Monday, January 26, 2015

Senarai Barangan Yang Dikenakan Cukai GST 2015

Senarai Barangan Yang Dikenakan Cukai GST 2015

Seperti yang pengguna Malaysia sedia maklum, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST 2015) dengan kadar enam peratus akan menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula bulan April 2015.

GST-2015

Sebelum ini ada barangan yang dikenakan cukai SST 10 peratus yang dimasukkan dalam harga jualan. GST dengan kadar enam peratusakan menjadikan beberapa barangan pengguna ini dijangka lebih murah.

Antara barangan yang di jangka akan turun selepas pengenalan GST 2015 adalah:
  • Harga set televisyen
  • Peti sejuk
  • Pendingin hawa
  • Seterika
  • Pengering rambut
  • Lampin
  • Minuman ringan

Berikut pula antara barangan yang mungkin naik harga disebabkan ianya tidak dikenakan cukai sebelum ini:
  • Komputer
  • Komputer riba
  • iPad
  • Telefon bimbit
  • Jam tangan
  • Barangan kosmetik termasuk gincu dan pengilat kuku

Tidak akan ada GST untuk makanan keperluan seperti:
  • Ayam
  • Daging lembu
  • Daging kambing
  • Ikan
  • Itik
  • Ikan
  • Telur
  • Ikan bilis
  • Beras
  • Roti
  • Sayur-sayuran segar dan buah-buahan
  • Minyak kelapa
  • Minyak masak kacang tanah
  • Minyak kelapa
  • Susu bayi
  • Petrol RON95 dan diesel
  • Tol
  • Pengangkutan awam

Barangan makanan bukan keperluan walau bagaimanapun dikenakan GST seperti:
  • Sos tomato
  • Sos cili
  • Sos tiram
  • Mi cawan
  • Tempe
  • Keju
  • Marjerin
  • Telur puyuh
  • Minyak jagung
  • Minyak zaitun
  • Biskut
  • Donat
  • Croissant coklat

Jabatan Kastam telah mengeluarkan sebuah buku dengan menyenaraikan barangan yang dikenakan cukai dan tidak dikenakan cukai dan ia boleh dimuat turun dari laman web di SINI.

BACA INI JUGA: Senarai Barangan Yang Dikecualikan GST

Sumber:
http://rossacalla.blogspot.com/2015/01/panduan-senarai-barang-kena-gst-2015.html

Thursday, October 16, 2014

Senarai Barangan Yang Dikecualikan GST

Senarai Barangan Yang Dikecualikan GST

Ini merupakan senarai barangan dan perkhidmatan yang dikecualikan dari dikenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan seperti yang kita sedia maklum, terdapat lebih 900 barang yang disenaraikan dan ia dibahagikan kepada dua sektor iaitu sektor barangan dan perkhidmatan.

GST

Berikut adalah senarai barangan yang dikecualikan GST:

BARANGAN

Mana-mana tanah yang digunakan atau diniatkan untuk digunakan setakat ia digunakan atau diniatkan untuk digunakan bagi tujuan kediaman atau pertanian,atau kegunaan am.

i. Setakat bagi tujuan pertanian tidak termasuk tanah yang digunakan bagi aktiviti memburu dan memancing;atau

ii. Bagi tujuan kediaman termasuk apa-apa kemudahan tempat letak kereta yang bersampingan dengan pembekalan bangunan kediaman itu.

iii. Mana-mana bangunan atau premis setakat ia digunakan bagi tujuan kediaman, direka atau disesuaikan untuk digunakan atau diniatkan untuk digunakan sebagai kediaman tidak termasuk hotel, rumah penginapan, rumah tumpangan atau establismen yang serupa bagi tempat tidur.

2. Mana-mana pembekalan logam berharga pelaburan termasuk adalah seperti:

i. Emas yang dalam bentuk bar, jongkong atau wafer yang mempunyai ketulenan sekurang-kurangnya 99.5%; dan memiliki ciri-ciri pelaburan;

ii. Perak yang dalam bentuk bar, jongkong atau wafer yang mempunyai ketulenan sekurang-kurangnya 99.9%; dan memiliki ciri-ciri pelaburan;

iii. Platinum yang dalam bentuk bar, jongkong atau wafer yang mempunyai ketulenan sekurang-kurangnya 99%; dan memiliki ciri-ciri pelaburan;

PERKHIDMATAN

Perkhidmatan Kewangan

i. Operasi apa-apa akaun semasa, akaun deposit simpanan atau akaun pelaburan.

ii. Penyediaan pembiayaan apa-apa pinjaman, pendahuluan atau kemudahan yang serupa. Penyediaan apa-apa kemudahan ansuran kredit kewangan dalam suatu perjanjian sewa beli, jualan bersyarat, jualan kredit atau pajakan jika suatu faedah atau apa-apa caj lain yang serupa dinyatakan secara berasingan kepada penerima pembekalan barang itu.

iii. Pemindahan hak milik apa-apa nota atau arahan bagi pembayaran.

iv. Pertukaran matawang atau pemindahan hak milik apa-apa derivatif yang berhubungan dengan pertukaran matawang (sama ada disebabkan oleh pertukaran mata wang, wang kertas atau syiling, dengan mengkredit atau mendebit akaun atau selainnya) selain pembekalan suatu wang kertas atau syiling sebagai suatu item yang digemari pengumpul, artikel pelaburan atau item yang bernilai numismatik.

v. Pemindahan hak milik apa-apa hak atau derivatif yang berhubungan dengan suatu obligasi bagi membayar faedah atau caj yang serupa.

Perkhidmatan Pendidikan

Perkhidmatan pendidikan dan perkhidmatan yang berkaitan dengan pendidikan:

i. Berhubung dengan pendidikan taman asuhan kanak-kanak, pra sekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah swasta yang disediakan kepada pelajar oleh penyedia berdaftar di bawah Akta Pendidikan 1961 [Akta 43 tahun 1961],

ii. Majlis Amanah Rakyat 1966, Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984, Enakmen yang berkaitan dengan pengawalan sekolah agama Islam bagi Negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan, Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505].

iii. Makanan dan minuman yang dibekalkan oleh operator kantin di pra sekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah kerajaan atau bantuan kerajaan atau prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah swasta.

iv. Taman asuhan kanak-kanak, prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah swasta”ertinya suatu sekolah atau suatu institusi pendidikan yang bukan sekolah atau institusi pendidikan kerajaan atau bantuan kerajaan yang ditakrifkan di bawah Akta Pendidikan 1996.

v. “Institusi pendidikan” ertinya suatu sekolah atau mana-mana tempat lain yang, dalam menjalankan kerja suatu organisasi atau institusi, orang lazimnya diajar, sama ada di dalam satu kelas atau lebih, dan termasuklah suatu tadika dan suatu pusat pendidikan jarak jauh tetapi tidak termasuk;

vi. Mana-mana tempat yang dikategorikan sebagai suatu institusi pendidikan swasta yang didaftarkan di bawah Akta Pendidikan 1996 yang menyediakan kelas tuisyen, latihan bahasa, komputer, kemahiran,kerjaya,profesion atau pekerjaan atau perdagangan, pengayaan minda dan pusat bimbingan.

vii. Mana-mana tempat yang diisytiharkan oleh Menteri yang dipertanggungkan dengan tangungjawab bagi pendidikan,melalui pemberitahuan dalam Warta, sebagai bukan suatu institusi pendidikan bagi maksud Akta Pendidikan 1996.

Perkhidmatan Asuhan

I. Perkhidmatan asuhan kanak-kanak yang disediakan oleh mana-mana taman asuhan kanak-kanak yang berdaftar di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.

Perkhidmatan jagaan kesihatan yang disediakan oleh mana-mana kemudahan jagaan kesihatan swasta yang didaftarkan atau dilesenkan di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta586] termasuk:

i. Apa-apa perkhidmatan perubatan, pergigian, kejururawatan, perbidanan, kesihatan berkaitan, farmasi dan ambulans yang disediakan oleh seorang profesional jagaan kesihatan;

ii. Apa-apa perkhidmatan bagi pemeriksaan, diagnosis, atau rawatan seseorang yang menghidap, atau dipercayai menghidap, apa-apa penyakit, kecederaan atau hilang upaya minda atau badan;

iii. Apa-apa tempat tinggal bagi maksud penyediaan perkhidmatan jagaan kesihatan;

iv. Apa-apa perkhidmatan bagi maksudkesihatan pencegahan atau penggalakan;

v. Apa-apa perkhidmatan bagi mengubati atau mengurangkan apa-apa keadaan luar biasa tubuh manusia dengan menggunakan apa-apa perkakas, kelengkapan, alat atau peranti atau apa-apa teknologi perubatan lain;

vi. Apa-apa perkhidmatan makanan yang disediakan kepada pesakit oleh kemudahan jagaan kesihatan yang berdaftar atau berlesen;

vii. Apa-apa perkhidmatan bilik mayat yang disediakan oleh kemudahan jagaan kesihatan yang berdaftar atau berlesen.

Bagi maksud butiran ini:

i. “Kemudahan jagaan kesihatan swasta” ertinya mana-mana premis,selain kemudahan jagaan kesihatan Kerajaan, yang digunakan atau diniatkan untuk digunakan bagi menyediakan perkhidmatan jagaan kesihatan, seperti hospital swasta, hospis, pusat jagaan ambulatori, rumah jagaan kejururawatan, rumah bersalin, hospital psikiatri, rumah jagaan psikiatri, pusat kesihatan mental masyarakat, pusat hemodialisis, klinik perubatan dan klinik pergigian dan apa-apa premis jagaan kesihatan lain sebagaimana yang ditentukan oleh Menteri yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagikesihatan melalui pemberitahuan dalam Warta di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.

ii. Untuk menduduki tanah bagi tujuan pertanian tidak termasuk pemberian apa-apa kepentingan atau hak ke atas tanah atau lesen untuk menduduki tanah setakat yang tanah itu digunakan untuk aktiviti memburu dan memancing;

Perkhidmatan Pengangkutan

1) Pengangkutan penumpang:

i. Mana-mana kenderaan yang dilesenkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat atau Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan termasuk bas tidak termasuk bas sewa; teksi tidak termasuk kereta sewa dan pandu; suatu syarikat yang dilesenkan di bawah Akta Keretapi 1991 [Akta 463] untuk menyediakan perkhidmatan rel dan mana-mana kapal atau vesel yang dilesenkan sebagai kapal penumpang di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

2) Tol lebuh raya

Pemberian apa-apa hak untuk menggunakan lebuh raya bertol di jalan awam.

3) Perkhidmatan pengebumian, perkuburan dan pembakaran mayat

Apa-apa pembekalan perkhidmatan dalam suatu pakej berhubung dengan upacara dan penghormatan, pelupusan mayat atau upacara peringatan;

Program perancangan pra keperluan pengebumian iaitu penempahan kolumbarium atau plot tanah perkuburan.

BACA INI JUGA: Panduan Membeli Tayar Kereta, Jangan Sampai Tertipu!

Sumber: http://mynewshub.cc

Tuesday, April 08, 2014

Rang Undang-Undang Pelaksanaan GST Di Luluskan

Rang Undang-Undang Pelaksanaan GST Di Luluskan

Persidangan Dewan Rakyat pada Isnin meluluskan Rang Undang-undang Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014.

Goods and Services Tax (GST)

Rang undang-undang itu diluluskan menerusi undi belah bahagi sebanyak dua kali dengan undian kali pertama pembangkang memperoleh 81 undi berbanding penyokong kerajaan mendapat 118 undi.

Undian kali kedua menyaksikan pembangkang kekal 81 undi, manakala penyokong kerajaan memperoleh 119 undi.

Terdahulu ketika menggulung perbahasan rang undang-undang yang mewujudkan peruntukan bagi pengenaan dan pemungutan cukai barang dan perkhidmatan (GST) itu, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata GST akan memberi implikasi positif kepada nilai eksport dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Eksport akan meningkat 0.5 peratus kerana barang-barang eksport akan jadi murah dan kompetitif, dan KDNK secara keseluruhan akan meningkat kepada 0.3 peratus,” katanya.

Ahmad berkata struktur GST di Malaysia merangkumi pengecualian terhadap pelbagai jenis barang dan perkhidmatan yang bertujuan memenuhi keperluan rakyat di negara ini.

Ini berbeza di Singapura yang mengenakan GST ke atas semua jenis barang dan perkhidmatan kecuali perkhidmatan kewangan serta rumah kediaman, katanya.

Kadar GST sebanyak enam peratus yang ditetapkan kerajaan adalah bersesuaian dengan keadaan ekonomi semasa setelah mengambil kira beberapa faktor termasuk pengurangan cukai individu, cukai korporat dan bantuan kewangan tunai, jelasnya.

Selain itu, Ahmad berkata kerajaan akan mempertimbangkan cadangan untuk tidak menggunakan terma ‘caj perkhidmatan’ bagi perkhidmatan di hotel dan restoran memandangkan terdapat pengguna keliru antara cukai perkhidmatan yang dikenakan kerajaan dan pengusaha.

“Apa yang penting sekarang ialah memberi penerangan kepada pengguna mengenai caj perkhidmatan dan perbezaannya dengan cukai barang dan perkhidmatan.

“…dan ada baiknya cadangan itu dibincangkan agar caj perkhidmatan ditukar nama sama ada menggunakan terma caj restoran, caj hotel atau tips,” kata Ahmad.

Beliau berkata langkah itu juga sebagai usaha untuk memastikan tidak ada pengusaha restoran atau hotel yang mengambil kesempatan dengan mengenakan caj tersebut sehingga mengelirukan pengguna.

Oktober lepas, semasa pembentangan Bajet 2014 di Parlimen, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelaksanaan CBP berkuat kuasa 1 April 2015 pada kadar enam peratus, menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan yang berkadar keseluruhan 16 peratus.

Persidangan dewan bersambung..

Kebaikan
Goods and Services Tax (GST) [2]

GST sebenarnya dapat mendidik pengguna menjadi lebih berhemat. Sekiranya pengguna tidak mahu membayar lebih GST maka hadkan perbelanjaan kepada yang perlu sahaja.

Ini berdasarkan kepada GST adalah cukai penggunaan di mana lebih banyak anda pakai atau beli lebih banyak anda bayar.

Orang berada mungkin akan mengguna lebih. Ini secara tidak langsung dapat menyumbang kepada pendapatan negara yang akhirnya dapat digunakan untuk kepentingan rakyat juga.

Antara kebaikan lain GST ialah kadar GST adalah lebih rendah (enam peratus) berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada kadar 10 peratus dan enam peratus. SST adalah cukai berganda, sebaliknya GST adalah sistem satu cukai terhadap barangan dan perkhidmatan.

Di bawah SST pengguna terpaksa membayar harga yang lebih mahal kerana cukai jualan merupakan sebahagian daripada kos yang akan dimasukkan ke dalam harga jualan dan dikenakan cukai perkhidmatan apabila menyediakan perkhidmatan kepada pengguna.

Pada masa sekarang, pengguna tanpa mengira kelas pendapatan telah membayar cukai jualan dan cukai perkhidmatan ke atas perbelanjaan harian mereka.

Namun cukai yang dibayar itu terutamanya cukai jualan tidak tercatat di dalam resit kerana ia terselindung di dalam harga bayaran. Apabila GST dilaksanakan beban cukai yang ditanggung akan turun.

Ini bermakna dengan pelaksanaan GST kebanyakan barangan dan perkhidmatan akan mengalami penurunan harga.

Yang penting ialah apabila GST dilaksanakan pihak peniaga seharusnya menyalurkan penjimatan tersebut melalui penurunan harga.

Kajian yang dijalankan mendapati Indeks Harga Pengguna (HIP) akan mengalami penurunan sebanyak 8-10 peratus.

Kita yakin dengan penubuhan jawatankuasa pemantau GST yang ditubuhkan kerajaan nanti dapat memastikan GST dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.

Kerajaan juga dari masa ke semasa akan menilai impak sosial terhadap rakyat kesan daripada pelaksanaan GST.

Pengguna juga harus faham bahawa GST tidak dikenakan ke atas barangan makanan asas, pengangkutan awam, tol, pembelian dan penyewaan rumah kediaman, perkhidmatan kesihatan dan pendidikan, pengeluaran pasport dan lesen, penggunaan elektrik bagi 200 unit pertama bagi pengguna domestik dan pelbagai barangan asas dan perkhidmatan lain.

GST dapat meningkatkan aliran pendapatan negara. Kerajaan pusat dijangka akan menjana lebih banyak pendapatan dengan pelaksanaan GST. Pendapatan kerajaan yang bertambah ini dapat digunakan untuk perbelanjaan pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

Lebih ramai orang miskin akan dapat dibantu. GST juga membolehkan kerajaan mengurangkan cukai korporat dan pendapatan.

Ini dapat menggalakkan pelaburan, mendorong pertumbuhan ekonomi dalam persekitaran global yang berdaya saing. Pertumbuhan ekonomi negara pula akan mencipta pekerjaan dan meningkat pendapatan.

Pelaksanaan GST di 160 negara di dunia membuktikan GST adalah sistem percukaian yang baik, cekap dan adil kerana semua orang membayar cukai berdasarkan penggunaan.

Kesimpulan, GST membantu memperluaskan asas percukaian negara, memastikan negara mempunyai sistem cukai yang lebih berdaya tahan serta memperbaiki pematuhan dalam urusan kutipan cukai kerajaan.

Agensi antarabangsa seperti Bank Dunia dan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) sudah lama mengingatkan kerajaan bahawa negara ini mempunyai sumber percukaian yang kecil dan tidak dapat bertahan lama untuk jangka masa panjang.

Hanya 1.5 juta sahaja pembayar cukai di negara ini, manakala sumber minyak pula tidak akan dapat bertahan lama. -Mynewshub.my

Tuesday, October 29, 2013

Benarkah Goods and Services Tax (GST) Hanya Memiskinkan Rakyat?

Benarkah Goods and Services Tax (GST) Hanya Memiskinkan Rakyat?

Penulisan ini akan menumpukan persoalan GST. Sebelum mampu disokong atau ditolak biarlah kita mempunyai maklumat yang betul dan bukan agak-agak macam faham tapi sebenarnya tidak berapa faham. Barulah menjadi berteraskan maklumat.

Bantah GST

Apa itu cukai GST?

Kalau sekarang ini kerajaan mengenakan ke atas rakyat sejenis cukai yang dipanggil sebagai Cukai Jualan dan Perkhidmatan atau Sales and Services Tax atau SST dalam Bahasa Inggeris, maka ia akan digantikan dengan cukai GST atau Goods and Services Tax atau Cukai Barangan dan Perkhidmatan.

Apa bezanya SST dan GST?

Nampaknya macam sama tetapi tidak serupa. Ia mempunyai perbezaaan yang ketara daripada segi jumlah yang dipungut kerajaan. Kalau tidak apa perlu kerajaan BN beria-ia sangat hendak melaksanakannya.

Perbezaan ketaranya ialah SST adalah cukai yang dikenakan ke atas ‘jualan dan perkhidmatan’ tertentu iaitu bukan semua yang disenaraikan, di mana cukai jualan adalah dikenakan pada kadar 5-10% dan cukai perkhidmatan pada kadar 5% sementara GST adalah cukai yang dikenakan ke atas semua barangan dan perkhidmatan kecuali yang ditentukan sebagai ‘dikecuali cukai’ (tax-exempt) atau ‘sifar-cukai’ (zero-rated) kepada perniagaan pemilik tunggal (individu) dan perkongsian yang jualannya ialah RM500,000 setahun atau RM41,600 sebulan.

Perbezaan kedua adalah lebih rumit lagi dan saya cuba permudahkan. GST adalah cukai berperingkat berbanding dengan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan yang merupakan cukai seperingkat.

Mudahnya, dalam SST cukai diperolehi kerajaan hanya pada peringkat pengilang sahaja sebagai cukai jualan iaitu kalau barangan berharga RM100 seperti kopi, maka pada cukai 10%, kerajaan hanya mendapat RM10, meskipun pemborong membuat keuntungan (nilai tambah) 20% (harga RM100+RM20=RM120) dan peruncit membuat 30% (RM120+RM36=harga RM156) tetapi tidak dikenakan cukai.

Sebaliknya dalam GST (ini rumit), kerajaan memungut 10% pada setiap peringkat pengilang, pemborong dan peruncit atas ‘Nilai Tambah’ mereka yakni (RM10+RM2+RM3.60)=RM15.60.

Sebab itu ada sesetengah negara sepertu United Kingdom menyebutnya sebagai VAT atau Value-Added Tax atau Cukai Tambah Nilai kerana dikenakan cukai pada setiap peringkat tambah nilai daripada pengilang, pemborong dan peruncit.

Jelasnya perbezaan ialah harga barang akan naik kerana dalam cukai SST barangan tadi seperti kopi akan dijual dengan harga RM156 kalau pemborong buat 20% untung dan 30% untung oleh peruncit tetapi harga pada cukai GST akan melonjak ke paras RM171.60.

Jelasnya kerajaan akan dapat memungut cukai yang lebih lumayan. Itulah sebabnya kerajaan beriya sangat.

Apakah GST akan membebankan rakyat?

Daripada penjelasan tadi tentunya GST akan membebankan rakyat. Tidak syak lagi. Lebih parah lagi kepada golongan berpendapatan rendah.

Bandingkan harga cukai SST pada kadar 10% dan harga barangan pada kadar 10%. Tentunya harga akan mengalami inflasi iaitu dari RM156 ke paras RM171.60.

Sebab itu kerajaan akan cuba memulakan dengan kadar GST 5% atau 6% untuk memujuk rakyat menerimanya tetapi pengalaman semua negara yang mengenakan GST kadar akan dinaikkan dalam waktu terdekat.

Berapa banyak yang dapat ditambah akan tergantung kepada kadar GST dan kecekapan mengendalikan sistem cukai baru yang sangat rumit ini.

Benar Najib akan menambah pendapatan, tetapi apakah beliau sanggup mengorbankan kesejahteraan rakyat teramai dan keupayaan serta kuasa membeli rakyat dikekang dengan inflasi yang pasti akan berlaku?

Bukan pertumbuhan dalam tiga suku yang lalu dipacu oleh permintaan domestik dengan kata lain perbelanjaan isi rumah?

Mengapa pula dikekang keupayaan mereka dengan GST? Najib jelasnya celaru serta tidak punya konsistensi dari segi kerangka pemikiran ekonomi kerana tertekan dengan pelbagai ancaman akibat dosa berbelanja dan berhutang besar dahulu.

Kalau begitu kenapa kerajaan paksakan juga GST ini kalau jelas membebankan rakyat?

Menyambung huraian tadi, mudahnya adalah kerana kerajaan menguruskan kewangan negara dengan tidak pruden atau bijak maka sekarang setelah dibebankan hutang sebanyak RM513 bilion atau 53% daripada KDNK (GDP) sementara menjamin hutang (Contingent Liabilities) oleh pihak GLCs sebanyak RM147 bilion maka kerajaan ini melepasi had hutang 55% yang diizinkan Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 seperti termaktub dalam Perlembagan Persekutuan.

Tabiat kerajaan Najib pulak sejak 2009 membuat Budget Tambahan dua kali setahun berjumlah RM20 bilion setiap tahun.

Sebelum tahun 2000, perbelanjaan tambahan tidak pernah melebihi RM5 bilion dan di antara 1992-1995, kerajaan berbelanja kurang daripada yang diperuntukan.

Nah, ketika sudah terbeban dengan hutang yang besar seperti ini maka mana lagi sumber yang Najib nampak? Tentunya rakyat. Ini yang dimaksudkan beliau bahawa rakyat didahulukan.

Apakah pendirian Pakatan Rakyat tentang GST?

Kami tegaskan beberapa kali dan kami berkempen dalam round pertama ‘Tolak GST 1.0’ dan mungkin kami akan jalankan kempen GST 2.0 kalau kerajaan hendak laksanakan juga.

Hujah kami mudah dan jelas. GST sebagai satu sistem cukai hanya boleh dilaksanakan kalau pendapatan rakyat di negara dapat dipertingkatkan.

Buat hari ini hanya 15% daripada 13 juta warga kerja dalam pasaran kerja yang membayar cukai pendapatan iaitu yang melebihi gaji RM2,500 sebulan.

Bermakna ramai yang tidak mampu. Mengikut statistiknya secara tepat hanya 1.7 juta sahaja yang membayar cukai pendapatan daripada 6.4 juta yang berdaftar sebagai pembayar cukai.

Ini bermakna warga kerja di negara ini mengalami tekanan kenaikan gaji sejak beberapa dekad lamanya seperti yang didedahkan Bank Dunia.

Ini berlaku, antara lainya kerana pekerja asing dengan ketrampilan yang rendah atau ‘low-skilled’ dan dibayar yang murah dan sekaligus industri pembuatan atau pengilangan di negara ini juga kekal tidak berganjak dari membuat produk yang rendah nilai tambahnya.

Maka bagaimana hendak mendapat keuntungan dan produktiviti baik yang boleh menghasilkan gaji yang tinggi.

Justeru itu kerajaan mesti menangani masalah ini secara serius di segi ketrampilan warga kerja melalui pembangunan modal insan dan pemberian insentif kepada industri khasnya Enterprise Kecil Sederhana (SMEs) dan mengurangkan pergantungan kepada buruh asing.

Kedua bagi Pakatan Rakyat kami ingatkan kerajaan Najib-BN supaya jangan menipu rakyat. Dulu kata GST tidak akan dilaksanakan sehingga waktunya.

Persoalannya ialah apakah ini waktunya setelah rakyat berikan mereka mandat kembali lalu mereka mahu bebankan rakyat sebagai hadiah.

Kami tegaskan supaya tutup lubang ketirisan dan kebocoran sama ada dengan menangani rasuah, perbelanjaan boros, tidak berguna dan culas seperti didedahkan setiap tahun oleh Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun.

Itu sahaja boleh menjimatkan hampir RM10 bilion setahun paling tidaknya. Juga hentikan monopoli dan pemberian kontrak secara runding langsung atau direct-nego.

Itu juga akan menyelamatkan dana rakyat tidak kurang daripada RM10 bilion setahun berpandukan prestasi negeri Selangor contohnya yang menyelematan 26% dari segi perolehan yang dibuatnya.

Bukankah GST ini sepatutnya lebih baik dari SST?

Daripada sudut koleksi dan komplian atau pengelakkan penipuan daripada segi sistem percukaian memang diakui GST lebih baik.

Dua golongan yang sangat suka apabila GST dilaksanakan. Satu, pengekspot mereka sangat suka kerana mereka tidak dikenakan cukai lagi kerana diambil alih oleh GST dan kedua tentunya akauntan kerana servis atau khidmat mereka adalah sangat dihajatkan kerana saya tegaskan sekali lagi GST memang rumit terutama pada mula diperkenalkan.

Walaupun GST dikatakan juga sebagai ‘Cukai Penggunaan’ atau ‘Consumption Tax’ atau siapa guna dia bayar atau ‘tak guna tak bayar’ tetapi saudara akan tahu kenapa GST adalah buruk bagi rakyat kalau kita kaji golongan berpendapatan rendah berbanding golongan berpendapatan tinggi.

Contohnya seorang yang berpendapatan RM1,000 dan berbelanja sebanyak RM900, kalau dikenakan GST pada 4% maka akan membayar cukai sebanyak RM36 bersamaan 3.6% daripada gajinya.

Tetapi seorang yang berpendapatan RM20,000 dan berbelanja RM10,000 akan membayar GST sebanyak RM400 bersamaan dengan 2% gaji pokoknya.

Nah jelasnya keluarga yang berpendapatan rendah yang dibebani oleh GST lebih daripada yang kaya. Daripada segi ini GST adalah tidak adil atau ‘Regressive’.

Dikatakan bahawa selepas GST dilaksanakan, cukai pendapatan individu dan korporat akan turun?

Ini juga satu hal kerana sekali lagi kita nampak ketidakadilan dalam sistem cukai ini. Memang betul banyak negara yang menggunkan sistem cukai GST akan menurunkan cukai individu dan korporat sebab memang lumayan pendapatan kerajaan.

Tetapi kalau kita renungi dengan mendalam, kita akan dapati bahawa prinsip cukai ini melakukan ketidakadilan kepada rakyat teramai khasnya golongan berpendapatan rendah kerana golongan ini yang tidak membayar cukai tentunya tidak akan mendapat menafaat dari system penurunan cukai ini.

Apakah pandangan Islam terhadap sistem cukai GST?

Sememangnya tidak ada perbahasan di kalangan Fuqaha tentang GST secara khusus di kalangan Fuqaha d ibidang muamalat.

Namun sedikit kajian yang saya buat perkara ini mungkin boleh kita fahami kalau dalam perbincangan bab “Tauudzif al-Amwal” atau Cukai Harta Pendapatan yang dikemukakan ulama seperti as-Syatibi atau Imam Haramain al-Juwaini.

Tetapi ada beberapa syarat yang tegas.

Pertama, Baitul Maal dizinkan mengutip cukai ini kalau benar-benar wujud satu keadaan yang syarie dan Baitulmal sendiri tidak mampu membiayai atau mengisi keperluan itu.

Kedua, supaya dihentikan segala perbelanjaan yang mewah oleh negara.

Ketiga, ia tidak boleh dipungut kecuali daripada mereka yang mampu dan tidak juga boleh dipungut secara berlebihan dari diperlukan bagi mengatasi keadaan kritikal itu.

Cukup dengan tiga syarat ini dahulu pun saudara akan dapat membuat keputusan sendiri apakah wajar atau syarie kerajaan yang berbelanja besar dan bermewah lantas berhutang besar tiba-tiba menekan rakyat untuk membayar GST.

Saudara fikrkanlah sendiri dan menjadi lebih tidak adil apabila dipungut daripada golongan yang berpendapatan rendah.

Ini sudah songsong daripada prinsip Islam yang menganjurkan kerajaan mengambil daripada yang kaya diagihkan kepada yang miskin. Islam menganjurkan Cukai Progresif dan bukan Regressif seperti ini.

Maka saya minta ulama dan ilmuwan Islam mewancanakan topik GST ini. Jangan hanya berpolemik tentang kalimah Allah sahaja tetapi syariat dan muamalat Islam tidak ramai yang mahu peduli sehingga negara diurus boros, tempang dan sarat rasuah - ketirisan sekali gus khianat serta berlawanan dengan tuntutan syariat Allah.

Isu tadbir urus adalah aspek yang besar dan penting dalam syariat Islam yang wajar didahulukan daripada segi keutamaan pelaksanaan dan membawa ‘maslahah syariah’ di segi keadilan agihan kekayaan sekali gus membenteras ‘mafasadah syariah; di segi kebejatan rasuah, ketirisan, pembaziran dan menangani kerakusan dan pembolotan kekayaan oleh segelintir manusia yang bersekongkol dengan penguasa politk.

Dr Dzulkefly Ahmad,
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Monday, October 28, 2013

Rakyat Lebih Menderita Tanggung GST Berbanding SST?

Rakyat Lebih Menderita Tanggung GST Berbanding SST?

Kerajaan Barisan Nasional (BN) cuba memberi pemahaman yang salah kepada rakyat dengan menegaskan harga barangan dan cukai yang dibayar akan berkurangan selepas pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tetapi hakikatnya kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) lebih rendah dikenakan kepada pengguna, kata Dr Ong Kian Ming.


Ahli Parlimen Serdang itu berkata, kerajaan sering membayangkan GST menggantikan dua cukai SST tetapi apa yang tidak dihebahkan kepada rakyat adalah pada masa ini banyak barangan telah pun dikecualikan cukai jualan.

“Menurut Cukai Jualan (Kadar Cukai No. 2) 2012, jumlah barangan yang dikecualikan cukai barangan mengandungi 250 muka surat tetapi pengecualian sama dalam GST hanya mengandungi 21 muka surat.

“Sesetengah barangan yang sebelum ini telah dicukaikan di bawah SST tetapi diwujudkan dalam GST termasuk barangan runcit seperti susu, kopi, teh, air mineral, makanan dalam tin, surat khabar, alat tulis, beg sekolah dan sebagainya.

“Bekalan elektrik melebihi 200 kW sejam (melebihi RM50) juga dikenakan GST. Kenaikan tarif ini dikenakan GST kerana selepas pemansuhan SST tidak memberi kesan kepada harga tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata pada masa ini, cukai jualan terhad kepada beberapa restoran, perkhidmatan profesional seperi akauntan, arkitek, perkhidmatan kenderaan bermotor, pusat baik bulih, perkhidmatan telekomunikasi, perkhidmatan keselamatan, ejen hartanah, pengendali parkir dan sebagainya namun di bawah GST perkhidmatan tersebut termasuk pusat tuisyen dan salun rambut akan dikenakan GST.

Katanya, perluasan di bawah GST bermaksud lebih banyak perkhidmatan akan dikenakan cukai berbanding SST sedia ada.

“BN mengecualikan GST kepada produk hiliran seperti hartanah perumahan, perkhidmatan kewangan, penjagaan kesihatan dan pengangkutan tetapi barangan yang digunakan untuk mewujudkan produk atau perkhidmatan tersebut telah pun dikenakan GST.

“Sebagai contoh, pemilik hartanah tidak dikenakan GST tetapi barangan pembinaan telah pun dikenakan GST. Ini bermakna barangan dan perkhidmatan yang dikatakan terkecuali daripada GST akan terkena tempias cukai tersebut.

“Dakwaan mengatakan rakyat membayar cukai lebih rendah di bawah GST adalah pembohongan secara terang. Jika dakwaan mereka benar, mengapa memperkenalkan GST sebagai sumber pendapatan?” tanya beliau.

Beliau berkata GST akan meningkatkan kebanyakan harga barangan dan perkhidmatan malah rakyat akan terbeban dengan kenaikan harga tersebut.

[Sumber]

Saturday, October 26, 2013

GST Kadar 6 Peratus Dilaksanakan 1 April 2015

GST Kadar 6 Peratus Dilaksanakan 1 April 2015

Kerajaan akan melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) berkuatkuasa 1 April 2015 bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan yang dimansuhkan.


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kadar GST yang akan dikenakan adalah sebanyak 6 %.

“Gst bukanlah cukai tambahan baharu realitinya kadar inflasi kini berada di paras rendah 2%. Kerajaan yakin inilah masa yang terbaik untuk melaksanakan GST kerana kadar inflasi minimum dan terkawal,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2014 di Parlimen pada Jumaat.

Najib berkata pelaksanaan GST dapat membantu negara menangani banyak kelemahan dalam sistem pencukaian sedia ada.

“Sebagai contoh pada waktu ini sekiranya kita membeli minuman berkarbonat di restoran tanpa kita sedari, kita dah membayar dua kali cukai iaitu cukai jualan dan cukai perkhidmatan.

“Dalam bahasa mudahnya dalam sistem GST pengguna perlu membayar satu kali cukai sahaja. Realitinya juga perubahan harga barangan dan perkhidmatan apabila GST dilaksanakan adalah amat minimum,” katanya.

Menurut Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, ia adalah kadar yang terendah di kalangan negara anggota ASEAN.

Untuk rekod, Singapura dan Thailand mengenakan GST pada kadar 7 peratus, manakala Indonesia, Filipina, Cambodia, Laos, ietnam dan Myanmar pula 10 peratus.

GST bagaimanapun dikecualikan bagi lima perkara, iaitu barangan makanan asas, perkhidmatan pengangkutan awam, urusan jual-beli serta sewaan rumah kediaman, perbelanjaan keatas perkhidmatan atau pembelian barangan pelajaran dan pendidikan, serta bayaran kadar pertama tarif bil air serta elektrik yang ditetapkan.

Selain itu, bagi meringankan beban rakyat, kerajaan akan memberikan RM300 (one-off) kepada semua penerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M).

Manakala 1-2 mata peratusan cukai pendapatan individu dikurangkan mulai tahun taksiran 2015.

Sektor perniagaan dan industri turut diberikan beberapa potongan cukai tertentu berikutan pelaksanaan GST.

Sumber: Mynewshub

Friday, June 28, 2013

Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) Masih Dalam Peringkat Kajian

Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) Masih Dalam Peringkat Kajian

Kerajaan masih belum memuktamadkan pelaksanaan dan kadar bagi Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kerana ia masih lagi diperingkat kajian, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah.


Ahmad Husni berkata, Putrajaya bagaimanapun telah mempertimbangkan untuk memberikan cukai sifat kepada barangan keperluan asas dan kegunaan harian seperti produk makanan, air, dan elektrik yang diperlukan rakyat daripada golongan berpendapatan rendah.

"Kerajaan masih belum membuat kata putus lagi dan akan dimaklumkan keputusan itu kelak," katanya menjawab soalan ahli Parlimen Setiawangsa Datuk Ahmad Fauzi Zahari ketika sesi perbahasan di Parlimen hari ini.

Ahmad Husni berkata, termasuk Malaysia, hanya 11 sahaja negara yang belum melaksanakan GST, sedangkan 160 negara telah melaksanakan sistem percukaian berkenaan.

"Negara mahukan sistem kutipan cukai terbaik dalam menguruskan kewangan. Peningkatan hasil peningkatan perbelanjaan untuk kesejahteraan rakyat," kata Ahmad Husni, yang juga ahli Parlimen Tambun.

Antara cadangan sifar cukai itu jelas Ahmad Husni adalah termasuk barang makanan, seperti beras, minyak masak, ternakan dan daging, ukan udang, bekalan eletrik 200 kilowat, bekalan air 30 meter padu.

"Barangan dan produk diperingkat penjualan akhir, tidak dikenakan GST," katanya, dan menambah ia berkurangan daripada peraturan yang dikenakan, ia melibatkan teksi, bas dan rumah kediaman.

"Ada dua impak yang kita lihat , bebanan kepada rakyat, berbanding cukai jualan dan berapa banyak pertambahan sekiranya berlaku dan apakah kaedah ini sekiranya dan kadar faedah ini sedang kita kaji," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, walaupun dalam kajian kerajaan, GST merupakan sistem yang baik dan dilaksanakan di 140 negara bagi menggantikan cukai jualan dan perkhdimatan, namun dengan mengambil kira prinsip rakyat, maka kerajaan tidak melaksanakan cadangan itu pada masa sekarang.

Rang Undang- Undang GST telah dibentangkan di Parlimen untuk bacaan pertama pada Disember 2009, namun bacaan kedua yang dijadualkan pada Mac 2010, telah ditangguhkan.

Ia pada mulanya dijangka dilaksanakan pada pertengahan 2011 bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan.

[Sumber]