Saturday, November 11, 2017

Sindrom Pelik Trichotillomania Cabut Rambut Sendiri Sampai Botak!

Loading...

Sayu hati Kerry Shearer, 35, tatkala melihat rambut botak anak bongsunya. Walaupun pada mulanya dia mengakui agak keberatan untuk membotakkan kepala Isla Shearer, namun demi kebaikan kanak-kanak berumur dua tahun itu, dia terpaksa akur.

Sindrom Pelik Trichotillomania Cabut Rambut Sendiri Sampai Botak!

Menurut Kerry, Isla didiagnosis dengan penyakit trichotillomania iaitu satu keadaan gangguan kawalan impuls yang mana penderita terasa mahu mencabut rambut sendiri.

Biasanya, kelakuan tersebut didorong oleh perasaan gelisah dan cemas yang keterlaluan dalam diri individu berkenaan.

Disebabkan tidak mahu Isla berterusan mencabut rambutnya sendiri, Kerry dan suaminya mengambil keputusan nekad untuk membotakkan kepala anaknya itu.

“Isla memiliki rambut yang sangat cantik. Ramai yang memuji rambut perang kerinting yang dimilikinya itu.

“Saya berasa sangat janggal kali pertama melihatnya dalam keadaan botak.

“Bagaimanapun, saya tiada pilihan kerana itu merupakan satu-satunya jalan penyelesaian yang ada buat masa ini. Jika tidak, Isla mungkin akan berterusan menarik rambutnya,” jelas Kerry.

Kawalan impuls

Menurutnya, dia mula mengesan penyakit yang dihidapi Isla selepas seorang kenalan menegur mengenai perbuatan menarik rambut yang dilakukan oleh anaknya.

“Sebenarnya sejak berumur lapan bulan, saya perasan Isla begitu gemar menarik rambutnya.

“Perbuatan tersebut bagaimanapun kerap dilakukan ketika dia ingin tidur dan boleh dikatakan ia menjadi tabiat wajib Isla.

"Biarpun begitu, saya tidak menyangka sebarang perkara aneh atau menganggapnya sebagai penyakit. Sebaliknya, saya berasakan perbuatan tersebut sangat comel.

“Kebetulan, satu hari, saya memuat naik video Isla yang sedang menarik-narik rambut di laman sosial.

“Selang beberapa hari, seorang kenalan menghantar mesej kepada saya dan menyarankan agar memerhatikan tingkah laku Isla dengan lebih kerap.

"Katanya, Isla mungkin menghidap penyakit trichotillomania sama seperti anaknya,” jelas Kerry.

Bermula daripada saat itu, Kerry dan suami mula memantau kelakuan Isla.

“Saya begitu terperanjat apabila mendapati Isla mengulangi tabiat tersebut hampir setiap jam.

“Lebih membimbangkan apabila Isla bukan sekadar menarik rambut, tetapi dia turut menggulung helaian rambut tersebut dengan jarinya sebelum memasukkan ke dalam mulut.

“Luluh hati saya apabila mengenangkan anak yang ceria ini sebenarnya menghidap penyakit gangguan kawalan impuls,” jelasnya.

Tambah Kerry, disebabkan tidak mahu perkara buruk terjadi kepada anaknya, dia mengambil keputusan untuk membotakkan kepada Isla dengan harapan tabiat tersebut dapat dihentikan secara semula jadi dengan kadar segera.

Bagaimanapun, sangkaan Kerry meleset sama sekali.

Ini kerana, Isla kini menjadikan rambut Kerry dan dua anak perempuannya yang lain sebagai mangsa.

“Minggu pertama rambutnya dipotong, Isla kelihatan baik-baik sahaja. Sangka saya, dia sudah sembuh daripada penyakit trichotillomania yang dihidapinya itu.

“Bagaimanapun, ketika memasuki minggu kedua, dia mula menarik rambut saya dan dua orang kakaknya. Walaupun dilarang, Isla tetap tidak mengendahkan kami,” jelasnya.

Pakar pediatrik

Sindrom Pelik Trichotillomania Cabut Rambut Sendiri Sampai Botak!

Cerita Kerry, disebabkan tabiat tersebut tidak dapat dihentikan, dia meletakkan minyak pada rambut anaknya itu bagi menyukarkan Isla untuk menarik helaian rambutnya.

“Bagaimanapun, telahan saya sekali lagi meleset apabila Isla tetap menarik rambutnya sama seperti sebelum ini. Bagi memulihkan penyakitnya itu, saya merujuk Isla kepada pakar pediatrik,” jelasnya.

Dalam pada itu, menurut pakar neurologi di Kolej Perubatan South Florida, Amerika Syarikat, Dr. Heidi Moawad, trichotillomania merupakan sejenis penyakit yang berlaku disebab­kan oleh gangguan kawalan impuls.

“Keinginan untuk menarik rambut berlaku disebabkan oleh kegagalan isyarat otak berfungsi dengan baik.

“Keadaan tersebut mencetuskan rasa kegelisahan dan cemas sehingga mereka cenderung untuk menarik rambut sendiri.

“Bagi penghidap trichotillomania, menarik rambut merupakan salah satu cara untuk mewujudkan rasa lega selain melahirkan kepuasan,” jelasnya.

Penyakit tersebut bagaimanapun boleh dirawat menggunakan terapi dengan menukar tabiat buruk yang lazimnya dilakukan kepada sesuatu yang tidak berbahaya seperti melakukan aktiviti luar seperti beriadah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Apa Sebenarnya Penyakit Autisme?

sumber: kosmo

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon