Aug 14, 2015

Apa Istimewanya Burung Hud-hud Sehingga Disebut Dalam Al-Qur'an?

Mengapa hud-Hud yang dicari? Mengapa tidak helang, pipit, gagak, merpati atau merak? Itu soalan yang selalu berlegar dalam kepala saya sejak sekian lama setiap kali membaca kisah Nabi Sulaiman as dan burung hud-hud dalam surah al-Naml.

Burung Hud-huh

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan (setelah itu) Nabi Sulaiman memeriksa kumpulan burung (yang turut serta dalam tenteranya) lalu berkata: “Mengapa aku tidak melihat burung belatuk? Adakah ia daripada mereka yang tidak hadir? (al-Naml: 20)

Alhamdulillah akhirnya jawapan itu saya temui setelah menelaah kitab Tafsir al-Quran. Rupa-rupanya, burung hud-hud adalah jurutera air dan dikurniakan kemahiran mencari air. Nabi Sulaiman as setelah sampai ke satu tempat bersama iringan rakyatnya yang terdiri daripada pelbagai spesis sangat memerlukan air.

Di saat itu biasanya baginda akan memanggil burung hud-hud yang mampu terbang dan mengesan kedudukan air yang terpendam dalam bumi. (Tafsir al-Tabari)

Teori tersebut seakan dikukuhkan lagi oleh kata-kata hud-hud ketika melaporkan perihal kerosakan akidah penduduk Saba’ yang menyembah matahari yang bermaksud Hud-hud berkata: Aku dapati raja perempuan itu dan kaumnya sujud kepada matahari dengan meninggalkan ibadat menyembah Allah dan syaitan pula memperelokkan pada pandangan mereka perbuatan (syirik) mereka, lalu menghalangi mereka dari jalan (yang benar); oleh itu mereka tidak beroleh petunjuk, - (Mereka dihalangi oleh syaitan) supaya mereka tidak sujud menyembah “Allah yang mengeluarkan benda yang tersembunyi di langit dan (terpendam) dalam bumi” dan yang mengetahui apa yang kamu rahsiakan serta apa yang kamu zahirkan. (al-Naml: 24-25)

Hud-hud menyebut kuasa Allah SWT yang mampu mengeluarkan benda yang terpendam dalam bumi. Dalam satu tafsiran kepada perkataan “al-hab”, Sa’id ibnu al-Musayyab menyebut ia bermaksud `air’.

Oleh itu, ia agak selari dengan riwayat yang menyebut kelebihan hud-hud yang mampu mengesan air dalam bumi. (Tafsir Ibnu Kathir)

Walau bagaimanapun, kisah hud-hud yang memiliki radar pengesan air” tergolong dalam kategori riwayat Israiliyyat (riwayat bersumber daripada Ahli Kitab) yang tidak dapat dipastikan kesahihannya. Boleh jadi benar atau salah.

Oleh itu, `dakwaan’ ini ia perlu disukat dengan pembuktian saintifik. Samalah perihalnya kemampuan sesetengah haiwan yang dikurniai deria khas mampu melihat malaikat atau syaitan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Apabila kamu mendengar kokokan ayam, maka mohonlah kepada Allah akan kurniaan-Nya kerana ayam itu telah melihat malaikat, manakala apabila kamu mendengar rengekan keldai, maka mintalah perlindungan dengan Allah daripada (kejahatan) syaitan kerana keldai itu telah melihat syaitan. (Sahih al-Bukhari & Muslim)

Inilah salah satu cara laluan ilmu dibuka oleh al-Quran. Seharusnya Muslim yang membaca al-Quran berfikir hikmah dan rahsia di sebalik setiap bicara al-Quran.

Tambah teguh jika teori yang dikesan di sebalik ayat al-Quran dibuktikan secara saintifik.

Jika beginilah gayanya interaksi umat Islam dengan al-Quran, barulah al-Quran mampu menjawab segala masalah yang mereka hadapi.

BACA INI JUGA: Benarkah Burung Cenderawasih Berasal Dari Syurga?

Sumber: Utusan.com.my

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

2 comments

dahsyat betul makhluk Allah bernama Hud Hud ini.

SubhanaAllah...indah burung Hud-Hud nie

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon