Aug 25, 2016

Cerpen: Aku Gagal Dalam Bercinta

Gagal? Siapa yang tak pernah gagal dalam hidup kan? Hidup tak bermakna tanpa kegagalan. Sebab dari kegagalan itu kita belajar untuk tempuh kejayaan.

Gagal Dalam Bercinta
Gambar hiasan.

Tapi aku? Berada dalam penyesalan sebab kegagalan. Sedihnya hidup! Kalau aku boleh undur semula masa, aku yakin aku takkan buat kesilapan yang sama.

Tapi siapa aku untuk mempersoalkan takdir? Semua ketentuan-Nya. Aku redha. Kerana kegagalan itu juga, penyesalan hingga ke hari ini aku terpaksa tempuh.

Tetapi kegagalan aku ini, aku harap orang lain tidak akan ulang kegagalan yang sama. Aku harap!

Aku, Talhah dan Yusrina sahabat baik dari kecil lagi. Kemana sahaja pasti bersama-sama.

Satu taman perumahan itu tahu kami macam belangkas. Di mana ada Yusrina, pasti ada aku dan Talhah juga. Kembar siam tapi berbeza ibu bapa.

Kami satu sekolah dari tadika hinggalah ke sekolah menengah. Bagi aku Talhah seperti abang dan Yusrina seperti adik.

Dilahirkan sebagai anak tunggal membuatkan aku lebih banyak masa dihabiskan dengan mereka berdua.

Ibu bapa aku pun sudah kenal rapat dengan Keluarga Talhah dan Yusrina.

Selepas mendapat keputusan SPM, kami terpaksa membawa haluan masing-masing.
Yusrina di hujung utara, aku dan Talhah pula di ibu kota. Jarak perhubungan tidak membataskan kami untuk terus berhubung.

Walaupun di kolej masing-masing kami semua telah mempunyai teman yang lain tetapi persahabatan kami tidak pernah pudar.

Dari ke hari kami menjadi semakin rapat. Setiap cuti semester, kami pasti akan keluar bersama-sama.

“Kau apa cerita sekarang? Seronok dapat kawan baru?” soal Talhah pada aku.
Petang itu mereka bertiga bejumpa di tempat biasa berdekatan dengan taman perumahan mereka.

“Biasa sahaja.” jawab aku malas.

“Dah ada orang minat kawan kau ini,” usik Yusrina.

Aku terus mencubit Yusrina. Minah ini memang tak boleh simpan rahsia betul.

“Owh tak nak bagi tahu aku. Sekejap aku pergi beli air untuk kita,” balas Talhah cuba bertenang.

Talhah sudah mula tidak sedap hati apabila ada seseorang cuba mendekati aku.

Baik dia pergi membeli minuman. Dia takut untuk berlama disitu. Takut reaksi mukanya akan berlainan nanti. Dia melangkah longlai.

Entah mengapa dia tidak suka mendengar perkabaran itu. Amelia teman baiknya itu sudah ada lelaki yang meminati? Selama ini mereka cuma bertiga sahaja.

Tidak pernah terlintas kawan-kawan baiknya itu untuk bercinta dengan mana-mana lelaki sekalipun.

Berbeza sekarang. Tapi kenapa dia harus rasa begini?

“Aku suka Talhah,” Selamba Yusrina meluahkan rasanya itu kepada aku. Waktu itu tinggal mereka berdua sahaja yang ada di situ.

“Semenjak bila?” soal aku.

“Semenjak kita tingkatan satu,” jawab Yusrina dengan senyum hingga ke telinga.

Lega rasanya apabila telah memberitahu seseorang. Selama ini dia memendam sahaja perasaanya itu. Tapi kini mereka sudah dewasa.

Tidak lama selepas itu, Talhah datang mendekati mereka bersama tiga air kotak ditangannya.

Mereka sambung berbual-bual. Menceritakan tentang perkembangan terbaru hidup mereka selepas bergelar pelajar kolej. Lewat petang barulah mereka pulang ke rumah masing-masing.

Entah mengapa, kata-kata usikan Yusrina tentang seseorang sedang meminati Amelia membuatkan dia tidak tenang.

Kata-kata kawannya itu terngiang-ngiang di telinganya. Satu perasaan yang berbeza. Sepatutnya dia pun turut berasa gembira dengan perkabaran itu.

Tetapi lain yang dirasainya kini. Talhah cemburu?

Semenjak hari itu Talhah kerap kali menghubungi aku secara peribadi. Kebiasaanya kami akan berbual di ‘group Whatsapp’ sahaja.

“Boleh aku tanya tak? Kenapa kebelakangan ini kau selalu telefon aku,” soal aku. Aku pelik. Talhah seolah-olah lain macam sekarang ini.

“Kenapa ada orang marah kau ke? Kau tak suka ke?” soal Talhah tidak berpuas hati.

Salah ke dia menelefon kawan baiknya itu? Entahlah dia sendiri tidak tahu kenapa dengan dia kini. Dia asyik terbayang-bayang akan kawan baiknya itu.

“Bukan macam tu. Aku suka. Tapi pelik. Yelah dulu tak pun,” jawab aku jujur.

Aku memang suka Talhah mengambil berat tentang diri aku. Entahlah, semenjak pulang ke kolej hari itu aku perasan yang perasaan aku berubah sedikit terhadap Talhah.

Keperihatinan Talhah semenjak dua menjak ni membuatkan aku rasa lain. Tapi aku harus sedar yang keperihatinan itu adalah keperihatinan seorang sahabat kepada sahabatnya.

“Dulu kau depan mata. Sekarang dah jauh. Aku risau,” balas Talhah.

Aku yang mendengar cuma tergelak. Dari hari ke hari kami berdua semakin rapat. Sehinggalah satu hari itu tiba-tiba Yusrina menelefon aku.

“Aku rindu Talhahlah. Dah lama dia tak telefon aku. Aku telefon dia tak angkat pula,” adu Yusrina.

Aku terdiam. Baru sebentar tadi, Talhah menghubunginya. Hampir setengah jam mereka berdua berbual.

“Owh ye ke. Dia sibuk kot..” pujuk aku. Aku tak tahu apa jawapan terbaik ketika itu.

Tapi pelik, kenapa Talhah tidak menghubungi Yusrina. Mereka bertiga kawan baik. Selama ini layanan Talhah kepada mereka berdua sama rata.

“Aku rasa aku kena bagitahu dia yang aku suka dia. Kau rasa?” soal Yusrina pada aku. Aku terdiam. Tidak tahu nak beri jawapan yang sesuai ketika itu.

Baru aku sedar, aku kena buang perasaan aku yang sudah mula menyayangi Talhah sebagai seorang lelaki yang paling rapat, bukan lagi sebagai seorang rakan baik.

Petang itu, Talhah menghubungi aku.

“Kenapa kau tak telefon Yusrina?” soal aku.

“Aku tak rasa nak telefon dia,” jawab Talhah selamba.

“Dia suka kau,” selepas lama berdiam, aku berterus terang.

“Aku tak suka dia. Aku suka kau,” balas Talhah selamba.

“Tak lawak.”

“Aku serius. Aku suka kau. Aku tak tahu sejak bila aku mula suka kau. Tapi yang pasti aku suka kau sebagai pencinta bukan sebagai kawan baik. Aku tau kau pun suka aku kan?” luah Talhah serius.

“Tak. Aku tak pernah suka kau. Kau kawan baik aku, sampai bila-bila kau akan jadi kawan baik aku,” tutur aku.

Air mata yang merimbis dipipi aku seka perlahan. Aku terus mematikan telefon. Aku takut Talhah tahu aku menipu.

Aku rasa itu adalah yang terbaik. Aku tak sanggup kehilangan sahabat baik aku, Yusrina.

Persahabatan kami akan terus kekal begini sampai ke akhirnya. Tiada apa yang berubah. Cinta Yusrina pada Talhah mungkin lebih besar dari cinta aku pada Talhah.

Hampir sebulan kami tidak berhubung. Bila aku pulang ke rumah pun, aku tidak menghubungi mereka.

Aku tahu Talhah sangat terkesan bila aku ‘friendzone’ dia. Tapi lebih baik begini. Dari aku bergaduh dengan Yusrina tentang seorang lelaki.

“Kamu tak jumpa Talhah dengan Yusrina ke? Mak tengok tadi Yusrina datang rumah Talhah,” soal ibu apabila melihat aku cuma ‘mereput’ sahaja dirumah cuti kali ini.

Jarak rumah Talhah dan rumah aku bukanlah jauh manapun. Selang dua tiga buah rumah sahaja.

“Malaslah mak,” jawab aku malas sambil mata aku masih tidak berkalih dari melihat sinetron di televisyen ini.

Hakikatnya, mata saja yang memandang kaca televisyen tersebut. Minda entah hilang ke mana.

“Kamu bergaduh ya?” soal ibu. Aku cuma menggeleng. Sakit kepala aku memikirkannya.

Selepas ke rumah Talhah, Yusrina singgah ke rumah aku.

“Kau kenapa? Tak nak lepak?” soal Yusrina. Dia tahu Talhah dan aku ada menyembunyikan sesuatu.

“Aku banyak kerja,” jawab aku malas. Betul tiada mood sekarang.

“Kerja apanya? Dari tadi mak kau kata kau tengok televisyen,” bebel Yusrina.

“Kau ada apa-apa nak cerita dekat aku ke?” soal aku. Memotong kata-kata Yusrina.

Kalau kawan baiknya ini membebel, sampai ke esok tak habis.

“Talhah nak masuk meminang aku. Dia kata dia suka dekat aku. Lepas aku bagitahu dia aku suka dekat dia hari itu,” cerita Yusrina penuh perasaan.

Aku terdiam.

Lelaki semua sama.’

“Owh ye ke. Baguslah tu,” tutur aku gembira. Aku turut gembira dengan berita itu walaupun sedikit terperanjat.

Pagi itu, ibu meminta aku untuk menghantar bubur jagung yang di masaknya ke rumah Talhah.

Dulu memang kerap kali kami bertukar-tukar makanan. Akulah yang selalu di minta ibu untuk menghantarnya.

Ikutkan hati malas, memang malas betul untuk aku menghantar bubur itu. Tapi ini sahajalah peluangnya untuk bertemu dengan Talhah.

Aku mesti buat macam tiada apa-apa yang berlaku.

“Ibu suruh hantar bubur,” Aku menghulurkan mangkuk bubur yang ada ditangan tadi ke tangan Talhah. Dia menyambut mangkuk itu.

“Terima kasih. Singgahlah dulu,” pelawa Talhah. Dia juga berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku antara kami.

“Tak apalah. Aku balik dulu. By the way, tahniah. Bila kau nak masuk meminang Yusrina? Aku gembira untuk korang,” tutur aku selamba sebelum aku melangkah pergi.

“Terima kasih. Tapi boleh aku tanya kau sesuatu?” soal Talhah.

“Nak tanya apa?”

“Betul tak ada sikit pun perasaan kau pada aku?” soal Talhah. Aku membelakangkan Talhah. Aku tak sanggup bertentang mata dengan dia.

“Betul. Lagipun kau pun dah nak bertunang pun dengan Yusrina. Anggap jelah kau tak pernah luahkan kata-kata itu pada aku.

"Kita akan berkawan sampai bila-bila. Aku gembira untuk kau dan Yusrina,” aku terus meninggalkan Talhah. Air mata yang gugur di biarkan sahaja.

Aku suka kau, tapi kawan baik aku pun suka kau. Aku sanggup berkorban.

Setahun selepas mereka bertunang, Yusrina dan Talhah pun disatukan.

Akulah orang paling yang gembira pada luarannya. Tetapi tuhan sahaja yang tahu apa yang aku rasa.

Lelaki yang dicintai berkahwin di depan mata. Aku mesti mendoakan kebahagian mereka. Mereka kawan baik aku. Sampai bila-bila pun akan tetap menjadi kawan baik aku.

Sebulan selepas mereka berkahwin aku dikejutkan dengan berita kemalangan Talhah.

“Kau kena kuat Yus. Ini dugaan untuk kau,” aku cuba memberi semangat kepada Yusrina.

Petang itu, selepas habis kelas, aku pergi melawat Talhah. Yusrina setia disisi Talhah. Hampir 3 hari Talhah tidak sedarkan diri.

“Terima kasih Beb,” Yusrina terus memeluk aku. Aku cuma menenangkan Yusrina.

“Beb aku nak tanya kau sesuatu boleh?” soal Yusrina. Aku mengangguk.

“Talhah pernah luahkan rasa pada kau ke?” soal Yusrina. Aku terdiam. Mana Yusrina tahu tentang itu.

“Talhah cintakan kau,” tutur Yusrina perlahan.

“Apa kau merepek ini. Dia suami kau,” marah aku. Semua itu sudah lama berlalu.

“Betul dia suami aku. Tapi dia tak pernah cintakan aku. Sepanjang aku berkahwin, dia tak pernah sentuh aku. Kau pun cintakan dia kan?

"Dia tidak pernah lupakan kau. Sampai ke saat ini dia masih mencintai kau,” soal Yusrina lembut.

Cukuplah selama sebulan ini dia memendam perasaan. Selama ini dia ingat Talhah juga ada perasaan yang sama dengannya. Tetapi dia silap. Talhah amat mencintai kawan baik mereka itu.

Aku terperanjat mendengar apa yang diperkatakan Yusrina. Talhah masih mencintainya hingga kini?

“Aku dah lupakan semua itu.

"Aku gembira tengok korang bahagia.

"Walaupun aku mencintai dia sekalipun itu takkan mengubah apa-apa. Kau kawan baik aku.

"Aku sanggup berkorban untuk tengok kau bahagia,” tutur aku bersama linangan air mata.

“Talhah tahu?” soal Yusrina lagi pada aku.

“Tak. Aku tolak cinta dia,” jawab aku jujur. Aku tidak mahu apa-apa masalah akan menimpa perkahwinan mereka.

“Tapi dia tak pernah lupakan kau. Walaupun kau tolak cinta dia. Kau tak perlu berkorban sampai macam itu sekali semata-mata nak tengok aku bahagia walaupun aku cintakan dia.

"Kau dan dia memang ditakdirkan untuk bersama. Dia terlalu cintakan kau,” luah Yusrina sambil air mata dipipinya tidak berhenti mengalir dari tadi.

Aku tidak percaya yang Talhah begitu mencintai aku. Hingga kini juga aku begitu mencintainya. Tiada lelaki lain yang boleh mengantikan tempat dia dihati aku.

Perbualan kami terganggu apabila seorang jururawat datang menghampiri kami. Doktor nak jumpa puan.

Yusrina terus berlalu meninggalkan kawan baiknya itu. Tidak sampai lima minit Yusrina keluar dengan air mata deras mengalir.

Dia terduduk dihadapan bilik ICU yang menempatkan Talhah.

“Talhah dah meninggal,” tutur Yusrina lambat.

Aku terus memeluk sahabat ku itu. Air mata aku turut mengalir tanpa henti. Sahabat baiknya dan orang yang paling dia sayang telah pergi selamanya.

Aku gagal untuk berterus terang yang aku juga mencintainya selama ini. Aku gagal.

Tiada yang aku boleh lakukan demi membetulkan kegagalan aku. Hingga ke akhir Talhah tidak tahu yang aku juga mencintai dia seperti mana dia mencintai aku.

Aku harap tiada siapa pun melakukan kegagalan seperti aku! Luahkanlah sebelum kau menemui kegagalan macam aku!

Aku gagal sebab aku tak meluahkan rasa cinta itu!

~Tamat

BACA INI JUGA: Cerpen: Buang Belaan Dalam Perigi Buta

Sumber: Penulisan2u

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon