Monday, April 17, 2017

Misteri 'Dua Kali Khutbah' Danau Singkarak


Danau Singkarak merupakan sebuah tasik yang terbentang luas di daerah Sumatera Barat, Indonesia, dengan keluasan danau ini mencapai 107.8 kilometer persegi dan merupakan danau kedua terluas di pulau Sumatera selepas Danau Toba.

Danau Singkarak

Panjang Danau Singkarak menjangkau sehingga 20 kilometer dan lebarnay 7 kilometer dengan kedalaman sehingga 268 meter.

Danau Singkarak terbentuk melalui proses pergerakan dan perubahan struktur topografi yang terhasil dari pergerakan kerak bumi ratusan tahun lalu akibat gempa bumi.

Menurut penduduk sekitar Danau Singkarak, danau ini indah, tetapi awas. Sampai masanya danau ini akan menagih korban!

Tidak tahu benar atau kebetulan, tapi sampai waktunya, danau ini akan menagih nyawa. Pasti ada yang jadi korban.

Selalunya ada yang menyebut, sekali dalam empat tahun, pasti danau ini akan menarik mangsanya. Berapa jumlahnya, itu tidak tentu.

Boleh dikatakan setiap tahun akan ada kedengaran orang lemas di Danau Singkarak, sama ada lemas semasa berenang mahupun kemalangan semasa menaiki bot laju atau ketika beriadah.

Pernah juga berlaku dahulu, sebuah kenderaan yang membawa penumpang jatuh ke dalam Danau Singkarak ini.

Ada yang mengaitkan insiden itu dengan kecuaian pemandunya yang mengantuk tetapi penduduk sekitar percaya ada sesuatu yang membuat 'penghuni' di situ marah hingga akhirnya berlaku kemalangan yang meragut nyawa.

Yang peliknya, pasukan penyelam yang mencari mayat tidak menemui mangsa yang lemas.

Hanya selepas mendapat bantuan bomoh yang berunding dengan 'penghuni' di situ barulah akhirnya mayat yang lemas berjaya ditemui.

Dikatakan juga, kebanyakan mangsa yang lemas adalah pelancong luar kerana kononnya, Danau Singkarak tidak akan meragut nyawa penduduk di situ.

Sebab itulah ada penduduk yang berpesan kepada orang luar yang berenang disitu agar meminum air danau terlebih dahulu.

Kononnya, dengan meminum air Danau Singkarak, anda sudah tergolong sebagai penduduk Singkarak, maka danau ini tidak akan menelan anda kerana ia hanya mengambil korban orang luar.

Misteri Dua Kali Khutbah

Apa yang pasti, penduduk di Singkarak percaya, mereka harus mengelakkan daripada mandi di danau ini apabila tiba hari yang disebut sebagai 'Dua Kali Khutbah'.

Ianya bermaksud, apabila tiba hari Jumaat yang juga jatuhnya hari raya Aidilfitri, dimana akan ada dua kali khutbah dalam sehari (khutbah hari raya dan khutbah Jumaat), maka anak-anak dinasihatkan agar jangan mandi manda di Danau Singkarak ini.

Jika amaran ini tidak diendahkan, maka kecelakaan buruk akan berlaku.

Mengikut kepercayaan, hari Jumaat dimana berlaku 'Dua Kali Khutbah', ketika itulah 'penduduk' di Danau Singkarak juga sedang berpesta.

Maka, kehadiran manusia akan mengganggu pesta dan keramaian mereka.

Diceritakan pada sekitar tahun 1970an dahulu, pada hari raya Aidilfitri, berlaku insiden sebuah bot yang membawa pelancong mengelilingi Danau Singkarak terbalik, mengorbankan kesemua 12 orang penumpang yang merupakan pengunjung luar.

Selepas beberapa hari dan hanya setelah mendapatkan bantuan bomoh dan beberapa ritual, barulah akhirnya mayat mangsa timbul.

Kononnya, 'penduduk' di Danau Singkarak marah apabila bot itu melintasi kawasan mereka ketika mereka sedang berpesta.

Terowong Misteri Danau Singkarak

Selain itu, Danau Singkarak juga popular dengan kisah terowong misteri.

Kononnya, ada satu terowong bawah tanah yang menghubungkan Danau Singkarak ke Danau Maninjau, yang jarak antara keduanya lebih kurang 100 kilometer dan mengambil masa hampir 3 jam perjalanan.

Turut diceritakan kononnya pernah berlaku insiden seorang pemancing yang terjatuh ke dalam Danau Singkarak, sehingga penduduk yang mencarinya menyangka dia sudah mati lemas.

Tetapi, beberapa hari kemudian, pemancing itu ditemui di Danau Maninjau.

Menurut lelaki tersebut, dia telah dibawa berjalan-jalan ke tempat yang indah sebelum tersedar yang dia sudah berada di tempat lain.

Misteri Tangga Batu Bersurat

Begitu juga dengan kisah adanya tinggalan sejarah zaman dahulu yang terbenam di Danau Singkarak.

Kisah kewujudan 'Tangga Batu Bersurat' di dasar Danau Singkarak malah sudah diperkatakan sejak dahulu lagi.

Dikatakan bahawa ada tangga batu yang telah tenggelam di Danau Singkarak ini yang mempunyai kaitan dengan sejarah pemerintahan pada abad ke 15 atau mungkin lebih lama lagi.

Kerajaan purba ini mungkin telah ditenggelamkan oleh gempa bumi yang berlaku pada zaman dahulu.

Sama ada benar wujud tinggalan sejarah zaman dahulu yang terbenam dan dikaitkan dengan terowong misteri di dasar Danau Singkarak ini, jawapannya terus kekal misteri kerana belum ada kajian mendalam dan pencarian besar-besaran dilakukan bagi membuktikan kebenarannya.

Yang pasti, penduduk di sekitar Danau Singkarak akan sentiasa memberi amaran agar berhati-hati.

'Pemandangan Danau Singkarak amat mendamaikan, namun ia boleh jadi membahayakan tanpa disedari'.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

4 comments

  1. Salam kenal.
    Jadi rindu pulang kampung. Kampung saya 96 kilometer lagi, tapi melewati danau singkarak ini.
    Terima kasih.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waa pasti seram hehe.. Salam perkenalan ya. Datanglah selalu :)

      Delete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon