Khamis, April 05, 2018

Apa Hukumnya Jika Suami Mengaku Bujang? Adakah Jatuh Talak?


Talak dari istilah bahasa bermaksud meleraikan atau melepaskan ikatan manakala istilah syara’ pula bermaksud meleraikan ikatan perkahwinan atau memutuskan akad perkahwinan dengan lafaz talak iaitu menggunakan perkataan yang khusus iaitu lafaz yang terang dan jelas yang membawa maksud talak ataupun menggunakan lafaz kinayah iaitu lafaz sindiran atau kiasan.

Apa Hukumnya Jika Suami Mengaku Bujang? Adakah Jatuh Talak?

Adakah jatuh talak sekiranya seorang lelaki yang sudah mempunyai isteri mengaku bujang sama ada kerana mahu menutup status perkahwinannya di hadapan orang atau sekadar bergurau?

Berikut disertakan beberapa contoh:
  1. Bila ditanya suami itu oleh seseorang, “Adakah kamu sudah beristeri?” lalu dijawabnya, “Saya belum beristeri.”
  2. Seorang suami yang menghantar isterinya balik bercuti ke kampung lalu berkata suami tersebut, “Abang jadi orang bujang la seminggu.”
  3. Seorang wanita berkata kepada lelaki yang sudah beristeri yang baru dikenalinya, “Awak sudah kawin atau belum sebenarnya?” jawabnya, “Saya belum kawin.”
  4. Seorang suami ditanya olih kawannya, “Kemana isteri awak lama saya tidak nampak dia.” lalu suami itu menjawab, ”Saya sekarang seorang duda.”

Maka semua jawapan suami seperti contoh di atas tidak menjatuhkan talak kerana lafaz “Saya belum beristeri”, “Saya bujang”, “Saya belum kawin” dan “Saya duda” tersebut bukan lafaz talak sarih (yang jelas).

Tetapi, jika suami tersebut berniat talak ketika melafazkan semua lafaz seperti contoh di atas maka jatuh talak menurut pendapat yang masyhur di kalangan ulama fiqh kerana ia termasuk lafaz talak kinayah (sindiran) ertinya lafaz talak yang hanya sah jika berserta dengan niat talak.

Manakala sebahagian ulama fiqh yang lain mengatakan ia tidak termasuk lafaz talak Kinayah maka sekalipun berniat talak tidak jatuh talak dan ia dikira lagha tidak ada makna.

Berkata Imam Syairazi yang ertinya, “Dan jika bertanya kepadanya oleh seseorang, "Adakah kamu mempunyai isteri? Maka dijawabnya, "tiada" maka jika tidak berniat ia akan talak dengan lafaz tersebut maka tidaklah jatuh talak dari kerana lafaz itu bukan lafaz yang jelas. Dan jika ia berniat talak dengan lafaz tersebut maka jatuh talak dari kerana ia boleh dipakai makna talak.” (Kitab Al-Muhazzab)

Berkata Imam Nawawi yang ertinya, “Dan jika berkata kepadanya oleh seseorang, "Adakah bagi kamu isteri? Maka berkata ia, "Tiada" dan dia berniat talak dengan kata-katanya itu maka berlaku talak. Tersebut di dalam kitab Furu’, Ditanggungkan bahawa lafaz tersebut bukan lafaz talak yang jelas dan bukan juga lafaz talak sindiran. Pendapat pertama iaitu ia termasuk lafaz talak kinayah ialah pendapat yang masyhur kerana ia boleh jadi bermakna talak.” (Kitab Al-Majmu’)

Kesimpulan

Tidak jatuh talak jika suami mengaku bujang atau belum kawin atau belum beristeri atau duda atau yang semakna dengannya jika suami tersebut tidak berniat talak ketika melafazkan kata-kata tersebut.

Bermain-main dengan lafaz talak atau seumpamanya adalah tidak disukai syara’.

Sekalipun tidak jatuh talak, berbohong adalah perbuatan yang berdosa disisi syara’.

Wallahu a’lam

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 7 Kesilapan Besar Dan Pantang Larang Dalam Hubungan Suami Isteri

sumber: facebook

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon