Wednesday, November 15, 2017

Sejarah 9 Dragon Dunia Kongsi Gelap Dan Gengster Di Malaysia

Sejarah 9 Dragon Dunia Kongsi Gelap Dan Gengster Di Malaysia

Selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, pihak British menghadapi masalah kewangan dan ditambah pula dengan boikot kaum pekerja yang dipengaruhi gerakan komunis.

Sejarah 9 Dragon Dunia Kongsi Gelap Dan Gengster Di Malaysia
Gambar hiasan.

British kemudiannya menggunakan konsep perjudian sebagai salah satu modus operandi dalam menarik sokongan masyarakat Malaya dalam gerakan penentangan ke atas komunis antara tahun 1948 hingga 1960.

Maka sebagai alternatif dalam menarik sokongan kaum pekerja yang rata-ratanya memerlukan duit untuk meneruskan kehidupan.

British telah memperkenalkan konsep perloterian dan perjudian lumba kuda. Melalui modus operandi ini sebahagian kaum pekerja menjadi ketagih dan mula menjauhkan diri daripada anasir-anasir komunis.

Akhirnya muncul konsep kongsi gelap yang baharu dan disokong British dalam menghadapi peperangan menentang komunis. Ini terbukti dalam kes gerakan komunis sangat memusuhi kongsi gelap di Shanghai dan berjaya memusnahkannya pada tahun 1949.

Konsep kongsi gelap ini mulai berubah apabila berlakunya peristiwa 13 Mei 1969 dan peperangan Vietnam pada tahun 70-an.

Perubahan ini disebabkan modus operandi kongsi gelap telah beralih kepada perniagaan dadah dan pelacuran.

Pembukaan kelab malam dan pengenalan budaya hipster atau budaya A-go-go telah merancakkan lagi perniagaan dunia gelap.

Akhirnya pada lewat 80-an telah muncul beberapa ketua kongsi gelap yang dikenali 4 Raja Syurga yang berkuasa dalam dunia gelap.

Ini disebabkan beberapa kumpulan kongsi gelap kecil yang dikenali sebagai Naga telah bergabung untuk menyokong Raja Syurga dan dibantu 9 individu yang digelar Harimau Kawasan.

Modus operandi dunia gelap pada zaman 80-an dan 90-an bertumpu kepada perjudian, pelacuran, dadah dan peras ugut untuk wang perlindungan.

Sejak tahun 2000, modus operandi dunia gelap mula beralih kepada perniagaan yang sah melalui industri hiburan, perhotelan, makanan, rokok dan peruncitan.

Melalui dana pusingan modal yang berbilion ini dalam dunia gelap telah disucikan menjadi wang sah dalam perniagaan yang diiktiraf undang-undang.

Mereka juga telah bekerjasama dengan kartel-kartel perniagaan untuk mengawal harga sesuatu barangan di pasaran. Ini disebabkan terdapat penglibatan pemimpin-pemimpin masyarakat dalam Dunia Gelap.

Bantuan dunia gelap ini boleh difahami kerana mereka turut sama menyokong sesetengah pemimpin masyarakat dalam pilihan raya umum terutamanya di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor, Selangor, Sarawak dan sebagainya.

Sokongan mereka juga dapat memastikan keamanan dan keharmonian hubungan etnik dalam sesuatu kawasan.

Ini disebabkan pada hari ini, penglibatan kongsi gelap Melayu, kongsi gelap India, kongsi gelap Sabah dan Sarawak telah berada bersama dalam sokongan kewujudan dunia gelap.

Hubungan kongsi gelap dan gengster berbagai etnik dalam dunia gelap lebih harmoni, saling menghormati dan berdasarkan muafakat bersama.

Maka tidak menghairankan adalah sukar berlakunya pergaduhan kongsi gelap antara etnik di negara ini.

Walaupun begitu, dunia gelap ini masih didominasi oleh kongsi gelap dan corak struktur kepimpinan organisasi dunia gelap hampir sama dengan corak dunia gelap Timur Jauh.

Rasuah dan ugutan adalah satu kebiasaan dalam modus operandi dengan pihak berwajib seperti amalan kongsi gelap dunia gelap Timur Jauh.

Cuma kini pemerdagangan manusia dan senjata menjadikan Malaysia sebagai hab persinggahan sementara sebelum bergerak ke negara sasaran.

Hab persinggahan sementara ini menjadikan 9 Naga dalam dunia gelap diperlukan oleh dunia gelap negara lain.

Sebagai balasan, mereka mampu menjalankan perniagaan pesisir pantai yang dapat mengelakkan percukaian.

Melalui cara ini, perniagaan yang sah tersebut dapat mengelakkan dikenakan cukai jutaan ringgit. Ada kalanya mencecah ratusan juta ringgit.

Wang tersebut digunakan balik untuk pinjaman tanpa berlesen atau berlesen kepada sesiapa yang memerlukannya.

Putaran wang modal ini akhirnya berjaya dicuci dan digunakan untuk pembelian aset seperti tanah dan bangunan di luar negara.

Kejayaan dunia gelap merekrut ahli-ahli baharu untuk terlibat sama ada sebagai pekerja atau penggerak disebabkan faktor ekonomi.

Ditambah pula, dengan kesukaran untuk mendapat kerja bagi mereka yang tercicir daripada alam persekolahan menyebabkan penglibatan ini menjadi mudah.

Tekanan kos sara hidup dan ingin bermewah turut menyumbangkan kepada pengukuhan dunia gelap.

Pada masa kini kumpulan-kumpulan Harimau Kawasan terdiri daripada pelbagai etnik dan jantina termasuklah wanita.

Mereka mempunyai sistem pemerintahan dan undang-undang tersendiri. Setiap kepimpinan tidak diwarisi daripada seorang ayah atau ibu kepada anak, tetapi ditentukan oleh sokongan harimau-harimau kawasan.

Inilah kehidupan dalam dunia gelap. Tidak jauh berbeza dengan dunia cerah yang seperti kita lihat dalam dunia realiti.

Cuma yang memisahkan adalah pekerjaan dan kehidupan kita dengan mereka.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 9 'Dragon' Kawal Aktiviti Judi Malaysia Bernilai 5 Bilion Setahun?

sumber: sinarharian