Thursday, September 03, 2015

'Rumah Jaga Separuh Dari Hidup Kami'


Malam itu saya bersama pemandu membuat semakan ke sekolah-sekolah untuk menyelia kerja pengawal keselamatan sekolah. Beberapa sekolah disinggahi. Akhirnya saya sampai di satu sekolah kebangsaan dipinggir bandar.

Pondok Pengawal
Gambar hiasan.

Bila kenderaan kami berhenti di pintu pagar sekolah, saya turun. Seorang lelaki tua berunifom jaga yang saya jangka 60an menegur saya. Saya cepat memperkenalkan diri dan minta memeriksa beberapa perkara.

Dia seperti keberatan untuk membenarkan saya masuk ke pondok pengawal, tetapi bila diminta dia beralah.

Saya menolak pintu bilik pengawal untuk masuk. Pintu yang ditolak tertampan sesuatu, lalu saya menjenguk ke dalam.

Ya Allah, seorang remaja perempun belasan tahun sedang tidur beralas tikar rumput di lantai, berbantal lipatan kain.

Tidurnya mengiring kerana kakinya kena di bengkok disebabkan bilik yang sempit. Begitu nyenyak dia tidur hingga tidak sedar kakinya tertampan pintu. Kasut sekolah, beg dan unifom sekolah menengah diletak di tepinya.

Saya tidak meneruskan hajat untuk masuk dan mengajak orang tua itu berbual di luar. Dalam nada yang sedikit terketar, mungkin rasa bersalah, dia berkata, "Minta maaf encik, anak saya, menumpang tidur di pondok ini."

Dia terhenti. Tutur kata perlahan dan tertib dan seperti menahan sebak.

"Tak ada siapa dirumah, mak dia dah meninggal, anak-anak dah kawin dan pindah. Saya tinggal dua beranak. Saya kena kerja untuk belanja kami berdua dan cari duit sekolah anak perempuan bongsu saya tu.

"Kerja lain dah tak larat, kerja jaga ni bolehlah. Saya bimbang nak tinggalkan dia seorang dirumah. Minta maaf encik, minta maaf."

Air matanya mula tergenang di sinar lampu yang berbalam. Bahunya saya gosok untuk menenangkannya. Saya pula yang serba salah dan sedih.

Dia terus merintih, "Hidup waktu malam kami di sinilah telah setahun lebih bila kerana saya kerja syif malam sebab rakan ada masalah nak kerja malam. Rumah jaga ni separuh dari hidup kami dua beranak.

"Esok pagi anak satu akan akan ke sekolah menengah dg basikal, dia menumpang mandi di sekolah ini.

"Encik,tolong, jangan repot kat toke saya dan gurubesar, saya takut kena buang kerja. Macam mana kami hidup," dia dah teresak dan mengesat air mata dengan lengannya.

Saya menepuk bahunya, menyuruhnya bersabar dan menjenguk sekali lagi ke dalam pondok. Tangan anak itu saya lihat menampar nyamuk di pipi. Ya Allah, anak semuda ini telah diuji dengan kepayahan hidup.

Sesungguhnya lelaki ini seorang yang tabah, hanya ini jalan hidup yang ada baginya. Saya dah tak sanggup mendengar kata-kata pak cik ini..

Bila saya menaiki kenderaan, pemandu nampak kehairanan kerana beberapa sekolah yang dilalui saya bersungut itu ini, tapi kali ini diam dan mengesat air mata, tetapi dia tidak berani bersuara.

Pengorbanan seorang bapa hingga penghujung usianya, selagi kudrat masih ada, keringat diperah demi penyambung hidup anak.

Bila isterinya dijemput Allah, apa lagi pilihan yang ada padanya demi sesuap nasi dan keselamatan anak dara suntinya.

Bersyukur

Jika anda pernah bersungut teruknya bekerja, susahnya hidup, ukurlah dengan orang tua ini.

Jika anak anda besungut tilam nipis, hapak, katil kecil, bilik panas tak ada aircond, ukurlah dengan anak dara orang tua ini yang bermalam di tikar, di lantai simen rumah jaga yang kakinya pun tidak boleh berlunjur.

Jika anak anda bersungut bilik air tak selesa, sarapan tidak sedap, ukurlah dengan anak ini yang mandi di tandas sekolah, sarapan dimana yang sempat.

Jika nak marah anak murid lewat ke sekolah, mengantuk dalam kelas, pakaian lusuh tidak disterika, penampilan yang comot, mulut jangan cepat mengungkap kata yang tidak elok, ambil tahulah kisah hidup yang dilalui mereka.

Jika jadi ketua, ambil tahu sedikit kisah hidup orang bawah, jangan tahu mengarah sahaja.

Pejamkan mata, hayati keperitan hidup pak cik ini dan menangislah kerana banyak menangis akan melembutkan hati..

Petikan dari pos di Facebook Abd Ghani Haron, pesara pegawai PPD dan bekas Pengetua.

BACA INI JUGA: Betapa Bernilainya 4A 1B Buat Anak Miskin

Sumber: Zukidin.com

2 comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon