Thursday, October 13, 2016

Sajada, Inovasi Tikar Sembahyang Membantu Kanak-kanak Belajar Solat


Ketika banyak pihak lebih memfokuskan untuk menghasilkan bahan bacaan pendidikan Islam, zikir dan al-Quran digital untuk manfaat kepada kanak-kanak, Little Fateh Sdn Bhd mengambil keputusan menghasilkan sejadah.

Sajada

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Faqimi Mohd Fauzi berkata, produk yang dihasilkan ialah Sajada iaitu sejadah luar biasa yang lebih praktikal dan interaktif untuk mengajar kanak-kanak bersolat.

Menurutnya, sejadah tersebut dilengkapi dengan bacaan dalam solat yang dapat membantu kanak-kanak menunaikan solat.

"Kami menghadapi pelbagai cabaran sebelum menghasilkan produk ini kerana ia memerlukan ketelitian dan penjagaan rapi. Ia didatangkan dua alat iaitu sejadah dan peranti yang mengalunkan bacaan dalam solat.

"Saya melakukan kajian yang mendalam mengenai bacaan yang perlu diselarikan dengan pergerakan dalam solat. Lebih 10 kali saya melakukannya untuk mendapatkan Sajada yang betul-betul menepati permintaan pelanggan," katanya.

Bagaimanapun, ia tidak mematahkan semangatnya bersama rakan-rakan lain kerana mahu menghasilkan sesuatu yang boleh membantu orang ramai terutamanya yang mempunyai kekangan masa dan tidak sempat mengajar anak bersolat.

"Sejadah ini dalam proses mendapat kelulusan daripada Jabatan Agama Islam Malaysia," katanya.

Latih kanak-kanak solat

Ahmad Faqimi berkata, walaupun mempunyai latar belakang akademik dalam bidang komunikasi, dia mahu membantu masyarakat di negara ini untuk bersolat.

"Ramai yang menerbitkan bahan dan panduan bersolat. Saya mahu melakukan sesuatu yang unik dan memilih sejadah biasa untuk diubah menjadi luar biasa.

"Kami mahu mengeluarkan satu produk inovasi untuk membantu umat Islam di Malaysia, belajar mengenai solat terutamanya kanak-kanak.

"Seawal usia anak lima tahun, mereka sudah menghafal langkah-langkah untuk solat dan mengingati setiap surah untuk dibacakan ketika solat.

"Sekiranya anak-anak tersilap pergerakan, ‘smart sensor’ akan kesan kesalahan dan seterusnya akan berbunyi 'beep' menandakan adanya kesalahan," katanya.

Menurutnya, Sajada disediakan dengan lima waktu solat untuk dipelajari, lebih lengkap dan memudahkan, malah dilengkapi dengan sistem 'Rakaat Counter' untuk mengingatkan jumlah rakaat ketika solat.

"Ia mengandungi 24 surah pendek untuk membantu menghafal bacaan ketika solat.

"Untuk mendapatkan arah kiblat yang betul, kami turut menyertakan kompas kiblat dalam sejadah ini," katanya.

Menariknya, alunan bacaan dalam solat tersebut adalah daripada qari terkenal.

"Sajada ini merupakan inovasi pertama yang pernah dihasilkan untuk mengajar cara untuk bersolat, dilengkapi sensor solat yang mana di bawah lapisan sejadah mempunyai sistem sensor yang mampu mengesan setiap pergerakan solat.

"Sajada disesuaikan kepada kanak-kanak berumur 4 sehingga 8 tahun, boleh didapati di rangkaian pengedar kami di seluruh Malaysia," katanya.

Dilengkapi 'smart panel'

Cara penggunaannya, ia tidak perlu disambungkan kepada elektrik kerana Sajada dilengkapi 'smart panel' yang hanya perlu diaktifkan dengan bateri bersaiz 2A.

"Ia berfungsi apabila kaki mula diletakkan di atas sejadah, sensor di bawah lapisan sejadah akan mengesan dan smart panel mula menunjukkan langkah-langkah untuk bersolat," katanya.

Walaupun berada dua bulan dalam pasaran tempatan dan luar negara antaranya Singapura dan Brunei, Sajada terjual 700 unit dengan harga RM299 setiap satu.

"Alhamdulillah, kami menerima tempahan di luar jangkaan. Setakat ini, kami tidak menerima tempahan kerana tidak mampu memenuhi permintaan tinggi.

"Kami akan buka tempahan semula dalam masa terdekat.Kebanyakan pelanggan berpuas hati dengan Sajada," ujarnya.

Katanya, syarikat menyasarkan jualan 100,000 unit Sajada di pasaran tempatan, Singapura, Indonesia dan Emeriyah Arab Bersatu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

3 comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon