Khamis, Disember 06, 2018

ICERD: Atas Kertas Dan Realiti


Malaysia merupakan salah satu daripada dua negara Islam yang tidak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD). Pada 23 Nov 2018, kerajaan mengambil keputusan untuk tidak meratifikasi ICERD selepas beberapa minggu berlakunya demonstrasi.

ICERD: Atas Kertas Dan Realiti

ICERD yang diusahakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1965 bertujuan menangani masalah perkauman, namun di Malaysia ia dilihat sebagai satu ancaman terhadap kedudukan istimewa orang Melayu (Artikel 153) dan Islam.

FAKTA ICERD

Setakat Nov 2018, sebanyak 179 negara sudah meratifikasi ICERD. Malaysia salah satu dari 18 negara di dunia yang masih belum meratifikasi ICERD.

Selain Malaysia, negara lain yang tidak meratifikasi ICERD adalah Korea Utara, Myanmar, Angola, Bhutan, Brunei dan negara baru - Sudan Selatan.

Baki negara yang belum meratikasi ICERD adalah kepulauan kecil iaitu Kepulauan Cook, Dominica, Kiribati, Kepulauan Marshall, Micronesia, Niue, Samoa, Tuvalu, Vanuatu, Nauru dan Palau.

Dalam dunia Islam, semua negara Islam telah meratifikasi ICERD, kecuali dua negara iaitu Malaysia dan Brunei.

Arab Saudi, Iran, Indonesia, Palestin, Mesir, Pakistan, Iraq dan Turki adalah antara 55 negara Pertubuhan Kerjasama Islam yang meratifikasi ICERD.

Bagaimana isu ICERD timbul?

Pada 28 Sept 2018, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika berucap di Perhimpunan Agung PBB berkata;

"...kerajaan baharu Malaysia telah berikrar untuk meratifikasikan baki instrumen-instrumen teras PBB yang berkaitan dengan perlindungan hak-hak asasi manusia."

Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin, ketika membahas ucapan PBB Mahathir di Dewan Rakyat pada 15 Okt 2018, menimbulkan kebimbangan kesan ICERD terhadap hak istimewa bumiputera.

" Apakah YB menyatakan bahawa Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan kita yang jelas memberi hak atau pun kedudukan istimewa yang berbeza kepada kumpulan (etnik) tertentu kena ada had tempoh?"

Kenyataan Khairy itu dipetik Utusan Malaysia yang melaporkan ICERD akan mengancam kedudukan istimewa orang Melayu dan Islam di negara ini.

Susulan itu, beberapa siri bantahan diadakan dengan Umno dan PAS kemudian mengumumkan akan mengadakan himpunan besar-besaran membantah ICERD.

Khairy menyatakan kebimbangannya berdasarkan Artikel 1(4) ICERD yang membolehkan tindakan afirmatif berdasarkan kaum namun menetapkan agar ia tidak diteruskan setelah objektif dicapai.

Beberapa menteri menekankan berhubung "pengecualian" yang boleh dibuat untuk mengekalkan Artikel 153. Bagaimanapun, persepsi umum menganggap ICERD akan menjejaskan Artikel 153 Perlembagaan.

Artikel 1(4) ICERD: Pendekatan khusus diambil dengan tujuan melindungi perkembangan setimpal kaum atau etnik tertentu. Tidak harus dianggap sebagai diskriminasi kaum, namun ia tidak harus diteruskan selepas objektif pendekatan itu diambil telah dicapai.

Pengecualian dalam ICERD

ICERD membolehkan negara yang meratifikasi konvensyen itu membuat pengecualian. Beberapa negara yang terlibat membuat pengecualian agar konvensyen berkenaan tidak melangkaui perlembagaan negara mereka.

Beberapa negara yang membuat pengecualian ialah AS, Thailand, Papua New Guinea, Nepal dan Jamaica.

Berikut merupakan beberapa contoh:

Thailand

"Thailand tidak menginterpretasi dan memperuntukkan konvensyen ini sebagai satu tanggungjawab yang melebihi perkara yang ditetapkan dalam Perlembagaan dan undang-undang Thailand." [Sumber: Kompilasi Perjanjian PBB]

Nepal

"....Tiada ketetapan dalam konvensyen itu yang dianggap memerlukan atau meluluskan perundangan atau tindakan lain dari Nepal yang tidak sesuai dengan peruntukan Perlembagaan Nepal." [Sumber: Kompilasi Perjanjian PBB]

Malaysia boleh meratifikasi ICERD dengan pengecualian serupa untuk meredakan kebimbangan konvensyen itu akan menjejaskan Perlembagaan Persekutuan.

Sesebuah pengecualian boleh ditolak sekiranya dua pertiga negara yang menyertai Icerd tidak bersetuju dengan pengecualian itu. Namun ia tidak pernah terjadi kerana sukar untuk mendapatkan bantahan dua per tiga dari 179 negara.

Arab Saudi, Yaman, Qatar, Iraq, Iran, Afghanistan dan Sudan adalah negara yang mengamalkan syariah namun sudah meratifikasi ICERD.

Beberapa negara juga membuat pengecualian agar ICERD tidak melangkaui syariah.

Contoh Arab Saudi:

"Kerajaan Arab Saudi mengisytiharkan akan melaksanakan konvensyen ini dengan syarat ia tidak bercanggah dengan apa yang ditetapkan dalam Syariah Islam." [Sumber: Kompilasi Perjanjian PBB]

Finland, Austria dan Jerman membantah pengecualian yang dikehendaki Arab Saudi, namun bantahan itu tidak diterima kerana tidak cukup dua per tiga dari 179 negara yang diperlukan.

Artikel 22 ICERD menyatakan bahawa negara yang tidak bersetuju dengan interpretasi konvensyen itu boleh dirujuk kepada Mahkamah Kehakiman Antarabangsa.

Bagaimanapun, beberapa negara membuat pengecualian bahawa mereka tidak menerima ketetapan itu kecuali ia dipersetujui kedua-dia pihak yang bertikai.

ICERD di atas kertas dan realiti

Di atas kertas, ICERD bertujuan untuk mengikat (binding) sesebuah negara namun ia dilihat sukar dikuatkuasakan kerana tiada badan penguatkuasan.

Sebagai contoh, orang Romania membuat aduan terhadap Slovakia kerana mendiskriminasi dan Jawatankuasa Penghapusan Diskriminasi Kaum mendapati negara itu melanggar ICERD.

Jawatankuasa itu memberikan cadangan namun Slovakia mendakwa ia "tidak mengikat" (non-binding) dan seterusnya tidak peduli cadangan itu.

Jawatankuasa Penghapusan Diskriminasi Perkauman juga menerbitkan laporan tahunan ke atas negara yang meratifikasi konvensyen berkenaan dan pernah mengkritik beberapa aspek undang-undang syariah di beberapa negara majoriti muslim seperti Qatar, Arab Saudi dan Iran. Namun terpulang kepada negara itu untuk menerima atau tidak.

Bagaimanapun, ICERD dilihat berfungsi sebagai rujukan dan garis panduan bagi negara yang terlibat untuk menggubal undang-undang antidiskriminasi.

Pengalaman sebelum ICERD

Ini bukan pertama kali Malaysia berurusan dengan konvensyen seperti ICERD.

Malaysia pernah membuat pengecualian ketika meratifikasikan Konvensyen Berkaitan Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) pada 1999.

Contoh pengecualian CEDAW:

"Kerajaan Malaysia mengisytiharkan bahawa penyertaan Malaysia tertakluk dengan pemahaman dan peruntukan bahawa konvensyen ini tidak bercanggah dengan peruntukan undang-undang Islam Sharia' dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia." [Sumber: Kompilasi Perjanjian PBB]

Terdapat sembilan konvensyen teras hak asasi manusia PBB. Malaysia, setakat ini, sudah meratifikasi tiga daripadanya.

Tiga konvensyen itu ialah Konvensyen Hak Kanak-kanak (CRC), Konvensyen Berkaitan Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), dan Konvensyen Hak Orang Kurang Upaya (CRPD).

Selain ICERD, Malaysia perlu berdepan lima lagi konvensyen yang belum diratifikasi.

Lima konvensyen itu ialah;
  1. Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Politik dan Sivil (ICCPR),
  2. Perjanjian Antarabangsa Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya (ICESCR),
  3. Konvensyen Menentang Penderaan dan Lain-lain Kezaliman (CAT),
  4. Konvensyen Antarabangsa mengenai Perlindungan Hak Semua Pekerja Migran dan Anggota Keluarga Mereka (ICMW),
  5. Konvensyen Antarabangsa Untuk Perlindungan Semua Orang Daripada Kehilangan yang Dipaksa (CPED).

Adakah anda warga bermaklumat?

Selain ICERD, terdapat ahli politik yang menyatakan bahawa lima konvenysen hak asasi manusia PBB lain yang masih tidak diratifikasi Malaysia juga merupakan ancaman kepada negara.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon