Isnin, Oktober 01, 2018

Sambutan Hari Pendaftaran Negara (HPN)


Sambutan Hari Pendaftaran Negara disambut pada 1 Oktober setiap tahun bermula 2013 yang lalu dengan tujuan memberi satu pengiktirafan terhadap pengwujudan dan peranan JPN dalam urusan pendaftaran, pengeluaran dan penyelenggaraan dokumen pengenalan diri semenjak tahun 1881.

Hari Pendaftaran Negara

1 Oktober juga diisytiharkan sebagai Hari Pendaftaran Negara sempena tarikh pengeluaran Kad Pengenalan Kertas pertama yang berlaku pada 1 Oktober 1948, juga dikenali sebagai kad beras.

Kad beras dikeluarkan kepada orang awam secara sistematik dan teratur mulai 1 Oktober 1948 dengan kad pertama bernombor siri 0000001 dikeluarkan kepada Tunku Abdul Rahman, Bapa Kemerdekaan Negara.

Rekod pendaftaran tertua yang ditemui setakat ini masih dalam simpanan JPN, namun begitu sudah ada proses pendaftaran penduduk sebelum itu lagi.

SEJARAH PENDAFTARAN DI MALAYSIA

1807 – Piagam Keadilan 1807 (Piagam Pertama) telah menubuhkan undang-undang Inggeris yang dikenali sebagai Lex Loci (law of the land) di Pulau Pinang.

1826 – Piagam Keadilan 1826 (Piagam Kedua) pula telah menubuhkan undang-undang Inggeris yang dikenali sebagai Lex Loci (law of the land) di Singapura dan Melaka walaupun undang-undang tersebut bukanlah per se menggantikan undang-undang adat. Hasilnya, kes undang-undang dan adat-adat tempatan ini dipinda kepada undang-undang Inggeris.

1867 – Negeri-negeri Selat (Straits Settlements) telah dipisahkan dari Kerajaan di India (oleh operasi kerajaan di bawah Akta Negeri-negeri Selat 1866) iaitu di bawah kuasa perundangan.

1867 – Selaras dengan Surat Kurnia, kuasa perundangan di dalam tanah jajahan telah diluluskan oleh Majlis Perundangan Negeri-negeri Selat (Legislative Council The Straits Settlements).

1874–1899 – Negeri-negeri Melayu Bersekutu (Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang) menjadi negeri naungan Great Britain dari ancaman musuh.

1889 – Digabungkan menjadi Persekutuan Tanah Melayu.

1895 – Sebelum tahun 1895, Persekutuan Tanah Melayu beroperasi secara berasingan, sehinggalah satu undang-undang digubal supaya pengasingan dibuat untuk undang-undang berkaitan dengan pendaftaran kelahiran, kematian, pengebumian, perkahwinan dan perceraian. Pada tahun 1895, ianya beroperasi di bawah Majlis Persekutuan.

Rekod-rekod kelahiran dan kematian yang telah direkodkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia masih lagi dipelihara sejak hampir 150 tahun yang lalu.

Dalam tahun 1948, kad pengenalan pertama telah dikeluarkan semasa waktu darurat (Kawasan-kawasan Pendaftaran). Peraturan-peraturan 1948 telah diperluaskan melalui Ordinan Darurat 1948.

Kad pengenalan untuk Persekutuan Tanah Melayu telah dikeluarkan pada 2 Ogos 1960.

Urusan kelahiran, kematian, pengangkatan, kewarganegaraan dan perkahwinan pada awalnya diletakkan di bawah kerajaan negeri sehingga undang-undang persekutuan dibentuk untuk memberikan perkhidmatan kepada orang awam mengenai perkara-perkara berkaitan pendaftaran.

Jabatan Pendaftaran Negara Tanah Melayu telah dibentuk untuk mentadbir akta untuk Parlimen sehingga ke hari ini.

SEJAK ZAMAN PORTUGIS

Sejarah kepada pendaftaran kelahiran dan kematian di negara ini sebenarnya mempunyai kisah yang cukup panjang.

Berdasarkan sejarah, rekod kelahiran, kematian, perkahwinan serta penceraian telah dicatat secara rasmi sejak zaman penjajahan Portugis di Melaka pada 1511.

Tindakan itu diteruskan Belanda di Melaka namun tiada undang-undang bertulis berkaitan pendaftaran sivil direkodkan sebelum 1868.

Sejak 1886 ketika di bawah pemerintahan Inggeris, Negeri-negeri Selat bermula dengan Pulau Pinang, Melaka, Singapura dan Dinding (Manjung, Perak) telah mencatatkan kelahiran dan kematian di dalam buku lejar dengan menggunakan bahasa Inggeris.

Seterusnya, Negeri-negeri Selat berserta Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan tidak bersekutu mengeluarkan daftar kelahiran yang berbeza rupa.

Bagi daftar kelahiran Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan tidak bersekutu, segala maklumat ditulis dalam bahasa Inggeris dan tulisan jawi sementara daftar kelahiran Negeri-negeri Selat pula menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu menggunakan tulisan rumi.

Daftar kelahiran itu terus kekal sebagai pengenalan diri rakyat negara ini sehinggalah pihak Inggeris menerusi Peraturan Darurat 1948 memperkenalkan kad pengenalan bagi membendung ancaman komunis. Kad itu diperbuat daripada kertas tanpa dibaluti plastik.

Antara ciri yang ada padanya adalah gambar hitam putih, cap ibu jari kanan serta butir-butir asal penduduk tanpa sebarang maklumat mengenai kewarganegaraan.

Begitu pun, di kalangan rakyat, kad tersebut lebih popular dengan nama kad beras berbanding kad pengenalan sebabnya, mereka perlu menunjukkan kad tersebut setiap kali membeli beras.

Tujuannya kerana British tidak mahu bekalan makanan terlepas ke tangan pengganas komunis pada waktu darurat.

Selari dengan peredaran semasa, Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 78) diperkenalkan bagi memperkemaskan lagi sistem pengeluaran kad pengenalan.

Selaras dengan itu, Kad Pengenalan Plastik (KPP) dikeluarkan bermula 1 Ogos 1960 di Semenanjung Malaysia sebelum diperluaskan kegunaannya ke Sarawak pada 30 Mac 1966 dan Sabah pada 1 Jun 1972.

Selain ditambah baik dari segi daya ketahanan termasuk tidak mudah basah dan koyak, kad tersebut mempunyai cap ibu jari kiri dan kanan berserta maklumat yang lebih terperinci.

Selain itu, menerusi KPP inilah bermulanya empat warna kad yang menentukan taraf kewarganegaraan seseorang iaitu biru untuk warganegara Malaysia, merah untuk pemastautin tetap dan hijau bagi pemastautin sementara.

Satu lagi warna iaitu coklat dikeluarkan untuk bekas banduan bagaimanapun, kad pengenalan coklat kini tidak lagi dikeluarkan bagi mengelakkan diskriminasi terhadap golongan berkenaan.

MY KAD

30 tahun berlalu, Malaysia seperti negara-negara lain mula berjinak-jinak dengan pengkomputeran data.

Seiring dengan itu, kad pengenalan bermutu tinggi diperkenalkan dengan nombornya juga adalah unik bagi setiap individu.

Pada mulanya, gambar yang digunakan hanyalah hitam putih sebelum digantikan dengan foto berwarna bermula 1997 sehingga 2000.

Seterusnya, kad pengenalan bermutu tinggi digantikan pula dengan kad pintar bercip yang mampu memberi pelbagai maklumat selain mempunyai pelbagai aplikasi seperti touch n go, kad bank dan sistem pembayaran elektronik Malaysia (MEPS).

Dan kini, rakyat Malaysia sudah bertukar kepada Mykad baharu yang diperbuat daripada bahan polikarbonat yang tahan lasak, kad tersebut menggunakan teknologi turisan laser pada permukaannya selain dilengkapi perlindungan anti salinan bagi mengelakkan pemalsuan.

Itu bermaksud, jika anda menggores gambar atau nombor Mykad tersebut untuk dipalsukan, anda pasti tidak akan berjaya mengubah turisan laser di setiap lapisan Mykad berkenaan sehingga ke bahagian terakhir.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: jpn | utusan

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon