Wednesday, July 08, 2015

6 Daerah Di Sabah Ditumbuhi Tumbuhan Rumpai Miang Mexico


Enam daerah di Sabah dikenal pasti ditumbuhi rumpai miang Mexico yang berbahaya iaitu di kawasan-kawasan kecil melibatkan 16 lokasi.

Rumpai Miang Mexico

Enam daerah itu adalah Ranau, Keningau, Tenom, Tuaran, Sipitang dan Kota Marudu.

Rumpai ini disenaraikan dalam 10 teratas perosak asing berbahaya dalam Pelan Tindakan Kebangsaan Pengurusan Spesies Asing Berbahaya kerana tumbuhan itu memberi kesan berbahaya pada persekitaran, ekonomi serta kesihatan manusia dan haiwan.

Rumpai Miang Mexico [2]

Pemantauan, menerusi Jabatan Pertanian telah dilakukan bagi menangani masalah tumbuhan itu secara profesional dan pantas melalui pelaksanaan strategi pengawalan jangka pendek/panjang dan jabatan pertanian mendapati rumpai ini tidak merebak ke seluruh negeri.

Satu pasukan petugas, Jawatankuasa Pengawasan dan Pengawalan Perosak telah ditubuhkan di samping mengaktifkan bilik gerakan di peringkat ibu pejabat Jabatan Pertanian.

Rumpai Miang Mexico [3]

Strategi pengawalan jangka pendek ini termasuklah pemantauan, penghapusan, pembendungan dan juga kempen kesedaran.

Strategi jangka panjang melibatkan program pembangunan dan penyelidikan (R&D) mengenai rumpai itu dan seterusnya menentukan kaedah pengawalan yang berkesan.

Bahaya Rumput Miang Mexico

Rumpai Miang Mexico atau nama sainstifiknya Parthenium hysterophorus dari famili Asteraceae merupakan sejenis rumpai liar yang berasal dari negara Mexico, Amerika Tengah dan Amerika Selatan. Rumpai ini juga dikenali sebagai Carrot Weed.

Rumpai ini boleh tumbuh di pelbagai jenis dan keadaan tanah termasuklah tanah kurang subur. Ia kelihatan seperti ulam raja dan panjang daun 30cm dengan bilangan daun yang boleh mencapai 55 helai.

Bunga rumpai ini berwarna putih susu (krim) dengan ukuran diameter 4-6mm, pada batang rumpai ini terdapat bulu-bulu halus (trikomes) dan bercabang.

Biji benih rumpai ini berwarna perang kehitaman berbentuk seperti baji dan boleh mencapai 100,000 biji benih perpokok dalam satu kitaran hidup lengkap iaitu 3-4 bulan.

Rumpai ini merebak melalui angin, air yang mengalir, makanan haiwan ternakan, haiwan ternakan yang diimport, pergerakan haiwan ternakan, manusia dan pergerakan jentera, serta alatan pertanian.

Rumpai ini dikatakan sebagai rumpai yang berbahaya kerana memberi kesan kepada ekosistem semulajadi, menyebabkan alahan kepada manusia dan haiwan yang boleh membawa kepada kematian.

Bunga Rumpai Miang Mexico
Bunga Rumpai Miang Mexico.

Kehadiran rumpai ini mula dikesan pada bulan September 2014 oleh Jabatan Pertanian Malaysia di kawasan Ulu Yam Baru, Selangor dan selepas itu bancian telah dijalankan dengan sistematik dan didapati negeri Perak, Kedah dan Negeri Sembilan juga mempunyai rumpai ini.

Ancaman bahaya dari rumpai ini telah dilabelkan sebagai rumpai paling teruk abad ini kerana mengurangkan hasil pertanian serta ternakan bagi sesebuah negara dan seterusnya mengalami kerugian besar disamping menimbulkan masalah kesihatan yang kronik pada manusia.

Akta rumpai telah memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengambil tindakan kepada mana-mana pemilik tanah yang membiarkan rumpai ini tumbuh ditanah mereka tanpa usaha menghapuskannya.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama memastikan rumpai ini terhapus dari negara kita supaya hasil pertanian dan ternakan serta keselamatan manusia terjamin.

BACA INI JUGA: The Devil's Breath, Pohon Durjana Nafas Syaitan

Sumber: BERNAMA/Jab Pertanian Perlis

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon