Tuesday, October 04, 2016

Pesawat TUDM Terhempas Di SMK Balung Tawau!


Helikopter jenis Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) disahkan terhempas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balung di Tawau.

TUDM

Kejadian dilaporkan merosakkan bangunan Pusat Kemahiran Hidup Sekolah Menengah Kebangsaan Balung di Tawau.

Menurut satu kenyataan dikeluarkan Markas TUDM Kementerian Pertahanan, helikopter TUDM tersebut yang sedang membuat latihan penerbangan telah membuat pendaratan cemas berhampiran sekolah itu.

"Semua anak kapal dan penumpang helikopter tersebut selamat," katanya.

"Helikopter Nuri yang membawa 14 penumpang berlepas dari pangkalan pada jam 7.35 pagi bagi membuat latihan penerbangan biasa.

Kejadian pendaratan cemas itu berlaku pada jam 9.35 pagi.

Menurut kenyataan itu, TUDM telah menghantar pasukan penyelamat ke kawasan insiden dan mengawal kawasan sebelum mengambil tindakan bagi membawa keluar helikopter tersebut.

"TUDM juga sedang membuat penilaian ke atas kawasan insiden sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

TUDM

"TUDM akan menubuhkan satu pasukan penyiasatan bagi mengenal pasti punca kejadian," tambahnya.

Sementara itu, Bernama melaporkan, 14 anggota tentera yang cedera dikejarkan ke Hospital Tawau selepas helikopter tersebut terhempas di atas bumbung Pusat Kemahiran Hidup sekolah itu.

Memetik Penolong Penguasa Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Tawau, Sahidi Mahali, tiga pelajar serta pekerja kantin sekolah difahamkan turut tercedera dalam kejadian itu.

Difahamkan helikopter berkenaan cuba hendak mendarat di padang sekolah itu, namun terhempas.

Salah satu bilah kipas helikopter turut dikatakan terpelanting kira-kira 200 meter.

[Kemaskini]

19 cedera termasuk juruterbang, pelajar

TUDM

Seramai 19 orang telah disahkan tercedera dalam kejadian helikopter Nuri terhempas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balung di Tawau

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus berkata, mereka terdiri daripada lima orang pelajar sekolah dan 14 kru pesawat yang berada di dalam helikopter tersebut, termasuk juruterbangnya.

"Kesemua mereka yang cedera telah dihantar ke Hospital Tawau untuk pemeriksaan dan rawatan. Beberapa pelajar lain juga dikatakan trauma.

"Sekarang, pihak hospital bersama dengan Jabatan Pertahanan Awam, bomba, Jabatan Penerbangan Awam, penyiasat dalaman tentera dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengawal tempat kejadian dan akan menjalankan penyiasatan sepenuhnya," katanya pada satu sidang media di Tawau.

Berikutan kejadian itu, menurut Fadil, SMK Balung diarahkan ditutup buat sementara waktu memandangkan seluruh sekolah itu merupakan tempat kejadian.

Fadil berkata, antara mereka yang cedera, ada yang dalam keadaan parah, sambil menambah, juruterbang helikopter milik Tentera Udara Diraja Malaysia itu merupakan mangsa terakhir dibawa keluar dari pesawat itu.

Beliau juga berkata, para pelajar sekolah itu telah digerakkan keluar dari kawasan sekolah yang kini merupakan kawasan larangan.

BACA INI JUGA: 5 Nahas Pesawat Yang Disengajakan Juruterbang

Sumber: Astroawani | MK

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon