Sep 23, 2015

Hari Arafah Yang Istimewa

Hari ini, dianggarkan tiga juta umat Islam seluruh dunia yang dijemput sebagai tetamu Allah untuk musim haji kali ini berhimpun di Padang Arafah untuk menunaikan rukun haji paling utama iaitu berwukuf.

Hari Arafah

Dari segi susunan rukun haji, wukuf adalah rukun kedua selepas niat kemudiannya diikuti dengan bertawaf, saie, bercukur atau bergunting dan tertib di kebanyakan rukun.

Persoalannya, mengapa wukuf dianggap sebagai rukun utama atau kemuncak dalam manasik (kerja-kerja) haji?

Bagi menjawab persoalan itu perlu dilihat apakah yang dimaksudkan dengan berwukuf di Padang Arafah?

Wukuf adalah rukun yang wajib dilaksanakan oleh setiap jemaah haji dengan cara berada di Padang Arafah walaupun seketika bermula Zuhur 9 Zulhijah sehingga sebelum fajar 10 Zulhijah.

Inilah cabaran yang terpaksa dihadapi oleh jemaah haji apabila mereka perlu berada di Padang Arafah terletak kira-kira 18 kilometer dari Mekah dalam tempoh ditetapkan.

Meskipun kedudukannya hampir dengan kota Mekah, pernah berlaku dalam satu musim haji bas yang membawa jemaah haji sesat kerana pemandunya tidak tahu jalan, namun dengan pertolongan Allah dan keizinan-Nya mereka sempat tiba di Padang Arafah sebelum tempoh waktunya berakhir.

Mungkin itu satu bentuk ujian kepada semua jemaah terbabit tetapi mesej penting yang mahu disampaikan adalah kesan jemaah yang gagal berada di Padang Arafah pada waktu ditetapkan.

Sebenarnya, implikasi dari segi hukum cukup besar ke­rana mereka yang gagal berwukuf di Padang Arafah haji­nya tidak sah pada tahun tersebut dan perlu mengerjakannya pada tahun berikut jika mampu.

Sepertimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Haji itu adalah Arafah (wukuf di Arafah).” Begitulah besarnya kesan yang diterima oleh mana-mana jemaah yang gagal berada di Padang Arafah pada waktu yang ditetapkan itu.

Bagaimanapun situasi seumpama itu mungkin tidak akan berlaku kerana sistem pengangkutan yang disediakan oleh pihak muassasah Arab Saudi terutama bas semakin bersistematik dari tahun ke tahun, malah penggunaan Makkah Metro yang kini dikendalikan oleh Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) juga menjadikan pengangkutan untuk jemaah haji semakin cekap.

Berdasarkan pe­nga­laman penulis (ketika mengerjakan haji pada 2008), kebiasaannya bas-bas yang membawa jemaah haji Malaysia akan tiba di tempat perkhemahan di Padang Arafah antara 4 hingga 5 petang pada 8 Zulhijah (sehari sebelum hari wukuf pada 9 Zulhijah).

Ketika itu semua yang mengerjakan haji tamattuk telah memakai ihram selepas berniat haji di penginapan ma­sing-masing di Mekah dan bagi yang mengerjakan haji ifrad mereka telah berniat haji sejak dari tanah air lagi.

Di Padang Arafah, bermulalah cabaran bagi para jemaah kerana tiada lagi keselesaan seperti mana yang mereka nikmati sepanjang berada di Mekah mahupun di Madinah.

Di Mekah dan Madinah masing-masing berada dalam bilik berhawa dingin sambil dilengkapi dengan bilik air serta tandas yang sempurna namun di Padang Arafah para jemaah akan tidur di khemah dengan jumlah tandas yang agak terhad.

Pada masa inilah para jemaah perlu lebih bertoleransi sesama rakan-rakan dengan tidak mudah mementingkan diri bagi mengelakkan sebarang perbalahan yang sudah tentu akan mencacatkan kesempurnaan menunaikan ibadat haji.

Cuba fahami maksud firman Allah SWT ini dalam ayat 197 surah al-Baqarah; “Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) haji itu maka tidak boleh mencampuri isteri, tidak boleh berbuat maksiat dan tidak boleh bertengkar ketika mengerjakan haji.”

Allah telah memberi satu perintah yang cukup jelas kepada semua jemaah haji berhubung larangan ketika menunaikan ibadat tersebut apatah lagi dengan suasana umat Islam yang begitu ramai hingga mencecah jutaan orang.

Begitu juga dengan pelbagai ragam sama ada dalam kalangan rakan sebilik, sekhemah mahupun daripada ahli keluarga dan itu semua ujian yang perlu ditempuhi dengan sabar, pada masa sama sentiasa mengharapkan pertolo­ngan Allah.

Sesungguhnya rahmat Allah yang diturunkan pada hari Arafah (ketika wukuf) terlalu banyak dan tarikh 9 Zulhijah adalah hari paling istimewa buat semua jemaah haji yang berhimpun di padang itu.

Pada hari berkenaan langit dibuka seluas-luasnya dan itulah masa terbaik untuk para jemaah memperbanyakkan solat, membaca al-Quran, berdoa, berzikir, bermunajat dan memohon keampunan terhadap dosa-dosa yang pernah dilakukan sebelum ini.

Keistimewaan yang dianugerahkan oleh Allah kepada Padang Arafah itu perlu digunakan sebaik-baiknya oleh para jemaah kerana tempoh yang diberikan hanya beberapa jam, paling afdal semua amalan hendaklah dilakukan secara berseorangan atau bersama ahli keluarga di luar khemah.

Menangislah di hadapan Allah sebagai tanda penyesalan terhadap semua keingkaran serta kesalahan yang pernah dilakukan dan bukannya berbual-bual kosong dengan rakan-rakan lain di dalam khemah sementara menunggu bas untuk ke Muzdalifah.

Sesungguhnya Allah sangat memuliakan hari wukuf bahkan Allah berada sedekat-dekatnya dengan jemaah yang sedang berwukuf di Padang Arafah untuk mende­ngarkan ungkapan dan keluhan hati mereka, oleh itu alangkah rugi jika hari tersebut diisi dengan perbuatan yang sia-sia.

Dalam pada itu takziah juga diucapkan kepada ahli keluarga dua lagi jemaah haji Malaysia yang disahkan terkorban dalam tragedi kren tumbang di Masjidilharam 11 September lalu iaitu Shahidan Saad, 52 dan Abdul Habib Lahman, 68.

Mereka menemui Maha Pencipta di tempat paling suci dan sememangnya Shahidan serta Abdul Habib bersama lima lagi jemaah negara ini tergolong dalam kalangan mereka yang dipilih oleh Allah daripada jutaan jemaah haji lain untuk menghembuskan nafas terakhir di Masjidilha­ram.

BACA INI JUGA: Kenapa Warga Malaysia Kemaruk Gelaran Haji?

Sumber: Utusan.com.my

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

2 comments

Salam Aidiladha buat SP. Semoga Allah sentiasa memberkati kehidupan kita semua... aamiin.. :)

Salam Salam Aidiladha buat KK dan rakan-rakan semua juga. Amiin

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon