Tuesday, May 31, 2016

Cerpen: Cucu Tak Dapat Lari


'Nenek, nenek, sibongkok tiga.. Siang mengantuk, malam berjaga.. Mencari cucu dimana ada.. nenek ku kahwin dengananak raja..

Cucu, cucu, tak dapat lari.. nenek tua banyak sakti.. sekarang nenek nak cari ganti.. siapa kena, dia yang jadi.."

Nenek sibongkok tiga
Gambar hiasan.

Nadiya menyanyikan lagu tradisi itu berulangkali sambil menghayun buaian dengan hujung kakinya.

Begitulah Nadiya setiap petang menghabiskan masa bersendirian ditaman permainan kanak-kanak itu.

Tiada siapa yang mahu bermain dengannya kerana kebanyakan kanak-kanak yang datang ke situ berusia sekitar lima hingga enam tahun, sedangkan Nadiya sudah darjah tiga!

Masakan dia yang sudah berusia sembilan tahun mahu bermain dengan kanak-kanak kecil!

Sudahnya Nadiya hanya duduk dibuaian itu dan memerhatikan sahaja kanak-kanak tersebut bermain disekitar taman.

Sambil memerhati, dalam tidak sedar, Nadiya sering menyanyi lagu tradisi 'Nenek nenek si bongkok tiga'.

Teringat dia pada sepupu-sepupunya di kampung. Mereka beramai-ramai bermain permainan itu.

Tapi sekarang Nadiya hanya sendirian ditempat baru kerana terpaksa mengikut ibu bapanya berpindah sekolah, tempat mereka mengajar. Bosannya Nadiya Tuhan saja yang tahu.

"Kenapalah kat sini tak ada budak sebaya Nadiya?" keluhnya sendirian.

Kemudian dia menyanyikan lagi lagu 'Nenek nenek si bongkok tiga' itu.

"Cu.. buat apa duduk sini seorang diri?"

Nadiya tersentak mendengar teguran itu. Spontan dia terlompat dari buaian dan berpaling ke belakang.

Kelihatan seorang nenek tua berambut putih, berbadan bongkok dan bertongkat sedang tersenyum memandangnya.

Nadiya gugup, takut-takut memandang nenek tua itu.

"Janganlah takut cu..nenek bukannya makan orang pun. Nenek ni tertarik dengar suara cucu tu. Sedap, merdu.." nenek tua itu memuji Nadiya sambil tersengih menayangkan giginya yang merah kehitaman.

Nadiya tidak tahu mahu berkata apa. Teringat pesan ibunya supaya tidak bercakap dengan orang tidak dikenali. Lalu Nadiya segera mahu angkat kaki beredar dari situ.

"Nak balik ya? Esok datang sini lagi ya!" kata nenek tua itu.

Dalam takut-takut, Nadiya mengangguk, kemudian segera berlari pulang ke rumah. Nenek tua itu pula hanya memandang sambil tersengih.

Malam itu Nadiya tidak boleh tidur. Walaupun sudah diberi milo panas oleh ibunya, Miza, Nadiya tetap berjaga.

Jam ketika itu sudah menunjukkan 1 pagi dan kerana mahu menghilangkan kebosanan, Nadiya menggumam lagu 'Nenek nenek si bongkok tiga'.

Baru saja habis rangkap pertama, tiba-tiba ada suara lain. Entah dari mana, menyamuk secara tiba-tiba..
Cucu, cucu tak dapat lari..
Nenek tua banyak sakti..
Sekarang nenek nak cari ganti..
Siapa kena, dia yang jadi..
Hihihihihi...

Nadiya tergamam diatas katil. Bunyi ketawa halus dihujung nyanyian itu membuatkan bulu roma Nadiya meremang.

Saat itu juga dia melihat pintu biliknya terkuak perlahan-lahan, sehingga mengeluarkan bunyi berkeriut yang memecah kesunyian malam.

Kerana menyangka ibunya yang menolak pintu, Nadiya turun dari katil mahu menerpa.

Tetapi baru separuh jalan, langkah Nadiya terhenti. Bukan ibunya yang muncul. Sebaliknya nenek tua yang dilihatnya di padang petang tadi!

Nenek itu menapak perlahan-lahan sambil tersengih-sengih memandang Nadiya.

"Ne.. Nenek? Macam mana nenek boleh masuk dalam rumah?" tanya Nadiya dengan suara ketakutan.

"Cucu tak dapat lari.. nenek tua banyak sakti.. hihihi.." sahut nenek tua itu.

Matanya bersinar memandang tepat ke mata Nadiya. Ketika itu Nadiya hanya terpaku. Terpukau. Tegak berdiri tanpa suara dengan pandangan kosong.

"Sekarang nenek dah dapat ganti.. cucu dah kena.. cucu yang jadi.."

Nenek tua itu menyanyi sambil mendekati Nadiya yang kebingungan.

Nenek tua menarik tangan Nadiya. Tanpa membantah, Nadiya mengikut nenek tua berjalan perlahan-lahan keluar dari bilik.

Apabila pintu kembali tertutup, nenek tua dan Nadiya lenyap ditelan kegelapan malam.

Hilang

Miza hairan apabila mendapati Nadiya tidak keluar dari bilik walaupun jam sudah menunjukkan pukul 6.30 pagi.

Biasanya tidak susah mahu mengejutkan anak tunggalnya itu bangun tidur kerana Nadiya sudah pandai mengunci sendiri jam dan akan keluar dari bilik bagi bersarapan tepat jam 6:15 pagi.

Merasa curiga sesuatu telah berlaku kepada Nadiya, Miza segera masuk ke dalam bilik anaknya itu.

Alangkah terkejutnya Miza apabila mendapati Nadiya tiada di dalam bilik. Kelam kabutlah dia mencari di dalam bilik air, dibawah katil, bahkan di dalam almari, namun kelibat Nadiya tidak kelihatan.

"Abang! Anak kita dah hilang!!" teriak Miza sekuat hati.

Suami Miza, Adnan, bergegas mendapatkan isterinya. Adnan mula panik. Mereka mencari disegenap ruang rumah. Jangankan kelibat, mendengar suara Nadiya pun tidak.

Fikiran mereka mula berkecamuk dengan telahan buruk. Miza tidak mampu lagi menahan perasaan. Dia meraung-raung memanggil nama Nadiya.

Raungan Miza di pagi hari menarik perhatian jiran tetangga. Mereka segera ke rumah Adnan dan Miza, ingin tahu apa yang sudah berlaku kepada keluarga itu.

Setelah mendengar cerita tentang kehilangan Nadiya, mereka semua berpakat mencari Nadiya disekitar kawasan perumahan.

Hasil bawaan cerita dari mulut ke mulut, semakin ramai jiran turun memberikan bantuan.

Menolak ke tepi kerja lain semata-mata mahu mencari Nadiya, namun sehingga ke petang mereka masih belum menemui Nadiya walaupun sudah mencari ke serata ceruk.

"Ya Allah.. mana ada anak kita bang?" Miza bertanya dengan mata bengkak, muka sembab.

Adnan sudah tidak tahu bagaimana harus menjawab pertanyaan Miza kerana dia sendiri berasa hairan bagaimana Nadiya boleh keluar dari rumah sedangkan pintu pagar berkunci?

Masakan Nadiya mampu memanjat pagar berjeriji tajam itu?

Apabila semua orang semakin buntu, mulalah timbul bermacam-macam saranan. Ada yang menyuruh Adnan membuat laporan polis sahaja. Tak kurang menyuruh Adnan meminta bantuan bomoh. Terkejut sungguh Adnan mendengarnya.

Namun, beberapa orang bersetuju dengan cadangan menggunakan khidmat bomoh itu. Tidak mahu mengecilkan hati, Adnan bersetuju sahaja.

Seorang jiran kemudiannya menawarkan diri untuk membawa seorang bomoh yang dikenalinya. Sangka Adnan, bomoh itu orang Melayu tetapi rupanya sami berbangsa Siam!

Ketika sampai, bomoh itu menggumam tidak tentu hala dalam bahasa Siam sambil matanya melingas memandang ke sana ke mari.

Tanpa dipelawa, dia terus masuk ke dalam rumah Adnan, terus ke bilik Nadiya.

Selepas beberapa minit berada disitu, bomoh Siam itu bergegas keluar dari bilik Nadiya, terus meluru ke taman permainan.

Semua orang mengekori dengan rasa hairan. Kenapa pula bomoh itu mahu ke taman permainan? Bukannya ada apa pun disitu.

Bomoh Sami itu berdiri tegak menghadap terowong konkrit bulat ditengah taman permainan. Dia membacakan mentera dan serapah dalam bahasa Siam.

Tiba-tiba mereka semua melihat Nadiya sedang duduk memeluk lutut di dalam terowong tersebut.

Nadiya yang menyedari mereka semua sedang memerhatikannya, segera meluru mendapatkan Miza.

"Ibu! Kenapa tadi ibu tak nak ambil Nadiya? Nadiya panggil ibu tapi ibu pergi macam tu je?" teriak Nadiya menangis ketakutan.

Miza hairan mendengarnya kerana bukan dia saja, semua yang lain langsung tidak melihat kelibat Nadiya di situ walaupun sudah berkali-kali mereka berlegar di kawasan tersebut.

"Nadiya.. jangan nangis.. ibu ada ni.. tapi macam mana Nadiya boleh ada kat sini?" Miza bertanya.

"Nenek tua tu bawa Nadiya ke sini. Dia tak bagi Nadiya balik.."

Semua yang mendengar tercengang sambil memandang ke arah Nadiya, ke arah terowong dan ke arah sami tersebut yang seperti sedang bercakap dengan seseorang yang tidak dapat dilihat.

Selepas kelihatan bertengkar, marah dan menampar-nampar udara, sami itu mendekati. Dia bercakap kepada jiran Miza yang membawanya datang tadi.

Selepas mendengar apa yang diperkatakan, jiran Miza menerangkan apa yang berlaku.

Memang Nadiya dibawa pergi oleh seorang nenek tua. Nenek tua itu adalah penunggu kawasan itu sebelum tempat tersebut dibangunkan lagi.

Nenek itu tidak mahu melepaskan Nadiya sebagai ganti kepada cucunya yang mati ketika kawasan itu dibuka sebagai penempatan manusia.

Lagu 'Nenek nenek si bongkok tiga' yang sering dinyanyikan Nadiya pula bagaikan menyeru nenek tua itu muncul dan mengambilnya sebagai ganti!

~Tamat

BACA INI JUGA: Koleksi Novel Anda

-SENTIASAPANAS.COM

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon