Monday, May 07, 2018

Kenapa Tiada Tindakan Terhadap Tuduhan Najib Pencuri?

Seorang taikun perniagaan, Lee Kim Yew menyamakan isu 1MDB dengan 'wabak' yang perlu ditangani walaupun kerajaan berulangkali menegaskan skandal itu membabitkan isu kelemahan "pentadbiran syarikat".

Kenapa Tiada Tindakan Terhadap Tuduhan Najib Pencuri?

Dalam temu bual bersama pengasas Country Heights Holdings Bhd itu, beliau menyeru kerajaan yang akan dibentuk selepas pilihan raya umum (PRU) pada 9 Mei 2018 ini untuk menyelesaikan kemelut berkenaan.

"Skalanya seperti wabak yang menjangkiti rakyat Malaysia dan negara jiran, (terutama Singapura)," katanya.

Ditubuhkan tidak lama selepas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mengambil alih teraju negara pada 2009, pinjaman 1MDB dengan pantas mencecah RM42 bilion.

Menjelang tahun 2015, firma itu berusaha membayar balik pemiutang dan banyak asetnya mesti segera dijual sebagai sebahagian daripada apa yang disebut kerajaan sebagai sebagai "amalan rasionalisasi".

Terdapat pelbagai dakwaan termasuk oleh Jabatan Kehakiman AS (DOJ) bahawa dana 1MDB terlibat dalam penyalahgunaan.

Antara lain, DOJ menuduh seorang pegawai peringkat tinggi yang tidak dinamakan - dikenali sebagai "Malaysian Official (MO1)" -menerima AS$731 juta dana yang didakwa disalahgunakan daripada 1MDB.

Pembangkang, yang dipimpin bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad menggelar Najib dengan pelbagai gelaran negatif termasuk seorang kleptokrat dan pencuri, dalam skandal berkenaan.

1MDB walau bagaimanapun menafikan dananya diseleweng.

Najib pula walaupun mengesahkan laporan Wall Street Journal yang RM2.6 bilion memang disalurkan ke akaun peribadinya, tetapi menyangkal dakwaan penerbitan itu yang ia berasal daripada 1MDB.

Beliau mendakwa wang tersebut adalah "derma" daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali juga telah membersihkan Najib daripada sebarang kesalahan dan berkata wang tersebut telah dipulangkan.

Mengapa tiada tindakan?

Lee berkata, kerajaan atau Najib sendiri, gagal mengambil tindakan terhadap mereka yang telah menjejaskan kedudukannya selaku perdana menteri.

"Mengapa dalam tempoh tiga tahun yang lalu, perdana menteri kita tidak pernah menyaman sesiapa yang menggelarnya seorang pencuri.

"Apabila kamu berdiam diri, kamu mengakui (tuduhan itu) dan tidak bersikap adil terhadap jawatan rasmi yang kamu pegang," katanya.

"Dalam memandang ke hadapan, kita tidak boleh biarkan perdana menteri dipanggil pencuri, penjenayah tanpa melakukan apa-apa," kata Lee, 62, yang merupakan seorang anggota MCA.

Teladani China tangani krisis

Beliau memberikan contoh bagaimana pihak berkuasa Singapura dengan pantas menutup bank yang dikaitkan dengan 1MDB bagi melindungi status negara itu sebagai hab kewangan Asia.

Lee juga berkata China misalnya berjaya menangani krisisnya sendiri apabila membendung wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), serta membasmi rasuah besar-besaran sejak tahun 2003.

Beliau berkata itulah yang harus dilakukan oleh Malaysia apabila menghapuskan rasuah.

Lee sebelum ini dikenali sebagai salah seorang rakan rapat kepada Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Mahathir Mohamad.

Dalam tempoh berkempen berbaki beberapa hari lagi menyaksikan, bekas menteri kanan Tan Sri Rafidah Aziz, Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Rais Yatim memihak kepada negarawan itu.

Lee menafikan temu bual bersama beliau ada kaitan dengan pilihan raya dan mengatakan beliau hanya menyatakan pendapat yang dijamin oleh perlembagaan.

"Saya tidak berada di sini untuk membantu mana-mana parti menang," katanya, sambil menambah beliau berkawan dengan Mahathir dan Najib tetapi menolak untuk menyatakan sokongan terhadap salah seorang antara kedua-dua pemimpin itu.

Nasihat peribadi Lee kepada Najib

Sebagai seorang kawan, Lee menasihatkan Najib agar kekal sebagai presiden Umno, tetapi tidak terus menjadi perdana menteri atau memegang sebarang jawatan kabinet.

"Sebagai presiden Umno, kamu masih mengawal permainan, kamu masih boleh menamakan perdana menteri.

"Nah, saya rasa bila dia buat begitu, BN akan menang besar," katanya.

Menurut Lee, beliau sekarang lebih dekat dengan Mahathir berbanding sewaktu bekas perdana menteri itu berkuasa selama 22 tahun.

Lee mengimbau pertemuan tahunan dengan Mahathir pada Tahun Baru Cina, selain makan malam bersama anggota kabinetnya termasuk Najib sendiri.

Lee yang mengagumi kerja keras Mahathir berkata, "Pada usia 93 tahun, beliau meletakkan kembali dirinya dalam 'penjara', di mana kamu perlu memanggil mesyuarat kabinet setiap minggu. Kamu membakar diri sebagai seorang ahli politik."

Beliau merujuk keputusan HARAPAN menamakan Mahathir sebagai calon perdana menteri sekiranya gabungan itu memenangi pilihan raya umum.

"Dia (Mahathir) kata bahawa dia telah membuat kesilapan dan dia mahu membetulkannya, saya percaya dia ikhlas," katanya.

Lee dalam pada itu turut meminta pengundi menyingkirkan ahli politik yang buruk dan memilih yang lebih baik.

"(Ingatlah) Dahulukan negara, yang lain-lain itu kemudian," katanya lagi.

Menurut Lee, banyak "penyakit" yang dihadapi negara boleh disembuhkan jika berpandukan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon