Monday, March 18, 2013

Mata Pelajaran B.Inggeris SPM Wajib Lulus Bermula 2016

Mata Pelajaran B.Inggeris SPM Wajib Lulus Bermula 2016

Syarat wajib lulus Bahasa Inggeris dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kemungkinan besar akan mula dikuatkuasakan pada 2016, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Timbalan Perdana Menteri berkata, tahun itu juga adalah permulaan gelombang kedua Pelan Pembangunan Pendidikan negara.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kementerian sedang membuat persiapan rapi melalui gelombang pertama pelan pendidikan itu, termasuk melatih kira-kira 61,000 guru Bahasa Inggeris untuk menjadi lebih mahir dan pakar dalam pengajaran subjek itu.

“Kemungkinan besar jika semua pihak bersetuju dan juga kita lihat ada persiapan lengkap, kita boleh mulakan syarat wajib lulus Bahasa Inggeris pada 2016. Tahun itu dianggap sesuai kerana ada jangka masa antara dua atau tiga tahun sebelum dikuatkuasakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Memperkukuhkan Literasi dan Penguasaan Bahasa Inggeris peringkat negeri di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru Sirusa, di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang, Tan Sri Mohd Isa Samad.

SK Kampung Baru Sirusa adalah antara 75 sekolah di negeri ini yang menyertai program Teaching of English Language and Literacy (TELL), iaitu program tiga tahun untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan guru sekolah rendah.

Muhyiddin berkata, kementerian sedar ketika ini kira-kira 20 peratus pelajar gagal Bahasa Inggeris.

Bagaimanapun, beliau yakin peratusan itu akan menurun apabila syarat wajib lulus itu dilaksanakan dengan pelajar yang lemah akan dibantu.

“Kalau kita dapati pelajar terbabit perlukan intervensi kerana lemah Bahasa Inggeris, kita boleh tokok menggunakan kelas tuisyen atau tambahan jika dianggap perlu di sekolah terpilih.

“Langkah ini boleh menentukan sebahagian besar pelajar mendapat kelulusan dalam Bahasa Inggeris. Bukan kredit, lulus saja,” katanya.

Jika gagal juga, Muhyiddin berkata, pelajar akan diberi peluang menduduki kertas Bahasa Inggeris pada Julai, iaitu selepas keputusan SPM dikeluarkan dan mendapat sijil penuh jika lulus.

Beliau berkata, perkara itu sedang diperhalusi, tetapi kemungkinan sudah sampai masa syarat wajib lulus Bahasa Inggeris dilaksanakan.

-Bharian

Tuesday, March 12, 2013

Kumpulan Samseng Diketuai 'Datuk Sulu' Bergaduh Rebut Projek

Kumpulan Samseng Diketuai 'Datuk Sulu' Bergaduh Rebut Projek

Ketika negara dikejutkan dengan pencerobohan pengganas Sulu di Sabah, lain pula berlaku di sini apabila dua kumpulan yang diketuai dua lelaki yang dikurniakan gelaran 'Datuk' oleh Kesultanan Sulu bergaduh sesama sendiri di sebuah restoran di Teras Jernang, Bangi ahad lalu.


Pergaduhan melibatkan 20 lelaki bersenjatakan parang itu berlaku kira-kira pukul 6.30 petang ketika dua Datuk berkenaan bersama pengikut masing-masing datang ke restoran tersebut untuk berbincang mengenai status satu projek di Sungai Merab, Sepang yang terbengkalai.

Kedua-dua Datuk yang berusia 30-an dan 40-an itu, masing-masing aktif dalam dunia politik dan perniagaan perlancongan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, seramai 12 orang termasuk dua Datuk tersebut telah ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

-UTUSAN

Saturday, March 02, 2013

Tian Chua Diselar Tidak Sensitif Isu Lahad Datu

Tian Chua Diselar Tidak Sensitif Isu Lahad Datu

Beberapa pemimpin dan pemerhati politik hari ini menyelar Naib Presiden PKR, Tian Chua yang dilapor mengaitkan insiden tembakan di Lahad Datu, Sabah hari ini dengan konspirasi terancang kerajaan Umno untuk mengalih perhatian dan menakutkan rakyat.


Mereka berkata, kenyataan Tian Chua itu tidak bertanggungjawab dan keterlaluan memandangkan tindakan pihak berkuasa terhadap kumpulan bersenjata dari selatan Filipina itu bersabit soal keselamatan dan keamanan negara.

Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, kenyataan Tian Chua itu adalah skrip standard dari DAP yang langsung tidak peka dan tidak sensitif kepada isu keselamatan negara.

“Dengan membuat kenyataan seumpama ini, dia boleh dianggap sebagai manusia yang mempunyai martabat paling rendah. Ini adalah satu kenyataan melulu yang tidak kita harapkan daripada seorang manusia yang sopan.

“Apa yang boleh kita harapkan daripada dia apabila kita betul-betul berada dalam peperangan jika dia boleh mengeluarkan kenyataan seumpama itu terhadap insiden pencerobohan di Lahad Datu,” katanya kepada Bernama apabila dihubungi.

Antara lain, laporan yang tersiar di laman berita rasmi PKR itu memetik Tian Chua sebagai berkata pencerobohan di Lahad Datu itu hanya sandiwara kerajaan untuk menakut-nakutkan rakyat, seolah-olah wujud suasana tidak aman di Sabah.

“Ada konspirasi oleh kerajaan Umno untuk mengalih pandangan rakyat Sabah, terutama dalam isu pemberian kad pengenalan kepada warga asing,” kata Ahli Parlimen Batu itu.

Justeru, Tunku Abdul Aziz mahu rakyat menilai peribadi Tian Chua dan berfikir sebelum memilih pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

Dua anggota komando Polis Diraja Malaysia terbunuh manakala tiga lagi cedera dalam insiden tembakan di Kampung Tanduo, Lahad Datu membabitkan kumpulan penceroboh bersenjata dari selatan Filipina.

Kejadian itu turut menyaksikan 12 penceroboh bersenjata yang merupakan sebahagian daripada 180 pengikut ‘Sultan Sulu’ yang dikepung pasukan keselamatan Malaysia, terkorban.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan menyifatkan kenyataan Tian Chua itu sebagai “jahat dan jahil” .

“Umno tidak akan mempermainkan soal keselamatan negara dan tidak mungkin menjadi pengkhianat kepada negara tercinta yang Umno telah berjuang untuk memerdekakan.

“Umno bukan macam pembangkang dalam beberapa peristiwa yang lepas telah mengkhianati negara ini,” katanya.

Bekas Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Datuk Muhammad Abdul Ghani pula berkata, seharusnya semua pihak ketika ini bersatu dan tidak mencampur aduk politik dengan soal keselamatan negara.

Tegasnya, tindakan sewajarnya harus diambil terhadap Tian Chua dan mana-mana pihak yang dilihat menghasut rakyat supaya tidak mengulangi perbuatan sama.

Laman Twitter dan Facebook turut dihujani komen-komen yang menghentam kenyataan Tian Chua itu dan mahu tindakan tegas diambil terhadapnya.

–BERNAMA

Thursday, February 28, 2013

Brennan Tidak Layak Jadi Ketua CIA Kerana Beragama Islam?

Brennan Tidak Layak Jadi Ketua CIA Kerana Beragama Islam?

Bekas ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI) John Guandolo mendakwa Ketua Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang dilantik oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama, John Brennan memeluk agama Islam sejak 90-an lagi.

Brennan dipilih secara merit oleh Obama Januari lalu.

Guandolo mendedahkan, Brennan, 57, memeluk Islam di Arab Saudi dan telah melawat Makkah dan Madinah ketika musim haji bersama pegawai kerajaan Saudi.

Perkara itu didedahkan Guandolo ketika temu bual radio US Trento di Washington.

Dua minggu lalu, Al Arabiya News turut melaporkan, Brennam memeluk agama Islam ketika beliau bertugas sebagai ketua CIA di Riyadh antara 1996 hingga 1999 dan membuat amalan yang dilakukan oleh seorang Muslim.

Guandolo yang bersara dari FBI sejak 2008 itu mendedahkan perkara berkenaan dengan tujuan untuk menyatakan bahawa Brennan tidak layak mengetuai CIA kerana beliau beragama Islam.

“Brennan tidak layak menjawat jawatan di CIA dan penukaran agama itu sudah pasti melibatkan pengaruh seseorang ketika beliau berkhidmat di Saudi,” katanya.

Guandolo yang dikenali sebagai anti-Islam menambah, sekiranya Brennan menerajui CIA maka usaha AS dalam menghapuskan militan Al- Qaeda menjadi sukar kerana faktor pegangan agama masing-masing.

“Saya harap pelantikan beliau ditentang Senat dan Obama perlu meneliti semula pelantikan tersebut kerana seperti ada agenda tersembunyi dalam pelantikan yang tergesa-gesa itu,” katanya.

Brennan pernah menjawat beberapa jawatan penting termasuk Timbalan Penasihat Keselamatan untuk keselamatan domestik dan anti-pengganas selama tiga dekad.

Pelantikan Brennan dikecam penduduk Amerika Syarikat.

Beliau dicalonkan sebagai ketua baru CIA pada 7 Januari lalu oleh Obama bagi menggantikan Jeneral David Petraeus yang bersara susulan skandal dengan penulis biografinya.

Bekas calon Presiden AS, Senator John McCain juga dipercayai tidak akan menyokong pelantikan Brennan sehingga laporan serangan ke atas Konsulat AS di Benghazi, Libya, September lalu diperoleh.

“Kami mahukan laporan penuh berhubung kejadian itu. Obama seolah menganggap kesemua kejadian menimpa pegawai AS di luar negara seperti tidak pernah terjadi,” katanya.

Menurutnya, pelantikan ini seperti satu permainan yang memperjudikan keselamatan AS.

-The Telegraph

Wednesday, February 27, 2013

Gara-gara Terlalu Mabuk Besi Payung Tertusuk Di Muka

Gara-gara Terlalu Mabuk Besi Payung Tertusuk Di Muka

Jessica Yates dilaporkan terlalu mabuk dan secara tidak sengaja terjatuh dari katil hotel dan mukanya tercucuk dawai rangka payung yang baru digunakan.


Disebabkan payung itu tidak ditutup dengan betul, dawainya yang terbuka kemudian menusuk gusi dan tembus ke mulut.

Bagaimanapun, Jessica, 22, dari Solihull, West Midlands, mengakui dia terlalu mabuk ketika itu dan tidak dapat merasai kesakitan itu pada peringkat awal. Rakan Jessica, Laura Sullivan, menghubungi talian kecemasan selepas mendapati kecederaan itu serius dan terlalu berbahaya untuk ditarik sendiri.

Jessica kemudian dibawa berjumpa dengan anggota paramedik dan dikejarkan ke hospital dalam keadaan payung itu masih tergantung di mukanya.

Kata Jessica, di hospital, pegawai perubatan memotong patung berkenaan dan membiarkan kira-kira 15 sentimeter dawai itu masih tercucuk ke mulutnya.

Keadaan Jessica bersama sebahagian daripada dawai 
rangka payung yang terlekat di mukanya.

Dia kemudian dibawa ke hospital kedua dan diberi ubat pelali sebelum membolehkan pembedahan untuk membuang dawai berkenaan dijalankan.

Pengurus kedai kasut itu dibenarkan pulang keesokan harinya dengan beberapa jahitan berserta cebisan payung itu yang masih kekal di gusinya.

Kata Jessica, kemalangan itu berlaku ketika dia dan beberapa kawan berkongsi bilik di Watford selepas puas berpesta.

“Kami menghabiskan malam dengan minum di bar tempatan dan pulang berpayung kerana hujan jam 2 pagi,” katanya. Ketika tiba di bilik, kata Jessica, dia mencampakkan payung kecil itu ke lantai dan tidak menyedari ia dibiarkan dalam keadaan terbalik.

–Daily Mail

Tuesday, February 26, 2013

Pembuat Sos Pedas Terkenal Meninggal Dunia

Pembuat Sos Pedas Terkenal Meninggal Dunia

Ketua pegawai eksekutif dan pengerusi lembaga Syarikat McIlhenny, syarikat yang membuat tanda niaga sos pedas Tabasco dan produk lain, Paul C. McIlhenny meninggal dunia, menurut syarikat itu, Ahad. Beliau berusia 68 tahun.


Satu kenyataan syarikat yang dikeluarkan di ibu pejabat Pulau Avery di selatan Louisiana berkata McIlhenny meninggal dunia pada Sabtu.

McIlhenny merupakan salah seorang ahli keluarga yang mempunyai syarikat berusia 145 tahun dan menghasilkan sos Tabasco yang terkenal di dunia untuk beberapa generasi.

Menurut kenyataan, beliau menyertai syarikat itu pada tahun 1967 dan secara langsung menyelia pengeluaran dan kualiti semua produk yang dijual di bawah jenama Tabasco selama 13 tahun.

Di bawah bimbingan McIlhenny, syarikat itu mengalami pertumbuhan rekod dalam jualan dan pendapatan selama bertahun-tahun dan turut memperkenalkan beberapa perisa baru, sos dan produk lain.

"Semua di syarikat McIlhenny dan keluarga McIlhenny dan Avery amat sedih dengan berita ini," kata Tony Simmons, presiden Syarikat McIlhenny dan ahli keluarga McIlhenny.

"Kami jelas akan merindui kepimpinan Paul tetapi secara khususnya lebih akan merasakan kehilangan kepintaran, daya tarikan dan kelucuannya yang tidak memberikan tekanan."

-mStar