Jul 16, 2016

Fenomena Pokemon Go, Mengejar Dunia Maya Dan Mengganti Realiti

Dalam filem The Matrix, watak Morpheus lakonan Laurence Fishburne mendedahkan kepada Neo bahawa dunia yang dianggap nyata sebenarnya rekaan komputer semata-mata.

Pokemnon Go vs The Matrix [2]

Ketika bertemu buat kali pertama, Morpheus memberi Neo dua pilihan - telan pil biru untuk terus hidup dalam khayalan; atau telan pil merah dan keluar dari ‘The Matrix’ dan kenali dunia nyata.

Lebih 17 tahun selepas filem tersebut ditayangkan, garis pemisah dunia maya dan nyata semakin kabur.

Para pengguna telefon pintar yang sudah sedia taksub dengan media sosial kini disajikan dengan satu lagi ketagihan.

Pokemon Go

Fenomena terbaharu yang melanda dunia, Pokemon Go dan 8 Perkara Tentang Pokemon Go Yang Anda Perlu Tahu, permainan mudah alih augmented reality yang dibangunkan oleh Niantic.

Bersandarkan permainan video terbitan Nintendo lewat 1990-an, Pokemon Go membenarkan pemain mengumpul koleksi ‘makhluk Pokemon’ seperti yang dilakukan oleh watak utama permainan tersebut, Ash Ketchum.

Bezanya, perkembangan teknologi membenarkan pemain memburu makhluk menerusi teknologi GPS dan jam telefon pintar yang mengesan lokasi dan waktu pemain.

Tidak kira di mana anda berada, apabila aplikasi Pokemon Go diakses, anda dapat melihat makhluk seperti Bulbasaur, Pikachu, atau Jigglypuff muncul pada skrin seolah-olah sedang bertenggek di bahu jalan, berehat di dahan pokok, atau tersenyum ke arah anda dari sebuah jendela.

Semua ini menjadikan pemain Pokemon Go terkeliru antara dunia nyata dengan paparan skrin mereka.

Tidak hairanlah sehingga ada yang terlibat dengan kemalangan jalan raya demi memburu makhluk sasaran.

Ada juga perompak yang mengambil kesempatan menggunakan lokasi pemain yang di tempat sunyi untuk diserang hendap.

Mimpi dan teknologi

Kegilaan ini bukanlah sesuatu yang aneh.

Perkembangan teknologi dan media sosial sememangnya berakar umbi dari mimpi dan kenangan zaman dahulu.

Generasi 90-an yang mengimpikan makhluk kecil bertebaran seperti dalam permainan video Pokemon kini sedang menikmati mimpi jadi nyata.

Kita hanya mampu berangan-angan untuk terus berhubung dengan teman sedarjah dan rakan sekuliah dengan mencatatkan ucapan dan melekatkan foto pada buku autograf atau majalah sekolah.

Kini setiap hari kita menekuni Facebook untuk melawat mereka yang kini sudah beranak-pinak.

Mengganti realiti

Pokemnon Go vs The Matrix

Tidak terlalu sukar untuk membongkar rahsia di sebalik kedegilan kita melepaskan telefon pintar dari genggaman.

Realiti kita sudah diganti.

Seperti mana lekanya para pemain Pokemon Go yang penuh komited menganggap setiap makhluk yang muncul di aplikasi sebagai koleksi sebenar yang perlu dijerat, begitu juga kita yang percaya media sosial itu dunia sebenar.

Segala gambar penting dalam kehidupan, tidak kira sama ada akad nikah atau bayi yang masih merah, Facebook atau Instagram akan jadi sasaran pertama untuk berkongsi berita gembira.

Kita diserang sayu saat rakan mula ‘unfollow’ akaun Twitter atau bilangan ‘like’ pada Instagram mula susut.

Kerana kita sudah memindahkan dunia kita ke alam maya dan para pemodal mahu kita terus menganut kepercayaan yang sama.

Sebab itu nilai syarikat Nintendo meningkat lebih RM30 billion dua hari selepas Pokemon Go dilancarkan.

Sekali-sekala, molek juga kita menelan pil merah seperti Neo. Dongak dan urut leher. Tinggalkan telefon pintar seketika dan lihat semula ke angkasa, sementara langit kita masih biru..

BACA INI JUGA: Perkara Yang Anda Tidak Tahu Tentang Doraemon

Sumber: Astroawani

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon