Sunday, May 21, 2017

Fakta Menarik Dan Sejarah Tentang Lanun

Istilah lanun biasanya digunakan untuk merujuk mana-mana perompak atau penjenayah yang beroperasi di kawasan laut.

Fakta Lanun

Pada peringkat awal, kegiatan lanun disamakan dengan kegiatan mengutip cukai kepada pemerintah. Mereka berperanan sebagai perisik kepada kerajaan maritim. Peranan mereka juga sebagai 'kaki pukul' jika kapal-kapal enggan singgah dan tidak membayar cukai kepada kerajaan maritim.

Kali ini kami mahu berkongsi sedikit info menarik dan sebahagian sejarah tentang kisah-kisah lanun yang pernah berlaku di dunia.

1. Apabila penjelajah Portugis tiba di Laut Hindi, mereka turut berlagak seperti lanun. Sekitar tahun 1500-an, mereka merentasi Afrika dan tiba di India dan terus ke Timur Jauh. Penjelajah Portugis berlagak samseng di lautan luas dengan merempuh kapal pedagang Arab dan merampas kekayaan mereka.

2. Lanun terkenal, William Kidd adalah seorang pemburu lanun sebelum menjadi seorang lanun. Kidd ditugaskan untuk memburu lanun di Lautan Hindi pada tahun 1696. Namun beberapa bulan kemudian, Kidd menyerang kapal dagang dan bukan kapal lanun. Disebabkan kesalahan itu, Kidd ditangkap dan dihukum bunuh. Mayatnya digantung di Sungai Thames dalam sangkar besi selama bertahun-tahun untuk tatapan umum.

3. Pulau Madagascar yang terletak di hujung Afrika adalah kawasan terpencil yang digemari oleh para lanun. Pantainya yang bagus serta hutan tebal di keseluruhan kawasan menjadi tapak terbaik untuk para lanun berehat dan menyembunyikan diri.

4. Kanhoji Angria adalah lanun di Laut Hindi yang paling digeruni. Angria membina rangkaian kubu yang kukuh di sepanjang pantai. Pengikut-pengikutnya ramai dan digelar ‘Angrian’.

5. Penduduk tempatan menyanjung Kanhoji Angria sebagai seorang hero rakyat kerana keberanian beliau menentang tentera laut British.

6. Laut China Selatan adalah kawasan kegemaran bagi kebanyakan Lanun. Lanun daripada tanah besar China paling ditakuti di Laut China Selatan kerana keganasan dan gaya brutal mereka terhadap para pedagang yang diserang.

7. Antara lanun daripada tanah besar China yang paling awal dan paling digeruni adalah Ching-Chi-Ling. Beliau mengepalai 1,000 jong China sehingga menimbulkan rasa gerun kepada kebanyakan kapal dagang.

8. Lanun yang digelar Balanini adalah lanun daripada kepulauan Sulu. Mereka hanya berlayar dengan kanu kecil tapi sangat laju. Mereka akan menyerang pulau-pulau berdekatan dan menculik remaja lelaki dan dewasa untuk dijual sebagai hamba abdi.

9. Pada 1650-an, lanun daripada pelbagai kawasan termasuk daripada Carribean dan Mediterenean menjadikan Port Royal di Jamaica sebagai syurga mereka. Port Royal mempunyai dok untuk membaiki mana-mana kapal lanun yang rosak serta pelbagai kemudahan lain termasuk bar dan pusat pelacuran. British adalah kuasa utama di Jamaica, namun tidak pernah cuba untuk menyerang atau mengacau lanun-lanun yang bersuka-ria di Port Royal.

10. Port Royal adalah tempat paling liar dan mewah pernah ada di dunia. Hampir setiap tempat di bandar tersebut dipenuhi pelacur dan lanun-lanun yang mabuk. Di sini, duit ‘hilang’ dengan pantas. Seorang lanun mampu menghabiskan wang sebanyak 3,000 keping syiling perak dalam satu malam. Wang tersebut sama nilainya dengan poung sterling 45,000 pada hari ini.

11. Pada 1692, Port Royal dilanda gempa bumi yang dahsyat. Turut sama membinasakan bandar ini adalah tsunami yang menenggelamkan perlabuhan ini. Banyak bangunan runtuh dan mengorbankan seramai 4,000 orang. Ramai mendakwa ia adalah bala Tuhan terhadap mereka.

12. Seorang lanun wanita paling digeruni di Laut China Selatan adalah Ching-Shih. Ia bertitik-tolak selepas kematian suaminya pada 1807 yang kemudiannya mengambil alih tugas kapten. Ching-Shih cukup kejam terhadap 'awak-awak' beliau. Mereka wajib mematuhi setiap peraturan dan sekiranya melanggar salah satu daripadanya, hukuman bunuh menanti.

13. Seorang lanun yang paling berjaya adalah Bartholomew Roberts. Beliau dikenali sebagai Black Bart. Kejayaan terbesar beliau adalah apabila berjaya merampas 400 buah kapal pada tahun 1720-an. Namun, apa yang paling hebat tentang Black Bart adalah beliau tidak pernah menyentuh arak apatah lagi mabuk.

14. Sikap disiplin Black Bart turut ditekankan kepada 'awak-awak' beliau. Setiap orang wajib mematuhi peraturan yang dibuat olehnya. Mereka tidak dibenarkan berjudi dan bergaduh di atas kapal. Lilin wajib dipadamkan pada 8 malam setiap malam. Sesiapa yang membawa perempuan naik ke kapal akan menerima musibah paling dahsyat, sama ada di hukum mati atau ditinggalkan di mana-mana pulau terpencil seorang diri.

Menarik kan? Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Watak Pahlawan Islam Dalam Filem Pirates of The Carribean

sumber: takusahrisau

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon