Sunday, July 09, 2017

Galakan Dalam Syarak Untuk Membunuh Anjing Ganas


Terdapat hadis bahawa seorang lelaki bertanya Abdullah bin Umar R.Anhuma apakah binatang yang boleh dibunuh ketika seseorang berada dalam keadaan ihram.

Membunuh Anjing Ganas

Beliau menjawab bahawa salah seorang daripada isteri-isteri Nabi SAW menceritakan kepadanya bahawa yang maksudnya, “Baginda pernah menyuruh agar dibunuh anjing ganas, tikus, kala jengking, sejenis burung lang, gagak dan ular.” Riwayat Muslim (1200)

Berdasarkan hadith daripada Aisyah R.Anha, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Kesemua lima jenis binatang adalah fasik, yang boleh dibunuh walaupun di Tanah Haram, iaitu gagak, sejenis helang, kala jengking, tikus, dan anjing ganas.” Riwayat al-Bukhari (1732) dan Muslim (1198)

Berkata Imam al-Syirazi rahimahullah (w.476), “Jika binatang daripada jenis yang membawa mudarat dan tidak bermanfaat seperti serigala, singa, ular, kala jengking, tikus, sejenis burung lang, gagak, anjing gila, pepijat, pinjal dan kutu kepala… maka hukum membunuhnya adalah sunat kerana menolak darurat daripada terkena pada diri sendiri dan orang lain.” Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhazzab (7/314)

Ada pun terdapat hadis bahawa Nabi SAW menyuruh membunuh anjing ialah hadis berikut.

Daripada Jabir bin Abdillah RA berkata yang maksudnya, “Kami diperintah oleh Rasulullah SAW untuk membunuh anjing-anjing, sehingga seorang wanita datang daripada pelusuk kampung dengan anjingnya, maka kami ingin membunuh anjing itu tetapi ditegah oleh Rasulullah SAW daripada membunuhnya lalu bersabda: Hendaklah kamu membunuh anjing yang hitam legam lagi memiliki dua titik (di bawah matanya) kerana itu adalah syaitan.” Riwayat Muslim (1572)

Imam al-Nawawi rahimahullah (w.676) menghuraikan hadis ini dalam al-Minhaj, antaranya:

Maksudnya, “Berkata Imam al-Haramain daripada ashab kami (ulama Syafieyyah) bahawa Nabi SAW mengarahkan agar dibunuh semua anjing pada permulaan sahaja kemudian arahan itu dimansukhkan lalu ditegah daripada membunuh anjing melainkan anjing hitam legam sahaja. Kemudian Syarak menetapkan larangan membunuh apa jenis anjing yang tidak mendatangkan mudarat sama ada anjing hitam atau selainnya.” Rujuk Syarh Sahih Muslim (10/235)

Imam Ibn Qutaibah rahimahullah (w.276) juga mensyarahkan maksud “syaitan” dalam hadis di atas sebagai justifikasi membunuh anjing hitam dalam kitabnya, Ta’wil al-Mukhtalaf al-Hadith (hal.208-209).

Beliau berkata kerana anjing hitam legam adalah sejenis anjing yang paling mudarat dan paling kuat mencederakan.

Ia juga paling kurang manfaat dan paling buruk kemahiran menjaga (harta dan ternakan), paling teruk kemahiran memburunya dan banyak mengantuk.

Ia dipanggil syaitan juga kerana ia paling keji dan mengacau orang, seperti seseorang dipanggil sebagai syaitan, panggilan itu hanyalah untuk menunjukkan sifat syaitan yang derhaka atau singa yang menyerang, atau serigala, yakni itu hanyalah permisalan sahaja.

Boleh jadi juga itu adalah anjing daripada jenis jin, ataupun dipengaruhi jin, jadi yang dimaksudkan dengan anjing hitam itu adalah syaitan lantas dibunuh kerana mudarat padanya. Sedangkan diketahui bahawa Syaitan itu adalah jenis jin yang derhaka.

Adapun kenapa dibunuh semua anjing di Madinah, maka hal itu tidak terbantah kerana tanah Madinah pada zaman Nabi SAW adalah tempat turunnya wahyu Allah Taala bersama malaikat-Nya sedangkan malaikat tidak masuk rumah yang ada padanya anjing atau gambar.

Apakah Yang Dimaksudkan dengan al-Kalb al-`Aqur

Kata Imam al-Nawawi, “Para ulama berbeza pandangan tentang apa yang dimaksudkan dengan al-kalb al-`aqur. Dikatakan maksudnya ialah anjing yang biasa diketahui. Dikatakan pula maksudnya adalah setiap haiwan pemangsa yang menyerang itu dipanggil kalbun aqur daripada sudut bahasa.” Rujuk Syarah Sahih Muslim (8/114)

Imam Ibn Hajar al-Asqalani Rahimahullah (w.852) menyebut beberapa pendapat:

Abu Hurairah RA berkata, “al-kalb al-`aqur adalah singa.” Beliau juga berkata: “Anjing manakah yang lebih ganas menggigit berbanding ular?” Ini menunjukkan istilah anjing ganas itu hanyalah “simpulan bahasa” dari segi bahasa yang merujuk kepada haiwan pemangsa yang menggigit.

Berkata Zufar Rahimahullah, “al-kalb al-`aqur adalah serigala.”

Berkata Imam Malik Rahimahullah (w.179) dalam al-Muwatta, “Setiap sesuatu yang menggigit manusia dan menyerang mereka dan menakutkan mereka seperti singa, harimau, harimau bintang, serigala ialah `aqur.” Ini adalah pendapat jumhur.

Berkata Imam Abu Hanifah Rahimahullah (w.159), “Ia adalah anjing secara khusus yang tidak boleh dikiaskan hukumnya pada bintang lain selain selain serigala.”

Rujuk Fath al-Bari (4/39)

Manakala dalam Lisan al-Arab (4/594), Imam Ibn Manzur Rahimahullah (w.711) berkata, “Ertinya ialah setiap haiwan pemangsa yang memburu dengan menggigit yang melukakan dan membunuh serta menyerang seperti singa, harimau, serigala, harimau bintang dan apa sahaja yang serupa dengannya.

Ia dinamakan anjing kerana persamaan daripada aspek pemangsa. Berkara Sufyan bin Uyainah: Ia adalah setiap haiwan pemangsa yang menggigit untuk melukakan, dan tiada khusus bagi jenis anjing.

Kalimah `Uqur adalah perkataa yang terbina secara hiperbola, tidak disebut sebagai sifat bagi sesuatu melainkan haiwan yang memiliki ruh.

Berkata Abu Ubaid, "Dipanggil setiap yang mencederakan atau melukakan daripada jenis haiwan pemangsa sebagai anjing ganas.”

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Jijik! Cacing Hidup Dalam Badan Babi!

sumber: muftiwp

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon