuranHour di UIAM, tumpuan rakyat kepada Merdeka #QuranHour di Dataran Merdeka.

Menurutnya, aktiviti bermula dengan program Gema Wahyu bermula pada jam 4 petang.

Katanya, antara pengisian program adalah solat Asar berjemaah, bacaan al-Quran daripada qari dalam dan luar negara, selebriti, solidariti bacaan, sesi tadabbur dan tazakkur dan doa untuk Malaysia.

Selepas itu, kata Marhaini, acara diteruskan dengan gema takbir selepas solat Maghrib, jemaah akan bertakbir sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

“Bagi masyarakat Muslim yang tidak pulang ke kampung untuk beraya, rebutlah peluang berkumpul, bersolat jemaah dan bertakbir di Dataran Merdeka pada 31 Ogos nanti. Semoga ia memberi semangat untuk kembali kepada ALLAH dan menuju kemerdekaan sebenar.

“Orang ramai termasuk mereka yang bukan Islam dan warga asing di sekitar ibu kota dialu-alukan menyertai Merdeka #Quran Hour jam 8.30 malam.

“Merdeka #QuranHour sangat istimewa kerana kali pertama diadakan dalam suasana sambutan Hari Merdeka. Pengisian tadabbur dan tazakkur daripada surah Yasin yang dikaitkan menuju kemerdekaan diri diharapkan dapat dimanfaatkan oleh orang ramai,” katanya.

Beliau berkata, surah Yasin menekankan hubungan vertikal dengan ALLAH dan horizontal sesama makhluk dan ada tiga aspek iaitu memperbaiki hubungan dengan ALLAH, sesama manusia atau makhluk, dan seluruh alam.

“Surah Yasin tidak asing bagi masyarakat Islam di negara ini. Ramai yang boleh membaca malah ada yang boleh menghafal. Namun hanya segelintir yang tahu makna dan pengajarannya untuk dijadikan panduan kehidupan.

“Sempena World #QuranHour dan Merdeka #QuranHour, surah Yasin dijadikan pilihan untuk kita lebih memahami isi kandungannya yang boleh dipelajari, difahami dan diamalkan. Seterusnya ia mampu membentuk karakter individu berakhlak mulia dan mempunyai kerangka fikir al-Quran.

“Saya berharap kepada sesiapa yang menganjurkan World #QuranHour dan Merdeka #QuranHour untuk turut sama bertadabbur dan bertazakkur surah Yasin,” katanya.

Marhaini Yusoff
Marhaini Yusoff.

Menurut Marhaini lagi, di akhir program ada jamuan sempena malam raya bagi meraikan peserta yang hadir untuk berkongsi makanan dalam semangat kasih sayang. Ini kerana makanan dan minuman disediakan adalah sumbangan masyarakat yang berbudi dan penyayang.

Selain itu katanya, bagi agensi kerajaan, korporat, individu yang ingin melaksanakan sikap berbudi penyayang melalui sumbangan makanan dan minuman untuk jamuan itu boleh terus menghubungi 019-6500763 (Rusmin) dan 013-6826335 (Maslinda).

“Berdasarkan pengukuran kesan di media sosial tahun lepas, kita mencapai 87 juta 'impression'.

"Tapi lebih penting adalah kualiti umat yang ingin kita lahirkan apabila mula berinteraksi dengan al-Quran.

“Setakat ini kita nampak hasil daripada gelombang World #QuranHour tahun lepas semakin besar.

"Contohnya, di peringkat negeri, Melaka menjalankan Melaka #QuranHour setiap bulan. Ternyata kita melihat program al-Quran berkembang secara organik di masjid, organisasi mahupun di rumah," katanya.

Marhaini berkata, hasil tindakan daripada baca, faham dan amal al-Quran, Rumah Ngaji Johor telah mengambil langkah untuk mewujudkan Fisabilillah Bakers. Seramai 100 sukarelawan belajar membuat roti dan menyumbangkannya kepada sahabat jalanan.

“Inilah semangat yang ingin kita ambil, daripada nilai cakna yang terdapat dalam al-Quran. Orang yang berinteraksi dengan al-Quran, akan dapat dilihat dari segi perubahan karakter dan tindakan mereka.

“Komuniti al-Quran juga sentiasa menjalinkan hubungan dan bergerak untuk berkongsi ilmu di peringkat negeri dalam luar negara. Kini perhubungan berlandaskan al-Quran turut terjalin hingga ke luar negara seperti China, Hungary, Bosnia, Croatia, dan Turki.

“Selepas World #QuranHour dan Merdeka #QuranHour, impak terhadap diri kita agar terus menunduk hati masing-masing dengan keagungan ALLAH SWT. Seterusnya dapat memperkukuhkan diri dengan al-Quran, bukan sekadar membaca tetapi menjadi warganegara berkarakter dengan kerangka fikir al-Quran,” katanya.

BACA INI JUGA: Sambutan 'World Quran Hour' Membaca Al-Qur'an Serentak Diseluruh Dunia

sumber: sinarharian

Monday, July 31, 2017

Sambutan Hari Pahlawan, Upacara Menghormati Pengorbanan Pahlawan Negara

Sambutan Hari Pahlawan, Upacara Menghormati Pengorbanan Pahlawan Negara

Setiap kali tanggal 31 Julai, Sambutan Hari Pahlawan disambut bagi mensyukuri keamanan yang dikecapi negara sehingga membolehkan pembangunan berjalan tanpa sebarang ancaman daripada anasir-anasir tidak bertanggungjawab yang ingin menghuru-harakan kemakmurannya.

Sambutan Hari Pahlawan

Negara merakamkan sejarah keramat setiap kali 31 Julai yang menjadi tradisi bagi menyambut Hari Pahlawan selaras dengan tamatnya darurat menentang pengganas komunis pada Julai tahun 1960 lalu.

Upacara menghormati pengorbanan dan jasa kepahlawanan negara ini telah menjadi azimat kekuatan kepada bangsa untuk bangkit sejak tahun 1963 lagi.

Sambutan itu bertujuan untuk memperingati jasa dan pengorbanan perajurit yang terkorban dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Simboliknya pahlawan adalah orang yang gagah dan berani, pejuang yang gagah dan perwira yang ditakuti.

Oleh itu, Hari Pahlawan boleh diertikan dengan hari memperingati pahlawan yang terkorban di medan perang dalam mempertahankan kedaulatan negara daripada ancaman musuh.

Pahlawan negara seharusnya menjadi sejarah yang sentiasa dikenang kerana telah mencipta ketamadunan negara sekali gus menjadi bangsa tuan kepada bumi bertuah ini.

Perjuangan mereka sama ada di era sebelum merdeka mahupun pasca merdeka terus menjadi titik tolak bagi permulaan dalam kandungan sejarah negara.

Semasa pemerintahan British, Hari Pahlawan dikenali sebagai Poppy Day sempena nama bunga Poppy.

Konvensyen Geneva pada tahun 1945 secara ringkas menggariskan larangan membunuh atau menyerang tentera yang cedera, tidak sedarkan diri dan telah meletakkan senjata atau tidak berupaya untuk berperang.

Mengambil semangat daripada pengiktirafan ini, selepas tamatnya Perang Dunia Kedua yang dikenang di seluruh dunia menjadikan tarikh itu telah ditetapkan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri Pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj untuk memperingati jasa perajurit angkatan tentera dan polis yang terlibat secara langsung dalam kemelut perebutan dengan beberapa pihak berkepentingan dan berlarutan selama bertahun-tahun selepas negara mencapai kemerdekaan.

Sudah menjadi tradisi setiap tahun tarikh 31 Julai merupakan tarikh sambutan Hari Pahlawan sama ada di peringkat kebangsaan mahu pun negeri bagi mengenang jasa pahlawan negara.

Selamat menyambut hari pahlawan.

BACA INI JUGA: Bagaimana Komando Malaysia Dilatih!?

sumber: utusan

Wednesday, July 26, 2017

Sambutan Hari Pengguna Di Malaysia

Sambutan Hari Pengguna Di Malaysia

Sambutan Hari Pengguna di Malaysia disambut pada 26 Julai setiap tahun, yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan (KPDNKK).

Hari Hak Pengguna

Sambutan Hari Pengguna juga disambut bersempena dengan pembentangan Akta Pelindungan Pengguna pada 26 Julai 1999. Acara sambutan ini akan dijalankan bermula pada 26 Julai hingga 1 Ogos setiap tahun.

Selain objektif utama penganjuran program ini adalah untuk memberi makluman mengenai Sambutan Hari Pengguna Malaysia yang disambut pada 26 Julai setiap tahun, program ini juga akan melibatkan anggota masyarakat daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk turut serta dalam menjayakan program Hari Pengguna Malaysia ini.

Melalui program ini juga, penganjur mengharapkan kesedaran dan penglibatan masyarakat pengguna supaya menyedari akan hak-hak mereka dan dapat mempraktiskannya secara berhemah.

Dengan adanya kesedaran ini, ia akan dapat merealisasikan hasrat negara untuk menjadikan masyarakat pengguna bijak dalam segala aspek dan secara tidak langsung dapat mewujudkan peniaga beretika.

Keadaan ini akan membentuk sebuah negara yang makmur dan sejahtera.

Selain itu juga, objektif sambutan Hari Pengguna ini lebih memaparkan tanggungjawab kerajaan dan kementerian di dalam program pendidikan dan perlindungan pengguna.

Persefahaman dan kerjasama yang erat antara pengguna, peniaga, kerajaan dan media massa di dalam aspek konsumerisme yang boleh membantu negara mencapai wawasan negara maju.

8 Hak-Hak Pengguna

1. Hak untuk mendapatkan keperluan asas

Pengguna berhak mendapatkan barang dan perkhidmatan asas bagi menjamin kehidupan yang memuaskan di dunia moden ini.

Keperluan asas ini termasuk makanan yang mencukupi dan selamat, pakaian, perumahan, kemudahan kesihatan dan pendidikan, dan sebagainya

2. Hak untuk mendapatkan keselamatan

Pengguna dilindungi daripada pemerosesan dan pemasaran barang serta perkhidmatan yang boleh membahayakan pengguna.

3. Hak untuk mendapatkan maklumat

Pengguna mesti diberi maklumat yang mencukupi dan tepat untuk memudahkannya membuat keputusan yang bijak.

Pengguna hendaklah dilindungi juga daripada dakyah pengiklanan, pelabelan dan amalan lain yang palsu, penipuan dan penyelewengan.

4. Hak untuk membuat pilihan

Pengguna dipastikan mendapat maklumat langsung mengenai pelbagai keluaran dan perkhidmatan.

Pengguna perlu diberikan penerangan yang dapat memberi pilihan dalam membuat keputusan. Perlu ada jaminan bagi menentukan mutu dan perkhidmatan memuaskan dengan harga yang berpatutan.

5. Hak untuk bersuara

Ini bagi memastikan kepentingan pengguna mendapat pertimbangan yang sewajarnya dalam penggubalan dasar kerajaan dan tindakan yang cepat serta saksama daripada pentadbiran pengadilan.

6. Hak untuk mendapatkan ganti rugi

Pengguna berhak mendapat penyelesaian untuk pembelian keluaran yang cacat atau berbahaya ataupun perihal dagangannya yang `mengelirukan' serta pampasan bagi perkhidmatan yang menyeleweng atau tidak menepati perjanjian.

Ganti rugi harus diberi bagi keluaran atau perkhidmatan yang mengakibatkan kecederaan kepada penggunanya yang menggunakan keluaran atau perkhidmatan itu mengikut arahan pengeluar.

Ganti rugi juga wajib diberikan kepada pengguna yang menjadi mangsa akibat kecuaian majikan.

7. Hak untuk mendapatkan pendidikan pengguna

Pengguna berhak mendapat pendidikan pengguna yang mencukupi dan berterusan. Ini kerana sistem pendidikan lazimnya tidak memberi perhatian yang sewajarnya kepada pendidikan pengguna.

Falsafah pendidikan pengguna masa ini lebih cenderung melatih pelajar menjadi pekerja atau majikan yang berkesan dan kurang melatih bagaimana hendak menjadi pengguna yang bijak.

8. Hak untuk mendapatkan alam sekitar yang sihat dan selamat

Pengguna berhak hidup dan bekerja dalam alam sekitar yang bersih dan sihat serta bebas daripada sebarang keadaan yang berbahaya.

Hak ini diperjuangkan oleh pengguna kerana kadar pencemaran kian meningkat dan adanya unsur alam semula jadi yang semakin pupus atau dimusnahkan.

5 Tanggungjawab Pengguna
  1. Kesedaran untuk mengkritik.
  2. Penglibatan dan tindakan.
  3. Tanggungjawab sosial.
  4. Bersatu padu.
  5. Tanggungjawab terhadap alam sekitar.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: kamikonsumer

Friday, July 21, 2017

Festival Makanan Tradisi Sabah

Festival Makanan Tradisi Sabah

Sambutan Festival Makanan Tradisi Sabah mampu menjadi platform untuk mempromosi dan mengetengahkan makanan tradisional negeri ini, kata Penolong Pegawai Daerah Penampang Henry Idol.

Festival Sabah

Beliau berkata menerusi acara itu, pengendali dan pengusaha makanan di Sabah dapat mempamerkan hidangan masing-masing kepada orang ramai.

“Inilah masanya untuk meneroka kepelbagaian rasa makanan-makanan istimewa tradisi Sabah yang bukan sahaja unik, tetapi mampu memperkenalkan suku kaum dan budaya di negeri ini.

“Makanan tradisional ini juga turut memperihalkan identiti masyarakat atau daerah di Sabah kerana setiap daerah di negeri ini terkenal dengan makanan tradisinya.

"Contohnya, daerah Penampang terkenal dengan hidangan tradisional istimewa hinava,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan festival itu di perkarangan Pusat Kebudayaan Sabah, Penampang.

Festival Makanan Tradisi Sabah 2017 yang bermula pada 20/7/2017 sehingga 23/7/2017, dianjurkan oleh Junior Chamber International (JCI) Penampang dan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, sempena Program Tugu Budaya Etnik Sabah.

Selain itu, Henry turut mencadangkan agar makanan tradisional di negeri ini, disajikan di setiap hotel di Sabah.

“Makanan adalah antara tarikan yang mampu menarik minat pelancong luar. Oleh itu, saya harap makanan tradisional ini turut menjadi menu utama di hotel-hotel di Sabah,” katanya.

BACA INI JUGA:

sumber: mynewshub

Tuesday, May 09, 2017

Sambutan Hari Wesak Penganut Buddha

Sambutan Hari Wesak Penganut Buddha

Hari Wesak disambut oleh penganut agama Buddha yang melambangkan kelahiran, kesedaran dan kematian Gautama Buddha dengan mengunjungi kuil Buddha pada waktu pagi untuk memusatkan fikiran kepada lapan prinsip "Precepts" sementara para sami yang memakai sarung kuning akan membaca kitab Buddha "Sutras".

Hari Wesak

Selepas itu penganut Buddha akan bersembahyang dan melepaskan burung merpati, memberi makan kepada orang miskin dan bersedekah kepada para sami.

Hari Wesak disambut dan dirayakan oleh semua penganut agama Budha di seluruh dunia.

Hari Wesak juga dikenali dengan nama Visakah Puja atau Buddha Purnima di India, Vesak di Singapura, Visakha Bucha di Thailand dan Wesak di Sri Lanka.

Lazimnya,penganut ajaran Buddha akan mengunjungi kuil Buddha pada waktu pagi untuk memberikan penghormatan kepada Buddha,yang dilambangkan oleh simbol-simbol Buddha seperti Pagoda, patung Buddha, pokok Bodhi dan Sarikata (relik Buddha).

Para penganut juga akan melafazkan semula Tisarana (Tiga Perlindungan: Buddha, Dhamma dan Sangha) untuk memperbaharui komitmen mereka kepada ajaran Buddha.
  1. Berlindung kepada Buddha membawa maksud menyanjungi Buddha sebagai Guru Agung yang telah menunjukkan cara untuk mendapat kedamaian dalam kehidupan.
  2. Berlindung kepada Dhamma bermaksud keyakinan serta mengamalkan ajaran Buddha untuk mendapat kedamaian dalam hidup iaitu Nibbana.
  3. Berlindung kepada Sangha bermaksud mendapat sokongan serta menyokong sesama umat Buddha dalam mengamalkan ajaran Buddha.

Perlindungan, dalam pengertian ajaran Buddha merujuk kepada perlindungan daripada kesengsaraan dan ketidakpuasan duniawi.

Tujuan dan Asal-usul Sambutan Hari Wesak

Hari Wesak disambut pada bulan Mei setiap tahun pada waktu terang bulan (purnama sidhi) untuk memperingati tiga peristiwa penting, iaitu:
  1. Kelahiran Siddharta Buddha di Taman Lumbini pada tahun 623 S.M.
  2. Siddharta Buddha mendapat ilham Agung dan menjadi Buddha di Buddha-Gaya pada usia 35 tahun di tahun 588 S.M.
  3. Buddha Gautama mangkat di Kusinara pada usia 80 tahun di tahun 543 S.M.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: wikipedia

Saturday, May 06, 2017

Sambutan Hari Hol Negeri Pahang

Sambutan Hari Hol Negeri Pahang

Sambutan Hari Hol negeri Pahang yang disambut pada 7 Mei setiap tahun merupakan cuti umum bagi negeri Pahang dan mungkin ada diantara kita yang masih tidak mengetahui apa sebenarnya Hari Hol ini kan?

Hari Hol

Definisi Hol bermaksud kenduri arwah yang diadakan setahun sekali dan dalam konteks ini, Hari Hol di Pahang merupakan hari bagi memperingati kemangkatan keluarga diraja di negeri ini.

Hari Hol diisytiharkan sebagai cuti umum di Pahang bermula pada tahun 1974, bagi memperingati kemangkatan Sultan Pahang keempat, Sultan Abu Bakar, ayahanda Sultan Ahmad Shah.

Serentak dengan hari pemakaman Sultan Abu Bakar itu, semua Jabatan kerajaan negeri, Persekutuan dan swasta diarah bercuti selama sehari.

Majlis tahlil dan bacaan Yasin

Hari Hol bertujuan membolehkan majlis tahlil dan bacaan Yasin diadakan untuk memperingati kerabat diraja negeri.

Kebiasaannya pada hari itu, keluarga diraja Pahang dan rakyat akan mengadakan majlis tahlil dan bacaan Yasin di Makam Diraja Pekan selain di masjid serta surau di seluruh negeri.

Namun, bagi sesetengah masyarakat Islam di negeri ini, walaupun Hari Hol disambut oleh golongan diraja, mereka juga menyambutnya dengan mengadakan majlis tahlil dan bacaan Yasin bagi memperingati ibu bapa atau keluarga yang telah pergi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Sejarah Bagaimana Orang-orang Melayu Menyelamatkan Raja Mereka

sumber: keyboardbercakap

Tuesday, September 16, 2014

Sambutan Hari Malaysia 16 September

Sambutan Hari Malaysia 16 September

Sambutan Hari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan persekutuan Malaysia di tarikh yang sama pada tahun 1963.

Hari Malaysia

Ia menandakan penyertaan bersama Malaya, Sabah, Sarawak, dan Singapura bagi membentuk Malaysia.

Pembentukan persekutuan baru ini dirancang berlaku pada 1 Jun 1963 namun kemudiannya ditangguhkan ke 31 Ogos 1963 bagi membolehkan ia disambut bersama-sama dengan sambutan hari kemerdekaan yang ke-6.

Beberapa isu berkaitan dengan bantahan Indonesia dan Filipina ketika pembentukan Malaysia telah melambatkan pengisytiharan pada 16 September tahun yang sama.

Penangguhan itu juga dibuat bagi membolehkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memperuntukkan masa membuat pungutan suara di Borneo Utara (Sabah dan Sarawak).

Hari Malaysia merupakan cuti am di negeri Sabah sempena hari keputeraan Yang Di-Pertua Negeri. Ia bukan cuti am di Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Namun, bermula pada tahun 2010, Hari Malaysia juga merupakan cuti am di seluruh Malaysia.

Tarikh ini pada tahun 1963, Persekutuan Malaysia dirasmikan penubuhannya serta diisytiharkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia ketika itu.

Perisytiharan dibuat di Stadium Merdeka disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Sabah serta 30 ribu rakyat jelata.

Penubuhan Persekutuan Malaysia ditentang hebat oleh Indonesia dan Filipina. Indonesia tidak senang dengan penubuhan Persekutuan Malaysia lantas, melancarkan konfrantasi ketenteraan di bawah slogan "Ganyang Malaysia" yang berlanjutan sehingga tahun 1966.

Filipina pula menuntut haknya ke atas Sabah atas hujahan perjanjian yang dimeterai antara Kesultanan Sulu dengan pihak British.

Brunei yang turut termasuk dalam rancangan penubuhan Persekutuan Malaysia membatalkan penyertaannya setelah berdepan dengan pemberontakan besar-besaran di Brunei oleh Sheikh Azhari pada penghujung 1962.

Sekalipun begitu, akhirnya pada 9 Julai 1963, Perjanjian penubuhan Persekutuan Malaysia dimeterai di London hanya setelah Laporan Suruhanjaya Cobbold yang dikeluarkan menyatakan, lebih 80 peratus rakyat Sarawak dan Sabah bersetuju dengan cadangan kemerdekaan melalui penggabungan bersama Persekutuan Tanah Melayu.

Tarikh perasmian pengisytiharan Persekutuan Malaysia telah ditangguhkan daripada 1 Jun 1963 ke 31 Ogos 1963 kerana menunggu Laporan Suruhanjaya Cobbold.

Namun tarikh tersebut pula ditangguhkan setelah Indonesia dan Filipina memperhebatkan tentangan mereka terhadap penubuhan Persekutuan Malaysia.

Dan akhirnya pada 16 September 1963, menjadi hari secara rasminya Persekutuan Malaysia ditubuhkan.

Marilah kita bersyukur kerana disatukan di dalam sebuah negara aman damai bernama Malaysia. Jika dahulunya tiada penyatuan ini, mungkin..mungkin kita tidak berada pada keadaan sekarang.

Lihatlah Mindanao di Filipina, selama berpuluh tahun hidup dalam ketakutan bahana perang yang meletus.

Imbas kembali Acheh suatu ketika dahulu, berperang sesama sendiri.

Sempena Hari Malaysia 2014 ini, marilah bersama-sama menadah tangan memanjatkan kesyukuran kehadrat Allah SWT diatas limpah kurnia dan kasih sayang-Nya, kita masih lagi menghirup udara keamanan dan kekayaan.

Kaya kerana kita tidak kebuluran, aman kerana kita dijauhkan daripada bala peperangan.

Selamat menyambut Hari Malaysia.

Semoga nikmat keamanan ini akan kekal berterusan sehinggalah dunia ini sampai ketitik penghujungnya. Amiin..

BACA INI JUGA: Lagenda Batu Sumpah Keningau Asal-usul 16 September Hari Malaysia

sumber: wikipedia