Friday, April 22, 2022

Israiliyyat: Tidak Benar Tetapi Tidak Didustakan


Selalunya, hadis palsu sangat terkenal dalam kalangan kita bahkan kadang-kadang ia merupakan hadis yang sering kita dengar sedari kecil lagi, menyebabkan timbulnya tanda tanya dan kekeliruan dalam menerima sesebuah cerita berkenaan agama.

Kisah Israiliyyat

Kisah Israiliyyat, apabila mendengarnya, kita akan cenderung untuk menerimanya tanpa sebarang kemusykilan kerana ia juga menggunakan ungkapan seperti hadis daripada Baginda SAW dan sebagainya, membuatkan kita keliru dan jika tidak diteliti kesahihannya, kita akan lebih mudah mempercayainya secara bulat-bulat.

Untuk melihat adakah kisah-kisah Israiliyyat itu benar mahupun tidak, terdapat tiga jenis periwayatan sama ada benar dan diterima ataupun tidak, iaitu:

1. Diakui Kebenarannya Dalam Islam

Kisah Israiliyyat yang boleh dipercayai dan diakui kebenarannya kerana ia bersandarkan kepada dalil Al-Quran atau hadis Rasulullah SAW.

Sebagai contoh, sebuah hadis dari Ibn Mas'ud berkenaan seorang pendeta Yahudi yang mendatangi Rasulullah SAW dan bertanya yang maksud: "Wahai Muhammad, kami mendengar bahawa Allah SWT menjadikan langit dengan satu jari dan semua makhluk juga dengan salah satu jari. Lalu Allah berfirman: "Akulah Raja."

Apabila mendengarkan perihal ini, Baginda SAW tertawa sehingga memperlihatkan gigi gerahamnya sekali gus membenarkan ungkapan pendeta Yahudi tersebut.

Lalu Baginda membacakan firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan mereka (yang musyrik) tidak menghormati Allah dengan penghormatan yang sewajibnya diberikan kepadaNya sedang bumi seluruhnya – pada hari kiamat – dalam genggaman kuasaNya, dan langit tergulung dengan kekuasaanNya. Maha Sucilah Ia dan Tertinggi keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan." (Surah Az-Zumar, 39:67) -(Hadis Riwayat Bukhari no. 4811)

2. Didustakan Dan Tidak Diterima

Kisah-kisah ini adalah yang tidak sahih dan sengaja ditokok tambah. Statusnya batil dan tidak boleh diterima sama ada untuk disandarkan kepada mana-mana amalan atau dijadikan hujah.

Banyak yang sering kita dengar seperti saat kematian Baginda yang menyebut 'ummatku' sebanyak tiga kali, Nabi Isa merupakan anak lelaki Allah dan kisah Harut dan Marut yang merupakan dua orang malaikat yang dihumban ke bumi sebagai hukuman oleh Allah terhadap kesalahan-kesalahan mereka.

Seperti yang disebut di dalam hadis sahih Bukhari yang menceritakan mengenai anggapan orang Yahudi berkenaan isteri-isteri mereka, iaitu:

"Orang Yahudi mengatakan bahawa, jika seorang suami mendatangi isterinya dari arah belakang, maka anaknya nanti akan menjadi juling."

Allah telah memperbetulkan anggapan ini dengan menurunkan firmanNya yang maksudnya: "Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu." (Surah Al-Baqarah, 2:223)

Kisah ini untuk membetulkan anggapan serong orang Yahudi sekali gus menganjurkan untuk menggauli isteri dengan cara yang terbaik dan bukan yang boleh menyakitinya.

3. Tidak Benar Tetapi Tidak Didustakan Dalam Islam

Ia juga disebut sebagai Maskut 'Anhu, iaitu tidak disokong oleh nas Al-Quran dan juga As-Sunnah. Dalam erti kata lain, ia tidak dibenarkan dan juga tidak didustakan kerana boleh jadi kisahnya benar dan boleh jadi juga tidak benar.

Statusnya bersifat pertengahan (tawaquf). Oleh itu, kisah-kisah seperti ini perlu dielakkan daripada digunakan atau disandarkan sebagai hujah.

"Janganlah kalian membenarkan Ahli Kitab dan jangan pula mendustakannya. Sebaliknya ucapkanlah: "Kami beriman dengan kitab yang diturunkan kepada kami (Al-Quran) dan kitab yang diturunkan kepada kalian." (Hadis Riwayat Bukhari, no. 7362)

Kesimpulan

Sebahagian ulama berpendapat bahawa kisah-kisah Israiliiyat boleh disampaikan hanya apabila diyakini kesahihannya.

Walau bagaimanapun, kebanyakan daripada mereka beranggapan bahawa kisah-kisah mereka tidak mempunyai manfaat yang penting apabila disampaikan kerana sifatnya yang bersifat dongeng dan sekadar penceritaan yang umum.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:
sumber: tzkrh

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon