Jul 30, 2016

Cerpen: Penunggu Rumah Pusaka

Pertama kali melangkah masuk ke dalam rumah peninggalan nenek, membuatkan bulu roma Izham tegak meremang tiba-tiba.

Rumah Pusaka Berpuaka
Gambar hiasan.

Sekilas dia menjeling ke arah Rina, isterinya yang kelihatan riang memasuki rumah itu. Izham tahu, sudah sekian lama Rina mengidam untuk tinggal di rumah kayu seperti itu.

Wasiat nenek yang meminta mereka tinggal di situ ibarat bulan jatuh ke riba Rina. Apatah lagi rumah itu mempunyai binaan unik dengan ukiran kerawang pada setiap jendela.

"Rina, betul ke nak duduk kat rumah ni?" Izham bertanya ragu-ragu walau sudah tahu jawapannya. Sudah tergambar jelas pada keriangan wajah Rina.

"Betullah nak. Rumah ni cantik bang. Lagipun takkan kita nak biarkan kosong aje? Sayanglah.. dah wasiat arwah nenek, kita duduk ajelah..

"Bukan jauh pun dari tempat kerja kita kan?"

Panjang lebar pula jawapan Rina.

Sungguh dia gembira dapat menduduki rumah kayu yang cantik ini. Walau sudah berusia hampir 100 tahun, tapi binaannya masih kukuh tanpa sebarang paku.

Izham sudah tidak mampu berkata apa lagi. Tidak sampai hati menolak keinginan isterinya itu.

Kalau Rina sudah terlalu gembira, ada baiknya dituruti sahaja kehendak isteri kesayangannya itu.

"Kenapa bang? Abang macam tak happy je?" Rina bertanya kehairanan.

"Eh, mana ada. Kalau Rina suka, abang pun suka!" ujar Izham berdalih.

Rina kemudiannya menyanyi riang memasuki bilik utama rumah itu. Tinggal Izham seorang diri di ruang tamu.

Angin petang yang menerobos masuk melalui tingkap-tingkap yang terbuka terasa bagai membawa haba panas. Izham tidak senang duduk.

Matanya menerawang melihat ruang rumah. Kemas dan tersusun dengan perabot antik.

Namun, keindahan aturan itu tidak mampu menarik hati Izham yang semakin gelisah tidak menentu. Entah mengapa dia betul-betul merasa aneh dan pelik.

Perasaan gelisah Izham terbawa-bawa hingga ke malam. Tidurnya jadi tidak lena, sedangkan Rina sudah tidur dengan nyenyak.

Perlahan-lahan, kerana tidak mahu menggangu tidur Rina, Izham melangkah keluar dari bilik.

Tingkap panjang bertentangan dibuka, membiarkan angin malam masuk. Kemudian Izham duduk di sofa. Aneh, sekejap saja dia berasa mengantuk, kemudian terlelap tanpa dipaksa.

Usapan lembut di pipi menyedarkan Izham terjaga dari lena. Dia mendongak kerana menyangka Rina yang mengejutkannya.

Tetapi Izham terpelangah. Bukan Rina yang berdiri di belakang sofa, sebaliknya seorang wanita yang tidak dapat dilihat wajahnya kerana ditutup rambut yang panjang mengurai.

"Astagfirullah!" Izham tergolek dari sofa.

Lembaga wanita itu ghaib sekelip mata, namun Izham tidak sedar bahawa ada bayang-bayang wanita sedang berterbangan di luar tingkap!

Berkali-kali Izham mengusap mukanya cuba meredakan ketakutan. Bila keadaan kembali tenang, Izham bingkas bangun lalu menutup tingkap.

Selepas itu dia segera masuk ke dalam bilik. Ternyata Rina masih lena di tempat tidur.

Tidak mahu memikirkan perkara yang bukan-bukan, Izham segera memeluk isterinya.

Peristiwa pelik itu tidak diceritakan Izham kepada Rina kerana bimbang nanti isterinya itu akan ketakutan.

"Muka abang pucat. Kenapa bang? Tak lena ke tidur malam tadi?" Rina bertanya.

"Biasalah, malam pertama tidur tempat baru. Awal-awal rasa tak selesa sikit." Izham memberikan alasan untuk menyenangkan hati isterinya.

Malam kedua barulah Izham dapat tidur dengan lena. Tetapi apabila jam berdetik ke angka tiga pagi, Izham terasa tubuhnya digoncang dengan kuat.

Terpisat-pisat dia membuka mata. Kelihatan Rina duduk tercatuk di atas katil dengan rambut menggerbang. Terkejut besar Izham melihatnya.

"Bangun! Kau mesti keluar dari sini! Kau tak berhak duduk di rumah ini! Pergi! Berambus!" Rina berkata lancang dengan mata mencerlang garang.

"Rina! Kenapa cakap macam tu?" soal Izham kehairanan.

"Aku bukan Rina! Rumah ini milik aku! Berambus kau dari rumah aku!" Rina terus bersuara garang.

"Rina!"

Tiba-tiba saja Rina rebah. Sangka Izham isterinya pengsan tetapi rupanya Rina tidur semula dengan lena.

Dia cuba mengejutkan Rina tetapi isterinya itu terus berdengkur halus.

Perlahan-lahan Izham merebahkan badan. Sebaik sahaja tubuhnya dipusingkan menelentang, nafas Izham bagai mahu putus.

Nun di atas alang kelihatan lembaga seorang wanita sedang bertenggek memerhatikannya dengan pandangan mata yang tajam.

"Makkk!" Terlepas jeritan dari mulut Izham. Terbangun Rina dari tidurnya.

"Kenapa bang!?" tanya Rina sambil memisat-misatkan mata.

"Err.. abang mengigau tadi.." dalih Izham tidak mahu menceritakan perkara sebenarnya.

Izham bingung dengan kejadian yang menimpa dirinya. Terasa seperti hanya dia yang mengalami peristiwa menakutkan di rumah pusaka neneknya itu. Rina pula kelihatan riang sahaja.

Malam kelima, sekali lagi Izham terjaga dari tidur. Rina mengejutkannya dan masih mengeluarkan dialog yang sama.

"Bangun! Kau mesti keluar dari sini! Kau tak berhak duduk di rumah ini! Pergi! Berambus!"

Izham terkejut. Kali ini dia yakin Rina bukannya mengigau, sebaliknya dirasuk sesuatu ketika dalam tidur.

"Rina, sedarlah.. ini abang! Bangun! Izham berusaha menyedarkan Rina.

"Aku bukan Rina! Rumah ini milik aku! Berambus kau dari rumah aku!"

"Rina!!!" Izham menempik diluar kesedaran. Terus saja Rina tersedar. Terpinga-pinga memandang Izham.

"Kenapa bang? Apa dah jadi? Kenapa abang tiba-tiba memekik?" soal Rina yang nyata tidak sedar apa yang telah berlaku.

"Rina betul tak sedar?" soal Izham pula agak ragu-ragu.

"Tak bang.."

Tiba-tiba terdengar bunyi pinggan pecah di dapur. Izham dan Rina sama-sama berpandangan sebelum keduanya berjalan menuju ke dapur.

Alangkah terkejutnya mereka apabila mendapati pinggan mangkuk pecah dan berterabur di atas lantai.

Tidak semena-mena kerusi meja bergerak dengan sendiri, Rina menjerit ketakutan.

Tiba-tiba juga semua tingkap dan pintu terbuka dengan sendirinya, kemudian tertutup kembali.

Dari luar mereka dapat melihat satu lembaga hitam terbang masuk ke dalam rumah dan bertenggek di atas alang.

"Hantu bang! Itu hantu!!!"

Rina menjerit ketakutan sebelum terkulai pengsan di pangkuan Izham.

Persitiwa menakutkan itu membawa Izham menyiasat asal usul rumah pusaka arwah neneknya itu.

Dari seorang rakan lama arwah neneknya, barulah Izham tahu bahawa rumah itu sudah lama berpenunggu, tetapi kerana arwah nenek ada mewarisi sedikit ilmu, penunggu itu tidak pernah mengganggu arwah nenek.

Sebaik mengetahui kisah itu, Izham berpakat dengan Rina untuk berpindah keluar dari situ. Mereka tidak lagi sanggup berdepan dengan penunggu tersebut.

Hanya sesekali sahaja di hujung minggu mereka datang membersihkan rumah itu.

~Tamat

BACA INI JUGA: Cerpen: Apa Ada Pada Cinta

-SENTIASAPANAS.COM

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon