Tuesday, September 20, 2016

Keunikan Aura Klasik Jambatan Golden Gate San Francisco


Terkenal dengan sejarah pelombongan emasnya satu ketika dahulu, San Francisco, kota yang berpusat di California, dengan statusnya sebagai sebuah metropolitan sememangnya mempunyai pelbagai keunikan.

Golden Gate

San Francisco menawarkan pelbagai pengalaman gastronomi, seni, budaya dan tarikan pelancongan yang mempesonakan para pengembara dari seluruh dunia.

Sebut apa sahaja, Pulau Alcatraz, Fisherman Wharf, San Franciso Zoo, Chinatown, North Beach, Golden Gate Park, California Academy of Sciences dan sebagainya, semua menjanjikan keistimewaan tersendiri.

Bagaimanapun, kunjungan ke San Francisco seakan tidak sempurna sekiranya tidak melawat salah satu mercu tandanya yang paling terkenal di dunia iaitu Jambatan Golden Gate.

Dibangunkan dalam konteks bandar dan dalam gaya moden berstruktur, jambatan sepanjang hampir tiga kilometer itu menghubungkan kota itu di hujung utara Semenanjung San Francisco ke Marin County merentangi Golden Gate, bukaan Teluk San Francisco dari Lautan Pasifik.

Direka oleh arkitek, Joseph B. Strauss, jambatan itu mengambil masa selama lima tahun untuk disiapkan iaitu dari tahun 1933 hingga 1937 dengan kos sekitar AS$35 juta (RM107 juta).

Mengaplikasikan binaan kerangka logam dan kabel logam sebagai bahan asas binaanya, ia turut diiktiraf sebagai jambatan kabel terpanjang dan tertinggi di dunia sehingga 1964 sebelum diambil alih oleh Jambatan Verrazano-Narrows di New York.

Sebaik siap, jambatan itu pantas mengundang perhatian masyarakat dari seluruh dunia.

Keunikan Jambatan Golden Gate terletak pada dua buah menara unik setinggi 250 meter yang merentanginya di samping penggunaan warna jingga sebagai tema keseluruhan strukturnya yang memukau pandangan mata.

Pada masa yang sama, ia juga diserlahkan dengan keindahan panorama di sekitar jambatan itu yang berlatar belakangkan Lautan Pasifik yang membiru.

Jambatan itu direka dengan spesifikasi keselamatan tinggi dan mampu menampung bebanan sehingga 25 juta kilogram.

Terdapat plaza tol yang disediakan bagi pengguna jalan raya yang ingin merentasi jambatan itu. Menyediakan laluan kenderaan enam lorong, dianggarkan ia dilalui kira-kira 120,000 kenderaan setiap hari.

Di samping kenderaan, jambatan itu juga turut menyediakan laluan pejalan kaki untuk orang ramai dan pengguna basikal di kedua-dua arah.

Biarpun direka untuk menampung berat yang ekstrem, namun satu malapetaka hampir berlaku di atas jambatan itu pada 1987 apabila lebih 400,000 penduduk kota itu berkumpul di atasnya bagi meraikan sambutan ulang tahunnya yang ke-50.

Biarpun tiada tragedi buruk yang berlaku, struktur jambatan yang tiba-tiba bergoyang akibat lebihan muatan dan angin kencang turut mencemaskan orang ramai.

Sejak itu pihak berkuasa tidak lagi mengadakan perhimpunan besar-besaran di atasnya demi keselamatan.

BACA INI JUGA:

Sumber: Kosmo

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon