Tuesday, October 03, 2017

Aplikasi 'Ayo Poligami' Untuk Lelaki Dan Wanita Yang Mahu Berpoligami


Satu aplikasi pencarian jodoh, "Ayo Poligami" yang dilancarkan di Indonesia mencetus kontroversi dan mengundang pelbagai reaksi daripada netizen.

Ayo Poligami

Dilancarkan April 2017 lalu, aplikasi ini menyediakan ciri yang membolehkan pengguna mencari calon isteri kedua, ketiga atau keempat dengan mendedahkan status perkahwinan mereka berserta surat keizinan isteri untuk berpoligami.

Memetik laporan portal, pemilik dan pengasas "Ayo Poligami", Lindu Cipta Pranayama berkata aplikasi itu dibangunkan dengan harapan menemukan lelaki dan wanita yang rela untuk berpoligami.

“Pada asalnya, kami reka laman pencarian jodoh ini untuk membantu golongan bujang yang belum mendapat jodoh, tetapi semasa tempoh pembangunannya, muncul pula isu poligami,” kata Lindu.

Menurut beliau, poligami sebenarnya boleh meruntuhkan sesebuah rumah tangga jika si suami tidak meminta keizinan isteri pertamanya untuk bernikah lagi.

Jadi, itulah sebab dia menekankan keizinan pasangan sebelum seseorang mengambil keputusan untuk berpoligami.

"Kita sudah ada banyak aplikasi untuk mencari calon isteri, tetapi belum ada yang khusus untuk poligami; tiada pilihan untuk itu," jelasnya lagi.

Aplikasi itu, walau bagaimanapun, mendapat kritikan daripada kalangan wanita.

Menggunakan konsep seakan Tinder, aplikasi Ayo Poligami difokuskan buat mereka yang sedang mencari jodoh sama ada bersama janda, duda atau mungkin para suami yang ingin menambah bilangan isteri.

Lebih menarik, aplikasi ini sudah terbukti berjaya menemukan jodoh selepas terdapat pasangan di Indonesia berkahwin selepas berkenalan melalui aplikasi ini.

Mungkin idea ini dilihat sedikit aneh, namun melihatkan kepada komuniti rakyat Indonesia yang majoritinya adalah umat Islam, pembangun aplikasi ini berpendapat terdapat sesuatu yang boleh diubah dalam membolehkan para suami yang ingin berpoligami mencari jodoh dengan lebih mudah.

Setakat ini aplikasi Ayo Poligami cuma ditawarkan di Indonesia dan sedia untuk digunakan semula bermula 5 Oktober 2017, berikutan penyelenggaraan yang dibuat.

Pada pendapat anda, adakah aplikasi ini mampu berjaya sekiranya mula diperkenalkan di Malaysia?

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket | astroawani

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon