Tuesday, October 06, 2015

Kita Berada Pada Zaman Menakutkan, kata Tun Mahathir


Negara kini berada pada zaman yang menakutkan apabila bukan sahaja ekonomi merosot malah politik, sosial, dan perkauman juga berada pada tahap yang sangat membimbangkan.

Tun Dr Mahathir Mohamad

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, keadaan itu akan kekal sekiranya Datuk Seri Najib Tun Razak masih diberi tanggungjawab sebagai Perdana Menteri.

“Saya juga takut sebab duduk dalam pemerintahan yang menakutkan. Kita tidak boleh bercakap nanti dipanggil untuk soal siasat dan dikatakan berniat untuk jatuhkan kerajaan dan akan didakwa bawah Akta Kesalahan Keselamatan atau Langkah-langkah Khas (Sosma).

“Ini perkara yang kita takutkan, kita memang berada pada zaman menakutkan. Ketua Polis Negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) kata nak panggil saya soal siasat, takut juga saya,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Minum Petang Bicara Politik Kembalikan Maruah Melayu.

Mahathir berkata, hari ini ramai orang yang menolak kerajaan dalam diam kerana takut untuk buka mulut dan dianggap ingin sabotaj kerajaan.

“Dari segi politik tidak boleh buat teguran tetapi dalam ekonomi duit kita juga jatuh merudum sehingga cecah RM4.45 sedolar (Amerika Syarikat).

“Kita percaya apa pemimpin kita cakap bahawa ekonomi kita (dalam) keadaan baik, yang ini kita baik, kita bersatu sokong pemimpin kita,” katanya.

Menurutnya, mata wang negara akan kembali pulih hanya apabila Najib meletakkan jawatan kerana kerosakan dihadapi negara berpunca daripada beliau.

Katanya, pendirian itu dibuat berdasarkan kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz sebelum ini bahawa penyelesaian skandal syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mampu pulihkan semula penyusutan nilai ringgit.

“Dia letak jawatan, sekejap sahaja mata wang kita naik balik, itu saya rasa. Nak selesai itu hanya kalau Najib tidak ada, selagi Najib masih ada masalah tidak akan selesai," katanya.

“Kalau kita dengar Zeti kata selagi masalah 1MDB tidak diselesaikan, nilai mata wang tidak akan pulih. Zeti cakap dan saya pun berpendapat macam itu.

"Semua mata wang jatuh tapi mata wang kita jatuh lebih teruk daripada yang lain saya kaji juga (ekonomi) itu,” katanya.

Majlis itu turut dihadiri bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid.

Selain itu, Mahathir turut menggesa agar semua ahli bertindak bijak dalam mencorak pentadbiran negara di masa hadapan.

Mahathir berkata, Umno masih relevan untuk kekal takbir kerajaan hari ini berbanding pembangkang namun pemimpin yang korupsi haruslah disingkirkan terlebih dahulu.

“Kita patut fikir kepentingan kita. Walau dia MCA atau DAP, kalau kepentingan Cina terancam mereka lupakan parti. Jadi kalau kita kalahkan Umno (keseluruhannya) kita akan rugi.

“Kita jangan terikut-ikut dengan emosi tapi ada strategi. Kalau orang Melayu bijak tentukan di Pekan walaupun diberi RM1 juta kita jangan sokong. Tetapi bagi menang Umno (di tempat lain),” katanya.

Menurutnya, kalau tidak berani menghadapi risiko jangan bincang soal mengembalikan maruah Melayu.

Dakwa beliau, hari ini kerana RM200 orang sanggup menjual bangsa dan jika tidak dibendung perkara itu maruah bangsa Melayu sukar dipulihkan.

Najib salahguna undang-undang

Tun Mahathir turut mendakwa Perdana Menteri, Najib Razak menyalahgunakan undang-undang untuk melindungi dirinya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan hadirin mengenai 'kuasa di atas kuasa undang-undang'.

"Sesiapa yang cuba menghalang dirinya akan dikenakan tindakan; disoal, disimpan, dimasukkan ke dalam tahanan dan sebagainya," katanya dalam sesi soal jawab Bicara Negarawan Sabah di Dewan Yayasan Lau Gek Poh, Tawau.

Dalam sesi soal jawab tersebut, beliau juga menjawab soalan hadirin mengenai undi tidak percaya terhadap Najib.

"Saya minta semua ahli-ahli Umno di Sabah ini mendesak wakil rakyat mereka supaya menyokong undi tidak percaya.

"Kalau mereka tidak sokong, tentukan mereka tidak akan jadi calon, dan tentukan mereka kalau jadi calon, akan dikalahkan," katanya sambil disambut sorakan hadirin.

BACA INI JUGA: 1MDB, Amalan Rasuah Peringkat Paling Teruk?

Sumber: Sinarharian.com.my

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon