Sunday, August 26, 2018

Misteri Crop Circle Ciptaan Makhluk Asing?


Sekitar tahun 1960-an, penduduk sekitar Tully di Queensland, Australia, gempar dan kebingungan mendapati terdapat banyak bentuk bulatan atau lingkaran misteri di kawasan paya rumpai di kawasan itu.

Crop Circle Tully
Crop Circle di Tully.

Lebih menimbulkan enigma dan teka-teki ialah kemunculan lingkaran aneh itu serentak dengan laporan penduduk yang mendakwa melihat objek terbang tidak dikenali (UFO) berlegar sekitar kawasan itu.

Antaranya, seorang peladang yang mendakwa melihat kapal angkasa berbentuk piring terapung setinggi 12 meter dari kawasan paya sebelum terbang hilang di udara. Peladang terbabit segera meninjau paya dipercayai menjadi lokasi pendaratan piring terbang.

Sebaik tiba, dia menjumpai bentuk seakan lingkaran sepanjang 32 kaki panjang dan 25 kaki lebar terbentuk di tengah paya berumpai itu. Lingkaran itu jelas kelihatan apabila rumput rebah mengikut arah pusingan jam selain rumpai tercabut daripada lumpur paya.

Polis, Tentera Udara Australia dan penyelidik Universiti Queensland segera meneliti kes berkenaan. Dengan pandangan skeptikal kejadian misteri itu didalangi makhluk asing, mereka merumuskan lingkaran aneh itu mungkin berpunca daripada kejadian alam seperti pusaran angin.

Tidak lama selepas kejadian itu, tiga lagi bentuk lingkaran aneh muncul tetapi ribuan batu jauhnya dari Australia.

Tiga lingkaran aneh itu ditemui di padang di Duhamel, Alberta di Kanada menyebabkan Jabatan Pertahanan Kanada menghantar dua penyelidik untuk menyiasat misteri membingungkan itu.

Fenomena aneh

Crop Circle Ansty
Crop Circle di Ansty.

Selepas melakukan penyiasatan, pasukan penyelidik merumuskan bulatan itu bukan terjadi secara semula jadi sebaliknya dihasilkan 'pihak tertentu'.

Mereka bagaimanapun, gagal mengenal pasti pihak bertanggungjawab menghasilkan tiga lingkaran itu atau bagaimana proses penghasilannya.

Sejak itu, semakin banyak lingkaran aneh ditemui di seluruh dunia, malah melangkau benua berbeza termasuk di Russia, Amerika Syarikat, Australia, Eropah dan Asia.

Dengan pantas juga lingkaran aneh 'crop circle' menjadi antara fenomena misteri yang popular pada zaman moden menyebabkan ramai penyelidik tampil melakukan kajian bagi merungkai teka-teki di sebalik kewujudannya.

Ketika itulah mereka menyedari misteri kewujudan lingkaran aneh itu sebenarnya sudah bermula lebih awal dari 1960-an.

Beberapa pengkaji berjaya menemui lembaran risalah berita lama bertajuk The Mowing Devil yang diterbitkan di Hertfordshire, England pada 22 Ogos 1678.

Apa yang mengejutkan ialah laporan berita berilustrasi itu menerangkan syaitan menebas tanaman oat sehingga kawasan ladang itu membentuk lingkaran aneh.

Laporan berita lama berkenaan secara tidak langsung memberi gambaran fenomena lingkaran aneh terjadi akibat pengaruh kuasa alam ghaib sehingga ramai penyelidik dihantui kebingungan dalam cuba memahami dan merungkai misteri itu.

Hari demi hari, pelbagai pihak di seluruh dunia melaporkan penemuan corak bulatan pelik dengan diameter seluas lebih 10 meter.

Bentuk terhasil pula amat menarik, kompleks dan berseni sehingga tidak memungkinkan dihasil dalam tempoh singkat. Corak berkenaan bagaimanapun paling jelas jika dilihat dari udara.

Antara penemuan terbaharu dilaporkan agensi berita BBC News apabila lingkaran aneh bersaiz besar dengan corak amat berseni dipercayai muncul di ladang di Bavaria, selatan Jerman.

Lingkaran gergasi itu dikatakan ditemui pihak tertentu ketika menaiki belon udara panas dan sejak kewujudannya didedahkan, ramai pelawat mengunjungi ladang itu untuk melihat sendiri fenomena aneh berkenaan.

Fenomena lingkaran aneh juga pernah ditemui di sawah di Sleman, Yogyakarta, Indonesia pada Januari 2011 sehingga menggemparkan penduduk dan kerajaan negara itu.

Ketika segelintir pemerhati menganggap ia misteri alam akibat aktiviti paranormal, ada pula pihak tampil menyatakan mereka bertanggungjawab menghasilkan lingkaran berkenaan.

Jika difikirkan secara logik, sememangnya tidak mustahil corak berkenaan dicipta manusia tetapi adakah semua lingkaran aneh sejak lebih 300 tahun lalu itu dihasilkan manusia?

Pengkaji rungkai misteri

Crop Circle at Sutton Hall
Crop Circle di Sutton Hall.

Pengkaji lingkaran aneh yang meneliti fenomena itu selama 17 tahun, Dr Colin Andrews menyatakan 80 peratus lingkaran dihasilkan manusia.

Pandangannya itu secara tidak langsung menjelaskan 20 peratus lagi lingkaran aneh terhasil atas suatu sebab yang gagal dikenal pasti.

Selain dihasilkan manusia serta teori fiksyen fenomena misteri itu terjadi akibat pendaratan UFO, teknologi makhluk asing atau tindak balas entiti alam ghaib, terdapat pendapat lain mengenai proses lingkaran aneh itu berlaku.

Antaranya, penyelidik Russia, Stanislav Smirnov, menerangkan jika batang gandum dimasukkan ke dalam ketuhar pembakar bersama segelas air, maka akan muncul pemandangan berupa lingkaran aneh yang biasa dilihat di ladang gandum iaitu batang gandum rebah dan melengkung.

Beliau bagaimanapun belum menemui punca pancaran gelombang mikro besar sehingga mampu menghasilkan lingkaran aneh di ladang luas.

Penyelidik lain, Anatoly Arzyayev dari Institut Perkakasan Elektrik Seluruh Russia menjelaskan gelombang mikro besar itu mungkin berpunca daripada sambaran petir.

Kesan medan magnetik bumi

Misteri Crop Circle Ciptaan Makhluk Asing?

Teori lain ialah fenomena paranormal itu berpunca daripada kesan medan magnetik bumi yang memiliki daya gerak luar biasa serta menghasilkan arus elektrik sehingga mampu merebahkan tanaman.

Pengkaji Amerika Syarikat, Jeffery Walson, yang meneliti lebih 130 lingkaran di ladang gandum mendapati 90 peratus kawasan kejadian berada hampir dengan alat transformer yang berhubung dengan kabel elektrik serta kawasan pengairan.

Tindak balas ion elektrik alatan berkenaan dan kawasan sekitar menghasilkan tenaga magnetik yang merebahkan gandum lalu membentuk lingkaran aneh.

Penyelidik Universiti Michigan, Amerika Syarikat iaitu Deloris Smith mendapati kebanyakan lingkaran aneh berlaku berhampiran kaki gunung dan lokasi seperti itu didapati mudah sekali berlaku puting beliung.

Semua teori itu bagaimanapun gagal menerangkan bagaimana lingkaran aneh mampu menghasilkan corak menarik dan berseni.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon