Aug 7, 2015

Siapa 'Kambing Hitam' Bakal Mengaku Derma RM2.6 Bilion?

Seorang veteran Umno menyifatkan kenyataan pihak berkuasa mengesahkan wang berjumlah RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun perdana menteri adalah ehsan derma tidak mengejutkan dan sudah diduga.

Tan Sri Sanusi Junid

Malah, beliau mendakwa, sudah dapat dijangkakan bakal ada individu yang "menjadi kambing hitam" yang akan mengaku mendermakan wang tersebut untuk menjernihkan keadaan.

Tetapi, bekas menteri pertanian Tan Sri Sanusi Junid berkata, beliau berpendapat wang itu bukan disumbangkan ahli Umno atau warga Malaysia, tetapi pasti dibuat warga asing di luar negara.

"Ia sudah dijangka dan bukan satu kejutan, saya pasti mereka akan mencari individu yang kaya mengakui mendermanya," kata Sanusi melalui satu kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS).

Beliau turut mengatakan, tidak mungkin hanya seorang sahaja yang menderma wang sebanyak itu.

"Yang jelas ialah, kalau rakyat Malaysia yang derma, tidak mungkin seorang sahaja. Yang ada berbilion pun tidak mampu menderma sebanyak itu," kata bekas menteri yang berkhidmat di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad itu.

Pada masa sama, beliau yang pernah menjadi menteri besar Kedah turut menamakan beberapa nama individu yang kaya sebagai contoh.

"Kenalah cari orang luar negara seperti Sultan Brunei, Bill Gates, Warren Buffet atau yang sekaya itu. Atau pun raja-raja Arab dan anak-anak mereka.

"Orang berniaga tidak mungkin derma sebanyak itu tanpa dapat sesuatu. Itu bukan derma namanya.

"Kecuali kita upah dengan lumayan seseorang yang sanggup mengaku dia yang menderma. Tetapi kenalah yang boleh dipercayai," katanya.

Sanusi turut sinis dengan mendakwa hanya mereka yang mencapai keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) yang tinggi di universiti akan "digunakan" untuk mencari individu yang sanggup menjadi kambing hitam.

"Kenalah pakai tokoh yang CGPA 3.85 untuk mencari penderma ini," katanya yang melahirkan keyakinan derma tersebut bukan dibuat ahli Umno, kerana pada kebiasaannya, yuran tahunan parti mereka sendiri dibayar ketua bahagian.

Penderma 1mdb 2.6 bilion

Isnin lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan RM2.6 bilion yang didakwa disalurkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memang wujud.

Bagaimanapun, ia bukan wang dari syarikat milik Kementerian Kewangan yang sarat hutang, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atau entiti berkaitan dengannya seperti dakwaan pihak tertentu bulan lalu.

Menurut SPRM, wang itu ialah sumbangan derma politik yang dimasukkan ke akaun peribadi Najib.

Semalam, badan anti rasuah itu mengeluarkan satu lagi kenyataan menyatakan ia sudah mengenal pasti penderma itu yang merupakan seorang dari Timur Tengah tetapi tidak mendedahkan identitinya.

Ia juga mengatakan Najib akan dipanggil bagi memberi penjelasan mengenai perkara itu lapor The Malaysian Insider.

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon