Tuesday, December 27, 2016

Sejarah Agung Disebalik Kemusnahan Kota Purba Allepo

Loading...

Aleppo kini semakin menjadi bualan penduduk dunia terutama bagi mereka yang mengikuti perkembangan konflik yang berlaku di kota itu.

Allepo

Namun, di sebalik apa yang berlaku, Aleppo, kota kedua terbesar di Syria selepas Damsyik merupakan antara kota tertua dunia yang menyimpan pelbagai sejarah peradaban manusia terutama berkaitan perkembangan tamadun Islam.

Berdasarkan bukti sejarah hasil penemuan di tapak arkeologi di Tell Qaramel yang terletak kira-kira 25 kilometer di utara Aleppo, kota itu dipercayai telah dihuni sejak abad ke-11 Sebelum Masehi (SM), menjadikan ia antara kawasan penempatan tertua di dunia.

Namun, di sebalik keagungan Aleppo yang diiktiraf sebagai ibu kota kebudayaan Islam oleh Islamic Educational Scientific and Cultural Qrganization (ISESCO) yang bernaung di bawah Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) pada tahun 2006, kota tersebut kini sedang menuju kehancuran selepas ia menjadi medan pertempuran antara tentera rejim pimpinan Presiden Bashar al-Ashad dengan kumpulan penentang yang terdiri daripada rakyat negara itu sendiri sejak empat tahun lalu.

Kemusnahan yang dialami oleh Aleppo ketika ini telah menarik minat Felo Tetap Institut Tahrir bagi Dasar Asia Barat, Hassan Hassan untuk mengimbas kembali kenangannya ketika dia berada di kota bersejarah itu beberapa bulan sebelum berlaku demonstrasi besar-besaran membantah pemerintahan Presiden Bashar al-Ashad pada Mac 2011.

Orang mula mengenali Aleppo sejak lima tahun lalu disebabkan oleh ketegangan dan pertempuran yang berlaku.

Tetapi, jauh lebih penting daripada itu, kota berkenaan sebenarnya sangat kaya dengan pelbagai sejarah silam dan menjadi saksi kepada zaman kegemilangan dan keruntuhannya selain kejayaan dan kesengsaraan yang dialami ketika ini, jelas Hassan yang juga merupakan penulis bersama bagi sebuah buku bertajuk ISIS: Inside the Army of Terror yang muncul sebagai buku bestseller terbitan New York Times.

Menerusi penulisannya yang disiarkan di portal berita The Guardian, Hassan memberitahu, sejarah telah membuktikan Aleppo pernah muncul sebagai pusat pemerintahan utama di rantau berkenaan dan sesiapa sahaja yang berjaya menguasai kota tersebut, mereka pasti akan turut memiliki kota-kota lain di sekitarnya termasuk Damsyik.

Katanya, semasa zaman pemerintahan Kesultanan Uthmaniyah, Aleppo muncul sebagai pusat dagangan terkemuka mengatasi Damsyik.

Malah, sebuah syarikat perdagangan yang dimiliki bersama oleh Kesultanan Uthmaniyah dan British yang dikenali sebagai Levant Company of London turut menjadikan Aleppo sebagai ibu pejabat mereka sehingga abad ke-18.

Kota terkemuka

Aleppo

Pemandangan Masjid Agung di Aleppo yang telah musnah (kiri) berbanding keindahannya sebelum berlakunya peperangan antara tentera rejim Presiden Bashar dengan kumpulan penentang terdiri daripada rakyat Syria sendiri.

Apa yang diperkatakan oleh Hassan ada benarnya. Jika diselusuri sejarah ringkas Aleppo, kota lama tersebut berada pada kedudukan yang sangat strategik. Atas sebab itulah, ia telah muncul sebagai kota perdagangan terkemuka suatu ketika dahulu.

Faktor itu jugalah yang telah menyaksikan Aleppo pernah ditakluk oleh banyak pihak. Antaranya termasuklah bangsa Hitit pada tahun 2000 SM, Mesir dan Assyiria (abad ke-8 SM), Parsi (abad ke-6 SM), Yunani (332 SM), Rom (64 SM), Arab (635), Tatar (1260), Mongol (1398), Kesultanan Uthmaniyah (1517 M) dan Perancis (1920 M).

Berdasarkan artikel berkaitan Aleppo sebagai kota pertahanan Islam yang pernah disiarkan majalah Milenia Muslim terbitan Julai 2011, penulisnya, Muhammad Nuruddin Bashah menggambarkan bahawa Aleppo pernah muncul sebagai kota ketiga terbesar selepas Konstantinopel dan Kaherah pada zaman pemerintahan Kesultanan Uthmaniyah.

Aleppo juga pernah muncul sebagai kota terkemuka dalam bidang ekonomi, sejarah, artistik dan kebudayaan Islam di samping memiliki banyak tinggalan kebudayaan Yunani, Kristian, Parsi dan Babylon sejak 15 abad yang lalu.

Malah, warisan seni bina bangunan yang ada di sekitar Aleppo banyak dipengaruhi oleh kesenian kerajaan Umayyah, Abbasiyah, Hamdaniyah, Seljuk, Zankiyah, Ayubiyah, Mamluk hingga Uthmaniyyah.

Allepo

Antara bangunan bersejarah yang menjadi tarikan utama di Aleppo sehingga kini ialah Benteng Aleppo atau dikenali sebagai Citadel yang dibangunkan oleh Sultan Faraj bin Barquq (Sultan Bani Mamluk Mesir) pada tahun 1406 Masehi (M).

Citadel pernah menjadi kubu pertahanan penting bagi tentera Islam di bawah pimpinan Sultan Salehuddin al-Ayubi semasa berlakunya Perang Salib dan merupakan kubu pertahanan tertua dan paling besar yang masih wujud hingga hari ini.

Satu lagi binaan bersejarah yang sudah berusia ribuan tahun di Aleppo ialah Masjid Agung yang dibina oleh Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik (Umayyah).

Ia meniru seni bina Masjid Damaskus. Pada menaranya tertulis tahun 1090 dan nama Sultan Malik Syah (penguasa Seljuk), Kadi bin al-Khashshab, dan Tutusy (penguasa Seljuk pada tahun 1078).

Disebabkan berlaku kerosakan akibat berkali-kali diserang dan dihancurkan, masjid tersebut kemudiannya telah dibaikpulih pada tahun 1158 ketika zaman pemerintahan Nud ad Din.

Aleppo turut terkenal sebagai sebuah pusat melahirkan tokoh penting dalam khazanah keilmuan dan peradaban Islam.

Antara tokoh di Aleppo yang menjadi perhatian dunia hingga kini atas usaha gigihnya mempertahankan tradisi keilmuan Yunani dan keilmuan kebudayaan Islam ialah Al-Farabi.

Tokoh

Allepo+War

Al-Farabi mengembangkan karya-karyanya di Aleppo selepas berhijrah dari Baghdad pada akhir tahun 942 M.

Tokoh kedua yang terkenal di Aleppo ialah al-Khawarizmi. Al-jabar (Algebra) merupakan buku pertama karya Khawarizmi yang membahas penyelesaian persamaan linear dan kuadrat.

Beliau juga mengasaskan sistem pernomboran perpuluhan. Al-Khawarizmi begitu berpengaruh hinggakan perkataan logaritma diambil dari perkataan Algorismi yang merupakan perkataan latin daripada nama beliau.

Bagaimanapun, kesemua itu kini sudah tinggal kenangan kerana hampir kesemua bangunan bersejarah yang dahulunya menjadi berdiri megah dan menjadi lambang peradaban Islam sejak berabad lamanya telah runtuh menyembah bumi.

Kesemuanya gara-gara tindakan kejam tentera rejim pimpinan Bashar yang cuba menghapuskan kumpulan penentang yang terdiri daripada rakyat Syria berfahaman Sunni tanpa sebarang belas kasihan.

Lebih memburukkan keadaan apabila Bashar melakukan serangan besar-besaran terhadap kawasan yang dikuasai kumpulan penentang terutama di timur Aleppo selepas mendapat bantuan ketenteraan daripada sekutunya iaitu Russia dan Iran.

BACA INI JUGA: Pemimpin Terbaik Yang Disebut Dalam Hadis Nabi

Sumber: Kosmo

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon