Thursday, December 18, 2014

Wang Kertas Palsu Not RM50 Dan RM100 Tersebar?!

Wang Kertas Palsu Not RM50 Dan RM100 Tersebar?!

Beberapa hari kebelakangan ini, laman sosial Facebook jadi medan perkongsian foto not terbaharu bagi matawang Ringgit Malaysia bernilai RM50 dan RM100.

Not-RM50-RM100

Melalui muat naik dan perkongsian para pengguna, foto not terbaharu itu menunjukkan nilai RM50 berwarna biru dan jingga serta memaparkan imej beberapa bangunan ikonik Malaysia seperti KLCC, Bangunan Sultan Abdul Samad dan Menara Kuala Lumpur.

Namun, ramai tertanya-tanya dan meragui kesahihan foto ini terutama bagi nilai matawang RM100 yang disaluti warna emas pada keseluruhan not.

Memetik laporan The Rakyat Post, not RM50 dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia dengan kerjasama Sukom Ninety Eight Bhd sebagai memperingati Sukan Komenwel pada 1998.

Not-RM50

Not sah tersebut dikeluarkan lebih kepada item koleksi bagi pengumpul not matawang dan dihasilkan pada kuantiti terhad iaitu sebanyak 500,000 unit sahaja. Ia dijual pada harga RM80 bagi setiap keping.

Uniknya, not tersebut memiliki tandatangan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Ahmad Mohd Don.

Tak hairanlah, nilainya dikatakan telah meningkat pada harga RM500 bagi setiap helai not.

Namun demikian, not RM100 yang kini dijual melalui beberapa platform jualan dalam talian antaranya ‘www.mudah.com‘ pada harga RM35 – RM40 sekeping didapati TIDAK SAH.

Menurut sumber dipercayai, pihak BNM telah mengesahkan tak pernah mengeluarkan apa-apa not seumpama itu.

Sumber yang enggan dikenali itu menambah, tindakan memasarkan not palsu adalah melanggar undang-undang kerana ia boleh mengelirukan orang ramai.

BNM dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi tidak lama lagi.

Video Teknik Pihak Tak Bertanggungjawab Mencetak Duit Palsu



Sumber: Mynewshub.cc

Wednesday, December 17, 2014

JPN Nafi MyKad Perlu Ditukar Sebelum Penghujung Tahun

JPN Nafi MyKad Perlu Ditukar Sebelum Penghujung Tahun

Orang ramai tidak perlu membuat penggantian MyKad dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) jika kad pengenalan diri mereka masih berada dalam keadaan baik.

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)

Ketua Pengarah JPN, Datuk Sulaiman Keling berkata, khabar angin kononnya orang ramai perlu membuat penukaran MyKad selewat-lewatnya pada hujung tahun 2014 ini atau akan didenda tidak benar.

“JPN ingin mengingatkan orang ramai agar berwaspada berkaitan hebahan maklumat berkaitan penukaran MyKad yang telah menimbulkan kekeliruan dan salah faham orang awam bahawa MyKad perlu ditukar selewat-lewatnya pada hujung tahun 2014 ini atau akan didenda.

“Sekiranya Mykad yang dimiliki masih dalam keadaan baik dan berfungsi maka mereka tidak diperlukan membuat gantian baru kad pengenalan. JPN juga ingin memaklumkan bahawa gantian MyKad struktur baru adalah tidak diwajibkan. Penukaran kepada MyKad yang baru adalah merupakan pelaksanaan yang berterusan dan tiada tarikh tutup,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sulaiman menjelaskan, kewajipan membuat MyKad adalah ke atas kanak-kanak Warga Malaysia yang telah mencapai umur 12 tahun untuk membuat kad pengenalan bagi kali pertama.

Menurutnya, warganegara yang telah mencapai umur 18 tahun dan sebelum mencapai umur 25 tahun juga wajib membuat penukaran dan ia hanya perlu dilakukan sekali seumur hidup.

Selain itu, kata beliau, gantian kad pengenalan dibuat sekiranya berlaku kehilangan atau kerosakan kad pengenalan atau cip tidak berfungsi dan pertukaran butiran yang telah diluluskan oleh JPN.

Justeru, beliau berharap orang ramai untuk tidak mempercayai sumber berita dari laman sosial atau media tidak rasmi bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.

“Penyiaran maklumat berkaitan kad pengenalan hanya boleh disahkan oleh Ketua Pengarah Pendaftaran Negara dan Pegawai Pendaftaran yang dilantik sahaja,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau meminta melayari laman web rasmi JPN di www.jpn.gov.my atau menghubungi Pejabat Perkhidmatan Pelanggan JPN di talian 03 – 8880 7077/ 7067/ 7069/ 8206 atau emel ke pro@jpn.gov.my untuk mendapat penjelasan mengenai MyKad.

Sumber: Mynewshub.cc

Wednesday, November 12, 2014

JPJ Saman Polis Trafik Jadi Bahan Lawak

JPJ Saman Polis Trafik Jadi Bahan Lawak

JPJ sememangnya terkenal kerana terlalu berkuasa menyaman pesalah jalan raya tanpa belas ehsan walaupun atas kesalahan kecil seperti lampu brek hangus tanpa disedari oleh pemandu.

Motosikal
Gambar hiasan.

Malah, berita berkaitan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) nampaknya semakin hangat sejak akhir-akhir ini.

Terbaru, seorang anggota polis trafik dikatakan telah menerima saman daripada seorang anggota JPJ kerana meletakkan motosikalnya di kawasan larangan dalam petak kuning ketika menjalankan tugas.

Tidak puas hati dengan saman tersebut, anggota trafik tersebut dikatakan balik semula ke balai lalu buat laporan anggota JPJ tersebut mengganggu tugasnya sebagai penjawat awam.

Cerita ini tersebar selepas seorang anggota polis memuat naik status berkaitan kejadian ini di laman sosial Facebook.

Status tersebut berbunyi:

“Ini lagi interesting, jangan main-main dengan JPJ ni, mereka memang strict betul.. anggota trafik yang membuat kawalan trafik ‘point duty’ meletakkan motosikalnya di petak kuning.

“Semasa sedang mengawal lalulintas, penguatkuasa JPJ telah mengenakan saman kepadanya kerana meletakkan motosikal di tempat larangan, anggota polis trafik balik ke balai buat laporan JPJ menghalang penjawat awam menjalankan tugas rasmi.

“KBSJD arah tangkap, apa nak jadi ni? Strick betul ye (Timbalan Ketua Pengarah Operasi JPJ) Dato Yusoff Ayob , macam tak harmoni.”

JPJ Saman Polis Trafik

Jika benar insiden ini, diharapkan satu jalan dicapai supaya kedua-dua organisasi yang bertugas menguatkuasa undang-undang ini tidak jadi ‘bahan lawak’ di kalangan masyarakat.

Tapi kalau betul masing-masing dah buat kesalahan melanggar undang-undang, mereka pun harus disaman seperti kami rakyat biasa!

Sumber: Mynewshub.cc

Thursday, October 30, 2014

Peniaga Online Wajib Papar Nama, Nombor Syarikat

Peniaga Online Wajib Papar Nama, Nombor Syarikat

Selalu memandang enteng hal seumpama ini, akhirnya pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bakal mengadakan pemantauan secara serius di laman-laman sosial bagi menjejaki para peniaga yang menjual secara online yang tidak memaparkan nama dan nombor pendaftaran syarikat.

Kedai-Online

Ini rentetan daripada penggunaan Peraturan Peniaga Dalam Talian yang telah dimaklumkan sejak Julai 2013 yang lepas.

Namun dilihat kebanyakkan peniaga-peniaga online masih lagi tidak ambil endah hingga kerajaan akhirnya perlu bertindak dan memberi penekanan terhadap hal ini.

Menerusi sebuah notis yang dipaparkan E-Commerce Milo, pihak SSM telah memulakan proses pemantauan kepada beberapa peniaga di Facebook bagi memaparkan nama syarikat dan nombor pendaftaran syarikat.

Kedai-Online [2]

Sebelum ini, rata-rata peniaga online menyangka peraturan yang dikuatkuasa adalah dikhususkan kepada web semata-mata namun ternyata silap kerana kesemua peniaga berasaskan dalam talian dikehendaki mengikuti peraturan ini.

Pihak SSM turut memaklumkan bagi peniaga yang masih lagi tidak mengikuti peraturan yang ditetapkan bakal dikenakan caj penalti sehingga RM5000.

Walaubagaimanapun, jika ada peniaga online yang hanya berniaga secara kecil-kecilan atau merupakan sebuah syarikat kecil boleh mendaftarkan syarikat di SSM dengan harga RM60 setahun bagi mengelakkan tindakan undang-undang dan penalti dikenakan.

Kedai-Online [3]
Kedai-Online [4]

Contoh syarikat dan nombor pendaftaran pada laman Facebook.

Makanya, beringatlah kesemua peniaga online termasuk Facebook dan Instagram kerana anda diwajibkan untuk memaparkan nama syarikat dan nombor pendaftaran syarikat sebelum dikenakan apa-apa tindakan.

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

BACA INI JUGA: 7 Cara Mudah Jana Pendapatan Pasif Di Malaysia

sumber: mynewshub

Wednesday, October 29, 2014

NASA Nafi Bumi Bergelap Disember Ini

NASA Nafi Bumi Bergelap Disember Ini

Pihak Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) menafikan mengeluar satu artikel yang mengesahkan bahawa bumi bakal bergelap selama tiga hari pada Disember depan.

NASA

Artikel tersebut yang kini tersebar di internet mendakwa bumi bakal bergelap kerana satu ribut solar menyebabkan pancaran cahaya matahari terhalang.

Sebuah laman web, Huzlers.com baru-baru ini mengeluarkan satu artikel yang bertajuk NASA mengesahkan bumi akan bergelap selama enam hari pada Disember 2014 sebelum ia dikongsi secara meluas di media sosial.

(Baca: Info Unik Dunia)

Laman web itu mendakwa NASA mengesahkan bahawa bumi akan bergelap selama enam hari bermula pada 21 hingga 23 Disember depan.

“Satu ribut solar menyebabkan debu-debu memenuhi ruang angkasa dan menghalang pancaran cahaya matahari sebanyak 90 peratus.

“Keadaan ini bakal menyebabkan bumi bakal menjadi gelap gelita selama enam hari,” katanya artikel tersebut.

Bagaimanapun, NASA menerusi laman web rasminya menafikan mereka ada mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kejadian itu.–Agensi

Friday, October 17, 2014

Gagal Solat Jumaat Tiga Kali Akan Dipenjara Di Kelantan

Gagal Solat Jumaat Tiga Kali Akan Dipenjara Di Kelantan

Jika anda seorang lelaki dan tidak menunaikan solat Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut, dan berada di Kelantan, anda akan dipenjarakan selama setahun.

Solat-Jumaat

Itulah pendekatan yang diambil kerajaan negeri Kelantan yang diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah dan Hubungan Serantau Negeri Datuk Nassuruddin Daud.

Kerajaan negeri mempunyai bidang kuasa melaksanakan tindakan berkenaan mengikut Seksyen 104, Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang memperuntukkan denda sehingga RM1,000 dan penjara setahun bagi kesalahan itu.

“Jumaat adalah hari yang mulia, tiada sebab golongan lelaki meninggalkan solat Jumaat yang hanya diadakan seminggu sekali.

Setakat ini hanya seorang lelaki didakwa berhubung kesalahan itu,” kata ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) Kelantan itu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang Wan Ubaidah Omar di pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan semalam.

Wan Ubaidah inginkan penjelasan dari kerajaan negeri berhubung hukuman untuk mereka yang sengaja meninggalkan solat Jumaat.

Nassuruddin yang juga ADUN Meranti berkata, sesiapa sahaja termasuk Imam atau Ahli Jawatankuasa Masjid boleh membuat aduan berhubung kegagalan individu bagi membolehkan tindakan tegas diambil terhadap mereka.

“Mereka yang membuat aduan perlu mengisi borang sebelum diserahkan kepada Jabatan Hal Ehwal Islam Kelantan (JAHEAIK).

“Bahagian penguatkuasa jabatan akan berbincang dengan imam. Pada masa sama sebuah buku diberikan kepada imam dengan mengarahkan individu berkenaan menunaikan solat di masjid berkenaan sebanyak tiga kali berturut-turut.

“Imam yang dipertanggungjawab akan mencatatkan kehadiran individu itu.

"Sekiranya mereka gagal hadir dalam tempoh berkenaan, tindakan akan diambil,” katanya memetik laporan akhbar Berita Harian.

Sumber:
http://mynewshub.cc/2014/10/16/kelantan-akan-penjarakan-lelaki-gagal-solat-jumaat-tiga-kali/

Video Kejadian Tetak Di Kedai 7Eleven Keningau

Video Kejadian Tetak Di Kedai 7Eleven Keningau

Polis Keningau telah menahan empat remaja lelaki warga tempatan lingkungan umur 18 hingga 22 tahun pada jam 2.10 petang Selasa lepas dalam satu lagi kejadian tetak.

Kena-tetak

Ia berikutan kejadian kes pukul menggunakan rantai kunci dan sebilah pisau pemotong daging terhadap seorang remaja lelaki tempatan berusia 19 tahun di sebuah kedai serbaneka 24 jam pada jam 12.38 tengah malam pada hari berkenaan.

Keempat-empat suspek ditahan berdekatan Ibu Pejabat Polis Daerah Keningau dan di sebuah rumah tidak bernombor di pekan Keningau.

Seorang lagi suspek dilaporkan masih bebas, namun sudah dikenali pasti dan kini sedang diburu polis.

Hasil siasatan polis mendapati punca kejadian merupakan kes balas dendam oleh suspek terhadap mangsa, dan pernah bergaduh sekali pada Hari Raya Aidilfitri yang lalu.

Pada masa kejadian, mangsa yang ingin membeli barang di kedai itu telah diserang oleh kelima-lima suspek.

Selepas kejadian, mangsa mengalami kecederaan luka di tapak kaki dan lutut serta kening sebelah kanan. Mangsa menerima rawatan di Hospital Keningau dan berada dalam keadaan stabil.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun jika disabit kesalahan. Keempat-empat suspek itu kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 20 Oktober ini.

Hasil ujian air kencing terhadap semua suspek yang ditahan, tiga daripadanya positif dadah jenis Methamphetamine dan Ampethamine.



Sumber:
http://www.theborneopost.com/2014/10/17/empat-remaja-tempatan-ditahan-bantu-siasatan-kes-pukul/